Ahad, 9 Januari 2011

JANGAN KITA MENGADU DOMBA....JIKA KITA DISISI ALLAH MEMANG BEGITU...MAKA KITA TAK CIUM SYURGA...

Isu SUK: Awang Selamat biadab, berniat jahat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menempelak sikap wartawan akhbar Utusan Malaysia, Awang Selamat yang mengulas isu perlantikan SUK Selangor.

Katanya, seorang yang berfikiran waras akan memahami soal perlantikan SUK tidak langsung timbul isu penderhakaan terhadap Sultan Selangor seperti yang cuba digambarkan Awang Selamat.

Ianya hanya membabitkan masalah pentadbiran antara kerajaan Selangor dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) apabila KSN tidak bertindak profesional dengan membelakangkan Menteri Besar selaku ketua eksekutif.

Isu tersebut jelasnya bertambah rumit apabila pilihan terbaik menurut meritokrasi, kemampuan, pengalaman dan kekananan dalam jawatan diketepikan begitu sahaja.

"Tulisan Awang Selamat atas tema 'biadab', sungguh tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

"Jelas ia bertujuan melaga-lagakan pihak Istana dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,"katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas tulisan wartawan Utusan itu dalam keluaran akhbar itu Ahad lalu.

Tambahnya lagi, Awang Selamat juga sepatutnya ingat bahawa DYMM Sultan Selangor sedia mengambil maklum bahawa kerajaan Umno BN lah yang telah menghakis kekuasaan Raja-raja Melayu sejak krisis Perlembagaan 1993.

Beliau juga mahu wartawan akhbar pro Umno itu membaca kembali laporan Berita Harian, pada 19 Januari 1993, menyiarkan berita seorang ahli parlimen dari Perak yang mengingatkan raja-raja supaya mengambil kira suara rakyat jika mahu kekal lama.

"Bagi mengingatkan Awang, akhbar yang sama pada 16 Januari 1993 turut melaporkan seorang Menteri Besar pernah mendesak para ulama dan ilmuan Islam menasihati raja-raja Melayu tentang keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan kekebalan raja-raja.

"Ahli Parlimen dari Pahang pula dengan tega memberi tempoh 30 hari kepada raja-raja bagi memikirkan semula pendirian mereka berhubung pindaan tersebut," katanya memberi peringatan.

Membidas sikap Awang Selamat yang didakwa 'tidak ubah sebagai pecacai Umno', beliau memberitahu Pakatan Rakyat sentiasa menjunjung penuh kedaulatan DYMM Sultan Selangor yang menjadi tempat rakyat berlindung dan mencari keadilan.

Titah Tuanku Sultan Selangor ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada DY Teramat Mulia Raja Muda pada 6hb Januari juga katanya sangat mengujakan.

"Tuanku dengan jelas menjawab Awang dan pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh bahawa tohmahan mereka salah.

"Baginda bertitah bahawa baginda begitu akrab dan mesra dengan Datuk Menteri Besar Selangor, nasihat-menasihati antara satu sama lain, bertukar-tukar fikiran dalam banyak hal dan perkara," katanya lagi.

Selain utusan, turut ditempelak adalah NGO Gaps dan Perkasa dan beliau mahu kesemua mereka menghentikan taktik 'kotor' tersebut.

"Amat menghairankan di mana hilangnya ketegasan Menteri Dalam Negeri dalam situasi bahaya ini. Mengapa Awang Selamat dibiarkan merapu dan berkeliaran umpama maling gila merosak keamanan?" soalnya.


Polis serbu belum sempat ceramah

Rusli Islam

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Belum pun sempat Pentas Pemuda yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Titiwangsa bermula, lebih kurang 20 orang anggota polis terus menyerbu Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa kira-kira jam 7 malam tadi.

Eizat, salah seorang ahli Pemuda PAS Titiwangsa telah dikasari sehingga pakaian beliau koyak rabak hanya kerana enggan memberikan kad pengenalan kepada pihak polis tanpa sebab.

Beliau yang pada masa itu berseorangan, cuba melepaskan diri tetapi ditangkap dan dicekup dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

Polis memberikan alasan bahawa ceramah yang diadakan pada malam tadi tidak mendapat permit polis walaupun ceramah akan diadakan di kawasan premis persendirian dan tidak mengikut peraturan.

Salah seorang polis yang mengetuai operasi itu, Azman pula mengatakan bahawa ceramah boleh diteruskan dengan syarat ia dibuat di dalam Pejabat Pusat Khidmat dan tidak boleh menggunakan pembesar suara kerana kononnya akan mengganggu orang lain.

Walaubagaimanapun ceramah akhirnya dapat diteruskan seperti biasa selepas wakil peguam PAS, ZulHazmi berunding sendiri dengan OCPD Zulkarnain.

Eizat juga akhirnya dibebaskan kira-kira jam 9 malam dan ketibaan beliau dengan baju yang koyak rabak di sambut dengan laungan takbir oleh pemuda-pemuda PAS.

Antara pemidato yang memberikan ceramah pada malam tersebut dengan tema Masa Untuk Berubah ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi, Ahli Parlimen padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria, Ustaz Firdaus Jaafar (MP Jerai) dan Suhaizan Kaiat.

Suhaizan dalam ceramah beliau juga turut menegaskan bahawa ceramah pada malam itu sah dan tidak perlu mendapatkan permit polis kerana diadakan di dalam kawasan premis persendirian.

"Kalau ini pun tak boleh, masjid pun tak bolehlah azan, tak bolehlah solat berjemaah sebab tak dapat permit," seloroh beliau.

Eizat dan Pemuda PAS Titiwangsa juga dijangka akan membuat laporan polis di atas tindakan polis yang tidak bertamadun tersbut.

"Polis sudah melampau, sepatutnya kejadian seperti ini tidak akan berlaku sekiranya polis bertindak profesional," kata Suhaimi, Ketua Dewan Pemuda PAS Titiwangsa.



Akhbar fitnah, gelapkan kontraktor minta maaf
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Jan: DAP kesal dengan sikap kebanyakan media berbahasa Melayu terutamanya Utusan Malaysia yang hanya pandai membuat fitnah terhadap Pakatan Rakyat tetapi takut untuk mendedahkan kebenaran, khususnya apabila ia melibatkan kepentingan orang Melayu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata, sebagai bukti terbaru, apabila Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pulau Pinang meminta maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Utusan Malaysia diam membisu.

Ini, katanya menunjukkan Utusan yang hanya pandai membuat fitnah dan pembohongan terhadap Lim Guan Eng, DAP serta Pakatan Rakyat tidak berani untuk menyiarkan berita yang benar.

Tambahnya, sikap bacul sedemikian sudah sepatutnya menyedarkan rakyat betapa buruk agenda politik perkauman yang dibawakan oleh Utusan serta pihak-pihak tertentu dalam Umno yang hanya mahu orang Melayu ditutup mata daripada melihat kebenaran.

Sebelum ini, ujarnya apabila Pengerusi PKMMPP, Datuk Mohamed Fadzill Hassan menyerang Lim serta pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang, Utusan telah menjadi jaguh untuk menyebarkan tohamahan-tohmahan yang tidak berasas itu.

Kelmarin, apabila Mohamed Fadzill akhirnya bertemu muka dengan Lim, beliau telah telah memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu atas serangan-serangannya terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.

Dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Komtar, Georgetown, Lim menyatakan bahawa Mohamed Fadzil telah meminta maaf dan ingin membuka lembaran baru dengan kerajaan negeri bagi membolehkan kontraktor-kontraktor Melayu bekerjasama dengan pentadbiran negeri Pulau Pinang.

“Lim yang menerima baik permohonan maaf itu telah berkata bahawa kerajaan negeri mahu menjalin hubungan sihat dan tersusun berdasarkan kepada fakta dan bukan mengikut perasaan serta tidak dipesongkan oleh fitnah pihak-pihak tertentu seperti Utusan,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendedahkan kepada umum bahawa kontraktor-kontraktor Melayu di negeri itu telah mendapat lebih banyak projek di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat berbanding era pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.

Beliau mengambil contoh tender Jabatan Pengairan dan Saliran untuk tahun 2008 hingga 2010 menunjukkan bahawa kontraktor Melayu menerima kesemua 18 projek bernilai lebih RM40 juta.

Tender Jabatan Kerja Raya pula menyaksikan daripada 17 projek bernilai lebih RM20 juta diluluskan di antara 1 Januari 2008 dan 30 November 2010, 16 diberikan kepada kontraktor Melayu, hanya satu projek diberikan kepada kontraktor bukan Melayu.

Baginya, Utusan dan golongan-golongan yang menyokongnya perlu sedar bahawa jika mereka terus membuat pembohongan dan menutup kebenaran, yang menjadi mangsa adalah orang Melayu sendiri.

“DAP dan Pakatan Rakyat menawarkan alternatif yang lebih baik bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga semua kaum di negara ini, termasuk usaha meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah serta membebaskan media yang selama ini dikongkong oleh Umno Barisan Nasional,” katanya yang juga Setiausaha Biro Antarabangsa DAP Kebangsaan.



Kontraktor Melayu minta maaf tamparan buat Umno
Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 9 Jan: Ustaz Salleh Man menyifatkan tindakan Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang memohon maaf kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi seribu makna kepada kontraktor supaya lebih matang dan bersikap terbuka.

"Kini semua tembelang Umno sudah nampak,” ujarnya selaku Pesuruhjaya PAS negeri.

Tambahnya, orang Melayu jangan sewenang-wenangnya menyalahkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang jelas bersih daripada segala rasuah dan penyelewengan.

Bagi Adun Permatang Pasir itu, Umno mendapat tamparan hebat apabila persatuan kontraktor itu dengan rela hati memohon maaf secara terbuka Guan Eng, kelmarin.

Persatuan itu memohon maaf kepada ketua menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya tidak berlaku adil kepada kontraktor Melayu sejak mengambil alih pentadbiran pada Mac 2008 lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohamed Fadzil yang datang bersama kepimpinan persatuan berkenaan ke Pejabat Ketua Menteri di tingkat 28 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sekaligus menangkis semua tuduhan yang selama ini dikira fitnah.

Bagi Lim tindakan tersebut merupakan satu usaha bijak kerana tidak terjerat dengan dakyah yang sengaja dipasang oleh Umno dan BN bagi mengucar-kacirkan kerajaan yang lebih telus terutamanya dalam hal membabitkan pemberian projek kerajaan.

"Saya bersyukur kerana mereka datang bertemu dan memohon maaf secara terbuka di depan media.

“Mungkin selama ini mereka terpengaruh dengan pembohongan Umno yang sengaja mencari alasan agar kontraktor melayu menjauhkan diri kerana kononya DAP sebagai pemerintah," ujarnya semasa berucap pada Program Penganugerahan Warga Emas dan Sumbangan Kepada Waris yang meninggal dunia di Pejabat Jabatan Kerjaraya Bukit Mertajam, semalam.

Bagi timbalannya, Datuk Dr Mansor Othman pula permohonan maaf oleh Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang itu menandakan satu perkembangan terbaru di tahun 2011.

Selama ini, katanya mereka menjauhkan diri dengan kerajaan dengan alasan kerajaan membelakangkan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap pembangunan negeri.

"Tahun 2011 membuka sejarah terbaru bagi Persatuan Kontraktor Melayu agar menjalinkan hubungan baik supaya kita bersama menggemblengkan semua tenaga memajukan negeri tercinta," tegasnya.



PAS perlu atasi kekuatan Umno

Abdul Rahman Azmi

SUBANG, 9 Jan: Datuk Abu Bakar Chik mengingatkan semua pendukung PAS supaya sentiasa berusaha menguatkan parti bagi mengatasi jentera Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Ini, katanya kerana PAS lazimnya akan menentang calon Umno yang mewakili BN di kawasan majoriti Melayu pada setiap kali pilihan raya.

“Kita kena atasi kekuatan Umno sebab kita bertanding di kawasan Melayu,” ujarnya selaku Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada Program Motivasi Jentera Pilihan raya Dun Kota Damansara di Pejabat PAS Kawasan Subang, Subang Perdana malam tadi.

Beliau menambah, ini bertepatan dengan hasrat parti yang bersedia untuk menggantikan Umno pada PRU 13 nanti.

Katanya, semua peringkat organisasi parti perlu menjaga kekuatan masing-masing.

“Kita bina kekuatan parti kita mengikut dasar dan polisi parti,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Justeru, tegasnya, kekuatan yang ada pada perjuangan PAS tidak perlu diragui oleh seluruh ahli.

“Jangan ragu-ragu dengan perjuangan kita kerana kekuatan kita juga adalah kekuatan Islam dalam negara ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya seluruh jentera parti perlu berusaha keras bagi menghadapi PRU 13 dengan membuat perancangan secukupnya dan strategik bagi mencapai kejayaan.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat turut mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak terikut-ikut dengan rentak sesetengah pihak yang sering mengkritik kepimpinan tanpa mengikut saluran yang betul.

Katanya, sikap sedemikian bukan sahaja boleh merosakkan jemaah sebaliknya membawa kejatuhan kepimpinan kerajaan negeri yang dikuasai.

Tiada ulasan: