Rabu, 1 September 2010

MERDEKA BIAR ACUAN ISLAM BUKAN ACUAN BARAT



Pemuda Kedah anjur Ambang Merdeka Tanpa Maksiat
Harakahdaily

ALOR STAR, 1 Sept: Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah menganjurkan program Ambang Merdeka Tanpa Maksiat (Amat) sempena menyambut ambang kemerdekaan ke-53, malam semalam.

Menurut ketuanya, Nasir Zakaria, program berkenaan bertujuan mendekati anak muda yang menyambut malam merdeka dengan mengedarkan risalah mengandungi fakta-fakta mengenai masalah sosial termasuk pembuangan bayi yang sedang berleluasa.

(Gambar: Nasir membahagikan risalah kepada anak muda.)

"Tujuan program itu kita nak buat enggagement dengan anak muda sebab kita sebut anak muda geng kita, jadi kita nak dekati mereka, bukan nak jauhkan diri daripada mereka," kata Nasir ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Program berkenaan diadakan di dua tempat iaitu di Dataran Masjid Negeri Kedah, Alor Star dan Dataran Jam Besar, Sungai Petani.

Ianya disertai 40 sukarelawan terdiri daripada pemuda negeri termasuk setiausaha pemuda negeri, Rosli Azmi dan setiausaha, Fadhil Nor Sahani.

Beliau memberitahu, program yang bermula jam 11.30 malam hingga 1 pagi itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada anak muda yang didekati.

"Kita akan teruskan program seperti ini pada waktu yang lain, contohnya pada malam sambutan tahun baru dan sambutan-sambutan tertentu,” ujarnya


Pegawai tentera jadi imam malam merdeka
Wartawan Kita

KOTA BHARU, 1 Sept: Tanpa menghirau Ramadan sambutan ambang kemerdekaan di tempat lain dipenuhi persembahan aneka muzikal dan letupan bunyi api, sebaliknya di Kelantan disendat dengan program keagamaan.

Bermula dengan program khatam al-Quran seramai 3,500 peserta diadakan selepas solat Asar di Qaryah Ramadan, Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV.

Kemudian majlis berbuka puasa perdana diadakan di bahagian dalam stadium yang diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ribuan hadir pada program tersebut termasuk Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias.

Selain itu Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, wakil-wakil rakyat, anggota keselamatan dan pegawai kerajaan.

Kelainan juga dapat disaksikan apabila solat Isyak dan hajat diimamkan pegawai tentera, Mejar Mohd Shukor Said dari 8 Briged Kem Pengkalan Chepa.

Situasi itu jarang berlaku sebelum ini apabila seorang pegawai tentera lengkap dengan pakaian seragam dengan pangkat tersemat di bahu menjadi imam solat.

Kemudian di tempat yang sama diadakan solat tarawih yang diimamkan Syeikh Ahmad Rejab Yassin dari Mesir. Suara nyaring bacaan ayat-ayat suci al Quran kedengaran di segenap penjuru stadium.

Suasana malam yang nyaman membolehkan orang ramai solat tarawih dengan selesa biar pun beralaskan rumput di padang stadium.

Sekali sekala angin bertiup agak deras sehingga mengangkatkan tikar tempat solat.

Situasi dalam stadium yang dipenuhi budak-budak berjubah di kalangan pelajar-pelajar sekolah tahfiz. Ramai juga lengkap dengan baju Melayu.

Manakala anggota tentera yang berpakaian seragam mengenakan kopiah turut menunaikan solat.

Program diteruskan dengan forum kemerdekaan yang bertajuk Ramadan ke Menghayati Kemerdekaan Sejati membariskan ahli panel iaitu anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, bekas pensyarah USIM, Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan bekas Adun Kuala Besut, Nik Zawawi Nik Salleh. Manakala Kamal Ashaari bertindak sebagai moderator.

Berakhir acara forum diadakan pula acara deklamasi sajak oleh pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Sulaimiah, Mohd Nor Aiman Azmi, 13.

Beliau pernah mewakili negara mendeklamasi sajak di Bangkok ketika berusia 9 tahun dalam pesta puisi Asean.

Kemudian diadakan pula pementasan pentomen oleh kumpulan dari Majlis Kebudayaan Kelantan yang bertajuk Suatu Ketika Dahulu Adalah Hari Ini.

Pentomen hampir sejam itu diarahkan Zed Zaidin, mengisahkan negara ketika di bawah penjajah sehingga mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Selepas itu tujuh anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja membawa Jalur Gemilang dan diserah kepada Menteri Besar di pentas utama.

Kelainan sekali lagi dapat disaksikan apabila tepat detik 12 malam, laungan azan dikemundangkan. Tiada letupan bunyi api seperti disaksikan di tempat-tempat lain.

Kemudian diikuti nyanyian lagu Negaraku di mana semua yang hadir berdiri.

Dan pada pagi semalam tidak diadakan perbarisan memandangkan umat Islam sedang berpuasa, biar pun program itu diadakan di negeri-negeri lain


Merdeka: Tiada lagi pasangan di tempat gelap
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 1 Sept: Keadaan sunyi sepi di Taman Tasik, dekat sini selepas jam 12 tengah malam semalam sebaik tamat laungan golongan muda menyambut tarikh kemerdekaan negara ke-53 membawa makna besar kepada pemerintahan Pakatan Rakyat.

Tinjauan sehingga 4 pagi mendapati tidak terdapat pasangan yang berdua-duaan di dalam gelap atas kerusi di bawah pokok menjadikan malam 21 Ramadhan berlangsung aman damai sehinggalah ke subuh hari.

Namun senario itu bukan terjadi dengan sendirinya tetapi ia adalah gabungan dari banyak usaha Kerajaan Negeri Selangor selama ini yang mengutamakan pembangunan modal insan yang dilaksanakan dalam program SPIES, sebagai contoh.

Malam tadi bermula jam 2 pagi, lebih dari 1,000 sukarelawan dari 24 bergabung tenaga untuk bertemu dengan semua pasangan dengan memberikan risalah berkaitan dengan fakta kelahiran luar nikah dan buang bayi.

Mereka bergerak di beberapa tempat tumputan golongan remaja yang sering berkumpul dan ada yang melampiaskan nafsu keinginan badaniah secara tidak halal antaranya di Sunway Paramid, Taman Tasik Shah Alam, Uptown Shah Alam, Dataran Shah Alam dan Dataran Kemerdekaan Shah Alam serta Tanjung Harapan, Pengkalan Batu di Klang.

Sebaik Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melancarkan Gerakan Kempen Anti Zina kepada Orang Islam Selangor selepas merasmikan Sambutan Kemerdekaan dan Penghayatan Ramadhan 2010 di I-City, kumpulan-kumpulan duta kasih sayang itu pun diberi taklimat dan bergerak.

Sepatah kata Khalid, inilah pertama kali gerakan seumpama ini dilakukan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor yang ditujukan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam juga diharapkan dapat menjauhi perbuatan begitu.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali berkata, merdeka holistik yang diharapkan meliputi kejayaan memerdekakan minda, fizikal dan spiritual.

Menurut Pengarah Kempen Anti Zina 2010, Aszmi Anuar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjaama terbaik sehingga program berjalan dengan lancar.

"Meskipun gerakan kita dengan 24 NGO namun ada juga kumpulan yang bergerak dahulu menjadikan jumlah kumpulan yang bersama malam tadi sekitar 40 NGO dan ini merupakan satu kejayaan bersama.

"Kita berikan mereka peringatan kepada anak-anak muda itu, ramai yang menerima dengan baik dan pulang, namun ada juga yang melawan sebab mereka berhujah, 'ibu bapa benarkan mereka keluar dengan pakaian singkat'.

"Kerjasama pihak polis, MBSA dan Jais malam tadi serta sokongan banyak pihak dapat kita basmikan gejala sosial yang kini banyak menimbulkan anak luar nikah dan buang bayi, inilah gerakan anti zina yang menjadi matlamat agar masyarakat menjadi lebih baik selepas ini," tegasnya

Tiada ulasan: