Isnin, 29 November 2010

JAWATAN NAK..HARTA KEKAYAAN NAK..KERJA TAK NAK...RAKYAT YANG PILIH DARI TAKDIR ALLAH...JIKA TAK JUJUR...SATU HARI BALASAN ALLAH SAMPAI JUA...

Apa guna ketuanan Melayu jika pencuri pimpin negara
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Tidak ada guna jika 'ketuanan Melayu' hanya diguna untuk mempertahankan pencuri dan perompak sebagai pemimpin negara," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sebaliknya beliau menegaskan, Melayu hanya akan terus menjadi tuan jika pemimpinnya bermaruah dan maruah orang Melayu adalah dengan Islam.

"Melayu akan terus jadi tuan kalau Melayu itu bermaruah, dan maruah orang Melayu adalah Islam.

"Tidak ada guna kita pertahan ketuanan Melayu, kalau pencuri jadi tuan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu 'ketuanan Melayu' yang cuba ditanam oleh Umno dalam pemikiran orang Melayu.

Jelasnya, Umno bertindak demikian kerana hanya mahu mengekalkan kuasa mereka, dan mahu memugar kembali kepercayaan orang Melayu kepada parti itu yang sudah luntur.

Sedangkan katanya, yang menjadikan Melayu lemah adalah sikap pemimpin Umno sendiri yang merosakkan kepercayaan itu.

Kepercayaan itu bukan sahaja pudar di kalangan Melayu, malah turut terkesan kepada bukan Melayu.

Menyedari hakikat itu, PAS katanya membawa pendekatan dakwah agar orang Melayu bermaruah dengan Islam.

Hasilnya, PAS diterima sebagai tuan, bukan sahaja oleh Melayu malah bukan Melayu juga.

"Orang bukan Islam boleh terima pemimpin Melayu di kalangan PAS untuk jadi pemimpin dia.

"Orang bukan Islam boleh terima Tok Guru Nik Aziz jadi pemimpin dia di Kelantan, Datuk Seri Ustaz Azizan di Kedah, Datuk Seri Nizar di Perak dahulu," katanya


Third party: Menteri tidak rasai kesusahan rakyat
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menyifatkan jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai berhubung tindakan kerajaan terhadap syarikat insurans yang enggan memberikan perlindungan 'third party' kepada kenderaan bermotor berusia sepuluh ke atas sebagai indah khabar dari rupa.

Salahuddin sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat hari ini berkata, timbalan menteri tidak merasai sendiri kesusahan rakyat bawahan yang tidak boleh mendapatkan perlindungan pihak ketiga kerana kenderaan yang dimiliki didakwa tidak selamat.

"Jawapan timbalan menteri tadi indah khabar dari rupa. Saya tak tahulah sama ada Yang Berhormat seringkali turun padang dan berada di pejabat pengangkutan jalan untuk merasai keperitan rakyat untuk mendapatkan insurans daripada kelas ini.

"Berdasarkan kepada fakta yang diberikan kepada saya, sehingga Ogos 2010, jumlah kenderaan di Malaysia berjumlah lebih 19,820,442 buah dan yang berusia lebih sepuluh tahun adalah 5,110,326 buah yang menyumbang kepada 25.78 peratus," kata beliau.

Salahuddin juga berkata, alasan pihak insurans yang mendakwa kenderaan sepuluh tahun ke atas tidak selamat untuk berada di jalan raya adalah tidak munasabah kerana kenderaan-kenderaan ini diselia Puspakom terlebih dahulu.

"Tadi Yang Berhormat menyatakan syarikat ini agak keberatan untuk memberikan perlindungan kerana isu keselamatan kenderaan ini. Saya tidak yakin dengan jawapan tersebut kerana kita ada Puspakom. Setiap kenderaan ini dibawa ke Puspakom kemudian bila ada kelulusan dari puspakom mereka layak untuk mendapatkan perlindungan insurans dan cukai jalan.

"Jadi apa alasanya syarikat insuarans ini yang begitu keberatan dan menyusahkan rakyat," katanya yang juga Pengerusi Gerakan Bela Rakyat (Bela) di bawah PAS untuk membantu pemilik kenderaan ini.

Beliau juga berharap kerajaan menyediakan satu mekanisme terbaik bagi menyelesaikan isu ini.

"5 juta jumlah kenderaan ini yang menangung risiko ini jadi saya mengharapkan ada satu mekanisme terbaik untuk kerajaan menyelesaikan isu ini yang mana rakyat di kampung khususnya di luar bandar amat sukar mendapatkan insurans pihak ketiga disebabkan oleh syariakt insurans takut rugi," katanya.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Menteri Kewangan menyatakan tindakan yang diambil terhadap syarikat insurans yang enggan memberikan perlindungan "third party" kepada kenderaan bermotor berusia 10 tahun ke atas.

Beliau juga mahu kementerian menyatakan sejauh manakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Donald dalam jawapannya memberitahu selaras dengan rangka kerja modal berasaskan risiko tgahap penganggungan risiko oleh penanggung insurans berganung kepada modal serta kapasiti kewangan masing-masing.

"Oleh kerana pengalaman tuntutan perlindungan Kematian dan Kecederaan Pihak Ketiga yang senakin meruncing serta kemampuan kewangan yang terhad, penanggung insuransdan pengendali takaful semakin berhati-hati menawarkan mendapat akses kepada perlindungan insurans motor pada harga yang berpatutan,” katanya


Anak mahu Bapak selesai segera isu peneroka
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Gabungan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini menyerahkan 20 kes pertama yang ada pada mereka kepada Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak).

Penyerahan tersebut dibuat Pengerusi Anak, Mazlan Aliman kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, Datuk Ahmad Maslan di parlimen hari ini.

Dalam sidang medianya, Mazlan mahu kesemua aduan peneroka yang diserahkan itu diselesaikan segera seperti dijanji timbalan menteri itu sebelum ini kerana kesemua kes tersebut sudah lama berlaku.

"20 aduan ini hanya sebahagian kecil dari aduan yang banyak kita terima yang berkait langsung dengan dasar Felda.

"Kita harap mampu dikendalikan oleh Bapak," katanya.

Turut serata pada penyerahan itu, beberapa wakil dari peneroka Felda Lawin Selatan, Perak.

Antara masalah yang dikemukakan termasuklah isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80 ribu dalam masa 7 tahun, dan permasalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.

Ahmad pada sidang media sama memberi jaminan akan meneliti masalah yang dikemukakan Anak itu dan akan memanjangkan perkara itu kepada Bapak.

Menurutnya, dengan tambahan 20 aduan dari Anak itu, Bapak kini sudah menerima 658 aduan sejak ditubuhkan.

Bapak adalah sebuah biro yang ditubuh dibawah NGO, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang dipengerusikan Tan Sri Rozali Ismail.

"Banyak benda yang mengelirukan, tidak jelas dan samar-samar yang memerlukan penjelasan Felda," katan Mazlan lagi.

Mazlan sebelum ini juga mendakwa penubuhan Bapak membuktikan usaha Anak bagi membuka mata kerajaan tentang permasalahan peneroka Felda, adalah berjaya.

Bagaimanapun menurutnya, Anak akan sentiasa meneliti dan menyalur aduan yang diterima mereka kepada Bapak.

Anak sebelum ini dikenali sebagai NGO yang membela nasib peneroka yang dinafikan hak oleh Felda.

Ianya termasuk isu wang tanam semula yang dimenangi peneroka di Pahang dan Kelantan



Ekonomi gawat, Pahang akan muflis
Harakahdaily

TEMERLOH, 29 Nov: Kerajaan Pahang berkemungkinan besar akan muflis jika tiada perancangan segera dibuat bagi menangani kegawatan ekonomi di negeri terbesar di Semenanjung itu yang baru-baru ini mencatatkan rekod 13 tahun berturut-turut mengalami belanjawan defisit.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar belanjawan 2011 negeri Pahang yang disifatkan beliau sebagai ‘tidak praktikal’ apabila kerajaan negeri bertindak untuk menuntut 50 peratus keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) kepada kerajaan negeri sebagai satu langkah untuk meningkatkan pendapatan negeri.

“Apa yang mendukacitakan ialah tiada perancangan baru dalam meningkatkan sumber hasil negeri, selain rancangan jangka pendek kerajaan bagi memaksa anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) menyumbang 50% dari keuntungan kepada kerajaan negeri.

Persoalannya berapa kerat anak syarikat kerajaan negeri yang mencatat keuntungan. Setahu kita hampir semua anak-anak syarikat kerajaan negeri berada dalam keadaan kritikal, dan terus mengharapkan suntikan kerajaan,” kata Tuan Ibrahim, yang baru sahaja pulang ke tanah air selepas menunaikan tanggungjawab haji di Mekah.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim, yang juga merupakan Naib Presiden PAS turut menuntut kerajaan negeri bagi mendedahkan kedudukan kewangan semasa anak-anak syarikat kerajaan negeri untuk dinilai oleh rakyat, sejauhmanakah anak-anak syarikat yang ditubuh untuk membantu kerajaan dapat mencapai hasil sebagaimana diharapkan oleh kerajaan negeri dan seluruh rakyat Pahang dalam menjana pendapatan untuk membiayai belanjawan negeri.

Kenyataan Tuan Ibrahim hari ini merupakan reaksi kepada laporan akhbar Umno dan Perkasa, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mewajibkan semua agensi di bawah naungannya menyalurkan 50 peratus keuntungan tahunan mereka kepada kerajaan negeri berkuat kuasa tahun depan.

"Kita mewajibkan agensi-agensi kerajaan negeri menyalurkan 50 peratus keuntungan kepada kerajaan negeri dan dalam masa sama anak-anak syarikat agensi berkenaan pula diwajibkan menyalurkan 50 peratus keuntungan mereka kepada agensi berkenaan.

"Langkah itu merupakan sebahagian usaha bagi mengurangkan defisit yang dialami oleh kerajaan negeri bagi tahun ke-13 berturut-turut," Adnan dipetik sebagai berkata ketika membentangkan Bajet 2011 Kerajaan Negeri Pahang pada Persidangan Ketiga.

Menurut Adnan, terdapat kira-kira 18 agensi di bawah kerajaan negeri, antaranya Yayasan Pahang, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Amanah Saham Pahang (Aspa), Lembaga Kemajuan Perladangan Pahang (LKPP) dan Lembaga Pembangunan Tioman.

"Bajet 2011 disasarkan sebanyak RM871,117,390 iaitu sebanyak RM600,424,140 disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan selebihnya adalah untuk pembangunan," katanya

Adnan turut meminta rakyat negeri Pahang supaya tidak bimbang dengan Bajet Pahang 2011 yang menyaksikan defisit sebanyak RM92.48 juta dengan memberikan alasan bahawa defisit untuk kali ke 13 berturut-turut itu berpunca daripada usaha pertumbuhan ekonomi di negeri berkenaan.

Malah bukan itu sahaja, Adnan turut menunjukkan kelemahan memimpinnya dengan tanpa segan silu mengaku bahawa ‘kedudukan kewangan negeri Pahang tidak mungkin, bahkan mustahil sehingga Hari Kiamat, boleh menanggung kesemua kos pembangunan tanpa bantuan kerajaan persekutuan.’

“Kenyataan beliau bahawa “kedudukan kewangan negeri tidak mungkin, bahkan mustahil sehingga hari Kiamat, boleh menanggung kesemua kos pembangunan tanpa bantuan kerajaan persekutuan’, benar-benar mengambarkan kerajaan UMNO/BN ‘sudah menopaus’.

Kenyataan ini adalah gambaran keseluruhan belanjawan kerajaan negeri yang hanya merancang dengan bantuan Pusat; tanpa berusaha untuk merangcang sumber baru bagi meningkatkan hasil negeri,” selar Tuan Ibrahim.

Dengan membuat perbandingan dengan RM 500 juta komisyen yang dibayar untuk membeli kapal selam Scorpene negara, Tuan Ibrahim menyoal apakah rasionalnya hanya RM 270.6 diperuntukan untuk pembangunan negeri yang terbesar di semenanjung itu.

“Dengan peruntukan sebanyak RM270.6 juta tentulah tidak banyak perkara yang dapat dilakukan. Ini mengingatkan kita kepada komisyen pembelian kapal selam sebanyak RM530 juta, ternyata melebihi keseluruhan projek pembagunan setahun kerajaan Pahang.

Peruntukan pembangunan yang kecil adalah kerana sumber kewangan yang terhad yang dapat dikutip oleh kerajaan,” kata Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim turut menyoal ke mana semua hasil negeri terutamanya hasil hutan daripada aktiviti pembalakan.

“Dalam belanjawan yang dibentang kerajaan negeri, ia hanya menyatakan hasrat untuk meneruskan projek penanaman semula hutan yang telah gondol, tetapi rakyat juga perlu tahu berapa hasil diperolehi.

Polisi penebangan sehingga 90% hasil hutan dalam tanah milik kerajaan perlu diubah segera,” saran Tuan Ibrahim, yang turut menyifatkan aktiviti penebangan hutan melampau mencerminkan kerakusan kerajaan UMNO-Barisan Nasional tanpa memikirkan masa depan generasi akan datang.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut menyoal ke mana perginya pungutan negeri daripada hasil keluaran emas daripada lombong di Lipis, Raub dan Cameron Highland dan juga hasil dari bijih besi, di Daerah Rompin, Maran dan Jerantut.

“Rakyat perlu tahu kemana hasil tersebut, berapa kerajaan perolehi dan juga usaha kerajaan meneroka sumber minyak di perairan Pahang, yang satu masa dahulu di maklum Pahang berkemungkinan mempunyai hasil minyak.

Demikian juga berapa hasil pelaburan luar yang melabur di Pahang; walaupun kita menyediakan hampir setiap daerah kawasan industri, tapi kawasannya ternyata masih kosong dan terbiar.

Seandainya tiada sesuatu perancangan segera dibuat, tidak mustahil Pahang akan muflis,” tambah Tuan Ibrahim


Pertahan keyakinan rakyat

Harakahdaily

SHAH ALAM, 29 Nov: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menggesa pemimpin Pakatan Rakyat supaya mempertahankan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri yang diperintah.

Ini, katanya kerana Umno BN sentiasa berusaha untuk memecahkan keyakinan itu dan perpaduan di kalangan komponen Pakatan Rakyat menjelang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Beliau berkata, ini kerana Umno BN tahu bahawa kemenangan yang dicapai oleh Pakatan Rakyat pada Pilihan raya ke-12 lalu kerana perpaduan.

Justeru, katanya Umno BN menggunakan media massa untuk meretak dan memecahkan perpaduan tersebut.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Persidangan Menteri Besar Dan Ketua Menteri Negeri-negeri Pakatan Rakyat di sini, pagi ini.

Turut berucap ialah Menteri Besar Kelantan dan Selangor, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Datuk Mustafa Ali.

Ustaz Azizan menambah, media massa sering menyiarkan perkara yang salah dan tidak benar mengenai Pakatan Rakyat supaya masyarakat tidak yakin kepada kerajaan Pakatan.

“Mereka (media) timbulkan suasana supaya orang tak yakin dengan kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya semua pemimpin Pakatan Rakyat mesti menjaga dan mempertahankan keyakinan rakyat terhadap kerajaan di negeri-negeri yang dikuasai.

Ini, katanya kerana suasana yang berlaku pada hari ini membuktikan bahawa rakyat merasa selesa di bawah kerajaan Pakatan Rakyat berbanding dengan era pemerintahan Umno.

Dalam mempertahankan keyakinan itu, katanya ia memerlukan kepada pengorbanan.

Mengenai Kedah, beliau berkata, usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri berjaya menyatukan rakyat sekalipun tidak mendapat publisiti daripada media massa.

Jelasnya, dengan pendekatan tersebut, rakyat Kedah merasa selesa dengan Kerajaan Pakatan rakyat negeri sekarang berbanding sebelum ini.

“Yang kata tak selesa, orang luar Kedah,” tegasnya.

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya membuat kajian dari semasa ke semasa apa yang disukai dan tidak disukai oleh kumpulan sasar.


Senarai hitam tapi belum dibawa ke mahkamah
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terus mempertikai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenarai hitam pemilik kenderaan yang tidak membayar saman ekor walaupun mereka belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Mahfuz sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar JPJ menyekat pemilik kenderaan yang mempunyai notis saman ekor daripada memperbaharui cukai jalan adalah bertentangan dengan keputusan mahkamah.

"Isunya kenapa pihak KDN khususnya PDRM meminta JPJ untuk menyenarai hitam mana-mana pemilik kenderaan yang mempunyai saman ekor tapi belum dibawa ke mahkamah?

"Mereka hanya diberi notis melakukan kesalahan, tidak dibawa ke mahkamah tapi terus dihukum tidak boleh memperbaharui cukai jalan. Perkara inilah yang dipersoalkan ramai orang," katanya yang juga Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Beliau turut merujuk kepada kes dua tahun lalu di Kuching iaitu kes Lim Yew Chong melawan JPJ Sarawak di mana Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak memberikan hak Lim memperbaharui cukai jalannya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum itu, Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapakah jumlah "saman ekor" yang belum selesai mengikut negeri sehingga kini dan berapakah jumlah pendakwaan yang telah dibuat oleh pihak berkenaan terhadap kes ini.

"Kalau pihak polis nak saman, terus samanlah, tapi jangan sekat pembayaran cukai jalan. Kalau sekat pemilik kenderaan untuk bayar cukai jalan, lagilah mereka memandu kenderaan mereka di jalan raya, lagi banyak masalah yang akan timbul.

"Kalau setiap tahun ada saman ekor ini, berapakah pendapatan kerajaan dan adakah saman ekor ini memberi satu kebaikan kepada pengguna jalan raya. Adakah pemandu akan lebih berhati-hati di jalan raya atau adakah lebih penambahan yang berlaku kepada pelangaran undang-undang?" soalnya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dalam jawapannya bagaimanapun berkata, pengeluaran notis POL 17A itu adalah notis untuk mendapatkan identiti pemilik kenderaan.

Tindakan itu juga didakwa untuk memastikan mereka lebih berhati-hati di jalan raya dan menafikan ianya dibuat secara membuta tuli




Kenal siapa kawan, siapa lawan

Harakahdaily

SHAH ALAM, 29 Nov: Pemimpin Kerajaan Pakatan Rakyat sewajarnya mengambil berat berkenaan dengan ‘siapa kawan, siapa lawan’ setelah mendapat kuasa pemerintahan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sekiranya perkara itu tidak dititkberatkan akan membawa kehancuran kepada diri sendiri.

“Jika kita tidak dapat bezakan (siapa kawan, siapa lawan), yang akhirnya hancur kita sendiri,” ujarnya ketika berucap pada Persidangan Menteri Besar Dan Ketua Menteri Negeri-negeri Pakatan Rakyat di sini, pagi ini.

Justeru, katanya perkara yang penting bagi pemimpin Pakatan Rakyat mesti mengenali mereka supaya semua lawan boleh menjadi kawan melalui transformasi yang dilaksanakan.

Beliau berkata, semasa Pakatan Rakyat menjadi pembangkang, tidak ada pihak yang mahu menjadi kawan tetapi ramai yang bertindak sebagai lawan.

“Tapi apabila Pakatan Rakyat jadi kerajaan, ramai yang jadi kawan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan itu turut melontarkan persoalan kepada peserta sama ada berkemampuan untuk menjinakkan seekor harimau.

“Kalau tak boleh jinakkan, tapi ia dapat dikawal,” ujarnya.

Guan Eng juga mengingatkan pemimpin Pakatan Rakyat supaya dapat mengekalkan nilai-nilai yang dipopularkan kepada rakyat iaitu senang didampingi dan mudah diterima.

“Kita kekalkan kita berjiwa rakyat,” ujarnya.

Di samping itu, katanya mereka juga seharusnya menunjukkan prestasi terbaik dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Ini, katanya kerana pemimpin yang bersih, berkemampuan, berilmu dan bertakwa terdapat di dalam Pakatan Rakyat



PAS Perak kesal tidak dibenar hadiri sidang Dun

Johari Jaafar

IPOH, 29 Nov: PAS Negeri Perak Perak kesal dengan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) yang tidak memberikan kebenaran untuk mengikuti persidangan esok.

Ini sekaligus menafikan hak kepada PAS Perak untuk menjadi pemerhati ke persidangan Dun berkenaan, kata Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Misbahul Munir Masduki ketika ditemui di pejabat PAS negeri, di sini hari ini.

Menurut beliau, PAS Perak telah memohon kepada setiausaha dewan untuk menghantar wakil sebagai pemerhati tetapi hingga hari ini tidak mendapat jawapan daripada pihak Speaker.

Selain dari PAS negeri, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan PAS kawasan-kawasan difahamkan telah menghantar surat memohon mendapat kebenaran mengikuti sidang Dun esok.

"Kita sungguh kesal dengan tindakan ini, sedangkan sewaktu Pakatan Rakyat menerintah negeri ini, semua pihak diberikan kebebaran untuk mengikuti sidang Dun.

"Ini menunjukkan kerajaan BN sekarang tidak mahu maklumat tentang sidang Dun diketahui umum, sekaligus menyekat kebebasan rakyat untuk mendapatkan maklumat," katanya


Ahli bersekutu rancangan gagal Najib

Mohd Rashidi Hasan
Mohd Rashidi Hassan
IDEA kewujudan ahli bersekutu Barisan Nasional adalah semata-mata untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Ia merupakan antara langkah utama BN, untuk melebarkan sayapnya bagi menghindar kejatuhan kerajaan ke tangan Pakatan Rakyat.

Namun idea Pengerusi Barisan Nasional yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak awal-awal lagi sudah gagal.

Gagal kerana ia tidak mendapat sambutan dari kalangan anggota komponen BN dan ia tidak dipersetujui sama sekali. Ia juga gagal kerana ia merupakan idea yang kabur dan kelam kabut. Yang bersetuju hanyalah media talibarut Umno-BN.

Difahamkan idea asal mengenai ahli bersekutu ini tercetus, akibat ramainya wakil rakyat lompat yang wujud dalam negara, selepas PRU ke-12 yang lalu dan juga kewujudan beberapa NGO yang bertentangan dengan beberapa buah parti komponen BN, tetapi jelas menyokong BN.

Asalnya keanggotaan ahli bersekutu adalah untuk memberi ruang kepada mereka-mereka ini bertanding atas tiket BN dalam PRU ke-13 nanti.

Malangnya, selepas dua hari PM Najib mengumumkan BN menerima ahli bersekutu, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor terpaksa membuat kenyataan pembetulan.

Tengku Adnan menjelaskan bahawa ahli bersekutu tidak boleh bertanding, kerana BN kekalkan syarat hanya wakil komponen sahaja yang menjadi calon pilihan raya mewakili BN.

Hakikat, persoalan yang timbul sekarang ini, mengapa Najib selaku Presiden Umno, terpaksa mengambil langkah yang penuh risiko dengan memperkenalkan pelan ahli bersekutu BN?

Bukankah langkah ini hanya menunjukkan bahawa BN berada dalam keadaan yang desperado sekarang ini?

Difahamkan idea asalnya, melalui ahli bersekutu ini, BN menjangkakan ia dapat menaungi kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang tidak mahu attach atau tidak diterima oleh mana-mana anggota komponen BN.

Walaupun langkah yang diumumkan Najib ini menyalahi konsensus BN, yang menetapkan persetujuan setiap komponen harus diperolehi, sebelum sesebuah anggota baru diterima, namun Najib cuba bulldoze.

Ada yang berpendapat tidak salah untuk BN mencuba idea memperkenalkan ahli bersekutu, namun yang dipersoalkan ialah, apakah rancangan ini semata mata untuk PRU sahaja atau untuk long term?

BN adalah entiti politik, individu atau NGO bagaimanakah yang hendak diterima sebagai ahli bersekutu?

Malangnya langkah yang diumumkan Najib ini nampaknya terpaksa diperbetulkan Tengku Adnan. Sebabnya ialah, anggota komponen BN sendiri yang tidak bersetuju dengan idea PM.

Dalam bahasa mudah, gagasan seorang PM yang mewakili Umno, ditolak anggota komponen BN. Ia menjadi sekadar idea, yang semakin melebarkan jurang antara Umno dengan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain.

Dari segi tafsiran politiknya, jika idea seorang PM dan Presiden Umno ditolak, bermakna parti-parti komponen BN sudah tidak selesa lagi dengan dominasi Umno. Yang mereka mahu ialah equal right dan konsensus.

Ditimbulkan juga, dalam keadaan sekarang ini BN ada 14 komponen, jika tiga belas parti komponen selain Umno pun, susah untuk PM menjaganya, bagaimana kalau lebih ramai individu atau NGO yang masuk BN? BN akan menjadi lebih celaru dan cempera.

Timbul persoalan di kalangan anggotan komponen BN, apa tujuan individu atau NGO menjadi ahli bersekutu atau direct membership BN, jika tidak untuk tujuan menjadi calon pilihan raya?

Jika tidak untuk tujuan menjadi calon, mereka ini tidak perlu masuk BN, sebab mereka-mereka ini sudah menjadi penyokong tegar BN sejak azali.

Oleh sebab itu maka, kemungkinan besar ahli bersekutu ini akan tidak sehaluan dengan beberapa komponen BN tidak dapat ditolak.

Mereka yang duduk sebagai anggota komponen, penuh dengan kepentingan dan mereka yang mahu menjadi ahli bersekutu juga mempunyai kepentingan yang tertentu.

Sebabnya, jika mereka ini menjadi ahli bersekutu, jika mereka tidak mempunyai hak, penyertaan mereka dalam BN hanyalah sia-sia kerana, tidak mempunyai apa-apa makna.

Apa pun dalam isu ahli bersekutu ini ada NGO menunjukkan reaksi yang berbeza, ada yang menolak ada yang menerima.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) misalnya menyelar langkah BN dan berpendapat tindakan tersebut bertentangan dengan norma masyarakat demokratik.

Menurut Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz, NGO harus menjadi wadah agen suara marhaen yang menjadi check and balance kepada dasar-dasar kerajaan.

Manakala Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) setakat ini dilaporkan berminat berhubung tawaran BN itu.

Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail dilaporkan berkata, beliau akan menulis surat kepada Dewan Tertinggi BN, agar gabungan itu menyertai BN sebagai ahli bergabung.

Manakala dari sudut individunya, tekanan dalaman Umno dan komponen BN menyukarkan wakil-wakil rakyat lompat untuk bertanding pada PRU akan datang.

Setakat ini, masa depan Dato' Ibrahim Ali, Zahrain Hashim, Zuklifli Noordin, Wee Choo Keong, Tan Tee Beng dan Mohsin Fadzil Shamsuri, amat gelap.

Walau sehebat manapun mereka mengampu PM dan isteri, dalam ucapan-ucapan di Parlimen, mereka sukar untuk mendapat peluang sekali lagi sebagai calon pilihan raya.

Ke enam-enam Ahli Parlimen lompat ini boleh menjadi ahli bersekutu BN, tetapi tiada harapan untuk bertanding sekali lagi.

Hakikatnya, idea ahli bersekutu ini wujud semata-mata kerana BN hendak mempergunakan NGO atau individu terbabit meraih sokongan tambahan kepada BN.

Jika pun NGO atau individu lompat ini hendak bertanding, mereka boleh joint sahaja third force seperti geng-geng Dato' Zaid Ibrahim dan sekutu-sekutunya.

Maka boleh disimpulkan bahawa, menjelang konvensyen BN 4 Disember ini, Najib sudah mengambil langkah yang paling tidak popular dengan memperkenalkan pelan ahli bersekutu, yang ditolak komponen BN.

Langkah gamble ini hanya membuktikan bahawa BN berada dalam keadaan yang amat terdesak, dan Najib sendiri selaku PM, tidak mampu menolak tekanan dari kalangan komponen BN.

BN hari ini cuba menafikan bahawa mereka hanya tinggal 'nyawa-nyawa ikan'. BN dan sekutu-sekutunya harus sedar mereka akan tetap ditolak rakyat pada PRU ke-13 nanti.

BN hanya kelihatan kuat kerana media talibarut Umno-BN, yang dikerahkan bekerja siang dan malam untuk menjadi 'pak angguk' yang mengiyakan semua tindakan BN dan menutup segala kelemahan mereka.

Untuk mengalihkan persepsi rakyat mereka menggunakan media untuk menyerang Pakatan Rakyat habis-habisan.

Selepas lebih 30 bulan menyerang adakah mereka berhasil? Adakah Pakatan Rakyat goyah? Pakatan Rakyat terus ampuh dan didokong rakyat.

Oleh itu, elok juga cebisan akhbar talibarut BN yang makin tidak laku dikumpul, buat menutup 'bangkai gajah' BN selepas berakhirnya PRU ke-13 nanti

Tiada ulasan: