Khamis, 25 November 2010

RAKYAT DIDULUKAN....ATAU KRONI......ATAU PUN POKET...PANGAKAT DAN WANG BUKAN BOLEH BAWA MATI

Tubuh badan bebas siasat polis tembak remaja
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa menggesa kerajaan menubuhkan badan bebas bagi menyiasat anggota polis yang terlibat dalam kes menembak mati tiga remaja pada 13 November lalu.

Sivarasa berkata, ianya perlu ditubuhkan segera bagi membersihkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kes ini bukan terpencil kerana apa yang sangat mendukacitakan sejak 1998, tiada seorang anggota polis telah dihukum ke atas kejadian yang berlaku.

"Sekiranya terus berlanjutan, anggota polis berasa boleh buat apa-apa sahaja tanpa dikenakan sebarang hukuman terhadap mereka," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, usul yang dikemukakan beliau pada Selasa lalu ditolak Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk dibahaskan.

Menurut Sivarasa, terdapat percanggahan keterangan maklumat polis tentang kejadian tembak menembak itu yang menjurus kepada tindakan polis mempertahankan diri.

"Ini kerana saya telah meneliti laporan polis oleh Nor Hafizah Mad Razali iaitu ibu kepada Muhammad Shamil Hafiz, 15, dan keluarga Mohd Hairul Nizam, 20, mendakwa tembakan peluru dilakukan pada jarak dekat oleh polis.

"Ibunya juga mempercayai dibunuh dengan sengaja oleh polis kerana tembakan di dahi menembusi hingga ke bahagian kepala Shamil.

"Mereka juga terkejut dengan dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan tentang anaknya penjenayah ganas yang dikehendakai sedangkan tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Dalam kejadian 13 November lalu, polis menembak mati tiga lelaki yang didakwa baru sahaja merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1 Glenmarie, Subang kira-kira jam 4.15 pagi ketika sedang membuat rondaan mencegah jenayah di kawasan itu



PAS buat laporan polis isu kain rentang
Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 25 Nov: Setakat petang ini, tiga PAS kawasan di Pulau Pinang telah membuat laporan polis tentang dua kain rentang (banner) yang bertulisan 'Kami Tak Nak Wang Judi' dan 'Kami Pemuda Membantah Kerajaan Negeri Lulus 96 lesen Judi, Lesen Permis Rumah Urut 1,367. Hiburan Awam' yang dipasang di lokasi tertentu di negeri ini bermula malam tadi.

PAS Nibong Tebal telah mendahului tindakan tersebut di Balai Polis Nibong Tebal pada pukul 1.00 tengahari tadi apabila mendapati empat banner dipasang untuk menimbulkan provokasi serta memaparkan tiga wajah pemimpin Dewan Pemuda PAS negeri iaitu Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Yusni Mat Piah, timbalannya, Helmi Harun dan naibnya, Ustaz Zakaria Hamzah.

Menurut Ketua Penerangan PAS Nibong Tebal, Nazir Arshad kemungkinan banner tersebut dipasang selepas pukul 3.00 pagi oleh orang yang tidak bertanggungjawab atau diupah untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap PAS.

"Mana boleh biarkan nama PAS rosak kerana banner berkenaan. Kami terus ke balai polis buat laporan supaya polis bertindak segera menyiasat siapa yang buat perkara itu," katanya.

PAS Kawasan Kepada Batas dan Tasek Gelugor berhimpun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas mulai jam 5.00 petang bagi tujuan yang sama.

Manakala Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Helmi Harun dijangka mengadakan sidang media pada pukul 8.30 malam ini untuk menyatakan bantahan terhadap kain rentang itu


Batal projek Arowana, selamatkan jelapang padi
Harakahdaily

IPOH, 25 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) meminta agar projek ternakan ikan Arowana di Bukit Merah dikaji semula kerana mengganggu operasi penanaman padi terbesar di Perak iaitu di Daerah Kerian.

Naib ketuanya, Salman Saleh berkata, ia juga akan menjejaskan saluran utama bekalan air di Tasek Merah.

Bekalan air di Tasek Merah tersebut bukan sahaja digunakan oleh lebih 10,000 pesawah melibatkan keluasan sawah 24 ribu hektar tetapi juga menjadi kegunaan harian 200 ribu penduduk setempat.

Katanya, DPPN Pk melihat sejak bermulanya projek ternakan ikan Arowana pada tahun 2000 sehingga kini, projek tersebut sudah mempunyai 3,808 buah kolam dengan jumlah 70 orang pengusaha berbanding dulu tidak sampai 10 pengusaha sahaja.

“DPPN Pk merasa bimbang pembuangan sisa kolam ke dalam sistem saliran pertanian di daerah ini akan mencetuskan masalah alam sekitar serta pencemaran air yang serius pada masa akan datang,” ujarnya.

Berikutan itu, Jabatan Alam Sekitar (JPS) juga didapati gagal membanteras kegiatan mencuri air oleh pengusaha terbabit sehingga mendapati dari tarikh 15 Ogos hingga 28 Oktober 2010 menunjukan takungan air di Tasek Merah menurun sebanyak 0.2 kaki (2.4 inci) sehari.

Tambahnya, DPPN Pk melihat kekebalan pengusaha sedia ada yang telah mendapat notis dari Pejabat Tanah Daerah Kerian kerana melanggar syarat tanah namun tidak diendahkah sebaliknya kerja-kerja industri akuakultur diteruskan seperti biasa.

Malah, ujarnya JAS masih gagal untuk memastikan sama ada kajian kesan kepada alam sekitar (EIA) perlu dilakukan atau tidak kepada semua kolam tersebut.

“DPPN Pk dengan tegas mendesak agar keprihatinan Kerajaan Negeri Perak serta semua agensi kerajaan yang terlibat agar bertindak untuk menyelamatkan jelapang padi terbesar di negeri Perak ini,” ujarnya lagi



Ekspo Cheng Ho satukan bangsa muslim
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 25 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersyukur Ekspo Cheng Ho 2010, telah berjaya menyatukan dua bangsa muslim dari dunia berbeza, iaitu Malaysia, China, serta beberapa buah negara lain.

Katanya, kejayaan itu juga telah berjaya memecahkan fahaman golongan tertentu selama ini yang berpandangan negative terhadap bangsa terbabit, khususnya dari benua lain.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat pameran ekspo serta mengikuti persembahan istimewa dari Khairat Aziz, Adili dan persembahan kebudayaan dari Khazastan termasuk Shao Lin, semalam.

Menurutnya, program ini telah berjaya merapatkan hubungan bangsa China muslim dan Melayu muslim khususnya, sedangkan Islam adalah agama suci sedunia.

“Saya sentiasa terfikir bagaimana cara untuk menyatukan semua bangsa di dunia ini khususnya sesama Islam biarpun dari negara serta benua yang lain agar ianya dapat berkenalan di antara satu sama lain,” ujarnya.

Menurutnya lagi, lebih 50 tahun kerajaan secular negara ini telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk membangunkan negara, bagaimanapun rasa curiga di antara satu sama lain masih wujud.

“ Kita hanya diperangkap oleh orang Eropah yang tidak mahu melihat Islam bersatu, terutama yang Yahudi agar manusia di dunia ini hanya memandang mereka dan bukannya Islam.

“Konsep hiburan juga telah disalah ertikan sehingga mereka memahami berhibur mesti ada perempuan, namun kita telah ketengahkan sesuatu yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Katanya, kerajaan Kelantan telah mengenengahkan hiburan tanpa menggunakan perempuan, sebaliknya hanya kecerdikan dan kepakaran manusia bagi menggambarkan masyarakat berkenaan yang hebat.

Pada masa yang sama beliau mengakui begitu terhibur dengan persembahan berkenaan begitu mengagumkan.

“Seronok sungguh saya, terhibur inilah antara hiburan yang tidak bercanggah dengan Islam apa lagi tidak membabitkan golongan wanita,” ujarnya gembira


Kelantan sasar 200 ribu pelancong China
Nazri Abdullah

KOTA BHARU, 25 Nov: Kelantan mensasarkan sejumlah 200 ribu pelancong China datang ke negeri itu setiap tahun, dalam usaha membangunkan lagi ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa berkata, untuk permulaan kerajaan negeri bercadang menggunakan sistem "flight charter" untuk menjayakan hasrat itu.

"Kita akan charter flight dengan beberapa bandar di China untuk permulaan.

"Dari Kota Bharu kemudian ke Lanzhou," katanya ketika berucap selepas forum 'Friendship and Prosperity Through Business, Trade and Investment, sempena ksEpo Antarabangsa Cheng Ho di sini hari ini.

Beliau yang juga pengerusi ekspo tersebut bagaimanapun berkata, kekangan utama mencapai matlamat tersebut adalah Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

"Kita harap kerajaan pusat memahami hasrat kita ini.

"Kita mintak agar lapangan terbang di negeri ini dipanjangkan agar kapal terbang dari mana-mana negara boleh mendarat terus di sini tanpa perlu ke Kuala Lumpur," katanya.

Selain China, Kelantan juga katanya sedang meneroka peluang ekonomi dengan India, Indonesia dan Aceh.

Mengulas ekspo yang akan berakhir esok, Husam menjelaskan inspirasi untuk menganjurkannya adalah hasil lawatan pertama Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz ke Bejing pada tahun 1993.

Dalam lawatan itu, Nik Aziz juga diberi penghormatan memberi kuliah di sebuah masjid di sana dan turut disertai orang-orang Cina yang bukan Islam.

Selain itu katanya, pemilihan Cheng Ho pada ekspo kali ini kerana laksamana China itu seorang pedagang Islam yang cintakan keamanan dan kuat berpegang pada agama.

Cheng Ho tambahnya, memperjuang keamanan melebihi semangat perkauman, tidak seperti sesetengan kumpulan di negara ini.

"Kita cuba buka paradigma masyarakat Melayu melihat Islam.

"Bukan Melayu sahaja bela Islam, Cina juga sama komited perjuangkan Islam," katanya.



Tiada ulasan: