Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS berkata beliau diminta mengadap bersama-sama beberapa pemimpin, termasuk presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang ke majlis santapan malam di Istana Terengganu, di ibunegara.
Ketika itu, jelas Nik Aziz, beliau berada di Hosptail Universiti Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
"Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku, saya telah menghadiri majlis tersebut," kata Nik Aziz dalam kenyataan ringkas empat perenggan hari ini.
Sangat tidak beretika
"Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap," tambahnya.
Sehubungan itu, Nik Aziz, menyeru semua pihak - sama ada media atau mana-mana individu - supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu.
Oleh itu, menteri besar Kelantan itu berharap supaya dihentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.
Semalam, Nik Mat dilaporkan mengakui bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhir Disember lalu, tetapi enggan mendedahkan hasil pertemuan itu kerana ia pertemuan tertutup.
Sejak minggu lalu, pertemuan itu mencetuskan kebimbangan di kalangan penyokong parti Islam itu, sehingga tersebarnya desas-desus munculnya kembali usaha mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno.
Ia bermula apabila laporan tabloid mingguan Siasah - berjudul "Nik Aziz, Najib menghadap Agong?" - pada minggu lalu melaporkan di muka depan pertemuan itu.
Dilaporkan, Siasah mendakwa perjumpaan "besar" pada 24 Disember di Istana Terengganu, Kuala Lumpur turut melibatkan Timbalan Perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bimbang dengan perkembangan itu, beberapa pihak, antaranya Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Haron pada 29 Disember lalu mengulasnya di laman Facebook, menyatakan kebimbangannya kemungkinan berlaku usaha menghidupkan semula idea kerajaan perpaduan.
Malah, terdapat juga dakwaan bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa turut terlibat dalam pertemuan itu.
Nik Aziz membuat penjelasan itu dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, lapor Bernama.
Harakahdaily pula memetik Nik Aziz menyeru semua pihak sama ada media atau invidu supaya tidak mengaitkan istana dengan pergolakan politik negara.
Pada masa yang sama juga, beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini.
Ini kerana, katanya pertemuan itu hanyalah jemputan untuk majlis santapan malam bersama baginda sahaja.
Menurutnya, sebarang kenyataan tidak tepat itu perlu dihentikan segera demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.
“Jangan sekali-kali mengaitkan istana dalam pertemuan baru-baru ini,”ujarnya dalam sidang akhbar tersebut.
Abdul Hadi pula berkata walaupun majlis itu turut dihadiri pemimpin lain termasuk Najib tetapi mereka tidak membincangkan langsung soal-soal politik.
"Tidak ada perjumpaan lain, selain majlis santapan malam itu," katanya.
Harakahdaily melaporkan Hadi sebagai berkata tidak timbul soal perbincangan kerajaan perpaduan atau sebagainya dalam pertemuan itu.
Menjawab soalan media beliau seterusnya berkata, majlis itu adalah undangan Yang di-Pertuan Agong, tidak timbul langsung soal perbincangan dengan pemimpin Umno.
“Majlis tu adalah majlis Yang di-Pertuan Agong, nak bincang dengan perdana menteri macamana?,”soalnya.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab pelbagai spekulasi ekoran pertemuan pemimpin tertinggi dua parti - Nik Aziz dan Hadi Awang - yang dikatakan mengadakan pertemuan tertutup dengan dua pemimpin Umno - Najib dan timbalannya - baru-baru ini.
Menurutnya, atas dasar menghormati dan menjunjung titah Seri Paduka, beliau menghadiri majlis tersebut.
Nik Aziz menyeru media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan menghentikan seberang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.
Memetik kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda dilaporkan bertitah, tindakan sebegitu boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik, di samping mewujudkan suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam Negeri Selangor.
Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor telah memerintahkan Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon sebelum calon-calon dipersembahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kepada baginda.
"Bukannya berbincang selepas jawatan SUK Selangor telah diperkenankan oleh baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon yang berkenaan.
"Mengenai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bagi mengembalikan kuasa pelantikan SUK Negeri kepada Sultan Selangor, baginda menitahkan supaya cadangan pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapatkan perkenan baginda terlebih dahulu," kata Mohamad Munir.
Berikut ialah kenyataan akhbar oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang disiarkan oleh Berita Harian Online.
"Kenyataan akhbar ini dibuat untuk menjelaskan perkara dan kedudukan sebenar yang timbul berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.
Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang akan diadakan pada hari Khamis, 6 Januari 2011, di Istana Bukit Kayangan akan tetap diteruskan.
Ini adalah kerana sepengetahuan D.Y.M.M Sultan Selangor, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Datuk Mohamed Khusrin Munawi telah dilantik mengikut prosedur yang ditetapkan dan selaras dengan peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Pada majlis tersebut akan diadakan upacara Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor kepada D.Y.T.M Raja Muda Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 D.Y.M.M. Sultan Selangor kerana ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada penerima-penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 D.Y.M.M. Sultan Selangor yang berlangsung pada 11 haribulan Disember 2010, D.Y.T.M. Raja Muda Selangor berada di luar negara.
Selain daripada itu, pada majlis tersebut juga akan diadakan upacara Angkat Sumpah Taat Setia Penjawat Jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Dewan di-Raja Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan Pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor.
Semua upacara diadakan pada satu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan.
Berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, selaras dengan peruntukan Fasal (3) dan (4) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru hendaklah mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Y.A.B. Dato' Menteri Besar.
Dimaklumkan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 sebagaimana yang dinyatkan oleh beliau, kerana Baginda hanya memberikan perkenan dan tidak menjalankan fungsi dan kuasa Baginda di bawah Undang-Undang Tubuh.
Perkenan Baginda tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 55(1)(1A).
Oleh itu, sindiran beliau yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor seolah-seolah sebagai "beraja di mata, bersultan di hati" adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat.
Kenyataan beliau yang sedemikian boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci Baginda.
Mengulas mengenai artikel pada 29 haribulan Disember 2010 di dalam akhbar Sinar Harian mengenai "Pelantikan SUK Tidak Semestinya Dibuat SPA" oleh Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Y.B. Lau Weng San, yang menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan boleh dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN).
Walaupun terdapat SPAN di negeri-negeri lain yang boleh melantik Setiausaha Kerajaan, tetapi di negeri Selangor kuasa pelantikan tersebut adalah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan (SPA) selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Mengulas mengenai kenyataan akhbar Y.A.B. Dato' Menteri Besar pada 3 Januari 2011 yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat.
Apa yang sebenarnya berlaku, nama-nama calon untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah disembahkan kepada Baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang menjalankan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Negeri Selangor.
Baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan. Selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Perkara ini telah menjadi amalan (convention) di negeri Selangor.
Mengenai cadangan Y.A.B. Dato' Menteri Besar untuk berbincang dengan JPA atau SPA, D.Y.M.M. Sultan Selangor sebenarnya telah menitahkan sepatutnya Y.A.B. Dato' Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon ini sebelum calon-calon disembahkan oleh JPA atau SPA kepada Baginda dan bukannya berbincang selepas jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor telah diperkenankan oleh Baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon yang berkenaan.
Tindakan Y.A.B. Dato' Menteri Besar untuk berbincang dan memilih calon-calon lain dengan JPA atau SPA setelah calon dilantik adalah tindakan yang tidak wajar diambil kerana boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik dan juga boleh mewujudkan satu suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam negeri Selangor.
Mengenai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dikatakan akan dibuat oleh Kerajaan Negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor, Baginda menitahkan supaya cadangan pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapat perkenan Baginda terlebih dahulu."
Di dua ceramah malam tadi, polis terus bertindak sebaik sahaja Anwar mengambil tempatnya untuk berpidato.
Sebagai kontras, ucapan beberapa pemimpin Pakatan rakyat yang lain tidak dihiraukan dan dibiarkan berlarutan.
“Bila pemimpin lain berucap, tiada ganguan. Bila Anwar berucap, polis akan terus menganggu dan menghentikannya.
“Umno Johor cukup gusar dengan kehadiran Anwar kerana beliau cukup berpengaruh di sini, khususnya ketika menjadi timbalan perdana menteri,” kata ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman.
Pada majlis pertama di Kampung Ayer Panas, jalan menuju ke tempat itu dibarisi kenderaan polis dan sekatan jalan raya.
Menurut orang ramai, kehadiraan polis yang ramai itu menakutkan masyarakat setempat untuk keluar menghadiri majlis berkenaan. Hanya kira-kira 300 orang hadir.
Apabila tiba giliran Anwar berucap pada jam 9.45 malam semalam, polis terus bertindak dan mengarahkan ceramah berkenaan dihentikan. Anwar akur dan bergerak menuju majlis keduanya di Felda Cempelak.Meriam air
Ceramah di Felda Cempelak berjaya menarik lebih ramai hadirin - kali ini sekitar 3,000 orang, meskipun dengan kehadiran anggota polis yang tetap ramai dan diperlengkapkan dengan dua trak meriam air.
Anwar mengambil tempatnya di pentas utama pada jam 10.45 malam selepas ucapan pemimpin lain seperti ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Mazlan.
Sebaik sahaja mahu mula berucap, polis naik ke pentas untuk menghentikan ketua pembangkang itu. Pihak penganjur juga gagal memujuk polis supaya membenarkan Anwar untuk berucap dan semua peralatan pembesar suara juga dirampas.
Tanpa menghiraukan larangan itu, Anwar meneruskan ceramah menggunakan hailer. Namun hanya mereka yang berada berdekatan dapat mendengar.
Polis membiarkan ceramah itu berterusan selama kira-kira 40 minit sehinggalah Anwar menimbulkan isu Apco Worldwide, sebuah firma antarabangsa yang diupah oleh pentadbiran Najib.
“Apabila Anwar timbulkan Apco Worldwide, polis terus mengepung kawasan itu. Bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini kami terpaksa menamatkan ceramah itu,” kata Mazlan yang juga timbalan pengarah kempen pilihan raya kecil PAS bagi kerusi Tenang.
Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang dijadualkan pada 22 Januari ini, manakala pengundian ditetapkan pada 30 Januari jika ada pertandingan.
Chua berkata risalah berbentuk buku kecil bertajuk 'DAP anti Islam' dan 'Khawarij dan Politik PAS' yang diedarkan itu dianggap satu pembohongan besar.
"Ini satu pembohongan besar. Kalau nak kata DAP anti Islam. Saya dah lama kenal DAP. Mereka tak bodoh. DAP hormat orang Melayu, Lim Guan Eng sendiri telah banyak membantu orang Melayu di Pulau Pinang," katanya.
Sehubungan itu, Chua juga tidak menolak perbuatan itu sebagai taktik kotor Umno untuk kempen mempertahankan Tenang pada pilihan raya kecil akan datang.
Risalah 'DAP anti Islam' mengandungi nota yangmendakwa parti Cina yang mempunyai kerusi paling banyak di parlimen itu akan mengharamkan azan, majlis Maulidur Rasul dan seumpamnya jika Pakatan Rakyat memerintah.
Chua juga menyatakan kebimbangan mengenai taktik Umno yang cuba menghalang pemimpin Pakatan Rakyat daripada bertemu rakyat.
Semalam ceramah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tenang sekali lagi diganggu polis.
"Mungkin selepas ini pemimpin Cina tidak dibenarkan masuk ke kawasan Felda," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan