Rabu, 4 Januari 2012

IBADAH YANG KUAT..RAPAT DENGAN ALLAH..KERJA YANG KUAT..MENSIFAR DOSA DAN MAKSIAT...MAKA PERTOLONGAN ALLAH AKAN TIBA....BERJUANGLAH UNTUK ALLAH@IKHLAS

Selepas Datin Maimon, Afdlin Shauki sertai Umno | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, Jan 4: Selepas menghiburkan rakyat Malaysia dengan watak Datin Maimon, yang seolah-olah terselit dengan pelbagai mesej tersirat, pelawak terkenal Afdlin Shauki, bersama rakannya Harun Salim Bachik tiba-tiba mengumumkan menyertai Umno.

(Afdlin Shauki sebagai Datin Maimun dalam Maharaja Lawak Mega)

Dua anggota kumpulan Boboi, yang menjadi naib juara dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) dikatakan telah menyerahkan borang keahlian Umno semalam.

Keputusan sekadar mendapat tempat kedua dalam pertandingan dikira amat mengejutkan para peminat Boboi kerana persembahan Afdlin dan Harun dalam peringkat final MLM sebagai Datin Maimon dan hantu minyak cukup menghiburkan.

Sebagai Datin Maimon, Shauki cukup mencuit hati penonton dengan gaya rambut besar dan lenggok menawan sambil menyelitkan lawak-lawak seperti cincin berlian dan beg tangan jenama mewah termasuk poco-poco dan senam aerobik.

Bukan itu sahaja, Shauki turut menghiburkan penonton dengan lawak air zamzam dan peluru yang baru dibawa pulang dari Mekah beserta lagu ‘Ghost Buster’ yang ditukar liriknya untuk membasmi orang minyak yang dilakonkan oleh Harun.

Kepada para peminat politik, sudah tentu perkataan-perkataan dan aksi-aksi yang digunakan Shauki lebih melucukan kerana minda mereka akan terbayangkan seseorang meskipun Shauki tidak berniat atau menyedari lakonannya akan mempunyai kesan sedemikian.

Dengan penyertaannya ke dalam Umno, diharap Afdlin akan terus menyumbang ke dunia hiburan tanah air tanpa sebarang sekatan dan halangan terhadap usaha murninya untuk memajukan industri seni negara.

Selamat maju jaya buat Afdlin dan Harun!

Presiden PAS rasmi 100 tahun Itqan al-Muluk | Print |
Khairul Azlam Mohamad

HULU TERENGGANU, 4 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan merasmikan sambutan 100 tahun Itqan Al-Muluk Bi Ta’Dil As-Suluk (Itqan) di Kuala Berang, Sabtu ini.

Pengarah Itqan, Muhyidin Abdul Rashid (gambar) berkata, program sambutan Itqan Al-Muluk Bi Ta’Dil As-Suluk itu bagi memperingati 100 tahun Undang-undang Islam bertulis di Terengganu.

Katanya, sambutan bermula sehari sebelum itu lagi iaitu 6 Januari yang diisi dengan forum, pameran, pengkisahan sejarah Islam, jualan ekspo dan banyak lagi di pesisir Sungai Terengganu di Kampung Gaung.

Menurutnya, acara pada 7 Januari bermula dengan kuliah dhuha yang akan disampaikan oleh pendakwah yang dikenali umum, Ustaz Azhar Idrus, diikuti dengan pidato khas oleh pakar sejarah tanah air, Prof Datuk Dr. Mohamad Abu Bakar, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan seterusnya perasmian oleh Tuan Guru Abdul Hadi.

Beliau menambah, jamuan rakyat diadakan selepas majlis perasmian itu.

“Sambutan itu berkaitan dengan undang-undang Islam yang pernah digubal secara bertulis dan diamalkan di Terengganu ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III,” ujarnya.

Menurutnya, program sambutan tersebut terbuka kepada orang ramai yang akan berpeluang melihat serta mendengar pengkisahan mengenai sejarah Islam di negeri ini sejak tahun 1303 lagi.

“Saya menyeru dan mengajak orang ramai khususnya kepada penduduk setempat supaya dapat hadir untuk memeriahkan program sambutan 100 tahun Itqan ini.

“Semasa kerajaan PAS memerintah Terengganu tahun 1999-2004, PAS juga menggubal Enakmen Jenayah Syariah Terengganu, diluluskan dan diwartakan sebagai Undang-undang Tubuh Negeri,” jelasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.

Lupus pinjaman: Berita gembira buat rakyat Kedah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Dewan Pemuda PAS Kedah (DPPNK) turut memuji tindakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak atas keputusan melupuskan pinjaman pelajaran bagi kes-kes terpilih.

Menyifatkan keputusan tersebut tepat dan sangat bijak, ketua penerangannya Mohd Nasir Zakaria juga berkata ianya satu bentuk tawaran yang tulen kepada golongan yang tidak sepatutnya dibebankan dengan hutang yang tidak wajar.

"DPPNK merasakan tindakan ini merupakan bukti perlaksanaan Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS serta komitmen penerusan agenda Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat.

"Kematian, penyakit kronik, gila dan tiada daya membayar adalah golongan-golongan yang ditimpa musibah. Mereka wajib dibantu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, tindakan tersebut juga merupakan satu lonjakan positif yang bersifat jangka panjang dalam menjaga kebajikan rakyat yang sudah sedia terhimpit dengan kos sara hidup yang menekan.

Ia juga bukan satu bentuk tindakan "one off" yang bertujuan untuk menggula-gulakan rakyat seperti yang diamal BN.

Pusat perlu contohi Kedah

Dalam pada itu beliau turut menggesa kerajaan pusat agar mencontohi keprihatinan kerajaan negeri Kedah dengan melaksanakan langkah sama di peringkat nasional.

"Kerajaan pusat yang mengutip hasil yang lebih banyak sepatutnya melaksanakan program ini di peringkat nasional.

"Adalah memalukan dengan segala hasil mahsul yang dijana daripada rakyat dengan begitu banyak, Kerajaan Pusat tidak berani bertindak seperti uyang dilakukan oleh sebuah Kerajaan negeri," katanya.

Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, dengan keupayaan kewangan yang terbatas serta hutang tinggalan Barisan Nasional yang bertimbun, penghapusan hutang kepada golongan yang terpilih adalah wajar sebagai permulaan bagi kerajaan negeri.

Keputusan tersebut juga ujarnya diyakini akan mendapat sokongan daripada rakyat.

"Ia adalah satu lagi pencapaian hebat Kerajaan Negeri Kedah. Tahniah.

Beliau juga melihat ianya satu cara perkongsian hasil negeri dengan rakyat yang wajar dijadikan contoh oleh pemimpin-pemimpin lain.

"DPPNK yakin keputusan ini adalah berita baik kepada seluruh penjamin yang terbeban sejak sekian lama.

"Keputusan ini sudah pasti melegakan penjamin seterusnya mereka akan memaksimumkan sumbangan untuk pembangunan negeri dalam bentuk yang lebih sesuai," kata Mohd Nasir lagi.


Lupus hutang pinjaman: Tahniah kerajaan Kedah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 28 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah atas keputusan melupuskan hutang pinjaman pelajaran dalam kes-kes tertentu.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, inisatif kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah itu membuktikan bahawa mereka amat prihatin dan menyelami denyut nadi rakyat di negeri itu. Kepemimpinan negeri itu membuktikan bahawa mereka memegang tampuk kuasa bukan untuk kepentingan diri mereka sendiri, tetapi untuk kepentingan rakyat jelata.

Katanya, Umum mengetahui bahawa pendidikan adalah keperluan hidup yang mesti ditunaikan oleh kerajaan terhadap rakyatnya. Dengan pelajaran akan terbela kehidupan rakyat dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat daripada belenggu kemiskinan.

Pelajaran melahirkan masyarakat yang bertamadun, berakhlak mulia, disamping membina masyarakat dan negara yang maju dan berdaya saing. Insentif pelajaran daripada kerajaan kepada rakyat merupakan suatu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan rakyat dan negara.

"Kerajaan Kedah berjaya menempatkan diri antara negeri yang berjaya menunjukkan kesungguhan membantu rakyat. Dengan kedudukan ekonomi negeri yang stabil ditambah dengan perbelanjaan pentadbiran yang berhemah.

"Insentif-insentif khusus bagi membantu rakyat adalah tindakan yang tidak merugikan kerajaan tersebut, malah, pelbagai imbuhan dan insentif yang diberikan untuk rakyat mampu meningkatkan lagi hasil pendapatan negeri dengan keberkatan pentadbiran yang bersih, jujur dan telus," katanya.

Dengan inisatif tersebut tambahnya, ternyata aspek pelajaran diambil perhatian penting oleh kerajaan Kedah.

Ianya juga membuktikan bahawa kerajaan Kedah berusaha memastikan tiada rakyat yang keciciran pelajaran untuk jangka panjang.

"Meskipun pelupusan hutang pinjaman tidak dikuatkasakan kepada semua pihak, namun ia langkah yang amat baik sebagai permulaan," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut mengesyorkan kepada kerajaan negeri-negeri lain agar mengambil kerajaan Kedah sebagai contoh yang baik dalam usaha membantu rakyat.

"Sebaiknya semua kerajaan negeri berlumba-lumba dalam memberikan perkhidmatan dan kebajikan yang terbaik kepada rakyatnya sebagai balasan sokongan rakyat terhadap pemerintahan mereka," katanya.


PAS Perak ucap takziah buat keluarga Ustaz Hassan

Hafeez Sabri
IPOH, 28 Dis: PAS Perak merakamkan ucapan takziah buat keluarga Ketua Pemuda PAS Perak Ustaz Zawawi Hassan atas pemergian ayahnya Al Marhum Imam Hassan ke rahmatullah.

Allahyarham Imam Hassan merupakan seorang Imam yang berjiwa pendidik, selain itu beliau memegang amanah sebagai Ketua cawangan PAS Tebuk Pancur dan Ketua UPU Padang Lalang.

Beliau telah meninggal dunia pada 27 Disember 2011 pada jam 1.30 tghri selepas lebih 2 minggu koma di Hospital Ipoh akibat terlibat dalam kemalangan jalanraya.

Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Tebok Pancur dan disemadikan di Kg Tebuk Pancur.

“Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat PAS Perak,” kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian.

Katanya, PAS Perak melihat walaupun pemergian Almarhum menemui Allah SWT adalah satu kehilangan besar tetapi Almarhum telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup di atas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah Allah SWT.

“Semoga Allah SWT meletakkan rohnya bersama para anbiya, syuhada’ dan solihin,” ujarnya.

DHPP suntik semangat rampas kembali Perak
Johari Jaafar

IPOH, 28 Dis: Pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Perak secara rasmi 31 Desember ini akan menaikkan semangat ahli PAS untuk turut memberikan sumbangan terbaik dalam memenangkan PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke 13 ini.

Ini sekaligus membantu Pakatan Rakyat Negeri Perak untuk mengambil alih semula pemerintahan negeri ini setelah dirampaskuasa oleh BN.

Demikian ditegaskan Ketua DHPP Perak, Beh Heng Kin ketika ditemui pada sidang media dewan tersebut yang diadakan di Pejabat PAS Negeri Perak semalam.

Menurut beliau, seramai 500 orang ahli akan hadir dan mendapat suntikan semangat yang akan disampaikan oleh Penasihat DHPP, Salahuddin Ayub pada program tersebut yang akan diadakan di Dewan Budaya, Jalan Tun Razak.

Sehingga ini DHPP Perak mempunyai 15 kawasan dengan jumlah ahli kira-kira 5,000 orang. Adalah dijangkakan jumlah tersebut akan bertambah dengan terlancarnya DHPP Perak secara rasminya pada 31 Desemberini.

Turut serta dalam sidang media itu, Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional PAS Perak, Mohd Saat Ismail dan Setiausaha DHPP Perak, S. NaNaliraja a/l Sengodan.

Pelancaran DHPP Perak ini amat penting kerana segala keraguan yang timbul di kalangan orang bukan Islam akan terungkai, dengan ini mereka akan merasa lega untuk berada di bawah PAS, katanya.

DHPP Perak akan mendekati masyarakat bukan Islam terutamanya orang orang Cina, India bagi menarik mereka memahami perjuangan yang dibawa oleh PAS, sekaligus menyokong dan menyertai DHPP, tambahnya.

Sementara itu Mohd Saat Ismail menyifatkan pelancaran DHPP Perak ada 31 Desember ini satu sejarah bukan sahaja kepada PAS tetapi kepada negara ini kerana sebuah parti Islam mempunyai menjadi sayap parti yang terdiri daripada bukan Islam.


Tiada ulasan: