Isnin, 2 Januari 2012

BODOH MACAM LEMBU ..BAGUS LAGI SEBAB HAMPIR KEPADA TAAT...JANGAN BODOH MACAM LEMBU...JADI TUNGGANGAN SYAITAN AGAR BERBUAT MAKSIAT...

Pembina gesa hentikan keganasan
Aizuddin Khalid

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) merasa kesal dengan tragedi buruk yang berlaku antara polis dan sekumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tg. Malim pada awal pagi 1 Januari 2012.

Difahamkan sekumpulan 60 mahasiswa telah berkumpul untuk membantah dan menyeru pemindaan AUKU serta menuntut pengguguran hukuman UPSI ke atas Adam Adli. Setelah diberi ruang untuk berucap, mahasiswa yang enggan bersurai dilaporkan telah berdepan dengan penahanan dan tindakan bersurai secara kasar oleh pihak polis. Akibat insiden tersebut, 2 orang dilaporkan cedera termasuk Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan Anang, penganjur perhimpunan tersebut, manakala 17 lagi siswa ditahan di lokap dan kemudiannya dibebaskan petang tadi.

PEMBINA berpendirian bahawa sebarang bentuk kekasaran atau reaksi melampau dari mana-mana pihak adalah tidak perlu dalam apa jua keadaan. Sebarang bentuk provokasi juga adalah tindakan yang tidak berhemah dalam keadaan demonstrasi yang cukup tegang.

Dalam hal ini, UPSI sepatutnya mampu untuk berperanan lebih sebagai institusi pengajian tinggi yang matang, dimana pihak UPSI sepatutnya berinteraksi dan berunding dengan pelajar-pelajar ini dan tidak semata-mata berlepas tangan dengan menyerahkan urusan mereka kepada polis dan anggota keselamatan.

Amat mengejutkan juga bahawa polis tergamak mengambil tindakan kasar ke atas mahasiswa yang akhirnya menyebabkan keadaan bertambah buruk. Tindakbalas ini bertentangan dengan peranan polis sebagai badan penjaga keamanan negara. Polis sepatutnya menggunakan kebijaksanaan dalam mengawal mahupun menghadapi kemarahan mahasiswa yang sedang berdemonstrasi, bukan bertindak ganas dan menghilangkan rasa hormat mahasiswa terhadap pihak berkuasa.

Di samping itu, mahasiswa perlu sentiasa menjaga etika ketika melaungkan isu dan berdemonstrasi dan tidak sengaja menimbulkan provokasi terhadap polis yang boleh mengundang padah. Mahasiswa juga perlu menunjukkan kematangan dan bekerjasama untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Dalam kes ini, PEMBINA bersimpati dengan nasib mahasiswa yang terpaksa mengharungi peristiwa buruk ini lebih-lebih lagi pada malam tahun baru dan musim peperiksaan institusi pengajian tinggi.

Selain itu, golongan politik diingatkan supaya tidak menjadi batu api dan mengambil kesempatan dalam kesucian perjuangan isu mahasiswa. Mahasiswa juga mesti bersikap bijak bagi mengatasi politik sentimen dan partisan agar tidak mudah diperkuda mana-mana pihak. Mahasiswa perlu membuktikan kematangan dan kesediaan mereka untuk berjuang dalam keterbukaan berpolitik sekiranya AUKU dipinda dengan tidak mudah terikut-ikut dengan budaya provokatif dan sandiwara politik.
PEMBINA juga ingin menzahirkan kerisauan ke atas peritiwa ini yang menunjukkan tanda-tanda mahasiswa mula mengadaptasi budaya "anti-establishment". Jika benar ini berlaku, ia adalah berita buruk, yang mana tidak kira siapa memerintah negara, jalanan akan dipenuhi dengan protes dan apa sahaja sistem yang dibuat akan sentiasa disanggah. Akibat paling buruk adalah umat Islam di Malaysia akan terus bertelagah. Tidak akan ada rahmat dalam tuntutan dan pergelutan akan menjadi norma.

Oleh yang demikian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajib menyiasat dan memperhalusi punca peristiwa berdarah ini. Mahasiswa perlu diberikan hak untuk menyatakan hujah mereka mengambil tindakan berdemonstrasi manakala pihak berkuasa juga perlu diberikan peluang untuk mempertahankan tindakan yang diambil terhadap kumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi tersebut. Sekiranya terbukti mana-mana pihak bersalah dalam hal ini, tindakan perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang. Rakyat Malaysia menuntut penjelasan di atas kejadian ganas ini, lebih-lebih lagi dalam semangat tahun baru dimana setiap warganegara mengharapkan negara yang lebih aman dan tenteram.

Oleh itu, PEMBINA menyeru agar perkara ini tidak diperpanjangkan dan diselesaikan dengan cara yang baik, waras dan bertamadun. PEMBINA berpegang bahawa jalan yang aman perlu sentiasa diutamakan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan sesama Muslim. Sentiasalah membuka pintu perbincangan kerana bersama musyawarah itu akan hadir rahmat Allah SWT yang mampu menyejukkan api kemarahan. Cabaran yang perlu dihadapi dalam memperjuangan bangsa, agama dan negara masih jauh dan panjang, dan sudah tentu golongan mahasiswa merupakan aset penting dalam melakar masa depan. Kita meyakini bahawa akhirnya Islam adalah penyelesaian yang terbaik, jauh lebih baik dari segala bentuk acuan perubahan yang disebarkan oleh Barat.

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." [49:10]

Penulis adalah Naib Presiden I Ketua Penerangan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)


Papisma mohon polis bersikap profesional

Dr Awisul Islah Ghazali, Presiden Papisma

Sekali lagi negara dikejutkan dengan tindakan kekasaran yang tidak seharusnya dilakukan oleh pihak polis ke atas seorang pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) apatah lagi ianya berlaku di permulaan tahun baru masehi ketika seluruh rakyat Malaysia menanam azam dan cita-cita ke arah kebaikan dan kejayaan untuk diri dan keluarga.

Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) merakamkan rasa dukacita, kesal dan kecewa dengan apa yang telah berlaku ke atas Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang Talib yang dilaporkan patah tulang rusuk akibat tindakan pihak polis, manakakala beberapa orang lagi cedera hanya kerana menganjurkan perhimpunan yang disertai tidak sampai 100 orang di hadapan UPSI yang tidak langsung berunsurkan jenayah atau menimbulkan apa-apa bahaya kepada orang awam.

Saat di mana beribu-ribu rakyat seluruh negara dibiarkan bermaksiat sepanjang malam menyambut pesta hedonism tahun baru, mengotori setiap ceruk negara bukan sahaja dengan sampah sarap bahkan akhlak hina, pihak bkuasa rela utk menafikan hak sekumpulan lagi rakyat Malaysia yg ingin berhimpun aman, tanpa apa sekelumit nilaian maksiat di bumi UPSI.

Adakah ini definisi kebebasan bersuara di negara kita? Hak maksiat diraikan, hak bersuara dibisukan?

Apa yang dilakukan oleh pihak polis ini telah melanggar kebebasan hak asasi sebagai rakyat malaysia yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian II, Perkara 10 Fasal (1) a dan b.

Pada pandangan kami ianya memalukan badan profesional dan penjawat awam di negara kita Malaysia.

Ia memberi gambaran seolah-olah para penjawat awam ini tidak mempunyai kelayakan yang cukup untuk melakukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dan adakalanya boleh bertindak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka.

Tambahan lagi orang yang dikasari adalah rakyat Malaysia sendiri yang sedang menuntut ilmu di menara gading pula, iaitu kelompok yang lebih banyak menggunakan minda daripada menggunakan kekuatan tulang empat kerat.

Sebagai NGO Profesional, kami menyeru pihak polis agar lebih bersikap profesional dengan mengaku bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku dan segera memohon maaf kepada pihak mangsa, ibu bapa mangsa dan seluruh rakyat Malaysia kerana tindakan mereka telah mencemarkan nama Malaysia di mata dunia apatah lagi setelah Perdana Menteri melaungkan transformasi ke arah kebebasan berhimpun serta slogan keramat yang didendangkan setiap hari, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.


Jangan jadi seperti orang suruhan Umno

Aslani M

KOTA BHARU, 2 Jan: Apakah menyampaikan maklumat berkenaan isu semasa kepada rakyat dianggap salah, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Rusdi Mohd Zain.

Sedangkan kata beliau Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai pelbagai media termasuk dibiayai dana rakyat bagi menyampaikan propaganda mereka kepada rakyat.

”Tidak masuk akal kalau difikir secara matang apabila anggota AMK mengedar risalah isu semasa termasuk berkaitan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim disiasat mengikut Seksyen 4 (b) Akta Mesin Cetak.

”Bagaimana penyebaran video lucah oleh blogger Papagomo. Mengapa tidak diambil apa-apa tindakan, sedangkan kami sekadar membawa risalah terus ditahan,” katanya di sini.

Sabtu lalu Ketua AMK negeri, Mohd Azihan Che Seman ditahan bersama tiga lagi di sekatan jalan raya di Kuala Krai kerana memilik risalah berkaitan kronologi perbicaraan liwat II.

Mereka ditahan ketika menyertai konvoi penerangan AMK yang bermula di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV dalam perjalanan menuju ke Gua Musang.

Satu kumpulan lagi dikepalai Ketua Penerangan PKR Kelantan Roslan Puteh pula ditahan di Tanah Merah ketika sedang mengedar risalah tersebut di sebuah pasar.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung pengedaran risalah terbabit.

Rusdi berkata, AMK kecewa tindakan polis menahan anggota KeADIlan Kelantan yang menyertai program jelajah bagi menjelaskan isu semasa kepada rakyat.

“Adakah usaha itu merupakan satu kesalahan. Penahanan Ketua AMK dan anggota PKR semasa perjalanan ke Gua Musang tidak manasabah.

”Apakah membawa risalah Datuk Seri Anwar menjadi satu kesalahan serius. Kami minta pihak berkuasa keselamatan jangan menjadi seperti orang suruhan Umno,” ujarnya.

Oleh itu menurutnya biar pun cuba dihalang AMK tetap meneruskan perjuangan menuntut keadilan untuk rakyat.


Insiden UPSI: Umno BN mesti undur | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 2 Jan: Mahasiswa akan memilih kerajaan baru dalam pilihan raya umu ke-13 nanti, justeru Umno BN mesti berundur.

Demikian ditegaskan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan polis terhadap para mahasiswa yang berhimpun di Universiti Perguruan Sultan Idris, awal pagi semalam.

“Mahasiswa mahukan perubahan, kali ini mahasiswa dan anak muda akan membuat pilihan yang tepat.

“Kami akan memilih kerajaan baru dalam pilihan raya akan datang. Umno BN mesti berundur, mereka sudah tidak layak lagi mentadbir Malaysia dengan prestasi yang sangat buruk,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Mengenai insiden yang berlaku itu, beliau berkata, Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan mesti bertanggungjawab dengan insiden yang berlaku itu.

Justeru, katanya mahasiswa desak agar Ketua Polis Perak itu membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap anggota beliau yang memukul dan menerajang peserta demonstrasi.

Katanya, Shukri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan nafi berhubung dengan kejadian yang berlaku, yang menjelaskan lagi sifat tidak profesional pihak PDRM bekerja.

Menurutnya, mahasiswa bukan golongan penjenayah, mahasiswa hadir hanya berbekalkan suara dan kain rentang, pihak polis tidak wajar membuat kekerasan sedemikian

Selain itu juga, ujarnya mahasiswa mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Timbalan Presiden Gamis merangkap Pengerusi Bebas khususnya dan juga seluruh mahasiswa Malaysia umumnya atas kekasaran anggota polis itu.

“ Amaran keras kepada pentadbiran Malaysia, bahawa kecaman dan kekerasan yang dibuat oleh pihak polis tidak lagi menjadi halangan bagi seluruh mahasiswa bahkan ia menambahkan lagi semangat kami untuk terus bersatu dalam membebaskan mahasiswa daripada belenggu kezaliman,” tegasnya.

Beliau menambah, perjuangan mahasiswa menuntut kebebasan akademik juga akan terus membara di seluruh pelosok negara dan tidak sekali-kali akan terhenti.

Mahasiswa dakwa dikata 'bodoh macam lembu' | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 2 Jan: 17 orang mahasiswa yang ditahan pada Himpunan Kebebasan Akademik (Bebas) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam kelmarin, amat kesal dengan layanan pihak polis terhadap mereka sehingga mereka dikatakan 'bodoh macam lembu'.

Selain itu, mereka juga dimaki hamun oleh pihak polis dengan berbagai-bagai kata-kata lain yang amat menyakitkan hati antaranya termasuk "mahasiswa bodoh", "tak ada otak" dan "balaci".

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Abd Razab berkata, kata-kata seperti itu bukan sekali dilontarkan oleh pihak polis terhadap mereka, malah berkali-kali sepanjang berada dalam tahanan, terutama ketika proses soal siasat.

Menurutnya, sebelum itu mereka telah pun berhadapan dengan tindakan kekasaran pihak polis ketika menangani perhimpunan itu sehingga menyebabkan beberapa orang rakannya mengalami kecederaan.

Katanya, ketika tangkapan dilakukan pula, mereka dilayan seperti penjenayah dan turut digari serta dimasukkan ke dalam kenderaan polis dengan kasar.

"Patutkah polis memperlakukan kami seperti itu? Patutkah kami dimaki hamun seperti itu, digari dan dilayan seperti penjenayah, sedangkan kami bukan penjenayah," katanya yang juga salah seorang pelajar yang ditahan ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sambutan ketibaan tahun baru 2012 malam kelmarin dicemari insiden keganasan pihak polis yang bertindak memukul mahasiswa ketika cuba meleraikan mereka pada perhimpunan aman di hadapan UPSI.

Dua mahasiswa termasuk Timbalan Presiden Gamis merangkap Pengerusi Bebas, Safwan Anang Talib dilaporkan cedera parah.

Beliau dilaporkan patah tulang rusuk, patah gigi geraham terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Slim River.

Seorang lagi mahasiswa yang cedera parah, Amar Rasyidi dari Universiti Malaysa (UM) dilaporkan menerima beberapa jahitan di hidungnya yang koyak akibat dipukul.

Selain itu, 17 mahasiswa lain ditahan dan dibawa ke balai polis Tanjung Malim untuk disoal siasat, sebelum dibawa ke balai polis Slim River.

Antara mereka yang ditahan sekitar jam 4 pagi itu termasuk Ahmad Syukri Abd Razab; pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli; dua bekas Presiden SMM, Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Ismath.

Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan kira-kira jam 4.00 petang semalam dengan dibantu oleh peguam daripada Lawyer of Liberty (ILF).

Menurut Ahmad Syukri, tindakan kekasaran pihak polis terhadap mereka itu jelas menunjukkan sikap sebenar Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein yang langsung tidak menghormati hak rakyat negara ini untuk berhimpun secara aman dan hak mahasiswa untuk menyatakan pandangan.

"Tindakan sedemikian ke atas kami tidak akan berlaku jika tidak dengan persetujuan Datuk Hishammuddin yang bertanggungjawab terhadap polis sesuai dengan kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri," tegasnya.

Beliau juga amat kesal dengan kelemahan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana terus gagal melakukan perubahan di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini bagi kebebasan mahasiswa dan pemansuhan Auku, sehingga memaksa mahasiswa mengadakan perhimpunan seperti itu bagi menyatakan pandangan mereka.

"Saya juga amat kesal dengan tindakan Datuk Hishamuddin, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, pihak polis dan kerajaan yang jelas bersikap double standard ke atas kami, apabila pihak Umno dan Perkasa yang telah melakukan perhimpunan di hadapan UPSI sebelum ini tidak pula dilayan seperti kami.

"Malah perhimpunan daripada pihak Umno dan Perkasa itu ditangani dengan cukup lunak dan diberikan kerjasama yang cukup baik oleh pihak polis," ujar beliau.


Bayi 2011 dapat sumbangan kerajaan Pulau Pinang | Print |
Mohd Sabri Said

BUTTERWORTH, 2 Jan: Kerajaan Negeri memperuntukan RM5 juta kepada 20 ribu anak emas yang lahir sepanjang tahun 2011, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

(Lim Guan Eng bercakap sesuatu dengan adik Mhamad Amsyar Ridwan 7 bulan)

Peruntukan itu, katanya, diberikan tanpa ada apa-apa syarat.

Menurut beliau juga, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak mempunyai maksud yang tersembunyi di sebalik pemberian ini.

Pemberian tersebut bertujuan untuk memenuhi keperluan bayi yang sedang membesar dengan sihat dan cergas di samping meringgankan bebanan ibubapa.

"Mengikut rekod Jabatan Kesihatan Negeri bayi yang dilahirkan tahun 2010 di Hospital kerajaan dan swasta menjangkau 19,359 orang.

"Bermula Januari 2011 jumlah kelahiran pula ialah 17,965 orang. Dan, sehingga Jun 2011
seramai 1,348 anak emas telah berdaftar dan menerima saguhati tanda terima kasih semoga pembesaran bayi menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam berbagai bidang, " ujarnya ketika merasmikan majlis penghargaan anak emas di Dewan Ahmad Badawi, Butterworth pagi semalam.

Ibubapa kepada bayi yang diberikan anugerah patut bersyukur kerana melahirkan anak dengan selamat dan diharap pembesaran mereka memberikan kebanggaan yang tersendiri.

Semua program menjadi realiti di Pulau Pinang sebab prinsip yang ditunjukan oleh kepimpinan kerajaan berjiwa rakyat, tidak menyeleweng dan bersih tanpa unsur rasuah.

Generasi baru yang bakal menjadi pemimpin dan pelapis pada masa depan akan diteruskan pada masa akan datang sekiranya rakyat terus memberikan mandat pada kerajaan sedia ada.

Bagi Puan Nurhaliza Arifin 38 pemberian Kerajaan Pakatan Rakyat kepada anaknya, Muhamad Amsyar Ridwan, 7 merupakan satu yang tidak ternilai.

"Saya anggap pemberian RM200 kepada anak cukup bermakna dari sebuah kerajaan yang prihatin, tidak menyeleweng dan berjiwa rakyat, " jelasnya.

Bagi pasangan Sasitharan dan Thamilvani yang mempunyai anak kembar Tarunika Sri dan Tavishka Sri 9 bulan menyifatkan keprihatinan yang tingg untuk melihat generasi akan datang berjaya menjadi pemimpin yang disegani.

Begitu juga dengan pasangan Lim Gee Hann 36 dan isterinya Yeap Seak Kean 32 kelahiran Lim Xuan Tong 10 lalu membawa tuah kerana menjadi bayi yang mendapat penghargaan dari Kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Pulau Pinang sejak 2008.

Selain Lim Guan Eng turut berucap pada majlis berkenaan ialah Exco Kerajaan Negeri, Lim Hock Seng.

Tiada ulasan: