Khamis, 5 Januari 2012

APA HEBATNYA PENJARA KALAU NAK DIBANDINGKAN NERAKA ALLAH..MASUK SANA ATAS KESALAHAN MENIPU RAKAYAT DAN AMBIK HAK RAKYAT...TUNGGU AJE LAH...

Zakat: Jingga 13 minta penjelasan Ketua Audit | Print |
Harakahdaily

PUTRAJAYA, 5 Jan: Ketua Audit Negara diminta menjelaskan kepada umum percanggahan fakta yang telah dibuat Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyangkal penggunaan wang zakat olehnya dan dua yang lain.

Sehubungan itu, Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa menyerahkan surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di sini, petang ini.

Menurut Fariz, surat itu berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahguna kuasa menggunakan wang zakat terhadap Jamil Khir, Pengarah MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.

“Ketibaan kami untuk penyerahan surat itu disambut oleh Pegawai Khas Ketua Audit Negara, Jamilah Jais yang menerima surat bagi pihak Ambrin yang sedang bermesyuarat,” ujarnya.

Menurutnya, Ambrian perlu membuat penjelasan segera bagi mengelakkan kekeliruan yang lebih besar kerana jelas wujud percanggahan laporan.

Beliau di dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya prihatin terhadap kenyataan yang dibuat oleh Jamil Khir selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh Bernama bertajuk “Jamil Khir Perjelas Dakwaan Seleweng Wang Zakat”.

Baginya, ia ternyata menyimpang dan cuba memutarbelitkannya malah ternyata memperlekehkan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Audit Negara.

Katanya, pada 21 Jun 2011 , Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri , Datuk Dr Mashitah Ibrahim telah mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan wang zakat ketika menjawab soalan Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Machang dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.

Menruutnya, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara kepada YB Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bertarikh 21 November 2011 , di mana pemeriksaan audit telah dijalankan di MAIWP terhadap pembelanjaan bagi kos guaman RM63,650 bersabit kes tuntutan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim ternyata telah mengesahkan bahawa wujud penyelewengan dan salahguna kuasa terhadap wang zakat selama hampir sebelas (11) bulan ( Februari – Disember ) tetapi telah dinafikan oleh Jamil Khir.

Beliau mendakwa Jamil Khir juga secara nyata dan jelas telah memperlekeh integriti dan kredebiliti laporan daripada Ketua Audit Negara dan memutarbelit fakta dqan berbohong kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sepertimana yang dimaklumkan, ujarnya bahawa isu pembayaran balik wang zakat oleh MAIWP adalah tidak timbul dengan menggunakan geran kerajaan, tetapi sewaktu pembayaran dibuat terhadap kos guaman sejumlah RM63,650 selama hampir sebelas (11) bulan adalah menggunakan wang zakat.

“Justeru, Jingga 13 hari ini menyampai surat kepadaTan Sri Ketua Audit Negara memohon agar satu penjelasan dan respons segera dibuat kerana kredebiliti dan integriti Jabatan Audit Negara telah diperlekeh dan dinafikan oleh Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom,” ujarnya.

Menjelang 901: Anwar beri tumpuan kepada keluarga | Print |

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga beliau menjelang 9 Januari ini apabila mahkamah akan membuat keputusan kes perbicaraan beliau pada tarikh tersebut.

(Anwar memberikan lebih tumpuan kepada keluarganya sehari dua ini)

Namun, apapun keputusan 9 Januari ini, Anwar berkata, keluarganya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang keputusan mahkamah.

"Ya..kita kena hadapi dengan sepenuhnya, saya tumpu kepada keluarga dalam dua tiga hari ini, dan mereka cukup bersedia," kata Anwar dalam wawancara khas dengan Harakah 3 Januari lepas.

Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan, wartawan kanan Harakah, Wan Nordin Wan Yaakub serta jurugambar Harakah, Wan Zahari Salleh membuat wawancara khas di pejabat PKR itu.

Bagi Anwar, jika berdasarkan fakta dan hukum, kes ini tidak perlu kepada sebarang pendakwaan pun terhadap beliau.

"Jika berdasarkan fakta, tak perlu ada pendakwaan pun (dalam kes liwat kedua membabitkan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan), dan saya harus dibebaskan, tetapi apa yang kita lihat (setakat ini) keputusan mereka (Umno-BN) selalunya ikut nafsu serakah mereka.

"Tetapi insya-Allah bagi saya, saya sedia apakah penjara atau bebas, sebarang rayuan, jika bebas program kita boleh berjalan, jika terpenjara kita akan terus lawan.

"Apa jua keputusannya, ia bakal menjadi titik noktah kepada masa depan Umno pada Pilihan Raya Umum akan datang," kata Anwar dalam wawancara itu.

Ikuti wawancara penuh dalam Harakah cetak esok.


Pendapatan NRW hilang RM4.99b sejak 2008 | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Malaysia telah kehilangan pendapatan disebabkan Non-Revenue Water (NRW) atau Air Tidak Terhasil dengan angka amat mengejutkan sebanyak RM4.99 billion bagi tahun 2008, 2009 dan 2010.

Daripada angka itu, kehilangan pendapatan bagi tahun 2010 sahaja dianggarkan RM1.74 billion, ekoran kegagalan Kerajaan BN menguruskan NRW secara holistik.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, data tersebut diperolehi oleh Awer dengan menjalankan pemodelan NRW berdasarkan statistik tahun 2010 yang dilaporkan di Malaysia Water Industry Guide 2011.

Menurutnya, peratusan NRW menunjukkan pengurangan daripada 36.63 petatus bagi tahun 2009 kepada 36.37 peratus bagi tahun 2010.

Katanya, walau bagaimanapun, jumlah isipadu air terawat yang tidak terhasil meningkat daripada 1.80 billion meter padu (m3) pada tahun 2009 kepada 1.87 billion meter padu (m3) pada tahun 2010 atau bersamaan dengan peningkatan sebanyak 3.5 peratus.

"Awer telah menggunakan tarif domestik dan komersil terendah, peratus penggunaan air bagi sektor domestik dan komersil serta jumlah isipadu NRW sebagai parameter-parameter asas untuk pemodelan ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Jumlah pendapatan sektor air pada tahun 2010, menurutnya, sebanyak RM4,086,618,000, manakala jumlah anggaran kehilangan pendapatan disebabkan oleh NRW hampir 42.7 peratus daripada jumlah pendapatan dari sektor itu.

Katanya, Awer masih berpendirian tegas bahawa cadangan sasaran nilai NRW kebangsaan patut ditetapkan pada 20 peratus menjelang tahun 2020 dan mesti dijadikan indikator kebangsaan bagi industri air negara seperti yang diumumkan oleh persatuan itu tahun lalu.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), tambahnya, telah menyangkal sasaran 20 peratus itu sebagai tidak boleh dicapai dan tiada pulangan ekonomi.

"Malangnya, tiada sebarang pengiraan atau pemodelan telah dijalankan oleh SPAN untuk membuktikan perkara itu. Apatah lagi, baru-baru ini SPAN telah melaporkan bahawa sasaran 25 peratus NRW dapat dicapai lebih awal daripada tahun 2020. Adakah pengawalselia ini menetapkan sasaran yang mudah dicapai secara ad-hoc?" ujarnya.

Beliau menegaskan, untuk mencapai nilai 20 peratus sasaran NRW, semua operator air mesti dikawalselia di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Water Services Industry Act 2006 - WSIA).

Melalui tindakan itu, katanya, Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Index - KPI) dan Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan (National NRW Reduction Action Plan) mestilah disediakan.

"KPI juga mesti ditetapkan kepada pegawai-pegawai SPAN dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk memastikan Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan dapat disediakan menjelang pertengahan 2012 untuk seluruh Malaysia.

"Tiada gunanya wujud agensi-agensi pusat yang melepaskan tugas ini kepada operator-operator air dan hanya menunggu untuk mendapatkan keputusan tanpa pelan terperinci," tegasnya.

Pelan tindakan itu pula, tambah beliau lagi, mestilah merangkumi sasaran-sasaran yang khusus untuk setiap negeri bagi jangkamasa tertentu dan pengenalpastian kawasan-kawasan kritikal, sub-kritikal dan tidak kritikal.

Selain itu, mestilah juga diwujudkan peraturan teknikal (technical guideline) dan audit yang ketat untuk Perbelanjaan Modal (Capital Expenditure-Capex) dan Perbelanjaan Operasi (Operational Expenditure-Opex) untuk pelan-pelan pengurangan NRW.

Kesemua pelan tersebut juga, tegasnya, mestilah diumumkan dan disiarkan untuk makluman umum, manakala kelewatan dalam penstrukturan semula hanya akan melambatkan penambahbaikan infrastruktur perkhidmatan air dan menghalang perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

"Malaysia mesti belajar menguruskan NRW secara holistik. KeTTHA dan SPAN mesti mempunyai satu Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan sebelum 30 Jun 2012. Tiada ruang lagi untuk sebarang alasan kerana setiap titik air adalah bernilai," tegas beliau.

Penjara tidak patahkan semangat Pemuda PAS | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bertekad meneruskan perjuangan meskipun sekiranya ada pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dipenjarakan hatta keluar meninggalkan perjuangan.

“Malah DPPM bersama Pemuda Pakatan Rakyat akan menggerakkan perjuangan menuntut keadilan dan perubahan terhadap rejim yang korup dengan lebih bersemangat bagi memastikan kebangkitan rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13,” kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss

Bagi DPPM, katanya doktrin perjuangan PAS dengan meletakkan matlamat perjuangan yang lebih besar iaitu menegakkan Islam di negara ini dengan tidak menjadikan seseorang individu pemimpin sebagai tempat pergantungan sebagai bekal untuk meneruskan perjuangan sekalipun berhadapan dengan kemungkinan akan kehilangan pemimpin.

“Bagi ahli dan pendukung PAS, Islam adalah keutamaan dalam perjuangan dan pemimpin sebagai penggerak bagi mengemudi perjuangan ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Malah, jelasnya PAS pernah diuji dengan pemimpin yang meninggalkan perjuangan di tengah jalan namun ia tidak meninggalkan kesan sedikitpun kepada PAS.

Menurutnya, dalam keadaan Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan risiko dipenjarakan dengan kes mahkamahnya memasuki fasa terakhir menunggu keputusan, DPPM bersama Pemuda Pakatan Rakyat telah mempersiapkan segala perancangan bagi menghadapi risiko sekiranya mahkamah tidak menyebelahi beliau.

Katanya lagi, jadual dan aktiviti Pemuda Pakatan Rakyat padat seperti biasa, bahkan mungkin lebih penuh dengan siri penerangan kepada rakyat.

“Adalah suatu kesilapan sekiranya ada pihak menjangka jika pemenjaraan mana-mana individu akan melemahkan semangat ahli-ahli dan pendokong PR, sebaliknya ia sebagai pemangkin bagi meningkatkan motivasi dan gerak kerja semua pihak bagi menghadapi PRU ke 13,” ujarnya.

DPPM, katanya percaya kes yang berlaku terhadap Anwar menjadi tanda aras tersungkurnya Umno BN dalam PRU ke 13.

Beliau menegaskan, suhu kemarahan rakyat sudah tidak dapat dibendung bagi memastikan kerajaan zalim dan angkuh akan dihukum.

Rakyat, katanya sudah muak dengan politik fitnah secara lucah dan melampau yang direka acap kali sebagai jerat terhadap pemimpin rakyat.

Tambahnya, rakyat mahukan gaya politik baru yang bersih dan dinamik merwarnai lanskap politik negara.

Akhirnya, kata beliau lagi DPPM meyakini jika sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, maka lebih ramai pemimpin hebat akan tampil memimpin perjuangan rakyat.

“Malahan, DPPM bersama Pemuda Pakatan Rakyat sanggup memikul amanah kepimpinan ini jika diberikan kepercayaan oleh pemimpin Pakatan Rakyat demi memastikan kejayaan rakyat keluar penderitaan panjang yang membelenggu mereka selama ini,” ujarnya.

Perhimpunan 901 aman jika tiada provokasi | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Perhimpunan aman 901 pasti aman dan teratur jika orang-orang jahat tidak melakukan kekacauan dan provokasi, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Malah, beliau mengingatkan, jika berlaku sebarang kekacauan dan kekecohan dalam perhimpunan untuk membantah rekayasa politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, pihak yang bertanggungjawab ialah pihak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri serta parti yang turut dipimpinnya, Umno.

"Seperti semua perhimpunan yang kita adakan sebelum ini, keadaan kucar-kacir dan huru-hara hanya terjadi apabila orang-orang tertentu yang berhati jahat melakukan kekacauan dan provokasi.

"Jika tidak diganggu oleh orang-orang jahat, buktikan walau satu pun perhimpunan atau ceramah Pakatan Rakyat (PR) yang mengakibat keadaan kucar-kacir dan huru-hara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika diminta mengulas kenyataan Hishammuddin yang mahu perhimpunan tersebut berjalan dengan teratur dan aman.

Menurut beliau, dengan lagak kononnya untuk menjaga keamanan, alat perkakas parti tertentu juga sering melakukan kekacauan dan kekerasan ke atas perhimpunan atau ceramah PR.

"Malah kebelakangan ini, gerombolan dari parti itu sendiri yang melakukan provokasi dan kekacauan sehingga mengakibatkan kejadian berdarah," kata Mahfuz.

Beliau yakin, penganjur perhimpunan itu telah melakukan persediaan yang secukupnya untuk memberitahu rakyat yang berhimpun dalam perhimpunan itu bahawa sebarang provokasi dan kekacauan hanya dilakukan oleh gerombolan parti berkenaan.

"Saya juga ingin berpesan kepada semua yang menyemarakkan perhimpunan aman 901 bahawa apa sahaja kekacauan dan provokasi, perkara itu tidak mungkin dilakukan oleh rakan-rakan mereka yang juga mahu behimpun dengan aman.

"Jika anda melihat sebarang kekacauan dan provokasi, ia pasti dilakukan gerombolan parti yang gilakan kekacauan itu atau agen-agen serta alat perkakas mereka," kata Mahfuz.

Beliau meminta semua pihak mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku dalam Revolusi Islam Iran dahulu.

Menurut beliau, pada waktu waktu itu sebuah panggung wayang dibakar oleh polis rahsia Shah Iran dan mereka yang menonton wayang dalam panggung itu mati.

"Selepas itu, kerana yakin orang lain juga bodoh seperti mereka, jentera propaganda Shah Iran menuduh rakyat yang berjuang dalam revolusi tersebut yang membakar panggung itu," katanya.

Dalam protes rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak di Mesir baru-baru ini pula, kata Mahfuz lagi, pihak polis yang berkerja di bawah regim Mubarak telah memecah dan mencuri di sana-sini terutama di kedai-kedai dan kemudiannya menuduh rakyat yang menentang kekejaman diktator itu yang melakukan perkara tersebut.

"Di Malaysia juga bekali-kali kita melihat orang-orang yang mengajak rakyat yang berdemonstrasi melakukan tindakan yang lebih agresif tetapi apabila berlaku kekecohan, merekalah yang menangkap dengan ganas rakyat yang berdemonstrasi itu.

"Sudah berkali-kali kita melihat perkara seperti itu berlaku," katanya.

Beliau mengulangi pesanan kepada seluruh rakyat bahawa Umnolah yang mesti dipersalah dan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kekecohan dan kekacauan dalam perhimpunan 901 itu.

Tiada ulasan: