Ahad, 1 Januari 2012

BILA TINGKAH LAKU KITA MACAM ORANG TAK BERTAMADDUN...PERKARA NI MENGUNTUNGKAN MUSUH POLITIK KITA...MASUK PERANGKAP SENDIRI

Insiden UPSI: Kesemua mahasiswa dibebaskan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Kesemua mahasiswa yang terlibat dalam Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam tadi dibebaskan petang ini.

17 mahasiswa ini ditahan kira-kira jam 4 pagi tadi dan dibawa ke balai polis Tanjung Malim untuk disoal siasat, sebelum dibawa ke balai polis Slim River.

Mereka dibantu oleh peguam daripada Lawyer of Liberty (ILF).

Insiden malam tadi menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi Amar Rasyidi cedera di kepala manakala 20 mahasiswa ditahan.

Mereka ditahan secara kasar oleh polis ketika sedang mengadakan protes pada Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam tadi.

Difahamkan, setakat ini, Safwan masih terlantar di Hospital Slim River.


Coretan Di Awal Tahun 2012 | Print |
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Hari ini hari yang pertama dalam tahun 2012 kalendar Masihi. Saya membaca dalam akhbar bagaimana kemeriahan sambutan tahun baru ini dan juga azam baru yang ditanam pada awal tahun. Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan kita nafas yang panjang dan mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya sementara kita dijemput untuk mengadapNya dan pergi buat selama-lamanya.

Cuma ingin saya menukilkan sedikit rasa terkilan kerana umat Islam kini seolah-olah terpaksa menggunakan dua kalendar yang berlainan. Baru saja pada bulan lepas kita menyambut awal Muharram yang merupakan sambutan tahun baru 1433 H dan hari ini kita menyambut pula tahun 2012 yang merupakan tahun baru mengikut kiraan kalendar Masehi. Saya sering tertanya-tanya, kenapa perlunya untuk kita menggunakan dua kalendar ini dalam kehidupan kita pada hari ini? Apakah salahnya jika hanya menggunakan kalendar Hijrah dalam semua urusan hidup kita sehari-hari?

Penetapan awal tahun Hijrah berdasarkan kepada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Yathrib yang kemudiannya ditukar nama menjadi Madinah. Menggunakan kalendar hijrah bererti menyegarkan semula ingatan kita kepada perjuangan hijrah Rasulullah SAW. Ia bukannya sekadar satu catatan sejarah semata-mata, tetapi ia satu pengajaran kepada umat Islam agar berusaha terus-menerus untuk melaksanakan tuntutan dakwah. Menggunakan kalendar hijrah bererti mengingatkan kita semula kepada pahit maung perjuangan Rasulullah SAW di dalam menyebarkan dakwah.

Adakah generasi muda kita pada hari ini arif dengan sejarah Rasulullah SAW dan Bani Hasyim yang pernah menghadapi pemulauan ekonomi dan sosial selama tiga tahun? Adakah generasi muda kita tahu bagaimana sejarah Rasulullah SAW yang pernah berdakwah ke Taif bersama-sama Zaid bin Harithah namun dilempar dengan batu? Inilah sebenarnya mutiara-mutiara yang berharga dalam khazanah sirah Rasulullah SAW yang jarang sekali diperdengarkan di kalangan kita pada hari ini. Justeru, apabila kalendar hijrah digunakan, ingatan terhadap sirah ini pasti akan segar semula dan masyarakat pastinya tidak terada asing dengan sejarah Rasulullah SAW.

Sayangnya hari ini, kalendar hijrah hanya menjadi satu maklumat sampingan semata-mata diatasi oleh kalendar masihi sebagai kalendar yang utama. Paling tidakpun, pada bulan Ramadhan dan Syawal kalendar hijrah menjadi terkenal tetapi selepas itu, ia hanya tinggal tulisan yang kecil sahaja di tajuk-tajuk akhbar. Oleh yang demikian, sangatlah besar cita-cita saya untuk melihat kalendar hijrah ini dijadikan sebagai kalendar utama khususnya di dalam kehidupan umat Islam. Apatah lagi kalendar masihi inipun asalnya dari penjajah dan dibawa masuk ke dalam pentadbiran pada era penjajah. Saya tidak melihat sebarang sebab yang boleh menghalang kalendar hijrah ini digunakan sebagai kalendar utama dalam pentadbiran.

Apapun, saya berharap agar lembaran tahun baru ini menjadikan kita hamba yang lebih tunduk kepada Allah SWT. Sesungguhnya dunia hanyalah tempat kita menumpang, tiba masanya kita perlu pergi jua dari tempat kita menumpang sekarang. Jika hari ini kita bermusafir tetapi masih mampu untuk balik kampung, maka satu masa nanti kita bermusafir kea lam barzarkh dan seterusnya ke alam mahsyar pada hari kiamat, tiada lagi peluang untuk kita pulang ke kampung halaman kita di dunia ini.

Salam hormat.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Peguam muda PAS sedia bela mahasiswa yang ditahan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan kesediaan untuk membantu mahasiswa yang ditahan sewaktu mengadakan protes Auku di UPSI malam tadi.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Pengarah Juham Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, sejak berita penahanan mahasiswa itu diketahui awal pagi tadi, lima orang peguam juham diketuainya telah berkampung di Balai Polis Tanjung Malim.

"Juham bersedia untuk mewakili para mahasiswa tersebut di dalam prosiding reman yang dipercayai akan dilakukan pada lewat hari ini sekiranya Polis berhasrat untuk terus menahan mahasiswa-mahasiswa terbabit.

"Juham menyeru kepada mana-mana pihak termasuk para mahasiswa yang menyaksikan kejadian tersebut dan yang menjadi mangsa kekasaran polis ketika perhimpunan tersebut untuk tampil ke hadapan dan menghubungi Juham di talian 013-3506495 dan 013-3006943 bagi membantu pihak Juham mengumpulkan bukti-bukti keganasan pihak Polis di dalam perhimpunan tersebut," katanya.

Insiden malam tadi menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi Amar Rasyidi cedera di kepala manakala 20 mahasiswa ditahan.

Mereka ditahan secara oleh polis ketika sedang mengadakan protes pada Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam tadi.

Difahamkan, setakat ini, Safwan masih terlantar di Hospital Slim River.

Menurut Ahmad Zamri lagi, Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para Mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di Mahkamah.

Malah, Juham juga ujarnya bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para Mahasiswa ini sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu Juham kepada gerakan Mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.


Penjelasan Jamil Khir tak jawab soalan pokok | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Jan: PAS mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan beliau berada di golongan 'asnaf' mana yang membolehkan beliau meminjam wang zakat membayar kos guaman.

AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, penjelasan tersebut sangat ditunggu rakyat ekoran tindakan tersebut didakwa mencetus kekeliruan dikalangan umat Islam.

"Rakyat sedang menunggu penjelasan, asnaf mana yang membolehkan beliau meminjam wang zakat? Apakah kedudukan beliau sebagai Gharimin (orang yang berhutang)? Faqir miskinkah? Fisabilillahkah?,Muallafkah?," soal Idris.

Ketua Audit Negara dalam laporannya sebelum ini mendakwa, bahawa Jamil Khir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain menggunakan wang zakat sebanyak RM63,650 membiayai kos guaman dalam kes saman qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010 pembayaran melalui geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun lalu hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.

Mengulas lanjut, Idris berkata penjelasan Jamil Khir semalam tidak menjawab persoalan utama tersebut.

Sehubungan itu, menteri tersebut tidak berdolak dalih dan membuat penjelasan sebenar kepada rakyat.

"Beliau kena menjelaskan kepada rakyat supaya institusi agama yang memungut wang ini tidak di pandang serong oleh masyarakat. Kita tidak mahu kerana nila setitik , rosak susu sebelanga.

"Beliau tidak perlu mengalih isu kepada tuduhan beliau ubah suai rumah. Tidak mengapa kalau beliau rasa perlu dan itu wangnya. Maklumlah seorang Menteri, mesti tunjuk rumah yang hebat setaraf dengan seorang bergelar Menteri, " katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata jawapan Jamil Khir Baharum bahawa pembayaran kos guaman beliau bersama dua yang lain menggunakan peruntukan kerajaan dan bukannya wang zakat bercanggkah dengan kenyataan pelbagai pihak sebelum ini.

Antaranya bercanggah dengan dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Kenyataan yang dirujuk itu antaranya:

- Pada 21 Jun lalu, Dr Mashitah Ibrahim mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab soalan di Parlimen.

- Pada 21 November lalu, Ambrin mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010. Namun sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun lalu, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.


Insiden UPSI: Rakyat perlu hentikan kezaliman BN

Harakahdaily

ALOR SETAR, 1 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) amat kesal, dukacita dan amat marah terhadap pihak kerajaan Barisan Nasional dengan tindakan yang cukup tidak bertamadun, zalim dan kotor terhadap mahasiswa yang memperjuangkan hak kebebasan akademik.

Ketua Penerangannya Mohd Nasir Zakaria berkata penahanan 17 orang mahasiswa yang berhimpun secara aman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta kecederaan yang dialami oleh dua orang mahasiswa adalah lambang kemunduran demokrasi Malaysia.

Justeru, DPPNK katanya menuntut Kerajaan Barisan Nasional dengan serta merta bertindak:

- Bebaskan semua mahasiswa yang ditahan tanpa syarat.
- Menghapuskan serta-merta akta zalim Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
- Hapuskan serta-merta Akta Perhimpunan Aman.
- Membayar semua kos rawatan perubatan bagi mahasiswa yang cedera.
- Memohon maaf kepada semua mahasiswa dan rakyat Malaysia

"Sekali lagi DPPNK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim pihak kerajaan. Kami juga menyeru seluruh mahasiswa dan rakyat bangkit menghentikan segala kezaliman Barisan Nasional," katanya yang juga ahli parlimen Padang Terap.

Katanya, PRU-13 adalah peluang bagi rakyat menamatkan segala kezaliman yang berlaku sejak sekian lama.

Sehubungan itu juga beliau menasihatkan mahasiswa tidak patah semangat dan terus berjuang demi negara.

"Bergeraklah ke seluruh pelusuk negara; kampung, desa, tanah rancangan, bandar dan bandaraya.

"Harunglah sungai, denai, bukit dan lembah. Berilah peringatan kepada yang alpa. Sedarkanlah mereka yang lena," katanya.

80,000 sertai Countdown 2012 kerajaan Selangor | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Gandingan dua selebriti hebat dari latar belakang berbeza, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus bersama pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Raja Lawak berjaya menarik kehadiran kira-kira 80, 000 orang ke Program Countdown 2012 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, malam tadi.

Difahamkan, jumlah ini jauh lebih memberangsangkan berbanding jumlah kehadiran ke program "Karnival Sayangi Selangor" dan sambutan malam tahun baru anjuran kerajaan BN di I-City yang dianggarkan sekitar 5,000 sahaja, meskipun dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tinjauan rawak ke laman-laman blog bukan politik hari ini juga mendapati rata-rata penulis mengulas mengenai kemeriahan program malam tadi serta memuat naik gambar-gambar dan video sekitar program.

Antara yang diulas adalah mengenai keserasian Ustaz Azhar dan Zizan sewaktu forum soal jawab agama berlangsung dan petikan gitar oleh Ustaz Azhar sendiri.

Kemeriahan program turut diserikan dengan kehadiran bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Salleh atau Sham Kamikaze yang sudah melakukan penghijrahan, pendakwah bebas, Ustaz Syed Nor Hisham Tuan Padang, juara program realiti tv pencarian imam muda, Imam Muda Ashraff serta selebriti Astro Oasis, Akhil Haiyy.

Rata-rata mereka juga mengharapkan program seperti ini yang menampilkan hiburan mendidik jiwa diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan juga negeri-negeri lain.

Ini membuktikan rakyat malaysia khususnya anak muda mula meminati program-program mendidik apatah lagi jika ianya ditampilkan "kena dengan caranya".

Antara pimpinan Pakatan Rakyat Selangor yang hadir malam tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Halimah Ali, Haniza Talha dan Yaakob Safari serta Pesuruhjaya PAS Shah Alam, Khalid Samad.

Jangan layan mahasiswa cara 'kebinatangan'

Muhammad Khairul

KOTA KINABALU, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini mengutuk sekerasnya tindakan keganasan terhadap sekumpulan mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, tindakan kasar terhadap mahasiswa tersebut untuk menyeleraikan mereka sebagai satu tindakan yang bersifat ‘kebinatangan’ dan terkeluar dari norma manusia beragama.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan dan lebih kepada kaedah ‘kebinatangan’ dalam menyuraikan kemaraan mahasiswa dan anak muda ini,” katanya.

Menurutnya, polis perlu menghormati peruntukkan yang sedia ada dan tidak sepatutnya dalam keadaan jahil dengan menuruti apa sahaja kehendak parti politik tertentu.

“Jangan jadi budak hingusan kepada Umno BN. Tugas anda menyelamatkan hak rakyat… bukan melindungi pemimpin zalim.

“Berlaku adillah kepada semua pihak,” tegas beliau.

Beliau turut menyifatkan agenda transformasi politik yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya politik murahan yang sebenarnya langsung tidak membawa apa-apa pengertian.

“Jangan termasuk dikalangan petanda dan ciri-ciri golongan munafik. Apabila bercakap, tidak menepati apa yang diucapkan.

"Sudah-sudahlah berjanji menggula-gulakan kehidupan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, insiden yang berlaku terhadap mahasiswa bukan sahaja dirasai golongan itu, malah turut dirasai golongan anak muda seluruh negara.

Dalam insiden malam tadi, kira-kira 17 mahasiswa ditahan dan dua orang cedera parah ketika perhimpunan aman Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Pemuda PAS akan berhimpun di IPD Tanjung Malim | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengerahkan seluruh ahlinya yang berada di sekitar Lembah Klang dan Perak untuk turun berhimpun di hadapan IPD Tanjung Malim bagi menuntut pembebasan sekurang-kurangnya 17 mahasiswa yang ditahan polis sejak malam tadi.

Arahan tersebut dikeluarkan ketuanya, Nasruddin Hassan melalui khidmat pesanan ringkas SMS kepada Harakahdaily pagi ini.

"Semua pemuda dikerahkan berkumpul secara aman dalam tempoh sekarang ke jam 2 petang di hadapan IPD Tanjung Malim Perak untuk menuntut pembebasan segera 17 mahasiswa yang ditahan sejak semalam," katanya.

Insiden malam tadi menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi Amar Rasyidi cedera di kepala manakala 17 mahasiswa ditahan.

Mereka ditahan oleh polis ketika sedang mengadakan protes pada Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam tadi.

Difahamkan, setakat ini, Safwan masih terlantar di Hospital Slim River.

Dalam pada itu, Nasruddin turut menyelar sikap 'double standard' pihak berkuasa yang bertindak secara kasar terhadap mahasiswa tetapi pada masa sama membenarkan himpunan serupa oleh pihak lain termasuk oleh Umno dan Perkasa di UPSI baru-baru ini.

"DPPM menyelar sikap double standard PDRM. Umno dan perkasa demo depan UPSI tidak diambil sebarang tindakan tetapi mahasiswa diperlakukan separuh mati," katanya.

Sementara itu, difahamkan hampir seratus 200 mahasiswa, NGO dan pemimpin politik sedang berkumpul di hadapan IPD Tanjung Malim bagi menuntut kesemua yang ditahan dibebaskan dengan segera.

PAS sedia khidmat guaman

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberi jaminan Pakatan Rakyat khususnya PAS akan menyediakan khidmat guaman kepada mahasiswa sekiranya didakwa atas sebarang kesalahan.

"PAS, Pakatan Rakyat akan memberikan khidmat guaman percuma kepada mahasiswa-mahasiswa ini jika berdepan tindakan mahkamah," katanya yang dalam perjalanan dari IPD Tanjung Malim ke Hospital Slim River untuk melawat Safwan.

Beliau berkata, Lajnah Guaman dan Undang–Undang PAS Pusat dan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia memberikan khidmat mereka kerana isu ini melibatkan kebebasan mahasiswa.

Tiada ulasan: