Sabtu, 7 Januari 2012

ANWAR TAK BAHAYA DILUAR DAN DIDALAM..BAHAYA KITA BUAT KEZALIM..MENENTANG SYARIAT ALLAH..BUAT MUNGKAR DAN MENGANJURNYA..ALLAH LAKNAT DUNIA DAN AKHIRAT

Menangkan dulu Pakatan, bukan bincang siapa PM | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menegaskan, apa yang penting sekarang untuk semua ialah memenangkan Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum ke 13 dan bukannya berbincang mengenai siapa menjadi Perdana Menteri.

Dalam satu posting di Facebook pagi ini, Abdul Hadi berkata soal menjadi Perdana Menteri ialah ketentuan Allah.

“Apa yang penting kita mesti menangkan dulu PR dalam pilihan raya ke 13, soal siapa menjadi PM tidak penting, yang penting negara kita selamat, segalanya ketentuan Allah,” kata beliau.

Dalam temubual bersama Malaysiakini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sekiranya memenangi pilihanraya ke 13 akan melantik seorang Perdana Menteri sementara.

“Kita sudah bincang perkara ini dengan kepimpinan Pakatan (jika beliau dipenjarakan). Adalah ia satu masalah? Tidak. Sekiranya kita menang, kita akan ada satu Perdana Menteri sementara. Sudah tentu, kerana saya yakin jika kita menang, saya tak akan berada di penjara untuk lama,” kata beliau.

Pada 9 Januari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumumkan keputusan perbicaraan kes liwat versi II selepas perbicaraan yang penuh kontroversi berlangsung tahun lepas.

Anwar, 64, dituduh telah melakukan liwat terhadap Mohd Saiful di sebuah kondominium di Damansara Heights pada Jun 2008, beberapa bulan sebelum kembali dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan orang ramai yang sudah mempunyai tanggapan di minda untuk Januari 9 ini bahawa kesemua manusia akan dihukum semula dengan hukuman yang pasti adil di hadapan Allah di akhirat.

“Dalam duniawi, apapun, yang berharap akan terus menanti, yang tidak percaya akan terus tidak yakin, yang menang hari ini tidak semestinya akan terus menang, yang tewas hari ini tidak semestinya akan kalah selalu dan yang akan dihukum akan terus menjalani hukuman.

“Namun, yang pasti kesemua kita akan dihukum semula dengan hukuman yang pasti adil di hadapan Allah di akhirat. Beringatlah pada Allah selalu,” pesan Tuan Ibrahim.


Anwar bersedia terima keputusan Isnin ini | Print |
Abd Shukur Harun

SUBANG JAYA, 7 Jan:Tidak sampai 60 jam menjelang keputusan kes liwatnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu di sini bahawa beliau sudah bersedia di segi mental dan fizikal untuk menerima apa saja keputusan mahkamah tersebut.

Memberitahu lebih 10,000 orang yang hadir di majlis ceramah anjuran PKR/Pakatan Rakyat di stadium mini di sini, Anwar berkata, beliau bersedia menerima sebarang kemungkinan.

Tetapi, katanya, dengan nada tegas: “kes lewat saya ini dan keputusannya tidaklah penting, yang lebih penting ialah persiapan Pakatan Rakyat menghadapi PRU Ke-13 supaya Pakatan dapat berkuasa di Putrajaya.

“Ertinya kita mesti meneruskan perjuangan menegakkan keadilan, kebebasan, menentang rasuah, diskriminasi, penipuan dan segala kezaliman BN. Perjuangan ini jauh lebih penting dari memikirkan nasib saya atau apapun keputusan mahkamah,” kata beliau yang disambut dengan tepukan gemuruh dari orang ramai yang terdiri dari pelbagai kaum.

Dengan suara bergetar, Anwar memberitahu bahawa beliau akan terus berjuang sama ada di dalam penjara atau di luar penjara.

Oleh itu, katanya, rakyat yang mahukan kebebasan dan pemerintahan yang adil mestilah meneruskan perjuangan ini.

Beliau memberitahu bahawa beberapa pemimpin negara di Asia Barat, termasuk dari kerajaan baru Tunisia dan Perdana Turki, Resep Rayeeb Erdogan menawarkan beliau dan keluarganya supaya tinggal di salah sebuah negara tersebut, tetapi beliau menolak.

“Insya-Allah, saya tidak akan lari ke luar negara walau apapun kemungkinan yang berlaku. Wan Azizah, anak-anak dan menantu sudah saya beritahu,” katanya.

Bagaimanapun minggu depan, kata Anwar, beliau akan berada di luar negara beberapa hari untuk berucap di beberapa seminar, termasuk di Turki yang akan membincangkan persoalan gerakan Islam dan demokrasi.

Dengan nada tegas, Anwar berulang kali menyeru rakyat supaya meneruskan perjuangan sama ada beliau berada dalam penjara atau di luar penjara untuk membebaskan negara ini dari kancah rasuah, menegakkan demokrasi dan keadilan serta menolong rakyat yang kurang berada.

Katanya, beliau pernah mengalami pelbagai penyiksaan, dihina, dipukul, dipenjara dan pelbagai lagi.

Tetapi, semuanya, katanya tidak sedikitpun mengurangkan semangat perjuangannya menegakkan untuk keadilan dan membela rakyat.

“Ini perjuangan agama dan tuntutan universal,” katanya.

Jika diukur dari kehadiran di majlis ceramah Anwar malam semalam, ada isyarat jelas bahawa majoriti penduduk Subang Jaya yang terdiri dari pelbagai kaum menyokong Pakatan Rakyat.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dari DAP yang turut berucap malam itu adalah antara Adun Pakatan di Selangor yang mendapat majoriti besar dalam PRU Ke-12, 2008 yang lalu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Rani Othman yang turut berucap menyeru ahli PAS Selangor supaya datang beramai-ramai ke kawasan letak kereta di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur dengan aman pagi Isnin ini, untuk memberi sokongan moral kepada Anwar Ibrahim.

“Kita menyokong perjuangan Datuk Seri Anwar menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Ini bukan persoalan peribadi beliau, tetapi perjuangan Anwar,” kata Dr. Rani.

Turut berucap di majlis tersebut, pemimpin PKR Selangor, Syed Shahir, bekas Speaker Perak, V. Sivakumar.


901: Ikram beri kebebasan kepada ahli | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Ahli-ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) bebas untuk melibatkan diri dalam perhimpunan 901, Isnin ini berdasarkan penglibatan politik mereka.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, pihaknya amat prihatin terhadap perkembangan terkini yang berkaitan dengan Himpunan 901.

“Dalam membuat pendirian ini, Ikram dipandu oleh prinsip-prinsip syariat yang yang menuntut agar keadilan diberikan kepada semua pihak.

Katanya, Ikram menghormati keluhuran Perlembagaan, mendokong prinsip-prinsip keadilan, memperjuangkan kesaksamaan dalam proses perbicaraan serta hak rakyat berhimpun mengikut peruntukan Perlembagaan.

Menruutnya, Ikram berpendapat bahawa kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebuah kes berprofil tinggi kerana melibatkan individu penting dalam percaturan politik tanahair.

“Maka, sebarang kemungkinan tentang wujudnya tekanan dan gangguan berunsur politik tidak dapat dinafikan dan apatah lagi ditambah dengan isu integriti terhadap badan kehakiman Malaysia yang sering dipersoalkan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru itu, kata beliau tidak hairanlah sekiranya rakyat mempunyai persepsi negatif dalam kes ini.

Lantaran itu, ujarnya Ikram menyeru pihak berkewajipan supaya memastikan agar semua pihak yang terlibat dalam kes ini diberi hak untuk mendapat keadilan sepenuhnya dalam proses perbicaraan dan penghakiman.

I samping itu, katanya tahap pembuktian beyond reasonable doubt “melampaui keraguan yang munasabah” mestilah dilaksanakan dan konsep pengasingan kuasa antara badan kehakiman, badan legaslatif dan badan eksekutif wajib berlaku dengan jelas.

“Ikram juga menyeru para penganjur dan polis untuk berkerjasama dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semasa perhimpunan terjamin,” katanya lagi.


BN anggap saya bahaya dibiar ‘di luar’ - Anwar | Print |
Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 7 Jan: Ribuan orang ramai mendirikan solat hajat bersama Ketua Umum Parti PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dataran Kompleks An-Nahdhoh, Penanti, Bukit Mertajam pagi tadi menjelang keputusan hukuman liwat 2 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini.

Solat hajat yang diimamkan oleh pengerusi kompleks tersebut, Ustaz Mutalib Maarof bermula jam 8.30 pagi turut dihadiri kepimpinan PKR negeri dan keluarganya.

Selesai solat hajat beliau diserbu oleh orang ramai untuk bertanya khabar, berpeluk, bersalaman dan tidak kurang ada yang menitiskan air mata apabila bertentangan muka sambil menasihatinya agar bersabar dengan dugaan yang bakal ditempuh.

Semasa berucap beliau menyifatkan apa yang terjadi mempunyai hasrat yang tersembunyi bukan kerana dirinya 'Anwar' tetapi kerana pembongkaran yang membolehkan rakyat lebih celik dan tahu siapa kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebenarnya.

"BN anggap saya terlalu bahaya jika dibiarkan di luar, maka mereka mencari kaedah yang membolehkan saya dipenjarakan terus buat kali ke dua. Mereka dah kena pada pilihanraya kecil Permatang Pauh di mana majoriti jauh lebih baik dari dulu sedangkan waktu itu saya baru dibebaskan," ujarnya ringkas.

Apa pun tambahnya, keluarga dan sanak saudara telah bersedia dengan segala kemungkinan.

Katanya, jika dipenjarakan perasaanya tidak lemah sebaliknya ‘lawan tetap lawan’ sementara perjuangan tetap akan diteruskan oleh rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat.

Tegsnya, perjuangan untuk menjatuhkan BN merupakan satu kewajipan kerana kemimpinan yang ada semuanya rosak dan tenggelam.

"Sebenarnya penjara atau bebas semua tidak boleh menghalang kebangkitan rakyat yang terlalu resah dengan penekanan yang tidak disangka-sangka, lagi lama berada di bawa pemerintahan yang tidak adil selagi itulah rakyat terus menderita," jelasnya.


Amanah paling besar daulat syariat Allah | Print |
Khairul Azlam Mohamad

HULU TERENGGANU, 7 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam bahawa amanah yang paling besar adalah menunaikan perintah Allah SWT dengan mendaulatkan syariat-Nya.

Katanya, perintah tersebut pernah dilaksanakan di zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin (III) melalui undang-undang Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk.

(Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi melancarkan buku Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk karangan Ustaz Abu Bakar Abdullah.)

“Kita sedang menyambut 100 tahun Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk yang bermaksud ketekunan dan ketelitian Raja-raja bagi mengadilkan perangai dan akhlak, adalah Undang-undang Diri bagi negeri Terengganu yang digubal dan diluluskan pada tahun 1911.

Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk dan Batu Bersurat adalah menunaikan amanah dan yang terbesar dalam menunaikan amanah itu ialah menunaikan perintah Allah Ta’ala. Bagi mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah SWT, yang ditunaikan oleh nabi-nabi dan rasul,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perasmian Sambutan 100 Tahun Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu, malam tadi.

Turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

“Ini (Islam) bukan main-main. Para pendakwah Islam yang datang ke alam Melayu bukan Islam sekadar mengucap dua kalimah syahadah, bukan Islam yang didaftarkan di Pejabat Agama, bukan sekadar Islam baka dan keturunan. Islam yang dibawa ke alam Melayu adalah Islam orang, Islam negara dan kerajaan.

“Maka, hukum Islam diamalkan. Di atas ‘Batu Bersurat’ dicatit undang-undang jenayah, undang-undang hudud, undang-undang muamalat yang disebut dalam al-Quran dan Hadis SAW. Diamalkan di Melaka dan di negeri-negeri Islam di alam Melayu ini,” jelasnya di hadapan hampir 10,000 hadirin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, ‘hilangnya’ amanah tersebut setelah kedatangan penjajah menakluk negeri-negeri orang Islam.

Waktu itu, katanya penjajah barat datang dan menakluk negeri dengan kelemahan orang Islam sendiri di seluruh dunia.

“Mereka lagakan orang Islam dan pecahkan orang Islam, pecahkan bangsa-bangsa orang Islam dan mereka berjaya menakluk dan menjajah negara orang Islam. Sejak itulah Islam tidak berdaulat dan berkuasa lagi,” ujarnya.

Sempena majlis tersebut, Presiden PAS turut melancarkan buku Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk karangan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Tiada ulasan: