Sabtu, 6 November 2010

MENGAKULAH KELEMAHAN ATAU KESILAPAN SELAIN PERKARA DAH JADI TAKDIR

Orang Asli antara punca PAS tumpas di Galas
Salhan K Ahmad
Nov 5, 10
3:13pm


PAS mendakwa, antara sebab kekalahannya dalam pilihan raya kecil DUN Galas ialah masalah akses kepada masyarakat Orang Asli.

Ia menjadi penyebab merosotnya sehingga 13 peratus di enam kawasan Orang Asli tersebut.

Di kawasan majoriti Melayu, PAS kehilangan sehingga 8 peratus, lebih tinggi daripada yang dijangka sebelumnya.

Pengundi Melayu mewakili sebanyak 60 peratus daripada jumlah penduduk di situ.

Oleh sebab itu, kehilangan undi sebanyak 8 peratus memberi makna yang besar kepada PAS, menurut penasihat jenteranya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

PAS hanya dapat mengekalkan pengaruhnya di Sungai Terah, itupun dengan majoriti yang rendah.

Di kawasan pengundi Cina, sokongan masyarakat berkenaan juga nampaknya berkurangan berbanding 52 peratus pada Mac 2008.

Faktor kemenangan BN, diakui sendiri oleh pengarah jenteranya Tengku Razaleigh Hamzah, antaranya adalah hasil pendekatan baru yang dianjurkannya dalam kempen kali ini.

Tiada rapat umum yang besar dijalankan BN, dan ia juga lebih aktif menggunakan media baru, termasuk salah satu media rasminya Umno Online.

Kemenangan itu akan meningkatkan moral jentera BN dalam memenangi semula negeri Kelantan.

Dalam menghadapi gelombang ini, PAS perlu bersiap sedia.

Barisan pemimpinnya, khususnya di Kelantan perlu dipersiapkan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini.

PAS perlu meneliti faktor-faktor yang memberi kesan kepada pengundi luar dan pengundi muda ini.

Apakah isu-isu melibatkan pemimpinnya sendiri yang menjejaskan sokongan golongan ini?


Nik Aziz minta penyokong PAS jangan kecewa
Nov 5, 10 5:35pm

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta para penyokong dan anggota PAS tidak kecewa berikutan kekalahan parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan Barisan Nasional (BN) mendapat majoriti lebih besar, semalam.

Sebagai pejuang Islam, mereka tidak patut kecewa dengan keadaan itu yang dianggap sebagai suatu cabaran yang mesti dihadapi, kata Menteri Besar Kelantan ketika ditemui pada majlis pelancaran kutipan derma untuk membina bangunan tambahan Masjid Mukim Panji di sini hari ini.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Abdul Aziz Yusoff, memperoleh 5,324 undi mengalahkan calon PAS Dr Zulkifli Mohamad, yang mendapat 4,134 undi.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata faktor penglibatan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN akan dijadikan salah satu kajian dalam 'post mortem' PAS.

Katanya post mortem itu akan diadakan pada satu mesyuarat Ahad depan bagi mengkaji kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata walaupun pihaknya telah menduga kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu tetapi kemenangan BN dengan memperoleh majoriti besar agak mengejutkan mereka.

Abdul Halim yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa menolak kemungkinan kelemahan dalam pelaksanaan strategi menyebabkan kekalahan PAS itu.

"Kalau mengikut kebiasaan tradisi pilihan raya di Kelantan, kita jangka kalau kalahpun 600 hingga 700(undi) saja, tapi ini sampai 1,000. Ini agak mengejutkan kita," katanya.

- Bernama


Pemimpin Pemuda Umno Lipis meninggal ketika berkempen
Nov 5, 10 5:42pm

Ketua penerangan Pemuda Umno Bahagian Lipis Norshamsul Azman Mokhtar, 36, yang mengikuti Pemuda Pahang berkempen di Galas, meninggal dunia di Hospital Gua Musang petang semalam.

Norshamsul Azman meninggal dunia pada pukul 4 petang selepas mengalami muntah darah dan doktor mengesahkan paru-parunya dijangkiti kuman, kata ketua pergerakan Pemuda Umno Pahang Abu Jimi Samat ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Norsyamsul Azman dari Kampung Chegar Perah, Kuala Lipis, ke Galas bersama-sama 30 anggota Pemuda Pahang bagi membantu kempen calon BN dalam pilihan raya DUN Galas.

"Kali terakhir saya berjumpa allahyarham ialah sehari sebelum hari pengundian DUN Galas ketika kami keluar beramai-ramai untuk makan di Kesedar Inn, Gua Musang.

"Kami menjaga peti undi berbeza dan jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan urusan berkempen tetapi dia bersungguh-sungguh mengajak keluar pada malam itu walaupun kawasan yang beliau jaga agak jauh dari Kesedar Inn," katanya yang telah 17 tahun mengenali arwah.

Beliau berkata jenazah Norshamsul Azman selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu 8 Jalan Kuantan-Gambang dekat Kuantan pagi ini.

- Bernama



PM dimasuk ke Hospital Kuala Lumpur
Nov 5, 10 7:08am

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam tadi untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi bahawa endoskopi telah dilakukan ke atas Najib dan ia menunjukkan ulser dan gastritis ringan.

"Beliau telah mula diberi rawatan dan keadaannya beransur baik," kata Dr Mohd Ismail, dan menambah perdana menteri dijangka berada di hospital beberapa hari lagi.

- Bernama


MB: Landasan berkembar punca banjir buruk di Kedah
Nov 5, 10 6:07pm

Kerajaan PAS Kedah mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri ini adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata semasa banjir besar lima tahun lepas, kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan beberapa kawasan lain tidak pernah ditenggelami air, tetapi sejak pembinaan landasan kereta api berkembar, banjir yang melanda Kedah semakin buruk.

"Kami panggil mereka (Gamuda) datang mesyuarat dengan kita hari ini, tetapi mereka tidak datang. Jika mereka tidak datang juga, saya akan arahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuka laluan air itu dengan segera.

"Kami mahu berbincang dengan pihak Gamuda tentang perkara ini supaya masalah ini dapat diatasi dengan segera," katanya selepas mesyuarat perkembangan banjir
di Wisma Darulaman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata bekalan air di daerah Padang Terap, Kota Setar (dari Kepala Batas hingga pusat bandar, Jalan Putra, Gunung, Jalan Langgar dan Hutan Kampung) dan Kubang Pasu (Tanah Merah, Taman Kepala Batas, Jalan Kampung Naga dan Taman Tabung Haji) telah pulih sepenuhnya.

"Bagi daerah Pokok Sena, bekalan air bertambah baik. Petang ini, kita akan menerima 10 lori tangki dan sebuah lori besar air minuman dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan sembilan lori tangki daripada Lembaga Air Perak," katanya.

Beliau berkata Syarikat Air Darul Aman telah menyediakan 89 tangki air kepada orang ramai.

Azizan berkata beliau amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pejabat daerah, bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan sukarela, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan pusat dan negeri dalam menangani bencana itu.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menambah peruntukan bencana sebanyak RM300,000 lagi menjadikan jumlah keseluruhan yang diperuntukkan ialah RM600,000
dan jumlah itu akan ditambah lagi jika keadaan memerlukan.

Sementara itu, jumlah penduduk yang dipindahkan di Kedah kerana banjir meningkat kepada 39,512 orang pagi ini berbanding 32,990 orang malam tadi berikutan peningkatan mendadak mangsa banjir di Kubang Pasu dan Alor Setar.

Bagaimanapun, semakin ramai mangsa banjir di Daerah Padang Terap yang dibenarkan pulang.

Mangsa di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang terus meningkat.

Di Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang melibatkan 5,740 keluarga manakala di daerah Kota Setar, seramai 15,736 orang (4,047 keluarga) dan di daerah Pendang pula 241 orang (60 keluarga).

Mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 657 orang berbanding 2,279 orang malam tadi melibatkan 204 keluarga dan daerah Pokok Sena juga menunjukkan penurunan daripada 1,868 orang kepada 1,767 orang melibatkan 313 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga pukul 8 pagi ini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, 10 di Padang Terap, 32 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 2,722 orang daripada 339 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat manakala 10 pusat pemindahan ditutup.

Tinjauan Bernama di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar mendapati semakin banyak jalan raya dan premis kerajaan digenangi air dan semakin banyak kediaman berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk terputus bekalan.

Kawasan perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan juga pejabat Bernama Biro Kedah, kedua-duanya di Jalan Stadium, mula digenangi air.

- Bernama



KTM Nafi Pembinaan Landasan Berkembar Elektrik Punca Banjir

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad hari ini menafikan dakwaan bahawa pembinaan landasan berkembar elektrik di beberapa daerah di Kedah sebagai punca kejadian banjir besar di negeri itu.

KTM Berhad berkata kejadian bencana alam itu tidak langsung disumbangkan oleh Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar yang sedang dijalankan kerana bencana alam serupa turut melanda negara jiran iaitu Thailand serta Kelantan dan Terengganu.

Dari aspek sistem saliran, pemaju projek iaitu syarikat MMC-Gamuda Joint Venture telah melaksanakannya dan struktur yang dibina adalah mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kata KTM Berhad dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Kerajaan PAS Kedah hari ini mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri itu adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

KTM Berhad berkata banjir besar yang melanda Kedah dan Perlis adalah berpunca daripada cuaca buruk luar biasa dan pembukaan empangan yang mana paras airnya berada di tahap bahaya untuk menaikkan paras air sedia ada.

Syarikat pengangkutan itu turut menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit apabila bencana banjir turut menyebabkan berlakunya kerosakan pada struktur dan landasan baru yang sedang dibina.

"Projek yang bermula pada hujung 2008 itu, kini telah mencapai kemajuan 54 peratus secara keseluruhannya, namun disebabkan kejadian banjir luar biasa itu, kerja-kerja projek juga telah tertangguh," kata kenyataan itu.

Perkhidmatan tren KTM Berhad juga terjejas apabila sebanyak 20 perkhidmatan tren menuju ke arah utara terpaksa dibatalkan berikutan bencana alam itu.

KTM Berhad berharap agar situasi sedia ada akan kembali pulih supaya perkhidmatan tren dapat diteruskan dan perlaksanaan projek dapat disempurnakan mengikut jadual yang akan memberi manfaat kepada penduduk di setiap negeri yang dilaluinya termasuk Kedah.

"KTM Berhad dan pemaju projek akan memantau dari semasa ke semasa (keadaan ini) dan akan memberikan kerjasama serta menghulurkan segala bantuan yang perlu dalam memastikan keselamatan orang ramai dan kemusnahan harta benda dapatdiminimumkan," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: