Khamis, 2 September 2010

POLITIK MALAYSIA

Kamera intip berjaya rakam wajah dalang
Sep 2, 10 1:18pm
Beberapa individu dikenal-pasti dalam rakaman video yang dijumpa dalam 'kamera intip' yang ditemui di pejabat menteri besar Selangor pada awal bulan lalu.

Pada sidang media di Shah Alam hari ini, setiausaha politik kepada menteri besar, Faekah Husin berkata mereka yang dikenalpasti itu bekerja di tingkat yang sama dengan pejabat menteri besar di bangunan setiausaha kerajaan negeri.

“Daripada siasatan dalaman, terdapat beberapa wajah dan suara yang dikenal-pasti dari rakaman video itu. (Tetapi) kita tidak bercadang mendedahkan butirannya (sekarang),” katanya.

“Sesetengah mereka sepatutnya berada di sana, tetapi ada juga yang tidak sepatutnya berada di sana.”

Pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat penemuan 'kamera intip' itu akan berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim esok untuk menentukan tindakan selanjutnya.

Faekah berkata pasukan petugas itu perlu mendapatkan kelulusan daripada Khalaid sebelum boleh menyoal-siasat mereka yang dikenal-pasti dalam rakaman video itu.

"Kami perlu menyiasat mereka bagi menentukan siapa di sebalik perkara itu,” katanya.

Menurut Faekah, rumusan awal siasatan mendapati mereka yang terbabit itu cuba menjadi “nakal dari segi politik.”

Beliau juga mendedahkan tiga pegawai polis berjumpa dengannya pagi ini tetapi mengesahkan belum ada laporan polis yang dibuat.

Sebelum ini, Khalid berkata pasukan petugas berkenaan akan diberi masa menyiasat terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada polis









Lim: Palsukan gambar, kerja keji
Susan Loone
Sep 2, 10
12:53pm

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan gambar palsu menunjukkan beliau sedang menyembelih lembu korban untuk umat Islam sebagai “satu lagi perbuatan jahat yang terdesak” yang keji oleh pihak yang mahu merosakkan imejnya.

Lim berkata gambar yang disebarkan secara meluas di Internet itu adalah perbuatan mereka yang ketandusan idea dan tidak bermoral. Gambar palsu yang menggunakan teknik super impose itu dipercayai didalangi oleh penulis upahan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'PAS Beruk'.

Kata Lim, mereka yang terbabit itu adalah “pembohong bersiri” yang menggunakan teknik yang dipelopori oleh menteri propaganda Jerman, Joseph Goebbels ketika era rejim Nazi, Adolf Hitler yang cuba menyediakan rakyat dari segi psikologi menghadapi peperangan dan pemusnahan tamadaun manusia.

"Tetapi mereka telah melakukannya berulang-kali sehingga rakyat tidak lagi mempercayai pembohongan mereka,” kata Lim kepada Malaysiakini tanpa menuduh sesiapa.

"Namun, kita tidak boleh kata bukan semua orang mempercayai pembohongan seperti itu dan propaganda berkenaan kerana ada juga yang akan mempercayainya,” katanya.

Selasa lalu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh pemangku ketuanya Herman Samsudeen mengelaurkan kenyataan media mengutuk perbuatan itu.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kesal kerana Umno terus memainkan instrumen fitnah bagi memburukan imej PAS-Pakatan Rakyat, walaupun masih berada dalam bulan Ramadan," katanya.

Herman mendakwa gambar itu yang memaparkan Lim dengan tulisan: "Sanggupkah kita lihat jika jadi begini? Dalil apa lagi nak halalkan perbuatan DAP?" bertujuan melaga-lagakan pemimpin Pakatan Rakyat dan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam.

Katanya lagi, gambar Lim yang ditampal itu pada asalnya merupakan gambar menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Menyifatkan perkara itu sebagai keterlaluan dan sengaja mencetus sentimen agama, Herman berkata beliau kesal kerana budaya fitnah terus membiak dalam Umno walaupun pada bulan suci Islam.

"Gambar berkenaan sengaja direka dengan harapan rakyat melihat bahawa kerjasama PAS dan DAP kononnya merosakan Islam," katanya.

Sebelum ini, Lim yang juga setiausaha agung DAP diheret dengan kontroversi apabila didakwa mengarahkan namanya digunakan untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Lim yang jelas berang dengan gambar palsu itu berkata beliau kini bosan dengan fitnah dan pembohongan yang berterusan itu.

"Bila kita lakukan perkara baik, mereka tidak boleh terima dan langsung tidak melaporkannya seperti pemberian RM1,000 kepada keluarga yang meninggal dunia ataupun bayaran RM500 kepada kaitangan awam, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berikrar akan mencari mereka yang bertanggungjawab terhadap gambar palsu berkenaan dan telah mengarahkan pegawainya supaya menyiasat dan mengenal-pasti dalang berkenaan. [Baca berita penuh]Sementara itu, parti komponen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap gambar palsu itu, yang diedarkan melalui Internet.

Setiausaha Pemuda DAP negeri, Ng Wei Aik, yang membuat laporan itu bagi pihak gabungan tersebut di di balai polis daerah Jalan Patani hari ini, mendesak pihak polis menyiasat foto tersebut.

"Menukar (gambar) Nizar dengan Lim bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan berniat untuk merosakkan hubungan erat antara orang Islam dan bukan Islam," kata Ng yang juga ADUN Komtar kepada media selepas membuat laporan tersebut.

"Kami mendesak pihak polis supaya menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan perlu terhadap pencipta gambar itu, yang menyebarkan kebencian terhadap ketua menteri," tambahnya.


Faekah: Lebih baik Khir Toyo diam...
Hazlan Zakaria & Salhan K Ahmad
Sep 2, 10
2:58pm

Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sebaiknya berdiam diri saja kerana dakwaan yang ditimbulkannya terhadap pentadbiran Selangor hanya akan memakan diri sendiri, kata setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Faekah Husin.

Faekah mendakwa banyak masalah yang berlaku di negeri itu pada masa sekarang sebenarnya berpunca daripada keputusan yang dibuat sewaktu pentadbiran Khir Toyo.

Faekah memberi contoh, keadaan itu boleh dilihat dalam isu melibatkan pembahagian tanah kepada peneroka di sebuah tanah rancangan di Bandar Alam Perdana, Kuala Selangor.

Jelasnya, peneroka berkenaan telah memohon untuk mendapatkan geran kecil bagi tanah seluas antara 60 hingga 120 ekar itu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa individu yang mengemukakan injunksi di mahkamah bagi menghalang geran berkenaan dikeluarkan.

"Di sinilah bermula komen-komen negatif itu. Jadi kerajaan negeri kena jawab dan cari apakah punca masalah sebenar," katanya lagi.

Tambahnya, beliau telah membuat siasatan dan terkejut apabila mendapati terdapat antara pemilik tanah tersebut merupakan pemimpin Umno di negeri itu.

"Sangat malang apabila saya terjumpa beberapa nama. Doktor gigi pun ada yang jadi peneroka Felda," katanya yang telah menyiasat nama pemilik tanah berkenaan.

Beliau juga mendedahkan mengenai amalan pemberian bonus oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada menteri besar.

"Tidak hairanlah isu bonus menjadi fokus apabila kita timbulkan isu kecurian pasir," kata Faekah lagi dalam satu temubual dengan Malaysiakini semalam.

Katanya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berang apabila diberitahu bahawa beliau diberi bayaran sebanyak RM135,000 oleh syarikat milik kerajaan negeri itu.

Faekah berkata, beliau kemudiannya diarahkan oleh Khalid untuk menyiasat siapakah yang memberi arahan untuk meluluskan bayaran berkenaan dan apakah prosedur yang telibat.

Faekah kemudiannya berkata, beliau telah menghubungi pegawai kewangan PKNS yang menjelaskan bahawa pemberian bonus kepada menteri besar merupakan amalan biasa sejak pentadbiran terdahulu.

"Sebab itu saya kata, kalau saya jadi Khir Toyo saya akan berdiam diri sahaja," kata Faekah lagi




'Terkejut' diberitahu saham Realmild milik Umno'
Hafiz Yatim
Sep 2, 10
3:44pm

Bekas pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin memberitahu bahagian perdagangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau terpaksa menanggung kerugian RM40 juta apabila 7.101 juta saham dalam Realmild (M) Sdn Bhd yang didakwa dibelinya adalah kepunyaan Umno.

abdul rahman maidinRealmild adalah syarikat yang memiliki majoriti saham dalam konglomerate Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB).

Rahman yang satu ketika dahulu pengarah Realmild apabila beliau membeli kepentingan keseluruhan dalam syarikat itu -menghadapi saman komersial RM10 juta yang difailkan oleh seorang lagi bekas pengarah syarikat berkenaan Datuk Khalid Ahmad.

Rahman berkata beliau dimaklumkan dan diarahkan oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada akhir 2001 untuk memindahkan semua saham atas namanya kepada nama Datuk Seri Syed Anwar Jamalullail tanpa sebarang soalan.

“Saya diberitahu bahawa saham Realmild adalah kepunyaan Umno. Saya amat terkejut kerana tidak pernah mengetahui bahawa Umno adalah pemilik sebenar saham-saham itu.”

“Saya mengambil-alih saham Realmild semata-mata berdasarkan pandangan dari sudut korporat dan perdagangan. Saya mencari dana untuk tujuan memiliki saham berkenaan melalui keupayaan kewangan saya dan tanpa bantuan daripada sebarang entiti politik,” kata Rahman ketika menjawab soalan peguamnya, Alex de Silva.

Apabila disoal-balas oleh peguam Khalid - Ahmad Fadzil Mohd Perdaus - mengapa beliau tidak mengambil tindakan ke atas anak guamnya dan tiga lagi pengarah Realmild yang mana beliau membeli saham berkenaan, Rahman berkata beliau mempercayai perdana menteri (ketika itu).

“Lagipun, saya tidak mahu membuat apa-apa yang boleh mengheret perdana menteri. Sebab itu saya tidak meneruskan tindakan lanjut,” katanya



Laporan polis dakwa PM hina mahkamah
Abdul Rahim Sabri
Sep 2, 10
12:12pm

Seorang pemimpin PAS Negeri Sembilan membuat laporan polis terhadap ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa mengandungi unsur menghina Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan kes saman peneroka Felda kemahang Tiga di Kelantan.

Turut dinamakan dalam laporan polis itu ialah Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Yusoff Nor.

Laporan tersebut dibuat oleh yang dipertua PAS Jempol, Abd Rahman Ramli di balai polis Dang Wangi di ibunegara pada kira-kira jam 10.45 pagi.

police report against pm najibBeliau diringi oleh naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman serta pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar dan tiga peneroka Felda jempol.

Dalam laporannya, Abd Rahman mendakwa, Najib membuat ucapan tersebut ketika berbuka puasa dengan peneroka Felda Gugusan Serting, Negeri Sembilan pada 26 Ogos di Masjid Bandar Seri Jempol.

Beliau mendakwa perdana menteri dilaporkan oleh media sebagai berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah kerana peguam yang mewakili Felda tidak hadir, dan bukan disebabkan olen penipuan.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang Tiga kerana menipu mereka berhubung gred buah kelapa sawit.

Dalam laporan polis itu, Abd Rahman mendakwa kenyataan Najib bahawa beliau akan pastikan perbicaraan kes yang serupa di masa akan datang bakal dimenangi Felda adalah "suatu campurtangan dan ugutan kepada badan kehakiman kerana beliau adalah perdana menteri".

Dalam aduannya juga, Abd Rahman turut memetik laporan kenyataan Ahmad yang mendakwa "keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan ini bukan disebabkan oleh wujudnya penipuan, konspirasi dan sebagainya di pihak Felda seperi yang didakwa oleh sesetengah pihak".

Sehubungan itu, Abd Rahman mendakwa kenyataan ahli parlimen Pontian itu adalah "ungkapan melampau, biadap dan tidak menghormati keputusan mahkamah".

"Keputusan hakim akan dibuat berasaskan fakta kes dan tidak wajar dipertikaikan. Bahkan perbicaraan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, barisan peguam Felda hampir 10 orang yang hadir.

"Jadi tidak timbul sama sekali Felda kalah kerana peguam mereka tidak hadir," laporan polis itu dipetik



Khidmat untuk masyarakat: Faekah lepas firma guaman
Hazlan Zakaria & Salhan K Ahmad
Sep 3, 10
1:26pm

Selepas 20 tahun menjadi peguam, Faekah Husin terpaksa melepaskan pegangan dalam firma guamannya Faekah & Chong setelah dilantik sebagai setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, beliau terpaksa berbuat demikian kerana Abdul Khalid Ibrahim mahu pegawainya bebas daripada sebarang konflik kepentingan.

Faekah juga berkata, beliau tidak pernah menimbulkan soal gaji dalam menjalankan tugasnya. Malah, selepas beberapa bulan bekerja, Faekah berkata beliau tidak memperdulikan bayaran gaji yang patut diterima sebagai pegawai kerajaan gred Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) C.

"Saya masih ada simpanan tunai dan beberapa buah rumah yang boleh dijual," katanya yang menganggap tugasnya dalam pentadbiran Selangor sebagai satu "khidmat masyarakat."

Katanya, pandangan itu juga dikongsi oleh Abdul Khalid yang mampu meraih pendapatan sehingga RM1.5 juta setahun sekiranya masih bergiat dalam sektor korporat.

Singkir pegawai kerajaan

Menurutnya lagi, cabaran utama yang dihadapinya dalam menjalankan tugas seharian ialah mengubah tanggapan, bukan saja di kalangan masyarakat dan anggota parti, malah di kalangan warga pentadbiran Selangor.

Katanya, kerajaan Pakatan Rakyat tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam menyingkirkan para pegawai yang tidak menyokong aspirasi politik mereka.

"Tugas saya ialah menarik mereka kepada kita. Dalam pertemuan saya yang pertama dengan kakitangan di sini, saya beritahu mereka (bahawa) kalau bukan kerana sokongan mereka, kita tidak akan berjaya tubuhkan kerajaan.

Tambahnya lagi, beliau juga perlu mengubah persepsi di kalangan anggota parti bahawa pegawai kerajaan negeri akan menjalankan sabotaj ke atas dasar-dasar yang ingin dijalankan mereka.

"Tapi sekarang saya juga seorang pegawai kerajaan, Macam mana anda boleh kata saya ingin sabotaj parti?," soalnya.

Beliau mengakui terdapat beberapa individu yang mahu menimbulkan masalah, namun tuduhan tersebut tidak boleh dilemparkan kepada kesemua pegawai kerajaan negeri.

Amalan berbeza

Tambahnya, dalam menjalankan usaha tersebut, kaedah penyampaian kepada rakyat perlu berbeza daripada amalan BN sebelum ini.

Beliau memberi contoh, antara amalan BN ialah menggunakan isu pemberian geran tanah sebagai medium tawar-menawar dengan para pengundi menjelang pilihan raya.

"(Sebaliknya) kita akan beri dahulu. Kalau mereka undi kita, alhamdulillah. Kalau mereka tidak undi pun, mereka masih dapat tanah itu," katanya lagi.

Faekah turut mengakui wujudnya keresahan di kalangan pengusaha bumiputera yang tidak lagi mendapat projek-projek selepas Pakatan Rakyat mengambil alih.

"Apabila pentadbiran (didakwa) tidak adil, maka wujudlah perasaan tidak puas hati antara mereka. Makin lama (perasaan ini) makin tebal. Sama ada ia dimainkan oleh ahli politik yang jumud ini (atau tidak), bunga-bunganya kita sudah nampak," katanya lagi.

Tambahnya, keadaan itu boleh dilihat melalui kemunculan NGO pro-Melayu seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan melalui pandangan daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS).

Ditanya sekiranya NGO berkenaan mempunyai alasan yang wajar dalam menyuarakan rungutan mereka, Faekah berkata perkara berkenaan tidak dapat dikenalpasti memandangkan kumpulan berkenaan enggan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.Tolak jemputan

Tambahnya, isu melibatkan kontraktor kelas F juga tidak timbul kerana projek berkenaan disalurkan melalui Kementerian Kewangan.

"Kita hubungi (DPMMS), kita hantar surat untuk meminta mereka ambil bahagian dalam Pelan Pembangunan Selangor dan juga dalam sesi dialog bajet. Tapi mereka tolak jemputan itu tanpa apa-apa sebab. Kemudian di depan sultan pula dalam satu majlis berbuka (Tan Sri Rozali, pengerusi DPMMS) kata Melayu dipinggirkan (di Selangor).

"Kita panggil untuk perbincangan untuk kenalpasti apakah masalah mereka. Kalau mereka hendak bandingkan dulu dengan sekarang, dulu ada unsur-unsur favouritism. Kebanyakan daripada (syarikat tersebut) ada kaitan politik dan disokong kerajaan.

"Sekarang kita ketepikan amalan ini, tapi kita tidak ketepikan kumpulan tersebut. Ada syarikat yang 100 peratus bumiputera, apabila kita tolak permohonan mereka, mereka kata 'ini sebab kerajaan negeri hendak balas dendam.' Tetapi ada yang kita terima," katanya lagi

Tiada ulasan: