Selasa, 11 Januari 2011

BERJUANG SERTA MENYOKONG ISLAM ITU WAJIB...JIKA TIDAK BERMAKNA KITA RAGU2 TENTANG KESEMPURNAAN ISLAM ITU SENDIRI...

Kenapa bertahan, lawan tetap lawan
Nazri Abdullah


SHAH ALAM, 10 Jan: Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim digesa untuk tidak tunduk kepada segala serangan parti lawan yang cuba merampas negeri itu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kontroversi perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor 'bukan masalah besar' dan jika dilayan ianya akan menyebabkan kerajaan negeri defensif.

"Kalau kita tunduk kepada mereka, kita akan bertahan.

"Kenapa kita harus bertahan, kuasa di tangan kita, rakyat Selangor bersama kita, kita lawan dan serang Umno Selangor habis-habisan," katanya.

Selain menyerang, apa yang lebih penting untuk dibuat kerajaan negeri pada masa ini ialah terus memberi khidmat kepada rakyat.

Jelasnya, cara yang sedemikian akan menjadikan kerajaan negeri lebih dekat dengan rakyat sekaligus akan mempertahan kerajaan pakatan.

"Kita mesti fokus, pertahankan Selangor dan tambah khidmat kebajikan, pastikan tatakelola yang baik kerana itu yang akan menjamin kemenangan kita," katanya.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, menasihatkan Pakatan Rakyat agar berhati-hati dalam menyelesaikan sebarang isu yang dicetuskan parti lawan supaya tidak silap tindakan.

Menurutnya, apa yang berlaku hari ini juga sememangnya sudah dijangka, khusunya selepas negara diteraju Datuk Seri Najib Razak yang didakwa lebih rakus berbanding pemimpin sebelumnya.

"Zaman ini zaman gila, yang bersih dikatakan rasuah, penyamun diangkat jadi pemimpin," katanya.

"Jangan ingat Umno kuat. Kita nak bagitahu bahawa 'Umno is finish'," tambahnya lagi disambut sorakan para hadirin.

Tengok 'belang' Umno

Sementara itu, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pidatonya sebelum itu membayangkan 'drama' isu SUK negeri itu akan berterusan.

Bagaimanapun katanya, beberapa langkah telah diatur termasuk memanggil sidang Dun tergempar yang akan membincangkan untuk mengembalikan kuasa Sultan Selangor yang dibuang oleh Umno pada tahun 1993.

Sidang Dun tersebut bakal menyaksikan pendirian Adun Umno, sama ada benar-benar menghormati sultan atau merekalah yang sebenarnya pendehaka.

"Kita nak tengok belang Umno, dia nak sokong kuasa dikembalikan kepada Tuanku atau tidak," katanya sambil mencabar Umno negeri itu.


Pertemuan blogger Pakatan Pulau Pinang 16 Jan
Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 10 Jan: Semua blogger yang pernah bersama-sama menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang dijemput hadir bersama Lajnah Penerangan PAS negeri bagi tujuan 'pam' kembali semangat mereka yang kian luntur setelah Pakatan Rakyat menang pada 8 Mac 2008.

Program yang diadakan pada 16 Januari di Puncak Mutiara Kristal yang terkenal dengan masakan kambing di Kampung Pelet, Penanti akan bermula pukul 8.00 malam.

Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Zulkifly Ishak berkata, pertemuan tersebut amat penting kerana BN terlalu bebas menaburkan fitnah kepada Pakatan Rakyat termasuk PAS yang dianggap melukut di tepi gantang.

Katanya, sedangkan Pakatan Rakyat masih dibelenggu dengan media yang boleh dijadikan alternatif bagi menjawab semua dakyah jahat Umno dan BN.

"Semua blogger diharap dapat bersama kami kerana pertemuan itu pastinya mencatat satu lagi perkembangan positif memandangkan tarikh pilihanraya semakin hampir," tegasnya.

Lagipun, katanya sudah lama tiada pertemuan untuk membincangkan beberapa perkara penting sebagai bekalan blogger memantapkan lagi isu yang melanda negeri ini.

Umno kini bertukar strategi dengan masuk ke kampung-kampung menerangkan isu wang judi, kerajaan negeri meroboh gerai Melayu, penghakisan orang Melayu dari Pulau Pinang serta semakin banyak tanah orang Melayu dijual pada bukan Melayu dan sebagainya.

“Isu-isu begini masih berlegar tenang di pemikiran orang Melayu sehinggakan mereka menganggap Kerajaan Pakatan Rakyat jahat dan tidak menguntungkan orang Melayu di Pulau Pinang.

"Umno gunakan media mereka dan turun ke kampung-kampung untuk sebarkan dakyah jahat untuk tujuan memburukan Kerajaan Negeri. Kita tak patut duduk diam tanpa menjawab sesuatu. Peranan bloggerlah yang kita harapkan," jelas beliau.

Sebelum hadir, ujarnya mereka harus mendaftarkan diri dengan memberikan nama, alamat dan nama blog yang dikendalikan supaya memudahkan tugas urusetia.

Semua maklumat itu boleh diserahkan kepada Setiausaha Lajnah Penerangan PAS negeri, Rashid Mohd Ali di talian 013-4145663.



Perjuangan Islam bukan hak PAS

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 10 Jan: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengutuskan ucapan salam kepada mereka yang masih menolak perjuangan Islam tetapi pada sama memohon ke hadrat Allah SWT bagi mencapai maksud mereka.

Mursyidul Am PAS berkata, perjuangan Islam bukan hak PAS, ulamak atau Nabi Muhammad tetapi milik Allah SWT sepenuhnya, kerana itu umat Islam tidak boleh tidak wajib mengambilnya sebagai jalan perjuangan siasah mereka.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan, jika di dalam kehidupan seharian mereka dan dalam medan politik menolak perjuangan Islam, bagaimana mungkin Allah SWT akan menerima permohonan mereka.

"Inilah mesej perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad sepanjang 23 tahun kehidupan baginda di Makkah dan Madinah bagi mengajar dan mendidik umat Islam pada zaman awal hingga kini dalam semua perkara termasuk politik.

"Jika Islam ini hanya untuk melakukan ibadat solat, puasa, zakat dan haji sehaja memadailah Nabi Muhammad hidup atau berjuang dalam beberapa tahun sahaja tetapi perjuangan baginda memakan masa selama 23 tahun.

"Justeru, saya mengharapkan umat Islam agar kembali mengambil jalan Islam dan berpegang teguh dengan perjuangan Islam untuk mendapat anugerah Allah di dunia mahupun di akhirat kelak," tambahnya lagi.

Tuan Guru membuat penegasan itu di hadapan lebih 30 ribu rakyat yang berhimpun di dalam program Solat Hajat dan Ceramah Perdana anjuran PAS Pusat yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini, malam tadi.

Turut berucap dalam majlis itu adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Majlis dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dimulakan dengan ucapan aluan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pengarah program.

Sebelum itu, selepas solat Maghrib secara berjamaah di tengah arena dengan diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi, tazkirah disampaikan oleh Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Senator Dr Husin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga exco kanan negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali turut hadir.

Sementara itu, kehadiran Tuan Guru Mursyidul Am disambut dengan laungan Allahu Akbar dan tepukan bergemuruh dari puluhan hadirin atas kesanggupannya memandangkan keadaan kesihatan terkini beliau mutakhir.

Sekali lagi, semua hadirin memberikan penghormatan kepada beliau kerana sanggup berucap sambil berdiri walaupun pengurusan majlis sedia memberikan peluang kepadanya berucap sambil duduk.

"Berceramah ini serupa menyampaikan khutbah Jumaat dan kerana itu, mesti mengambil pendekatan berkhutbah yang disyaratkan berdiri," tegasnya seterusnya memulakan ucapannya mengisahkan tentang setiap orang mesti melalui kematian.

Mengulas kondisi berharga itu, Ustaz Idris mengingatkan hadirin tentang kewajaran pertingkatkan tahap perjuangan ke aras lebih maksima dalam kalangan ahli berusia muda kerana paling kurang, merasai 'segan' dengan kesanggupan perjuangan Tuan Guru.



Saya tidak hadir bakar Interlok - Dr Mariah
Harakahdaily

SHAH ALAM, 10 Jan: Anggota Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmood menjelas, beliau telah meninggalkan majlis bantahan novel Interlok ketika buku novel dan gambar penulisnya mula dibakar kerana tidak merestui perbuatan itu.

Bagaimanapun, beliau mengaku menyertai perhimpunan itu sebelum novel itu dibakar bertujuan untuk menyejukkan kemarahan mereka dan bukan untuk mengapi-apikannya.

"Saya tidak semestinya bersetuju dengan mereka tetapi kehadiran saya boleh menyejukkan kemarahan mereka. Kebetulan penulisnya ialah seorang Melayu sebangsa dengan saya. Ketidakhadiran saya mungkin akan disalah tafsir sebagai menyebelahi penulis Melayu dan saya tidak berempati dengan mereka," jelas Dr Mariah dalam penjelasannya berikutan laporan media beliau menyertai majlis membakar novel itu.

Dr Mariah dilaporkan telah menyertai majlis pembakaran novel itu baru-baru ini.

Menurut Mariah, beliau menyanjungi karya penulis dan sasterawan Negara, Abdullah Hussein, walaupun belum membacanya.

"Tentulah ia sebuah karya seni yang hebat untuk mendapat pengiktirafan ini," katanya.

Dr Mariah (gambar bawah) juga berkata, kebebasan berkarya dan bersuara perlu dihormati dan dijamin dalam perlembagaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau juga bersimpati dan memahami kenapa orang India marah dan membantah novel tersebut dijadikan buku teks.

"Mereka berhak untuk menolak perkara-perkara yang mereka tanggapi negatif di dalam pendidikan anak mereka. Sebahagian kaum India mahu beberapa frasa dan bahagian tertentu dibuang dari novel tersebut sementara ada yang berpendapat novel tersebut tidak wajar menjadi teks.

Namun, katanya, beliau tidak bersetuju buku tersebut diharamkan atas prinsip kebebasan berkarya dan bersuara.

"Saya mempersoalkan motif Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan novel tersebut ke sekolah. Saya yakin beliau tahu sangat isi novel dan potensi konflik yang akan timbul. Saya percaya dan yakin bahawa ada motif politik yang tersirat," katanya.

Mesej yang hendak dihantar kepada murid-murid India ialah “ketahui lah asal usul anda” apabila membaca buku itu, tulis Mariah.

Semenjak peristiwa Hindraf turun ke jalan pada bulan November 2007, kaum India menjadi begitu sedar tentang layanan yang mereka terima sebelum itu dan mereka sangat sensitif sebarang perkara yang ditanggapi menghina mereka, katanya.

"Kenapa novel ini dan tidak novel lain ketika hubungan kaum berada ditahap yang rendah akibat tindakan mereka yang melaungkan ketuanan Melayu?" soal beliau.



Mana janji tebatan banjir Najib?

Harakahdaily

TUMPAT, 10 Jan: Penduduk Kelantan khasnya di daerah Tumpat tertanya-tanya bilakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menunaikan janji membina sistem tebatan banjir di jajahan Pasir Mas.

Ini kerana, janji itu masih terngiang-ngiang di telinga mereka ketika Najib berkempen menjelang pilihan raya kecil Pengkalan Pasir 6 Disember 2005 lalu.

"Mana janji Kerajaan Persekutuan untuk membina Sistem Tebatan Banjir di Jajahan Pasir Mas ? Masih ingat janji PM semasa PRK Pengkalan Pasir?" tanya seorang rakan Facebook Mohd Zaki Ibrahim, Adun Kelaboran.

"Masa tu 2005 Najib mari letak batu asas jah....lepas tu balik Perak, tak mari-mari," jelas Zaki yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan dalam facebooknya.

Hari ni Zaki dan rakan-rakannya (gambar: Zaki baju hijau berjeket di tengah) sempat menyampaikan sumbangan banjir kepada 200 penduduk yang terlibat dengan banjir di Kampung Ana, Tok Oh dan Cherang Melintang, Tumpat.

Baru-baru ini, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad membuat janji lagi akan melaksanakan projek tebatan banjir di Kelantan jika menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia melibatkan belanja RM2 bilion iaitu di Sungai Golok.

Keadaan banjir di Kelantan pagi ini semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara menurun kepada 3,190 orang berbanding 3,579 orang yang dilaporkan malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata jumlah pusat pemindahan yang dibuka masih kekal 22 buah sebagaimana malam tadi iaitu membabitkan daerah Kota Baharu, Tumpat dan Pasir Mas.

"Seramai 3,190 mangsa membabitkan 970 keluarga masih berada di pusat pemindahan di tiga daerah negeri ini.

"Berdasarkan cuaca cerah dan panas kini, mangsa dijangka dibenarkan pulang secara berperingkat apabila keadaan banjir semakin pulih,” katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini ia telah mengorbankan tiga mangsa



Selangor: Mereka tunjuk lagi perangai itu

Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 10 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihatkan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor agar bersabar menghadapi segala bentuk serangan pihak lawan yang mahu merampas negeri itu.

Beliau ketika menyampaikan pidatonya di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi berkata, apa yang menimpa Selangor hari ini bukan perkara baru, malah PAS sudah menghadapinya sejak tahun 1959 lagi.

"Kita mesti bersabar dan kami dalam PAS telah lama alami keadaan ini.

"Kita berpengalaman sejak tahun 1959 apabila kerajaan PAS Terengganu diguling sebelum kita ambik balik pada tahun 1999," katanya yang menjelaskan terpaksa bersabar lebih 40 tahun sebelum dirampas pula pada tahun 2004.

Beliau berucap demikian dihadapan lebih 30 ribu hadirin yang hadir pada Majlis Solat Hajat dan Pidato Perdana di sini malam tadi.

Ianya dianjurkan PAS Pusat ekoran beberapa insiden terbaru melanda Pakatan Rakyat, khususnya percubaan rampasan kuasa di Selangor dan isu penggantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan dari Dewan Rakyat.

Tambahnya lagi, pengalaman sama turut menimpa kerajaan PAS Kelantan, apabila diguling pada tahun 1978 dengan menggunakan akta darurat pada waktu itu.

Namun PAS Kelantan kemudiannya bangkit semula mengambil Kelantan pada tahun 1990.

Dan terbaru pula jelasnya, rakyat dipertonton dengan tragedi rampasan kuasa kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2009.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, mahu rakyat tahu bahawa tindakan merampas negeri secara zalim, adalah strategi orang yang lemah.

"Cara begini bukan kekuatan, menipu ini satu kelemahan, tindakan tidak bijak dan tidak pandai.

"Dan sekarang mereka tunjuk lagi perangai itu," katanya.

Namun apa yang penting tegasnya, Pakatan Rakyat perlu melangsungkan perjuangan dengan konsisten dan bersabar.

Perjuangan tersebut tambahnya, perlu dibuat pada landasan yang betul dan jangan terpesong atau mengikut golongan yang tidak mengerti.

"Ini bukan janji PAS, bukan Keadilan, tapi ini janji Allah dalam al-Quran.

"Teguhkan ikatan ini, perbetulkan cara bertindak kita. Insya Allah, Tuhan akan memberikan kemenangan kepada kita dalam pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

Turut berucap pada malam tadi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim

Tiada ulasan: