Selasa, 2 April 2013

BOLEH DISEMBUNYI PADA MANUSIA TETAPI TIDAK PADA ALLAH...MEREKA NI CARI NAHAS

Kelantan: Laporan NST, TV3 tiada butiran tepat

Nik Abdul Aziz Nik Mat, 01 Apr 2013
Bismillah, saya membaca laporan muka hadapan New Sunday Times semalam yang memaparkan di muka hadapan laporan mengenai masalah sosial di Kelantan dengan tajuk Kelantan After Dark.

Ia disambung pula dengan paparan Buletin Utama TV3 malam semalam dan juga kenyataan seorang pemimpin utama Umno Kelantan yang mengatakan bahawa ini adalah bukti Kelantan tidak sempurna.

Respon saya ialah saya tidak pernah menyatakan bahawa Kelantan sempurna. Namun, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik untuk mengekang aktiviti tidak bermoral di negeri ini.

Kami mengharamkan premis judi, rumah-rumah urut dan menghalang penjualan minuman keras secara terbuka.

Jika ia wujud, ertinya kewujudannya tanpa lesen dan secara haram. Sesuatu yang wujud secara haram bukan bukti ia direstui, adakah apabila meningkatnya gejala penyalahgunaan dadah di seluruh negara contohnya bermakna ia direstui oleh kerajaan pusat?

Sesuatu yang wujud secara haram perlu dibanteras, bukannya diberikan lesen, ini pendirian kami. Kami tidak sama dengan sesetengah pihak yang ingin memberikan lesen kepada kegiatan yang wujud secara haram.

Lesen judi untuk pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010 contohnya, ada sesetengah pemimpin Umno Kelantan berhujah ia wajar diberikan lesen agar tidak beroperasi secara haram.

Sewajarnya semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan haram ini, perlu membuat aduan. Sayangnya, ada yang saban masa mencabar undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 pada 15 Julai tahun lepas contohnya, diserikan dengan persembahan artis wanita secara terbuka yang jelas melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Saya perhatikan laporan NST tiada butiran jelas dan tepat. Ia sekadar laporan umum dengan melindungi fakta-fakta dan individu yang terlibat, begitu juga dengan paparan TV3 yang sangat kabur dan diragui. Saya kira, lebih baik untuk disebut dengan jelas fakta-fakta kes agar ia memudahkan pihak penguatkuasa untuk bertindak.

Di Kelantan, kami perkenalkan undang-undang dalam bidang kuasa kami. Namun, bolehkah kami menghalang 100% gejala sosial sedangkan di peringkat pusat sendiri senarionya lebih berat?

Sama-samalah kita berusaha. Hakikatnya, jika hanya petak sawah kita sahaja dijaga daripada ular dan tikus sedangkan petak sawah di sebelah berkubang dengan anasir perosak, lama kelamaan petak sawah kita juga akan mengalamai nasib yang sama!

Defisit: Ahmad Husni cuba sembunyi kegagalan BN

Rafizi Ramli, 01 Apr 2013
Tuduhan oleh Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Manifesto Rakyat akan melonjakkan defisit ke paras 11.5% dan hutang kerajaan ke paras 62.1% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak berasas dan membelakangkan fakta ekonomi mengenai prestasi pengurusan ekonomi di bawah Umno/Barisan Nasional.

Selain itu, beliau juga menambah bahawa Manifesto Rakyat akan menyebabkan kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar gaji, berbanding pendekatan hutang Umno/Barisan Nasional yang kononnya hanya berhutang untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.

Ketiga-tiga dakwaan ini dibuat tanpa membentangkan sebarang data atau perkiraan, berbeza dengan disiplin Pakatan Rakyat yang senantiasa mempertahankan rancangan ekonominya menggunakan fakta dan data yang jelas. Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah masih lagi berada dalam kepompong politik lama yang beranggapan rakyat akan menerima bulat-bulat sebarang angka yang disebut oleh seorang menteri, walaupun ia tidak masuk akal.

Mutakhir ini, rakyat menuntut mana-mana parti politik yang membentangkan dasarnya turut menyertakan analisa yang lengkap sebagai bukti. Ini telah dibuat secara terperinci oleh Pakatan Rakyat – sejurus selepas Manifesto Rakyat dibentangkan, analisa lengkap kos setiap program dan bagaimana membiayainya telah dibentangkan kepada rakyat agar ia boleh dikaji dan dikritik.

Sehingga kini Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah masih belum mampu menampilkan satu analisa yang menunjukkan bahawa kira-kira kewangan yang dibuat Pakatan Rakyat di dalam Manifesto Rakyat tidak tepat. Saya percaya Umno/Barisan Nasional bukan sahaja tidak mampu menghasilkan analisa kewangan yang lengkap, mereka juga cuba menyembunyikan kegagalan pengurusan ekonomi di bawah pentadbiran mereka.

Ketiga-tiga tuduhan yang dibuat oleh Datuk Seri Husni Hanadzlah – mengenai defisit, jumlah hutang negara dan pergantungan kepada hutang untuk menampung operasi kerajaan – sebenarnya berpunca dari kegagalan pengurusan ekonomi Umno/Barisan Nasional sendiri, seperti yang dihuraikan di dalam bidasan-bidasan berikut:

DEFISIT NEGARA

§ Masalah defisit negara yang berpanjangan sejak tahun 1998 ini sebenarnya dimulakan dan diwariskan oleh pengurusan ekonomi Umno/Barisan Nasional.

§ Walaupun hasil negara bertambah mendadak terutamanya dengan kenaikan harga minyak mentah sejak tahun 2008, Umno/Barisan Nasional tidak menggunakan peluang itu untuk memotong defisit. Sebaliknya pertambahan pendapatan itu dijadikan alasan untuk berboros sehinggakan defisit kekal tinggi walaupun hasil negara meningkat:

Tahun
Hasil Negara (RM Juta)
% Kenaikan Tahunan
2000
61,864
5.4%
2001
79,567
28.6%
2002
83,515
5.0%
2003
92,607
10.9%
2004
99,396
7.3%
2005
106,305
7.0%
2006
123,547
16.2%
2007
139,885
13.2%
2008
159,794
14.2%
2009
158,639
-0.7%
2010
159,653
0.6%
2011
185,419
16.1%

Jadual 1: Hasil Negara (mengikut data Perbendaharaan)

§ Secara purata, kadar pertumbuhan hasil negara adalah 16% di antara tahun 2000 hingga 2011 terutamanya kerana hasil minyak mentah yang naik mendadak. Sekiranya Umno/Barisan Nasional menguruskan kewangan negara dengan menghalang ketirisan dan rasuah, masalah defisit negara sudah lama dapat diselesaikan kerana Malaysia mempunyai pertumbuhan hasil negara yang tinggi pada kadar 16% setahun.

JUMLAH HUTANG NEGARA AKIBAT MANIFESTO RAKYAT

§ Hutang negara melonjak naik kerana perbelanjaan Umno/Barisan Nasional yang tidak terkawal walaupun hasil negara meningkat. Akibatnya, saban tahun Umno/Barisan Nasional terus terpaksa menambah hutang, sehinggakan hutang negara sudah mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada 54.6% dari KDNK (iaitu hanya 0.4% dari had hutang yang dibenarkan).

§ Perbelanjaan tidak terkawal ini dapat dibuktikan dengan rekod buruk Umno/Barisan Nasional yang berbelanja melebihi belanjawan yang diluluskan setiap tahun seperti berikut:

Tahun
Belanjawan Diluluskan (RM Bilion)
Perbelanjaan Akhir (RM Bilion)
Belanja Melampaui Kelulusan (RM Bilion)
2008
176.9
195.0
18.1
2009
206.0
207.9
1.9
2010
191.5
203.0
11.5
2011
212.0
228.0
16.0




Jumlah
47.5

Jadual 2: Perbelanjaan melampaui kelulusan belanjawan oleh Umno/Barisan Nasional

§ Jika perbelanjaan melebihi kelulusan belanjawan Umno/Barisan Nasional bagi tahun 2008 hingga 2011 dijumlahkan, angka RM47.5 bilion perbelanjaan tanpa perancangan mengatasi jumlah RM45.75 bilion yang diperlukan oleh Pakatan Rakyat untuk membiayai Manifesto Rakyat.

§ Dicampur pula dengan pembaziran, ketirisan dan rasuah yang berlaku setiap tahun, sasaran penjimatan untuk mendapatkan jumlah RM45.75 bilion setiap tahun tanpa perlu menambah hutang sudah tentu dapat dicapai.

§ Pakatan Rakyat hanya perlu menghentikan amalan berbelanja tanpa kelulusan, menghentikan ketirisan dan memacu ekonomi supaya hasil negara meningkat untuk mencapai sasaran itu.

PERGANTUNGAN KEPADA HUTANG UNTUK MENAMPUNG KOS OPERASI

§ Kenyataan Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah bahawa Umno/Barisan Nasional tidak berhutang untuk membayar kos operasi kerajaan adalah tidak tepat. Ini hanya dapat dilakukan kerana Umno/Barisan Nasional menggunakan dana PETRONAS secara tidak terkawal.

§ Tanpa dana PETRONAS, Umno/Barisan Nasional terpaksa berhutang untuk menampung kos operasi bermula dari tahun 2005 seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut:

Tahun
Hasil Negara
Dividen PETRONAS
Hasil Tanpa Dividen PETRONAS
Perbelanjaan Mengurus
2000
61,864
4,100
57,764
56,547
2001
79,567
5,910
73,657
63,757
2002
83,515
5,390
78,125
68,699
2003
92,607
5,100
87,507
75,224
2004
99,396
9,100
90,296
91,298
2005
106,305
11,000
95,305
97,744
2006
123,547
18,000
105,547
107,694
2007
139,885
24,000
115,885
123,084
2008
159,794
30,000
129,794
153,499
2009
158,639
30,000
128,639
157,067
2010
159,653
30,000
129,653
151,633
2011
185,419
30,000
155,419
182,594

Jadual 3: Perbandingan Hasil & Perbelanjaan Mengurus (Sumber: Perbendaharaan)

Ketiga-tiga bidasan awal dengan jelas menunjukkan bahawa pengurusan ekonomi di bawah Umno/Barisan Nasional mewariskan hutang dan defisit yang tinggi kepada rakyat. Bukanlah tempat Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah untuk menuding jari kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya beliau harus menjelaskan rekod pengurusan ekonomi yang buruk ini kepada rakyat.

Penulis ialah Pengarah Strategi PKR.

PRU13: Pemantau Kelantan kunjungi mufti, wakil agama

Harakahdaily, 01 Apr 2013


KUALA LUMPUR: Selain membuat aduan polis, Pemantau Kelantan mengadakan kunjungan hormat kepada mereka yang bertanggungjawab dalam agama berikutan pelbagai aduan yang diterima berkaitan aktiviti hasutan agama dan perkauman menjelang PRU13.

Ketuanya, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, pihaknya mengadakan perbincangan ringkas bersama Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad di pejabatnya baru-baru ini. (Gambar atas)

“Apa yang boleh disimpulkan, beliau amat kesal dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang menggunakan sentimen agama untuk memupuk kebencian antara rakyat menjelang PRU13.

“Beliau juga menasihati pasukan Pemantau Kelantan agar terus iltizam mempertahankan keharmonian agama dan saling menghormati antara kaum yang pelbagai di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Pemantau Kelantan juga, jelasnya turut mengunjungi Timbalan Ketua Sami Wat Photivihan, Tumpat, Sami Sun Kok Wai dan Ketua Paderi Gereja Lady Fatima, Kota Bharu, Rev Father Robert Daniel.

Menurutnya, mereka mengucapkan setinggi terima kasih dan amat menghargai peranan Pemantau Kelantan yang disifatkan sebagai mewakili suara rakyat bertindak mempertahankan keharmonian agama dan kaum terutamanya di Kelantan, negeri yang aman damai.

Justeru, ujarnya sebagai mendukung prinsip-prinsip demokrasi yang diamalkan selama ini, pasukan Pemantau Kelantan amat mengalu-alukan sebarang laporan berkaitan apa jua tindakan yang condong mencabuli prinsip-prinsip sejagat dan demokrasi menjelang PRU13.

Beliau berkata, laporan berkaitan hasutan, penyalahgunaan tempat awam secara tidak adil, ugutan dan sebarang tindakan yang tidak berpatutan bagi meraih undi boleh diadukan kepada pihaknya di talian 017-9231724 untuk tindakan dan pemantauan.

“Sila nyatakan butiran kejadian termasuklah siapa yang terlibat, apakah tindakan, di mana dan bila berlaku. Kami menerima sms ataupun panggilan,” ujarnya lagi.

Pemantau Kelantan, jelasnya akan sedaya mampu mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi berparlimen yang sihat ke arah pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia.

Sabotaj: Bekas Pengerusi SPR dedah pengalaman

Aslani M, 01 Apr 2013
KOTA BHARU: Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini mendakwa usahanya mahu menggunakan dakwat di jari pengundi pada pilihan raya umum lalu cuba dihalang pihak tertentu dalam kerajaan.

Ketika mendedahkan perkara itu pada wacana perdana di sini setahun lalu bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu memberitahu SPR sudah menghabiskan banyak wang membeli dakwat di luar negara.

Bagaimanapun dakwa beliau di saat akhir dicipta khabar angin kononnya pembangkang cuba mensabotaj penggunaan dakwat.

Dan hari ini strategi serupa cuba diulang dengan menunding jari ke arah Pakatan Rakyat kononnya terbabit dengan komplot mengganggu proses pilihan raya.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, strategi lama yang pernah digunakan Umno dan BN diulang semula sekarang dengan melemparkan tomahan kepada Pakatan.

“Sedangkan berdasar kepada maklumat yang kami dapat dua minggu lepas beberapa NGO Umno mengadakan perjumpaan di sini difahamkan ada kaitan sabotaj perjalanan pilihan raya.

“Malah perjumpaan itu diadakan di seluruh negara bagi memastikan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini mempertahankan Putrajaya habis-habisan menjadi realiti,” katanya di sini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam dilaporkan mendakwa pihaknya mengesan beberapa rancangan jahat parti politik tertentu bagi mengganggu PRU 13 termasuk mencetus ketegangan dengan pegawai SPR.

Menurutnya, pihak terbabit juga dikatakan akan menimbulkan kekecohan mengenai penggunaan dakwat kekal dan mengeksploitasi pengundi tua di kampung.

Sebelum ini Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff mendedahkan ada pihak keluar masuk kampung memperalat penduduk mengenai penggunaan dakwat kekal.

Wan Nik berkata, usaha mensabotaj pengundi menggunakan dakwat hanya mampu dilakukan pihak yang ada kuasa bagi melindungi kegiatan mereka.

“Tidak masuk akal Pakatan yang tidak ada kuasa boleh melakukan perbuatan itu. Sedangkan apa diperjuangkan Pakatan melalui Bersih bagi mewujudkan pilihan raya yang adil.

“Kami mengikut segala lunas-lunas undang-undang yang ditetapkan. Nampak sangatlah mereka kelam kabut sekarang. Perancangan dan agenda mereka sudah diketahui ramai,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap badan-badan pemantau pilihan raya dan pemerhati bebas memastikan komplot jahat tersebut dapat dibongkar.

“Kami juga sentiasa memberi kerjasama kepada SPR dan pihak berkuasa lain bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan adil dan saksama,” katanya.

'Datuk Seri' serah diri bantu siasatan

Harakahdaily, 01 Apr 2013

(Gambar-gambar pemakluman polis yang mahu mencari 'Datuk Seri' dan gambar Ridzwan bersama para pemimpin Umno sebelum ini)

PULAU PINANG: Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan, Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan bersenjata di Sabah.

Menurut Bernama, Muhamad Ridzwan yang memakai baju Melayu merah dan berserban, hadir bersama lebih 10 orang kenalannya di balai polis itu pada 11.05 pagi tadi.

Muhammad Ridzwan sebelum ini dinamakan oleh polis sebagai orang yang sangat dikehendaki untuk membantu siasatan polis dalam kes pencerobohan Lahad Datu.

Media sosial pula hari ini menyiarkan hubungan 'Datuk Seri' ini dengan para pemimpin Umno termasuk Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Ridwan hari ini mengaku memberikan bantuan kewangan kepada Sultan Sulu.

Bercakap kepada pemberita sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 September tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di Sabah, adalah Sultan Sulu.

"Saya tidak kenal pun Jamalul Kiram," katanya.

Muhammad Ridzwan menyerah diri hari ini berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib semalam yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.

Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu pihak polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Februari lepas.

PRU13: Ahli MPAN 308 sokong Pakatan Rakyat

Mohd Sabri Said, 01 Apr 2013


KEPALA BATAS: Seramai 400,000 ahli Pertubuhan Kebajikan Menyatupadukan Anak Negara Malaysia (MPAN 308) seluruh negara mengisytiharkan menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Majlis pengisytiharaan itu dibuat sendiri oleh Pengasas MPAN 308, Rashidi Ismail atau dikenali dengan 'Paduka Ayahda' dalam satu majlis ringkas di pekarangan kediamannya di Kampung Permatang Manggis, di sini kelmarin.

Program yang dihadiri oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Johari Kasim dan kepimpinan PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bertam (gambar atas) menambahkan lagi keyakinan di kalangan ahli MPAN 308 bahawa Pakatan boleh menjadi kerajaan yang lebih baik, bertanggung jawab dan amanah berbanding Umno BN.

Baginya, tragedi dipukul oleh 20 petugas Umno Kepala Batas di hadapan sebuah pasar raya baru-baru ini membuatkan mereka 'berpatah arang' untuk bersama Umno BN lagi.

"Dengan ini saya menggesa semua ahli MPAN 308 yang ada malam ini dan seluruh negara supaya berikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana Umno tidak lagi releven kerana mengamalkan gengsterisme. Umno buat negara ni macam tiada undang-undang," katanya menceritakan detik-detik beliau dipukul di hadapan isteri dan anaknya ketika sedang memasukkan barangan ke dalam kereta.


Beliau juga terkilan kerana tiada seorang pemimpin Umno Bahagian Kepala Batas datang menziarahi atau bertanya khabar ekoran kejadian itu kecuali Johari bersama rakan-rakannya.

“Saya ucapkan terima kasih kepadanya yang begitu prihatin," tegasnya.

Sementara itu, Johari dalam ucapan ringkasnya menyifatkan sokongan yang diberikan itu merupakan tamparan hebat kepada Umno yang sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang parah.

Justeru, ujarnya biarlah Umno bangga dengan budaya samseng kerana rakyat sudah tahu menilai yang mana baik untuk dijadikan parti pilihan semasa membuang undi nanti.

"Jauhilah parti yang mengembangkan budaya samseng untuk bersama-sama bertekad memenangkan Pakatan Rakyat dan seterusnya menakluk Putrajaya bagi menjadi Kerajaan Pakatan Rakyat yang sah," terangnya.

Tata etika SPR: Lapor BN salah guna premis awam

Harakahdaily, 01 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS Perak telah mengeluarkan arahan kepada semua Unit Peti Undi (UPU) PAS agar melaporkan penyalahgunaan premis awam seperti dewan orang ramai atau bilik gerakan yang menempatkan di antara 7,531 bilik gerakan pusat daerah mengundi (PDM) yang telah dibuka oleh Barisan Nasional (BN).

“Arahan ini dibuat kerana ianya bertentangan dengan kod Tataetika Pilihan Raya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” kata Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

UPU juga, katanya diminta memantau pejabat penghulu dan pejabat ketua kampung yang menjadikan premis mereka untuk kegunaan BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam masa terdekat.

Beliau berkata, semua UPU perlu mendapatkan bukti bergambar di semua dewan orang ramai, balai raya, pejabat penghulu atau pejabat ketua kampung yang secara jelas menjadikan premis mereka sebagai Bilik Gerakan BN dengan menaikkan papan tanda dan logo BN.

“Semua gambar tersebut perlu diberikan kepada Bilik Gerakan PAS bagi tujuan membuktikan penyalahgunaan premis awam oleh BN,” ujarnya lagi.

Mneurutnya, walaupun jelas SPR telah mengeluarkan kod tataetikanya, namun BN dilihat sewenang-wenangnya melanggar agar semua premis awam dibebaskan daripada kegunaan mana-mana parti politik pada PRU13 nanti.

“Kami akan terus membantah penyalahgunaan tersebut dan mendesak agar SPR mengambil tindakan segera melarang dan melaporkan kepada pihak Polis kerana BN telah melakukan satu kesalahan yang jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara.

“Ianya juga dilihat kedegilan BN dan kegagalan SPR bagi memastikan sistem pilihan raya berjalan secara adil dan bebas sepertimana yang diperjuangan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) selama ini,” katanya.

Katanya, kegagalan SPR untuk bertindak terhadap BN juga memperlihatkan ketidakmampuan mereka bagi menjalankan tugas dengan seadilnya dalam menghadapi PRU13 nanti.

Khairul Fahmi jawab serangan media BN

Khairul Fahmi Mat Som, 01 Apr 2013
Tweet saya pada tarikh 26 Mac 2013 : “Kalau Nabi Muhammad saw masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan......jahanam UMNO” telah menarik perhatian banyak pihak termasuk media cetak dan elektronik. Saya didakwa telah menghina Junjungan Nabi SAW.

Budaya fitnah politik sehingga menyabitkan skandal seks pemimpin merupakan perbuatan golongan munafik. Perkara ini telah berlaku sejak dahulu lagi. Isteri Baginda yang suci pernah difitnah berzina menyebabkan Baginda sekeluarga telah menanggung kesusahan dan aib sehingga Allah membersihkannya semula.

Membaca cerita golongan munafik agama zaman Baginda yang tidak mengenal erti suci dan maruah diri hatta terhadap Nabi yang maksum inilah yang mendorong saya meyakini bahawa budaya politik porno adalah kerja musuh agama bukan hanya musuh dalam politik.

Tiada bezanya perangai munafik dahulu dan kini. Senjata mereka adalah sama. Fitnah yang MELAMPAU.

Saya menegaskan bahawa saya tidak  menghina Junjungan Nabi SAW. Tweet saya telah ditafsirkan secara salah terutamanya oleh akhbar UTUSAN MALAYSIA. Apa yang menjadi fokus sebenarnya dalam tweet saya adalah UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri.

Tekanan yang mereka hadapi bilamana ramai rakyat telah benci dan menolak mereka. Mereka merasakan kesukaran untuk mengekalkan kuasa yang sedang mereka punyai sekarang ini. PRU ke 13 sesuatu yang menakutkan mereka. Justeru mereka akan sanggup melakukan apa saja untuk mengekalkan kuasa yang ada.

UMNO dan Barisan Nasional telah banyak melakukan perkara yang hina demi kelangsungan politik mereka. Hina, fitnah, mengaibkan, rasuah, zalim, politik samseng dan banyak lagi telah menjadi amalan. Pelbagai pihak termasuk kawan apatah lagi musuh politik mereka telah menjadi mangsa.

Saya ingin menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional bersedia melakukan apa jua termasuk yang tidak terjangkau oleh akal pemikiran kita. Video seks dan cerita skandal pimpinan pakatan rakyat merupakan modal terkini yang mereka usahakan. Ini satu tindakan yang HINA dan JIJIK. Jauh bertentangan dengan nilai-nilai ISLAM dan moral yang murni.

Maka dengan ini saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menghina Nabi SAW, tetapi yang hina sebenarnya adalah UMNO dan Barisan Nasional.

Tulisan saya jelas, penuh ingatan dengan harapan  agar rakyat Malaysia menjauhi politik fitnah porno yang menjadi senjata UMNO dan Barisan Nasional membunuh musuh politik mereka.

Saya amat jelas menginsafi kesucian Nabi dan jengkel terhadap terhadap perangai golongan MUNAFIK yang hidup bersama Baginda. Ancaman dan azab keras daripada Allah (hukum HUDUD) jelas tidak menghalang mereka untuk terus MEMFITNAH.

Rakyat Sibuti terus ketinggalan, perlu pembelaan

Jofri Jaraiee, 01 Apr 2013
(Penduduk menunjukkan “Diesel Oil Generator” yang digunakan untuk menjana elektrik untuk kegunaan di waktu malam sahaja)


MIRI: Setelah mencapai kemerdekaan melalui penubuhan negara Malaysia, Sarawak yang akan menyambut ke 50 tahun hari kemerdekaan pada 16 September masih lagi jauh ketinggalan dari segi infrastruk dan kemudahan asas kepada penduduk di luar bandar.

Masih terdapat ramai penduduk di Sarawak tidak merasai kemudahan asas untuk hidup dengan selesa.  Di Bekenu, kawasan parlimen Sibuti, masih banyak rumah panjang yang tidak mendapat kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalanraya yang baik.

Sebagai contoh, penghuni di Rh Alaxander Agap di Sepupok masih bergantung dengan air hujan sebagai sumber air untuk kegunaan harian, dan masih menggunakan janakuasa diesel untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Keadaan ini amat menyukarkan penduduk kerana mereka terpaksa berjimat dan hanya menggunakan elektrik di waktu malam kerana harga diesel sangat mahal.

(Jawing (berseluar merah) bersama penduduk kampong menunjukkan kolam tadahan air hujan yang digunakan untuk kegunaan seharian.)

Menurut Jawing yang mengadu masalah tersebut berkata, sepanjang 50 tahun ini pemimpin BN yang memerintah Sarawak hanya pandai berjanji saja.

"50 tahun kerajaan BN sudah berkali-kali berjanji mahu menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik, tetapi sampai sekarang janji hanya tinggal janji, sedangkan jarak kampung mereka ke jalan utama tidak jauh, hanya 1.5 kilometer sahaja,” kata Jawing.

Tambah Jawing, di waktu hari perayaan Gawai, air tadahan tidak mencukupi.

Penduduk kampung yang lain juga menambah, keadaan akan bertambah susah terutama waktu musim kemarau, dimana tadahan air hujan kekeringan dan mereka perlu mendapatkan air dari sumber yang jauh dalam keadaan kesukaran.

Majoriti penduduk di ‘Rancangan Sepupok’ juga tidak mendapat jalan tar berturap.

Sehingga sekarang mereka masih menggunakan jalan batu kerikil untuk keluar dan masuk ke kediaman mereka. Keadaan ini sangat mengganggu pergerakan  mereka terutamanya waktu musim hujan,  jalan tanah menjadi licin dan kenderaan mereka sukar dikawal.

Keadaan akan menjadi lebih teruk jika ada berlaku kecemasan, dimana kesukaran untuk penduduk untuk keluar mendapat bantuan dari luar.

Penduduk di Rh Alaxander berharap kerajaan segera bertindak untuk menyelesaikan masalah kemudahan asas di kampung mereka khasnya dan di tempat-tempat lain dalam kawasan Sibuti dan negeri Sarawak amnya.

Mereka percaya kerajaan negeri Sarawak sebenarnya mampu menyelesaikan masalah rakyat jika tiada ketirisan berlaku dalam pengurusan sumber hasil negeri memandangkan negeri Sarawak adalah negeri yang terkaya di Malaysia.

Kita mengesa pihak yang berkaitan dapat mengatasi masalah tersebut dengan segera dari terus berlarutan kerana kemudahan asas rakyat adalah keutamaan yang seharusnya diberi perhatian oleh pihak yang memerintah sekarang.

Kerjasama dengan pihak yang berkaitan sangat dihargai, kata mereka.

Tiada ulasan: