Ahad, 1 Januari 2012

MAHA AGONG ALLAH SWT..MENCIPTA UNDANG2 UNTUK KEBAIKAN MAKHLUK..MANUSIA MENCIPTA UNDANG2 UNTUK MENYELAMAT DIRI DAN KUASA...SEDARLAH KITA AKAN MATI

Insiden UPSI: Hishammuddin, KPN bertanggungjawab | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 Jan: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan terhadap mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang ingin menuntut pihak universiti menggugurkan kes Adam Adli dan bantahan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samudin berkata, PKPIM difahamkan mereka yang terlibat dalam dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang dan beberapa mahasiswa cedera parah dan luka di badan sementara beberapa pimpinan mahasiswa ditahan oleh pihak polis awal pagi tadi.

“PKPIM berpandangan tindakan polis termasuk FRU yang meleraikan mahasiswa secara ganas pada awal pagi ambang tahun baru akan menimbulkan polemik baru yang tidak berkesudahan kerana tindakan seumpama ini tidak bertepatan dengan hasrat transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merangkumi langkah-langkah mengukuhkan lagi demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat sesuai dengan tuntutan generasi mahasiswa hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Seharusnya, kata beliau sebarang perbezaan pandangan serta kritikan perlu diraikan serta diberikan ruang dengan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, ujarnya PKPIM melihat isu itu juga berkait langsung dengan kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 kerana kandungannya bercanggah dengan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk warganegara mengadakan perhimpunan aman.

PKPIM juga, katanya memandang berat serta menolak pemusatan kuasa serta budi bicara untuk polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat tambahan yang difikirkan perlu atau sesuai sepertimana yang terdapat alam Fasal 15, di samping kuasa dalam Fasal 21 yang membolehkan polis untuk menggunakan segala kuasa serta kekerasan untuk menyuraikan sesebuah perhimpunan yang telah terbukti di dalam kejadian yang menimpa mahasiswa di UPSI awal pagi tadi.

“PKPIM merasakan bahawa bahawa tragedi mahasiswa di ambang 2012 ini sekiranya tidak diselesaikan dengan baik akan membuka ruang lebih banyak ruang untuk sebarang penyalahgunaan kuasa atau budi bicara pihak yang berkenaan akibat dari ketiadaan peruntukan yang jelas untuk mengawal serta menghadkan kuasa serta budi bicara pihak polis dalam mengawal serta menyuraikan sesebuah perhimpunan aman pada masa akan datang,” katanya lagi.

Justeru, PKPIM mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bertanggungjawab dengan insiden ini dengan tampil memohon maaf dan memberikan penjelasan secara terbuka kepada seluruh mahasiswa dan rakyat demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia.


PPMM gesa buka kertas siasatan kekerasan di UPSI | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 Jan: Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) amat terkejut dengan peristiwa kekerasan yang berlaku terhadap mahasiswa yang berdemonstrasi di UPSI Tanjung Malim semalam sehingga ramai yang ditahan dan beberapa orang dilaporkan cedera parah.

“PPMM menegaskan bahawa hak untuk berkumpul adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mengikut lunas-lunas undang-undang yang ditetapkan.

“Sekiranya pun demonstrasi tersebut tidak dilakukan mengikut lunas undang-undang pihak berkuasa seharusnya menangani isu ini dengan lebih berhemah dan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ada,” ujar presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar kepada Harakahdaily.

Katanya, kekerasan di pihak berkuasa perlu dihindarkan melainkan dalam keadaan yang langsung tidak dapat dielakkan.

PPMM, ujarnya amat sedih dan kesal atas kejadian itu kerana seharusnya insiden itu ditangani dengan menjunjung nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

PPMM juga, katanya menggesa mahasiswa yang sedang diberi rawatan atas kecederaan yang dialami diberikan rawatan terbaik bagi memulihkan kesihatan mereka dan bagi mahasiswa yang ditahan dibebaskan dengan segera.

Beliau berkata, sekiranya pihak berkuasa berpandangan ada berlaku perlanggaran undang-undang mereka bolehlah didakwa di mahkamah dan diberi hak membela diri sepenuhnya.

PPMM juga, tambahnya menggesa agar kertas siasatan juga dibuka oleh pihak berkuasa bagi menyiasat insiden itu dan sekiranya terdapat kekerasan yang melampaui undang-undang maka orang yang bertanggungjawab menyebabkan kekerasan sedemikian wajib dihadapkan ke mahkamah untuk diadili mengikut proses mahkamah dan diberi hak juga untuk membela diri sepenuhnya.

PPMM, kata beliau amat khuatir jika insiden yang berlaku di luar negara menjadi pemangkin kepada pihak berkuasa melaksanakan tindakan mereka.

“Insiden sebegini adalah salah satu insiden yang mencemarkan imej negara dari perspektif dunia.

“Insiden ini juga menzahirkan sistem demokrasi yang semakin disanggah oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Justeru, PPMM menyeru pihak berkuasa agar tidak bertindak melampaui batas perundangan yang digariskan di dalam menangani isu-isu sebegini.

Menurutnya lagi, mahasiswa adalah golongan muda yang akan menggalas tanggungjawab pimpinan negara pada masa hadapan.

Mereka, katanya perlu didekati dan disantuni walaupun dalam keadaan perbezaan pandangan dengan mana-mana pihak.

“Mereka perlu dibimbing, dididik dan diselami jiwa mereka bukannya dilayani dengan kekerasan. Mahasiswa adalah agen perubahan dan aset kepada negara.

“Oleh hal yang demikian adalah amat wajar pihak berkuasa menangani isu mahasiswa dengan lebih berhemah dan penuh hikmah,” katanya lagi.

Tambahnya, segala tindakan pihak berkuasa hendaklah berasaskan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam norma dan tatasusila budaya masyarakat Malaysia.


PRU 13: Bersatu tamatkan keangkuhan Umno BN | Print |
Johari Jaafar

IPOH, 1 Jan: Pilihanraya umum ke 13 yang dijangka pada pertengahan bulan Mac ini begitu penting kepada rakyat negara ini bagi membuat perubahan besar menamatkan keangkuhan dan kezaliman Umno BN sepanjang 54 tahun memerintah negara ini.

Oleh itu, seluruh rakyat perlu bersatu bersama Pakatan Rakyat menumbangkan Umno BN pada pilihanraya umum ini bagi menyelamatkan negara dan rakyat negara ini daripada kehancuran dan kezaliman.

"Kita perlu bersatu dalam menuju ke Putrajaya, PAS bersendirian tidak mampu untuk ke Putrajaya, begitu juga PKR dan DAP tidak memampu ke Putrajaya jika bersendirian, kita perlu bersatu bersama Pakatan rakyat dalam memastikan langkah ke Putrajaya berjalan dengan baik, kerana itu orang Melayu, Cina dan India mesti besatu untuk kita meranapkna Umno BN melalui undi dalam pilihanraya ini," kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub ketika berucap merasmikan pelancaran Dewan Himpunan Penykong PAS Negeri Perak di Dewan Budaya Jaan Tun Perak di sini semalam.

Rakyat negara ini telah memberikan masa yang panjang untuk Umno/BN memerintah negara ini, ternyata BN gagal mentadbir dengan baik dan banyak melakukan ketidakadilan dan kezaliman kepada rakyat serta menjuruskan negara ini ke arah kehancuran.

Menurut beliau, rakyat pelbagai kaum di negara ini mesti berani membuat perubahan besar dalam menyelamatkan negara demi masa depan genarasi yang akan datang.

"Angin perubahan telah pun berlaku di negara Amarika Syarikat dan juga negara negara Arab, sudah sampai masanya angin perubahan itu melanda negara ini, rakyat perlu bersatu untuk kit buat perubahan besar melalui undi dalam piihanraya umum ke 13 ini, jika rakyat berani membuat perubanan ini Umno/BN adalah terlalu kecil untuk kita tewaskan," tegasnya disambut dengan tepukan bergemuruh daripada hampir 300 orang ahli Dewan Himpunan Pemyokong PAS negeri Perak yang memenuhi dewan tersebut.

Sehubungan itu beliau yakin Dewan Himpunan Penyokong PAS di seluruh negara mampu menggerakkan masyarakat bukan Islam untuk bangkit membuat perubahan besar kepada politik negara.

Turut berucap memyuntik semangat ahli ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri Perak pada pelancaran itu Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Penerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chaw, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein, Pengerusi Lajnah Perpadan Nasional PAS Perak, Mohd Zainudin Mohd Yusof, Penerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Beh Heng Kin, Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar dan Setiausaha DHPP Perak, Naliraja a/l Sengadam.


Tahun baru 2012 tercemar | Print |
Nasrudin Hassan

1. Tahun Baru 2012 dikotori oleh keganasan dan kezaliman melampau apabila sekumpulan mahasiswa yang dipercayai kena belasah oleh Polis. Safwan Anang Talib Timbalan Presiden GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS , Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademi atau BEBAS AUKU cedera parah dan kini [saat artikel ini ditulis] masih mendapat rawatan kecemasan di wad kecemasan Hospital Slim River Perak.

2. Sementara 17 orang mahasiswa yang lain masih ditahan dalam Lokap di IPD Tanjung Malim dan seorang yang lain cedera dan pecah di bahagian kepala.

3. Saya beri masa kepada pihak kerajaan dan juga PDRM sehingga jam 12 tengahari ini [ 5 jam dari sekarang ] agar semua tahanan itu dibebaskan. Mereka juga mesti mengambil tanggungjawab jika sesuatu yang buruk berlaku kepada mahasiswa khasnya Timbalan Presiden GAMIS yang masih dirawat dalam wad kecemasan di Hospital Slim River.

4. Sungguh zalim dan kejam tindakan mereka ke atas anak - anak muda yang hanya berhimpun untuk menyuarakan isi hati mereka di UPSI lewat malam tadi. Apakah mereka sedang menguji kebangkitan anak muda ? apakah mereka mahu menguji kesabaran anak muda ?

5. Dewan Pemuda PAS Malaysia membantah dan mengutuk sekerasnya tindakan kejam ini. Saya harap seluruh pemuda dari seluruh negara bersedia. Mulakan detik ini untuk bermunajat kepada Allah swt agar saudara Safwan kembali pulih dan 17 mangsa tahanan di bebaskan menjelang jam 12 tengahari ini. [5 jam dari sekarang] Jika tidak satu himpunan besar anak muda akan diadakan bagi mendesak pembebasan mahasiswa dan pihak polis yang terlibat melakukan kekasaran ini mestilah disiasat dan diambil tindakan tegas.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: