Rabu, 4 Januari 2012

BERCAKAP TU BIAR BERCAKAP SEBAGAI MAKHLUK..BERCAKAP DENGAN LAPIK...'INSYAALLAH..NYAWA PUN TAK TAU BILA MELAYANG..JANGAN SOMBONG DAN BONGKAK....

UPSI jangan jadi 'institusi pengajian rimba' | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Pihak pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diingatkan agar tidak menjadikan universiti itu sebagai 'institusi pengajian rimba' di negara ini dengan tidak menghormati proses keadilan.

Tindakan UPSI menyingkirkan salah seorang pelajarnya, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim dari kolej kediaman Aminuddin Baki kampus itu yang terlibat dalam demonstrasi aman di hadapan pusat pengajian itu malam 1 Januari lalu, bagaimanapun jelas memperlihatkan sikap universiti tersebut yang mendahului proses undang-undang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, pada hal pihak pentadbiran UPSI tidak sepatutnya mengenakan tindakan seperti itu terhadap pelajar terbabit kerana beliau tidak pun disahkan bersalah oleh mahkamah.

Menurutnya, malah kes pelajar terbabit belum pun dibawa ke mahkamah untuk diadili, tetapi bagaimana pula UPSI boleh mengatakan pelajar tersebut bersalah.

Katanya, sekiranya pihak UPSI mengatakan Siti Nurul Piteriah bersalah kerana melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), perkara itu juga mestilah diputuskan oleh mahkamah.

"Pihak pentadbiran UPSI tidak boleh bertindak sesuka hati ke atas pelajarnya dengan mengatakan pelajar terbabit bersalah hanya atas alasan melanggar peraturan universiti itu, sedangkan pelajar berkenaan belum pun diputuskan bersalah oleh mahkamah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Seorang mahasiswi UPSI, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim yang terlibat dalam demonstrasi aman yang mencederakan dua pelajar dan membawa kepada penangkapan 17 pelajar lain di hadapan pusat pengajian tinggi itu malam 1 Januari lalu telah disingkirkan dari kolej kediaman universiti tersebut.

Menurut penyelaras kumpulan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim, pelajar wanita itu dimaklumkan keputusan tersebut kelamrin selepas beliau dibebaskan daripada tahanan polis.

Adam Adli seperti yang dilaporkan media tempatan berkata, Siti Nurul Piteriah telah disingkirkan dari kolej kediaman Aminuddin Baki, manakala seorang lagi pelajar universiti itu, Alif Ashraf, yang turut mengambil bahagian dalam demonstrasi tersebut juga mungkin menghadapi tindakan disiplin, tetapi belum disahkan.

Bagaimanapun, media hari ini turut melaporkan, Siti Nurul Piteriah akan terus menetap di asrama berkenaan sehingga notis rasmi diberikan kepadanya.

"Saya masih di kolej. Setakat ini saya hanya diberikan notis lisan daripada rakan-rakan kolej, yang memetik pesanan "dari pihak atasan".

"Selagi tidak ada notis (rasmi), saya akan tetap tinggal di sana. Itu adalah hak saya," kata pelajar diploma Kesusasteraan Melayu itu.

Siti Nurul Piteriah menjelaskan, beliau dimaklumkan untuk mengosongkan asrama kediamannya berkuatkuasa serta-merta, jam 9.30 malam, selepas dia dibebaskan pada sebelah petang hari demonstrasi berkenaan.

Menurut Mahfuz, PAS amat kesal dan mengecam keras tindakan UPSI itu kerana ia telah menyebabkan pusat pengajian itu kini telah bertukar menjadi institusi pengajian rimba di negara ini.

Katanya, sebagai sebuah pusat pengajian tinggi, pihak pentadbiran UPSI sewajarnya menghormati undang-undang, tetapi tindakan tersebut jelas menunjukkan UPSI telah mendahului proses undang-undang untuk melakukan sesuatu tindakan.

"Apakah salah jika pelajar itu terlibat dalam demonstrasi? Jika pula dikatakan menyalahi Auku, buktikahlah di mahkamah. Sedangkan Auku itu sendiri telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyalahi Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap agar pihak pentadbiran UPSI menarik balik penyingkiran terhadap Siti Nurul Piteriah dan pelajar lain yang terlibat dalam demonstrasi tersebut.


PKR desak SPRM dakwa Pengerusi NFC | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Jan: PKR mendesak SPRM segera memulakan siasatan ke atas Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan pengurusan NFC atas cubaan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM bagi tujuan mempengaruhi siasatan ke atas skandal NFC.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli (gambar) menyatakan demikian dengan merujuk kepada tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail pada 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sejumlah RM1.755 juta.

Beliau mendakwa PKR boleh mengesahkan melalui maklumat yang diperolehi setakat ini bahawa wang RM1.755 juta itu dibayar oleh Mohamad Salleh bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC.

“Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Mohamad Salleh,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Rafizi juga mendakwa, tugasan Shamsubahrin adalah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang tersebut kepada pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM.

Beliau merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Bahagian IV Perkara 16 dan 17, kesalahan rasuah berlaku apabila:

“Mana-mana orang yang sendiri atau melalui atau bersama dengan mana-mana orang lain:

(a) Secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau bagi mana-mana orang lain; atau

(b) Secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau bagi faedah orang lain;

apa-apa suapan sebagai dorongan untuk atau upah bagi; atau selainnya oleh sebab:

(A) Mana-mana orang melakukan atau tidak melakukan apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku; atau

(B) Mana-mana pegawai sesuatu badan awam melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku, yang dengannya badan awam itu terlibat”.

Dakwanya lagi, undang-undang SPRM secara jelas menunjukkan dalam kes itu, Salleh melalui Shamsubahrin Ismail telah cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM dan PDRM di dalam kes NFC.

Ini, dakwanya berdasarkan Mohamad Salleh yang membekalkan wang suapan malah menandatangani cek berjumlah RM1.755 juta.

Beliau juga mendakwa, Mohamad Salleh bersetuju dengan cadangan Shamsubahrin untuk memujuk pegawai-pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan.

“Saya merasa kesal kerana pihak berkuasa masih terus mahu melindungi Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan keluarga menteri kanan walaupun secara jelas beliau terbabit dalam cubaan rasuah untuk menutup penyelewengan yang lebih besar di dalam NFC,” katanya lagi.

Sebaliknya, kata beliau pihak berkuasa membuat keputusan untuk mendakwa Shamsubahrin atas tuduhan cuba menipu NFC sedangkan wang yang terlibat adalah dengan tujuan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM.

Tambahnya, tindakan Mohamad Salleh mengambil jalan cuba merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM juga menggambarkan bahawa prinsip tatakelola dan urus tadbir yang diamalkan di NFC adalah lemah dan longgar.

“Ia menggambarkan seolah-olah kelakuan rasuah dan cuba membeli pegawai-pegawai kerajaan adalah amalan yang ringan dan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya,” ujarnya.

UPSI: Jangan bertindak atas keterangan polis sahaja | Print |
zulsulung

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Oleh kerana terlalu kerap tertangkap basah kerana menipu, kenyataan polis kini sukar dipercayai, kata anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.

Oleh itu, beliau meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak terlalu bergantung kepada kenyataan polis dalam mengambil tindakan kepada pelajarnya.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP melahirkan kesalnya dengan tindakan UPSI mengambil tindakan membuang asrama ke atas seorang pelajarnya yang menyertai perhimpunan pada malam 1 Januari 2012 lalu.

Perhimpunan itu kemudiannya menjadi perhimpunan berdarah apabila polis mengambil tindakan keras dengan mengejar pelajar terlibat.

Para pelajar pula mendakwa, ada antara mereka ditumbuk dan disepak oleh polis sehingga cedera.

Namun, apa yang dikesali adalah kenyataan Ketua Polis Perak yang mendakwa para pelajar ini cedera kerana melanggar cermin klinik.

"Melihat kepada trak rekod polis, saya yakin ramai yang tidak percaya dengan penjelasan yang dibuat oleh polis," kata Nie Ching.

Beliau memberikan beberapa kenyataan polis sebelum ini yang boleh dikira tidak benar.

Beliau mengambil contoh kes 'mata hitam' Datuk Seri Anwar yang dikatakan Anwar memukul dirinya sendiri.

Kemudian kes Bersih 2.0 apabila polis menafikan pihaknya menyembur air kimia ke laman hospital Tung Shin.

Begitu juga kes Mohamad Sabu yang dilanggar oleh kereta polis tetapi polis berkata, Mohamad Sabu yang melanggar kenderaan polis dan terjatuh.

Berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh Dr Nurul Azlean Norzan iaitu doktor yang merawatnya, didapati Mohamad Sabu tidak akan mengalami kecederaan semacam itu jika tidak dilanggar atau hanya jatuh sahaja.

Ia disokong oleh Dr Ankimtay Rutel, pakar dari Hospital Kuala Lumpur yang berkata, kecederaan Mohamad Sabu konsisten dengan penjelasan yang diberikannya iaitu dilanggar hingga jatuh.

"Adalah menyedih apabila mendapati polis tertangkap kerana menipu dalam banyak kes," kata Nie Ching (gambar atas).

Sehubungan itu, beliau meminta anggota polis yang berkenaan diambil tindakan bukannya pelajar yang berhadapan dengan mimpi ngeri di malam tahun baru hanya kerana berhimpun untuk menyatakan yang hak tentang kebebasan akademik mereka.


Zua XPDC tarik anak muda rock dekati PAS | Print |
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 4 Jan: Kemunculan bekas pemain gitar bass Kumpulan XPDC, Azuar Md Tasi atau lebih popular dengan panggilan Zua pada Konsert hiburan 'Jelajah Orang Muda (JOM) Geng Kita' di Pulau Pinang baru-baru ini berjaya menarik ratusan anak muda ke program PAS itu.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti Rantau Panjang dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas dan Negeri itu berjaya menarik golongan pemuda khususnya peminat rock untuk duduk bersama dalam program tersebut.

Selain Zua, program tersebut turut menampilkan pemuzik undangan SUS9 yang pernah menjadi johan sempena Pesta Pulau Pinang tahun 2002 vokalisnya Jefri.

Pengarah Program, Nor Azman Ishak ketika ditemui gembira dengan sambutan yang diberikan terutamanya golongan muda terhadap pendekatan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang itu.

"Pada masa depan program sebegitu akan diteruskan supaya anak muda yang jiwa mereka terlalu cintakan muzik tetap bersama PAS.

"Dulu mungkin timbul perasaan tidak selesa kerana bimbang PAS tidak dapat menerima
golongan seperti mereka, " jelasnya.

JOM diadakan seharian di Dun Penaga di mana pada sebelah paginya program mengayuh basikal diadakan mengelilingi beberapa buah kampung di Pasir Gebu, Penaga.

Acara sukan juga diadakan di padang awam Pasir Gebu yang mana acara yang paling dinantikan ialah persembahan seni silat serta tomoi.

Selain itu klinik gitar juga turut diadakan di dewan berkenaan pada sebelah petang yang dikendalikan sendiri oleh Zua.


Perkasa akan sekat himpunan bebaskan Anwar | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Jan: NGO pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menyekat penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 9 Januari ini.

Dalam satu sidang media semalam, Presidennya Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, perhimpunan oleh Perkasa itu adalah sebagai "misi mempertahankan keamanan negara" dan akan bermula dengan solat subuh di Masjid Wilayah Persekutuan.

"Selepas itu, kami berarak dan sekiranya bertembung dengan (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali serta penyokong mereka yang sanggup mempertahankan pemimpin yang menghadapi masalah moraliti, kita sama-sama melakukan provokasi," katanya.

Mengulas larangan pihak polis agar mana-mana pihak tidak mengadakan himpunan pada hari itu, Ibrahim berkata terpulanglah kepada polis untuk menghalang Perkasa atau pembangkang kerana kedua-duanya melakukan perhimpunan haram.

Tahun lalu, Perkasa turut mengeluarkan kenyataan sama, iaitu mahu menyekat Himpunan Bersih 2 yang diadakan 9 Julai 2011 dengan mahu mengadakan himpunan anti Bersih.

Namun beberapa sehari sebelum Himpunan Bersih yang disertai lebih 50,000 rakyat itu, Ibrahim mengumumkan perhimpunan Perkasa dibatalkan dengan alasan tidak mendapat kebenaran pihak stadium.

Sementara itu, Azmin pada satu sidang media semalam memaklumkan bahawa PKR akan menggerakkan sekurang-kurangnya 100,000 orang bagi menyertai himpunan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini.

Katanya, walau apa pun keputusan yang diumumkan, Pakatan dan PKR telah bersedia menggalas amanah memimpin negara serta berusaha mengembalikannya ke landasan yang tepat.

Makin kuat ditekan, makin ramai mahasiswa bangkit | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Jan: “Semakin kuat mahasiswa ditekan, semakin ramai akan bangkit dan semakin ramai ikon perjuangan mereka mampu dilahirkan,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor.

Justeru, katanya Muhammad Safwan Anang dan Adam Adli kini telah menjadi sebutan rakyat dan menjadi idola mahasiswa bagi memperjuangkan keadilan.

Menurutnya, mereka adalah ikon rakyat yang cintakan keadilan, kemakmuran, kesejahteraan, ketelusan dan kebebasan.

Sehubungan itu, katanya DPPM mengucapkan tahniah di atas keberanian mahasiswa menyatakan kebenaran dengan mengadakan himpunan aman bagi membantah Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) sehingga menyebabkan 2 orang pelajar mengalami cedera parah semasa himpunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tahun baru 2012 lalu.

“DPPM menganggap perkembangan ini yang bermula dengan insiden menurunkan bendera oleh seorang mahasiswa, Adam Adli sehingga ke tragedi di UPSI malam tahun baru 2012 menunjukkan proses kematangan dan kedewasaan mahasiswa,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, mahasiswa kini sudah mampu memposisikan diri mereka sebagai golongan yang bersuara mewakili segmen masyarakat yang inginkan keadilan, dan kebebasan.

Tambahnya, mahasiswa telah keluar dari kepompong ketakutan yang selama ini membelenggu mereka sehingga berani bersuara mendesak agar Auku dimansuhkan segera.

“Gerakan mahasiswa seharusnya mampu mencorakkan masyarakat menjadi golongan yang peka, sensitif, dan responsif terhadap persekitaran mereka,” kata Ridhuan (gambar).

Beliau berkata, masyarakat akan cepat sedar terhadap kebobrokan yang berlaku melalui sesuatu isu dan rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan oleh pemerintah.
Idealisme dan suara mahasiswa tidak perlu disekat seperti dahulu, ujarnya.

“Sudah berpuluh tahun mahasiswa di halang dari berfikir secara matang ke atas sesuatu isu yang berlaku. Sebaliknya mereka perlu dipandu supaya haluan mereka mengikut lunas kemanusiaan dan menurut syariat Islam serta norma budaya masyarakat di negara ini,” ujarnya.

Menrutnya, mereka wajar didorang agar bertindak positif demi memastikan negara berada pada landasannya yang sebenar.

Justeru, tegasnya DPPM mengingatkan kerajaan bahawa tindakan zalim dan keras ke atas mahasiswa tidak sesekali mematikan api perjuangan mereka, malah akan memarakkan lagi arus perjuangan.

Tambahnya, tragedi pembantaian mahasiswa di depan UPSI tempoh hari tidak menggentarkan mereka, sebaliknya mereka bingkas untuk mengadakan banyak lagi siri himpunan aman membantah Auku.

Tiada ulasan: