Selasa, 9 April 2013

SEMUA BILA SAMPAI MASA AKAN BERSARA DAN AKAN MASUK DALAM MASYARAKAT...BILA SAMPAI MASA AKAN MATI DAN MASUK DALAM KUBUR...AKAN HILANG SEGALA PANGKAT DAN KUASA...TANAM PUN TAK BOLEH BUAT SENDIRI...ORANG TANAMKAN....JANGAN BERLAGAK SANGATLAH

Najib pertahan manifesto, bukan direka dalam sehari

8 April 2013
Manifesto
Manifesto
KUALA LUMPUR - Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentang Sabtu lepas telah dirangka dengan teliti melalui hasil tinjauan mesra serta pelbagai usaha bagi mendapatkan maklum balas daripada segenap lapisan rakyat di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Perdana Menteri menerusi blog 1Malaysia berkata manifesto itu bukanlah satu manifesto yang direka dalam masa sehari hanya untuk memenangi hati pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
"Malah saya sendiri telah mengamalkan aktiviti turun padang untuk lebih memahami segala isu dan keutamaan rakyat daripada semua peringkat umur, pendapatan, tempat tinggal, bangsa dan agama.
"Kerana itulah manifesto ini realistik dan komprehensif bagi memenuhi keadaan sebenar rakyat di masa kini," katanya.
Dalam pada itu, Najib menegaskan bahawa asas kepada manifesto yang disifatkan sebagai Aku Janji kami kepada rakyat itu adalah kestabilan serta keharmonian negara yang berpanjangan.
Katanya segala kejadian, pengalaman, kesilapan, dan kejayaan yang lalu diambil iktibar dan dijadikan pedoman dalam meneruskan amanah yang akan dijunjung serta dilunaskan dengan sebaiknya.
Beliau berkata kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang sehingga hari ini jelas membuktikan kebolehan dan prestasi BN dalam menunaikan janji kepada rakyat sebelum ini.
"Pastinya ada ketidaksempurnaan selama ini, saya akui dan memohon maaf, namun ia menguatkan lagi keinginan kami untuk memperbaikinya demi masa depan Malaysia. Kali ini, kami usulkan 17 bidang utama sebagai janji dan komitmen kami seterusnya," katanya.
Oleh itu, Najib dengan rasa rendah diri menyeru rakyat agar yakin dengan kepimpinan beliau dengan memberi sokongan dan undi kepada pasukan beliau iaitu BN dan berjanji akan meneruskan perjuangan dengan memberi harapan kepada rakyat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.
Beliau turut mengalu-alukan rakyat untuk mendapatkan ringkasan mengenai 17 intipati Manifesto BN yang diumumkan beliau di hadapan lebih puluhan ribu anggota dan penyokong BN di Stadium Putra Bukit Jalil dua hari lepas.
Katanya ringkasan intipati itu boleh didapati di laman blog beliau iaitu www.1malaysia.com.my/manifesto/ manakala teks penuh manifesto boleh dibaca di www.manifestopru13.com. - Bernama
Rafizi: BN ciplak 22 idea manifesto Pakatan
Wartawan Sinar Harian
8 April 2013
Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
APABILA politik nasional lebih banyak berkisar kepada persoalan dan perdebatan dasar (bukannya politik perkauman, kebencian dan cacian peribadi), rakyat berpeluang untuk menilai sendiri perbandingan program ekonomi dan kerajaan yang ditawarkan oleh parti-parti politik.

Justeru, saya menyambut baik peluncuran manifesto Barisan Nasional dan ingin mengambil kesempatan ini untuk membentangkan analisis perbandingan di antara manifesto Rakyat dan Manifesto Barisan Nasional.

TEMA
- Manifesto Barisan Nasional yang bertemakan “Menepati Janji, Membawa Harapan” secara jelas dan tanpa segan silu menciplak tema “Pakatan Harapan Rakyat” yang telah lama diluncurkan oleh Pakatan Rakyat

- Saya mengambil pendekatan positif dan berpendapat bahawa pemikir Barisan Nasional pun menerima hakikat bahawa agenda ekonomi rakyat yang bersabit dengan penurunan harga barang, kempen #Turunkanhargakereta, pendidikan percuma, hapuskan tol dan lain-lain yang dibawa oleh Pakatan Rakyat akhirnya diterima pakai oleh Barisan Nasional

-  Ini kerana mereka juga sedar bahawa agenda ekonomi rakyat ini telah menjadi harapan rakyat yang bakal digalaskan kepada kerajaan baru yang dipilih.

- Oleh itu, PRU13 adalah persoalan parti manakah yang lebih wibawa dalam mengotakan harapan rakyat ini – sebab itu Barisan Nasional tidak ada pilihan kecualilah menggunakan perkataan “harapan” seperti mana Pakatan Rakyat, untuk memberi isyarat mereka juga faham dengan harapan yang telah disuarakan rakyat


PENDEKATAN DASAR


- Barisan Nasional kontang idea dan tidak berjaya membawa program baru. Manifesto Barisan Nasional ditulis secara umum, tanpa sasaran khusus yang boleh meyakinkan rakyat berbeza dengan manifesto Rakyat yang jelas mekanisme, tempoh masa dan sasarannya.

- Contohnya, apabila Barisan Nasional berjanji untuk menarik pelaburan bernilai RM1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baru – mekanisme dan pelan khusus untuk mencapai sasaran ini tidak dinyatakan, berbeza dengan Manifesto Rakyat yang secara jelas menumpukan usaha menambah kemahiran pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk mengambil alih satu juta pekerjaan yang kini diusahakan oleh pekerja asing. Strategi mewujudkan peluang pekerjaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat adalah lebih jelas, berbanding janji kabur yang dibawa Barisan Nasional.

- Semakan ke atas keseluruhan manifesto Barisan Nasional menunjukkan bahawa tidak ada sebarang perubahan dasar ekonomi, politik dan sosial yang akan dilaksanakan untuk mengotakan janji-janji Barisan Nasional.

- Ini bermakna Barisan Nasional masih menggunakan kaedah dan pendekatan yang sama tetapi berharapkan keadaan menjadi lebih baik

- Tanpa perubahan dasar yang merubah struktur ekonomi, politik, pendidikan dan sosial negara, Malaysia akan terus bergelumang dengan rasuah, ketirisan, ketidakcekapan ekonomi, penguasaan monopoli kroni, harga barang yang ditentukan oleh pihak tertentu dan mutu pendidikan yang semakin merosot.

- Manifesto Barisan Nasional akhirnya hanyalah senarai janji-janji tanpa membentangkan kaedah dasar dan pelaksanaan untuk merealisasikan janji-janji itu

PERBANDINGAN PROGAM: KONTANG IDEA BARU, CIPLAK IDEA PAKATAN RAKYAT

- Analisia terhadap janji-janji Barisan Nasional menunjukkan bahawa sebahagian besar dari janji-janji yang dimasukkan bukanlah idea baru, tetapi diciplak dari Pakatan Rakyat atau adalah idea yang sama yang kini digunakan di oleh Barisan Nasional.
- Janji-janji berikut diciplak dari Pakatan Rakyat (walaupun pelaksanaannya tidak akan memenuhi harapan rakyat kerana tidak dilaksanakan sepenuhnya):
1. Menurunkan harga kereta dengan penurunan 20 hingga 30 peratus secara berperingkat
2. Menyeragamkan harga barang keperluan asas di antara Semenanjung dan Sabah Sarawak

3. Menggunakan dana kerajaan melalui penglibatan terus kerajaan untuk menambah rumah mampu milik sebagai usaha mengawal harga rumah

4. Memperbaiki perumahan estet dan memastikan perumahan selesa bagi bekas pekerja estet
5. Memperkenalkan skim sewa dan milik untuk perumahan rakyat

6. Menambah baik perkhidmatan bas untuk digunakan secara bersepadu untuk mengurangkan penggunaan kenderaan awam

7. Memberikan permit teksi individu

8. Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi (high speed rail)

9.  Membina Lebuhraya Pan Borneo

10.  Mengurangkan bayaran tol secara berperingkat-peringkat

11.  Reformasi percukaian untuk mengurangkan beban cukai pendapatan kepada golongan bawahan

12.  Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana mengikut peratusan perolehan minyak

13.  Peruntukan khas kepada semua jenis sekolah

14.  Menawarkan status sekolah bantuan penuh kerajaan bagi sekolah-sekolah Tamil

15.  Penekanan kepada pendidikan kemahiran dengan menaiktaraf sekolah vokasional menjadi kolej

16.  Menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum

17.  Mewujudkan mahkamah khas untuk menangani isu-isu tanah pribumi

18.  Mewartakan semua tanah adat

19.  Menjana pendapatan dari pembangunan tanah wakaf

20.  Mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan guru KAFA dengan menyediakan pakej penggajian yang lebih baik

21.  Menaikkan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Pondok

22.  Memastikan keseimbangan kaum yang lebih adil di dalam perkhidmatan awam


Tindakan Barisan Nasional menciplak idea-idea asal yang sudah pun sinonim dengan Pakatan Rakyat seperti menurunkan harga kereta, menghapuskan tol dan lain-lain mengesahkan bahawa negara mempunyai kewangan yang kukuh selama ini untuk melaksanakan program-program ini.

Alasan yang diberikan selama ini hanyalah dolak-dalih politik, tetapi oleh kerana tekanan yang kuat dari rakyat akhirnya Barisan Nasional tidak ada pilihan lain kecuali menciplak idea-idea ini.

 Perbandingan keberkesanan program
Keseluruhan kempen Barisan Nasional kini disandarkan kepada pemberian BR1M yang selepas ini akan dibuat setiap tahun pada kadar yang lebih tinggi, iaitu RM1,200 untuk keluarga dan RM600 untuk individu bujang.

Jumlah ini bersamaan dengan RM100 setiap bulan untuk keluarga dan RM50 sebulan untuk individu bujang, pada ketika Barisan Nasional tidak mengemukakan apa-apa cadangan untuk menurunkan harga barang.

Akhirnya, inflasi dan kenaikan harga barang akan melunturkan kesan pemberian wang terus ini kepada rakyat yang dijangka akan menelas belanja RM7.2 bilion dalam tahun pertama. Mengambil kira pertumbuhan penduduk sebanyak dua peratus secara purata dan inflasi pada kadar purata dua peratus untuk tempoh sedekad dari sekarang, menjelang tahun 2023 jumlah pembayaran BR1M akan mencecah RM11 bilion.
Pendekatan ini kurang bijaksana kerana ia menelan belanja yang besar tanpa mengubah struktur ekonomi, sedangkan peruntukan RM7 bilion hingga RM11 bilion setahun itu lebih berkesan jika digunakan untuk menurunkan harga barang, menghapuskan tol, menurunkan harga kereta dan lain-lain.

Perbandingan janji-janji utama Pakatan Rakyat dan BN
Membantu meredakan tekanan sara hidup – Pakatan Rakyat mencadangkan reformasi menyeluruh untuk merubah struktur ekonomi dengan menghapuskan monopoli yang akan menurunkan harga barang keperluan, berbanding Barisan Nasional yang menawarkan RM100 sebulan

Menurunkan harga kereta – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan terus cukai eksais secara berperingkat supaya harga kereta adalah separuh dari harga sekarang dalam tempoh lima tahun, berbanding Barisan Nasional yang hanya akan memotong cukai sebanyak 20 hingga 30 peratus sahaja secara berperingkat tanpa disebut jangka masanya

Menghapuskan tol – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan tol bermula dengan lebuhraya yang sudah mendapat pulangan modal, berbanding dengan Barisan Nasional yang hanya akan menurunkan tol secara berperingkat tanpa disebut jumlah dan tempoh masanya

Menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma – Pakatan Rakyat akan menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

Caruman Wanita Malaysia untuk surirumah tidak bekerja – Pakatan Rakyat akan mewujudkan skim caruman seperti KWSP untuk surirumah tidak bekerja dengan caruman minima RM720 setahun, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

Menurunkan harga minyak – Pakatan Rakyat komited untuk menurunkan harga minyak, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

Memberikan royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak – Pakatan Rakyat berjanji mengembalikan royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak, berbanding Barisan Nasional yang meneruskan pendekatan membelanjakan wang minyak
sebagai peruntukan pusat
Saya akan terus mengemukakan analisis khusus terhadap isu perumahan, ekonomi dan lain-lain sepanjang minggu ini melalui penulisan dan video agar rakyat dapat membandingkan kedua-dua manifesto.

* Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR

Isma umum calon, manifesto Khamis ini
Wartawan Sinar Harian
8 April 2013
Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya
SHAH ALAM  – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) akan mengumumkan manifesto dan senarai ahlinya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Khamis ini.

Ketua Biro Politiknya, Aminuddin Yahaya berkata, majlis pelancaran manifesto dan pengumuman senarai calon dan kawasan yang bakal ditandingi akan diumumkan pada tarikh tersebut.

“Kita rasa sudah sampai masanya untuk kita umumkan perkara tersebut memandangkan SPR akan umum tarikh pencalonan dan tarikh pilihan raya pada 10 April,” katanya dipetik Isma Online.

Pada 11 Februari lalu Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman telah mengumumkan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan itu dalam PRU13 atas tiket Berjasa di beberapa kawasan Parlimen dan Dun termasuk Subang, Wangsa Maju, Kapar, Selayang, Seremban dan Kajang.



Hadi: Lepas 50 tahun baru BN janji turun harga kereta
Wartawan Sinar Harian
8 April 2013
Abdul Hadi Awang
Hadi Awang menyampaikan hujah pada program Bicara Minda dan Sesi Berdialog. - Foto Sinar Harian
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Sementara demam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) terus meningkat dengan kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) sudah mengumumkan manifesto masing-masing, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyindir BN sambil berkata ia baru berjanji untuk menurunkan harga kereta.
Kata Hadi, beliau hairan kerana BN yang memerintah negara sejak 1957, baru sekarang mahu bertindak demikian, itu pun selepas PR mengumumkan manifestonya akhir Februari lalu.
Bila cakap tentang manifesto, bermakna ia tentang janji. Barisan Nasional memang macam itu, yang dia janji itu, dia tak buat lagi," katanya dalam program Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian.

Hadi ditanya, sama ada manifesto yang dibentangkan BN Sabtu lalu sebagai manifesto yang menjamin kebajikan negara.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, memang sudah menjadi tradisi dalam BN, pihaknya hanya tahu menabur janji, namun tidak pernah tahu untuk melaksanakannya.

"Masalah BN telah memerintah 50 tahun lebih, mengapa tak buat lagi (negara kebajikan)," katanya menjawab soalan hadirin.

Perkara itu katanya jauh berbeza di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan dasar baik untuk rakyat walaupun secara sederhana dan berperingkat-peringkat.

"Kita baru memerintah empat tahun lebih di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, sekejap di Perak, Terengganu, Kelantan, kita buat sekadar kemampuan yang kita ada," ujar Hadi.

Hadi turut menolak dakwaan kerajaan negeri di bawah pembangkang pada hari ini juga gagal melunaskan manifesto pilihan raya lalu.

"Kita tak buat langsung itu tak betul," ujarnya.

Namun katanya, harus diingat tanggungjawab pembangunan sepertimana yang terkandung dalam manifesto BN sememangnya adalah tangggungawab kerajaan pemerintah.

"Parti yang memerintah adalah parti yang memegang amanah. Tetapi bagaimana mengendalikan duit itu?

"Siapa jadi kerajaan, ia mesti buat pembangunan," ujar Hadi sambil menambah sebab itulah Pas tidak pernah merobohkan sebarang masjid yang dibina oleh kerajaan BN di Kelantan.

BN dalam manifestonya yang dibentangkan Sabtu lalu menjanjikan pembangunan dan kemudahan prasarana bertaraf dunia jika terus diberi mandat.

BN antaranya berjanji akan memperbanyakkan lorong dan susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan.

Pihaknya juga berjanji untuk membina 2,300km Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Semantan di Sarawak hingga ke Serudong di Sabah.

BN juga akan mempertingkatkan bekalan tenaga elektrik kepada 6,000 rumah lagi di Semenanjung, 60,000 rumah di Sabah dan 80,000 rumah di Sarawak.

Hadi dalam ucapannya turut menempelak mengapa baru sekarang BN terfikir untuk mengurangkan harga kereta dalam manifestonya walaupun sudah mentadbir negara lebih 50 tahun.

"Bila kita buat (turunkan harga kereta) baru mereka tahu (boleh buat)," ujar Hadi sebelum menerima tepukan gemuruh hadirin.
Isu itu dibangkitkan ketika rakyat mula membincangkan kandungan manifesto yang dibincangkan oleh BN kelmarin dan PR 25 Februari lalu.
Antara lain manifesto PR menjanjikan penurunan harga kereta jika berpeluang membentuk kerajaan pusat.
Aspek yang sama yang dijanjikan menerusi manifestonya iaitu menyemak semula Dasar Automatif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus.
Kedua-dua manifesto itu, yang mencerminkan kelahiran sistem dua parti, dilihat cuba bersaing satu sama lain menjelang hari pengundian PRU13.
Najib temu pesara kerajaan, gesa jaga maruah diri

8 April 2013
Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA - Maruah dan penghormatan adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit biarpun ada pihak memberikan pelbagai janji, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Perdana Menteri berkata walaupun seseorang itu kehilangan segala-galanya tetapi masyarakat akan tetap menghormatinya kerana wujud prinsip kesetiaan.
  
"Biarlah dua tiga tersasar nak jadi calon pembangkang, lebih ramai lagi ada pada kita. Yang jadi calon sebelah sana, saya kenal siapa dia, saya kenal latar belakang dia, saya tahu kenapa, sebenarnya mereka itu bermasalah. Semua dalam Mindef (Kementerian Pertahanan) tahu.
  
"Orang putih kata, anda datang bekerja dengan maruah dan penghormatan dan anda bersara dengan maruah dan penghormatan juga.
  
"Maruah dan penghormatan tidak boleh dibeli biarpun ada orang janji macam-macam, penghormatan manusia kepada kita tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, sebab itu dalam perjuangan kita mesti ada nilai prinsip, maruah diri mesti kita jaga," katanya pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama pesara-pesara kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohamad Zabidi Zainal, Presiden Perbadanan Putrajaya yang juga Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Tan Sri Aseh Che Mat.
Lebih 3,000 pesara yang turut terdiri daripada pesara tentera, polis, Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen dari seluruh negara hadir pada majlis itu.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 700,000 golongan pesara di seluruh negara.
Najib berkata demikian dipercayai merujuk kepada tindakan beberapa bekas pegawai kanan tentera yang telah menyatakan kemungkinan untuk bertanding sebagai calon pembangkang.
Sebagai golongan pesara yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman, Najib berkata mereka lebih memahami bahawa masa depan negara tidak boleh diperjudikan dan dijadikan sebagai eksperimen.
"Sebab jika kita salah pilih, kita akan merana, bukan sahaja kita tetapi juga anak cucu kita. Tetapi ini bukan bererti kita nak wajib sokong kerajaan tetapi nak sokong kerana kita adalah pilihan terbaik," katanya.
Najib berkata kepercayaan tidak boleh diberikan kepada pembangkang yang cakap tidak konsisten dan mempunyai perbezaan haluan seperti isu Putrajaya yang dulu hendak dilelong tetapi sekarang mengidamkan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.
"Semua tidur di atas satu bantal tetapi bak kata pepatah Melayu, tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Hala tuju yang berbeza akan membawa kucar-kacir kepada pentadbiran negara," katanya.
Katanya seandainya majoriti besar diberikan kepada kerajaan kepimpinan beliau, negara akan melakar lebih banyak kejayaan lagi dan jasa golongan pesara turut tidak akan dilupakan.
Malah, katanya, kadar kenaikan minimum pencen pesara sebanyak dua peratus yang diberikan kepada golongan pesara pada masa ini boleh ditambah lagi yang bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.
"Yakinlah, jika anda menyokong kerajaan pada hari ini, kita akan melakar lebih banyak kejayaan lagi. Saya akan bekerja lebih kuat lagi. Saya beri jaminan untuk bekerja sepenuh hati dengan segala kekuatan yang ada pada saya," katanya. - Bernama


Polis: "Jangan salah guna jawatan bekas penjawat awam"

8 April 2013
KUALA LUMPUR - Polis hari ini memberi amaran kepada parti politik agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama jawatan bekas penjawat awam yang tidak berkenaan bagi menarik orang ramai ke ceramah politik mereka.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata ini kerana polis mengesan ada pihak memaparkan jawatan yang berbeza dengan penceramah yang dimaksudkan bagi mengelirukan masyarakat.

Polis mengesan ada parti politik meletakkan nama bekas seorang pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kain rentang untuk mempromosikan ceramah politik mereka, namun yang datang berceramah bukan individu berkenaan.

Perbuatan ini salah dan boleh dikenakan tindakan tegas, katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini.

Beliau merujuk kepada ceramah sebuah parti politik pada 21 Mac lepas yang meletakkan jawatan berbeza pada nama penceramah sedangkan penceramah dimaksudkan memegang jawatan lain ketika berkhidmat.     

Mengulas lanjut, Ramli berkata perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan imej jabatan berkenaan tetapi juga mengelirukan masyarakat yang mungkin menganggap penceramah mewakili jabatan terbabit.

Beliau juga menegaskan setiap bekas penjawat awam boleh berkempen atau memberi ceramah namun hanya atas pandangan peribadi.

Sementara itu, Ramli berkata semalam PDRM menerima 340 permohonan untuk mengadakan ceramah politik, perjumpaan dengan penyokong, kempen dan lain-lain.

Mengenai perbuatan khianat yang berkaitan dengan pilihan raya umum ke-13, Ramli berkata sembilan kes dilapor di Selangor semalam, membabitkan bakar bendera, turunkan kain rentang serta mematahkan kayu bendera.

"Polis ingatkan golongan muda supaya tidak bertindak sedemikian kerana jika ditangkap khususnya mereka yang masih belajar serta penjawat awam, ia boleh menjejaskan masa depan mereka," katanya.

Kes terkini berlaku di Beranang, Semenyih, Kajang membabitkan sekumpulan lelaki yang sedang memasang bendera sebuah parti telah dihalau dan diugut pukul oleh 30 lelaki, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: