Isnin, 10 Januari 2011

RAKYAT LA NI DAH BIJAK...TAHU SAPE BOLEH DIHARAP...SAPE PENIPU DAN TAK BOLEH DIHARAP.....

Pelan 100 hari: Najib tak mahu bantu rakyat
Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR, 10 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas pelan 100 hari Pakatan Rakyat sebagai bukti bahawa Umno BN sememangnya tidak mahu meringankan beban rakyat.

Beliau ketika ditemui Harakahdaily hari ini berkata, ianya juga membuktikan kedangkalan pemikiran pemimpin tertinggi Umno BN itu apabila mendakwa pelan tersebut tidak berpaksi kepada kenyataan dan mempersoal punca kewangannya.

Sedangkan menurutnya, apa yang ditawarkan Pakatan Rakyat itu adalah keperluan rakyat yang sememangnya di dalam kemampuan negara jika sumber hasil diurus dengan baik.

"Ini menyerlahkan bahawa mereka tidak mahu hapuskan tol, tidak mahu beri imbuhan kepada guru dan tidak mahu hapuskan Felda Plantation.

"Kita telah tunjuk bukti dalam masa yang singkat di negeri-negeri yang kita perintah termasuk Kelantan. Dulu orang kata Kelantan akan muflis dalam masa tiga bulan, tapi kita tengok sekarang sudah 20 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas bidasan Najib yang dilapor media hari ini berhubung pelan tersebut.

Najib mendakwa tawaran yang terkandung di dalam pelan tersebut sebagai populis dan tidak bertanggungjawab kerana akan menggadaikan masa depan negara.

Pelan itu juga jelasnya dibuat tanpa mengambil kira kemampuan negara.

"Kalau dia kata sebagai populis, kita nak tanya RM65 juta baiki rumah Perdana Menteri dan bayar RM70 juta kepada Apco itu bukan untuk populis ke?" soalnya lagi.

Katanya, negeri-negeri Pakatan Rakyat juga terbukti lebih kedepan menjaga kebajikan rakyat termasuk memperkenal pelbagai program untuk warga emas, ibu tunggal dan warga miskin.

Jika dibanding dengan mentaliti BN katanya, parti pemerintah itu hanya tahu memeras rakyat dan bukan mahu meringankan beban mereka.

"Walaupun nilai yang diberi kecil, tapi 50 tahun Umno perintah dia tak mampu buat.

"Dia nak urus negara, dia ambil wang subsidi dalam poket rakyat dan beri kepada kroni-kroni," jelasnya.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, jika Najib mahu melihat bukti dan ingin tahu dari mana sumber kewangan yang akan diguna, beliau mencabar presiden Umno itu menyuruh rakyat bersama Pakatan.

"Kalau dia nak tahu sumber kita, kita minta dia isytihar kepada rakyat supaya ubah sekarang untuk tengok bukti mana sumber dan hasil kita," katanya mencabar Najib.

Bulan lalu, Pakatan Rakyat mengemukakan tawaran dalam Program 100 hari yang mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

"Program 100 hari ini kalau kita tengok, semuanya untuk bagi rakyat rasa lega bukan untuk bagi rakyat merana," tegasnya membidas telahan Najib.



Interlok: Pemuda PAS sedia jadi orang tengah
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Pemuda PAS Pusat akan menjadi orang tengah di antara budayawan dan kaum India bagi menyelesaikan kontroversi berhubung Interlok, novel yang digunakan sebagai teks sastera pelajar peringkat menengah.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiyat berkata, pertemuan muhibah itu dijangka berlangsung pada petang 13 Januari ini di sekitar ibu negara.

Menurutnya, pemuda akan menjadi perantara di antara Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dengan NGO India yang akan ditetapkan oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS.

"Sudah menjadi tangggungjawab kita untuk menjadi orang tengah dalam isu ini.

"Mereka bercakap dalam dimensi yang berbeza-beza dan tak ada satu usaha untuk menyatukan mereka dan mereka bercakap berdasarkan kepada pemahaman masing-masing," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tambah Suhaizan, kesediaan menjadi orang tengah itu kerana pemuda mempunyai hubungan yang rapat dengan kedua-dua pihak.

"Kebetulan kita memang agak rapat dengan kedua-dua kelompok ini. kelompok budayawan pun kita rapat, kelompok masyarakat India pun kita rapat malah sebahagiannya terdiri daripada ahli dewan himpunan (penyokong PAS)," katanya.

Interlok adalah sebuah karya sastera bermutu yang mengambil latar masa sekitar 1910 sehingga 1957.

Paksi menegaskan, novel itu adalah satu rakaman sejarah dalam bentuk fiksyen rakaman realiti semasa yang cukup baik, mengenai masyarakat Malaysia waktu itu iaitu zaman pra merdeka dan ia sangat sesuai dijadikan teks sekolah.

Namun kontroversi mengenai Interlok timbul apabila NGO India memandangnya sebagai sebuah novel yang menghina kaum India, khususnya pada bahagian-bahagian tertentu, sehingga ia dikatakan sebagai karya bentuk 'rasis'.


100 Hari: Rakyat Terengganu yakin dengan PAS
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Jan: PAS mempunyai harapan cerah untuk menang di Terengganu dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 nanti, berdasarkan perkembangan terkini yang memperlihatkan rakyat negeri itu sudah mempunyai alternatif untuk ubah kerajaan dari yang ada sekarang kepada PAS atau Pakatan Rakyat.

Momentum itu diketahui oleh PAS Terengganu berdasarkan kajian terkini yang dilakukan dan ia turut dikesan oleh Umno, sehingga menyebabkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri terpaksa diserahkan oleh Datuk Hishammuddin Tun Hussein kepada Menteri Besar Terengganu sendiri, Datuk Seri Ahmad Said.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan, punca-punca yang menyebabkan rakyat Terengganu mula mempunyai alternatif untuk mengubah kerajaan yang ada kini agak banyak.

Menurut beliau, antaranya termasuklah kekecewaan rakyat Terengganu kepada kerajaan BN negeri itu yang gagal memberikan kesegaran kepada seluruh rakyatnya.

"Faktor itu pula disokong oleh kegagalan Umno BN yang memerintah negeri Terengganu dalam membasmi kemiskinan, sehingga menyebabkan orang ramai berfikir kenapa mereka tidak boleh menggantikan Umno BN kepada PAS," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Janji 100 hari Pakatan Rakyat, katanya, turut memberikan kesan baik kepada PAS di Terengganu, apabila rakyat negeri itu sendiri lebih yakin kepada PAS berbanding Umno BN untuk melakukan pembaharuan yang diharapkan oleh mereka.

"Janji yang dibuat oleh Pakatan Rakyat itu tidak kosong, tetapi mempunyai asas yang kukuh berdasarkan keupayaan para pemimpin Pakatan Rakyat untuk melakukannya.

"Ia juga bersesuaian dengan potensi kewangan negara yang sememangnya mencukupi untuk memberikan keselesaan kepada rakyat sekiranya ia diurus dengan baik. Manakala para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat pula sudah terbukti kejujurannya dan mereka tentunya tidak membuat janji kosong kepada rakyat," tegasnya.

Dalam masa yang sama, menurut beliau, PAS negeri itu turut mempunyai peluang yang lebih baik untuk menawan Terengganu dengan pertukaran Hishamuddin kepada Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

"Perubahan itu sebenarnya bukan merumitkan, malah semakin memudahkan PAS untuk menawan Terengganu kerana Datuk Ahmad Said dilihat tidak pandai mentadbir dan mengurus kewangan oleh sesetengah pihak dalam Umno sendiri," ujarnya.




Maknanya, menurut beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, pergolakan dalam Umno sendiri gagal diselesaikan oleh Umno Terengganu dengan baik. Ini menyebabkan para penyokong Umno sendiri memandang PAS jauh lebih baik dan berkeupayaan untuk mentadbir negeri dengan baik sekiranya diberikan mandat untuk memerintah negeri itu dalam PRU Ke-13 nanti.

Dalam masa yang sama pula, PAS terus melangkah ke hadapan dengan strategi-strateginya yang tersendiri dalam usaha memberikan penerangan kepada orang ramai mengenai dasar-dasar parti itu.

Antara perancangan terkini yang dilakukan mulai tahun ini termasuk langkah mula menyerang Umno BN dengan slogan "PAS Ganti Umno" yang telah dilancarkan secara tertutup di Kuala Ibai baru-baru ini, dengan dihadiri lebih 1,000 orang pemimpin PAS negeri itu.

Pada 15 Januari ini, program itu akan diadakan secara terbuka di Dataran Tok Guru, Cukai, Kemaman dan kemudian akan disusuli pula di daerah-daerah lain di seluruh Terengganu.

Serangan yang akan dilakukan oleh PAS terhadap Umno dengan memberikan penjelasan kepada seluruh rakyat tentang penyelewengan Umno BN kepada rakyat selama ini.

Dengan itu, rakyat pasti akan menjadi lebih sedar tentang kesilapan mereka yang memberikan mandat kepada Umno BN untuk memerintah Terengganu, malah Malaysia selama ini.

"Dalam masa yang sama, kita juga akan terus memberikan penjelasan kepada orang ramai tentang dasar-dasar PAS dengan dasar Islam, bagi membolehkan orang ramai berfikir dengan sendirinya betapa lebih baik kepada mereka jika mereka memberikan kepercayaan kepada PAS bagi mengganti Umno untuk memerintah Terengganu, menepati slogan kita itu sendiri," tegasnya.




Utusan terus jadi musuh no 1 1Malaysia
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Akhbar Utusan Malaysia disifatkan sebagai musuh nombor 1 konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata, walaupun Utusan terus menolak dasar 1Malaysia, namun tidak ada sebarang usaha dari kerajaan dan Umno untuk menyekat pendekatan perkauman Utusan itu.

"Yang sedihnya, negara tidak pernah berpecah sebegini teruk dalam sejarah 53 tahunnya melain semasa 18 bulan di bawah Najib sebagai Perdana Menteri yang menjadikan konsep 1Malaysia kosong dan penuh hipokrit," kata Kit Siang.

Semuanya kerana tidak lain dan tidak bukan dari Utusan Malaysia yang hampir setiap hari mempromosikan kepalsuan dan kebencian antara kaum dan memecahkan negara, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Yang paling memeranjatkan selama 18 bulan yang lalu tidak ada sebarang usaha yang serius dibuat untuk memastikan Utusan Malaysia, sebagai media rasmi Umno, menyokong cita-cita 1Malaysia," katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memfailkan saman ke atas Utusan Malaysia mendakwa akhbar Umno itu memfitnahnya dan DAP.

Lim ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang 2 Januari lepas kerana tidak tahan dengan berita fitnah yang saban hari disiarkan akhbar itu dengan matlamat menjatuhkan maruah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Beliau yang datang tepat pukul 12.00 tengah hari bersama peguamnya, Jagdeep Singh Deo terus di bilik mahkamah bagi memfailkan saman terhadap akhbar berkenaan.

Lim kesal kerana Utusan Malaysia terus melancarkan serangan berbau fitnah terhadap kerajaan pimpinanya tanpa menghiraukan jawapan yang dikeluarkan bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada umum.

Bukan itu sahaja malahan Utusan juga bertanggungjawab melaga-lagakan kepimpinan DAP, PAS dan KeAdiLan supaya wujud persengketaan dalaman yang boleh menjejaskan perpaduan yang terjalin erat dalam Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: