Sabtu, 13 November 2010

KEADILAN KENA DILAKSANAKAN JANGAN BERAT SEBELAH...BUANG DAN HINDARKAN PERKARA YANG MEMBAWA PEMBAZIRAN...

Bapa isu sosej babi akui bukan Islam lagi
Nov 12, 10 10:40am

Beginda Minda, bapa kepada pelajar 10 tahun yang dirotan baru-baru ini kerana membawa sosej babi ke sekolah mendakwa bahawa beliau bukan beragama Islam, lapor The Star.

“Saya akui, saya pernah memeluk Islam sebelum ini. Tetapi pada 1999, saya sudah tukar agama. Sekarang saya bukan Islam,” kata Beginda, semalam.

Status agama lelaki itu menjadi kontroversial apabila isu merotan anaknya timbul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah menentukan status agama Beginda.

“Hanya selepas itu, kesimpulan boleh dibuat mengapa anaknya itu dirotan,” kata Nazri.

Perdebatan dan pertikaman lidah berlarut di Dewan Rakyat sejak dua hari lalu sama ada anaknya, Basil - yang dipelihara oleh ibunya yang beragama Kristian - adalah seorang Muslim.

Namun menurut Beginda, anaknya itu bukan beragama Islam.

“Anak saya beragama Kristian. Dia dibesarkan mengikut agama ibunya,” katanya.

Beginda berkata pada tahun 2004, apabila dia memohon MyKad, beliau telah menukar namanya semula kepada Beginda Anak Minda.

Anaknya dilahirkan pada 8 Mei 2000.

Di sijil kelahirannya, tiada agama dicatatkan untuk Beginda.

Semalam, ahli parlimen Bebas, Zulkifli Noordin menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat kemungkinan bapa kanak-kanak yang dirotan itu mempunyai dua identiti.

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baru itu, pada Rabu lalu mendakwa kanak-kanak itu adalah anak seorang Muslim bernama Norazman Abdullah @ Beginda anak Minda.

Beliau membayangkan kemungkinan Beginda murtad kerana dia telah didakwa mempunyai dua nama yang berlainan.

Katanya, Beginda yang dikatakan bapa kepada pelajar tersebut - pada tahun 1998, sewaktu kes Datuk Seri Anwar Ibrahim - namanya adalah Norazman Abdullah @ Beginda Minda dan beragama Islam.

Zulkifli berkata, sijil perkahwinan dikeluarkan pada 29 Julai 2009 sedangkan perkahwinan berlangsung pada 25 Disember 1999 iaitu setahun selepas kes Anwar, ketika Beginda seorang Islam.

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, jika seseorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu juga semestinya beragama Islam.

Basil dirotan 10 kali di tapak tangannya kerana memakan nasi goreng dengan sosej babi yang dibekalkan oleh ibunya.

Isu itu kali pertama didedahkan pada sidang media yang dianjurkan oleh PKR di Kuching di mana Angela Jabing, ibu kepada pelajar Sekolah Rendah St Thomas itu mendakwa seorang guru merotan anaknya kerana membawa makanan tidak halal ke sekolah.

Sekolah berkenaan kemudian memohon maaf kepadanya



MB: Laporan larang bina rumah ibadah tidak tepat
Nov 12, 10 7:43pm

Pejabat Menteri Besar Selangor menjelaskan bahawa laporan yang mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambil kira kuil dan rumah ibadat lain ketika meluluskan projek pembangunan adalah tidak tepat.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan petang ini, ia menegaskan bahawa kerajaan negeri prihatin keperluan membina tempat-tempat ibadat secara terperancang.

Berikut adalah kenyataan sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor:

Terdapat beberapa versi laporan berhubung jawapan yang diberikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai isu pembinaan kuil ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ibrahim Sani pada sesi sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Kerajaan Negeri Selangor ingin menjelaskan pendirian mengenai pembinaan kuil dan rumah ibadat lain iaitu

- Pembinaan tempat-tempat beribadat harus dibuat secara terancang dan mengikut garis panduan kerajaan demi memastikan kepuasan semua pihak yang terlibat

- Projek perumahan baru yang bakal dibina di Selangor diwajibkan mengambil kira kewujudan kuil dan rumah ibadat lain yang sudah wujud di kawasan tapak atau kawasan berdekatan tapak pembinaan

Sekiranya pihak pemaju gagal mengambil kira rumah-rumah ibadat yang sudah wujud berdekatan dengan tapak pembangunan atau sekurang-kurangnya menyediakan rancangan rapi untuk pemindahan rumah ibadat tersebut yang dipersetujui semua pihak terlibat, kelulusan untuk membina tidak akan diberi.

Sejak Julai 2008, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan 30 geran tanah kepada kuil Hindu manakala 15 lagi masih menunggu kelulusan Exco untuk diwartakan.

Permohonan bagi membina rumah ibadat perlu diperhalusi melalui kajian mendalam dan setiap kelulusan yang dibuat tertakluk kepada kekosongan tanah, kesesuaian lokasi dan keperluan penduduk setempat.

Laporan media yang mendakwa Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambil kira kuil dan rumah ibadat lain ketika meluluskan projek pembangunan adalah tidak tepat.

Pegawai Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar bertugas sepanjang DNS berlangsung dan sedia memberi penjelasan jika terdapat sebarang kekeliruan



MIC bantah larangan bina kuil di kawasan Islam
Nov 12, 10 6:21pm

Keputusan kerajaan Selangor yang melarang pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu menimbulkan kemarahan MIC yang menuntut ia ditarik balik.

Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu berkata tindakan kerajaan Pakatan Rakyat itu mencerminkan kecetekan pemahaman berhubung perhubungan kaum di Selangor.

“Adakah ini bermakna orang Islam dan bukan Islam tidak boleh tinggal bersama? Tidakkah anda berjanji kepada pengundi bahawa jika parti anda menang (pada pilihan raya umum lalu), anda akan berlaku adil kepada semua bangsa dan memberi layanan saksama?” soal Samy Vellu dalam satu kenyatataan hari ini.

Samy Vellu mengulas jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di dewan undangan negeri Selangor, semalam.

Khalid, semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ismail Sani (BN-Dusun Tua), berkata rumah ibadat bukan Islam tidak boleh dibina sebarangan bagi mengelakkan ketegangan kaum.

Katanya, keputusan baru ini berikutan kes 'protes kepala lembu' yang menyaksikan penduduk di Seksyen 23 Shah Alam menunjuk perasaan sambil membawa kepala lembu sebagai membantah pemindahan sebuah kuil Hindu ke kawasan perumahan mereka.

Samy Vellu mendakwa peraturan baru Khalid itu secara sistematik cuba memisahkan masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Bagi tahu saya di mana tidak ada tempat majoriti penduduk Islam di kawasan perumahan. Di mana bukan Islam akan mencari tempat membina rumah ibadat?

“Saya ingin ingatkan Khalid bahawa Pakatan Rakyat menang di Selangor pada pilihan raya umum 2008 kerana perobohan sebuah kuil Hindu di Kampung Padang Jawa, berhampiran Shah Alam, Selangor pada Oktober 2007, dan sekarang dia mahu menghalang pembinaan kuil di kawasan orang Islam,” kata Samy Vellu.

Presiden MIC itu juga mengingatkan Khalid supaya tidak 'bermain dengan api' dengan mempersoalkan kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

“Kebebasan itu memberi hak setiap warga negara hak untuk membina rumah ibadat mereka di kawasan perumahan, tidak kira sama ada di kawasan majoriti Islam ataupun bukan Islam,” katanya.

Menurut Samy Vellu, kerajaan negeri Selangor perlu menarik balik larangan itu atau menerima padahnya.

Dalam pada itu, pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan hari mengeluarkan penjelasan berhubung larangan itu.

Menurut kenyataan itu pembinaan tempat-tempat beribadat harus dibuat secara terancang dan mengikut garis panduan kerajaan demi memastikan kepuasan semua pihak yang terlibat.

“Projek perumahan baru yang bakal dibina di Selangor diwajibkan mengambil kira kewujudan kuil dan rumah ibadat lain yang sudah wujud di kawasan tapak atau kawasan berdekatan tapak pembinaan.

“Sekiranya pihak pemaju gagal mengambil kira rumah-rumah ibadat yang sudah wujud berdekatan dengan tapak pembangunan atau sekurang-kurangnya menyediakan rancangan rapi untuk pemindahan rumah ibadat tersebut yang dipersetujui semua pihak terlibat, kelulusan untuk membina tidak akan diberi,” petik kenyataan itu.

Ia juga menjelaskan sejak Julai 2008, kerajaan Selangor telah meluluskan 30 geran tanah kepada kuil Hindu manakala 15 lagi masih menunggu kelulusan exco untuk diwartakan.

“Permohonan bagi membina rumah ibadat perlu diperhalusi melalui kajian mendalam dan setiap kelulusan yang dibuat tertakluk kepada kekosongan tanah, kesesuaian lokasi dan keperluan penduduk setempat,” katanya lagi



Belanja besar: Sultan S'gor batal hadiri majlis jamuan
Nov 12, 10 6:56pm

Sultan Selangor membatalkan keberangkatan ke majlis jamuan tengahari anjuran Yayasan Selangor Isnin ini kerana dukacita dengan kosnya yang terlalu tinggi.

Baginda menyifatkan jumlah perbelanjaan sebesar itu bagi majlis makan tengahari sempena sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan Yayasan Selangor sebagai satu pembaziran.

Majlis itu dijadualkan di Asrama Tun Dr Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Berikut adalah kenyataan penuh sekretariat akhbar kerajaan negeri Selangor:

Adalah dimaklumkan bahawa D.Y.M.M. Sultan Selangor telah membatalkan hasrat Baginda untuk berangkat ke Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke 40 Yayasan Selangor yang akan diadakan pada hari Isnin, 15 November 2010, di Asrama Tun Dr. Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Pada mulanya Baginda telah berkenan berangkat menghadiri majlis tersebut, atas dasar Yayasan Selangor merupakan badan kebajikan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab memantapkan pendidikan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan dari kawasan luar bandar di Selangor.

Baginda percaya keberangkatan Baginda ke majlis tersebut dapat menyuntik semangat warga kerja Yayasan Selangor dan juga bagi menghargai jasa mereka dalam membantu meningkatkan pendidikan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran yang dapat menjamin masa depan yang lebih cerah.

Di samping itu Baginda berharap dapat bermesra dengan anak-anak di bawah kelolaan Yayasan Selangor dan untuk memberikan motivasi agar mereka dapat belajar dengan lebih gigih.

Pada asalnya Majlis yang dicadangkan adalah Majlis Makan Malam, Baginda berpendapat Majlis Makan Malam akan menelan belanja yang tinggi dan Baginda telah menitah dan menasihatkan Yayasan Selangor untuk mangadakan Majlis Makan Tengahari.

Walau bagaimanapun, Baginda merasa terkejut dan amat dukacita apabila mendapat maklum bahawa kos perbelanjaan untuk Majlis Sambutan Ulang Tahun ini amat tinggi, ianya merupakan satu pembaziran dan tidak berfaedah.

Baginda berpendapat wang tersebut adalah lebih berfaedah jika digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan atau digunakan untuk membiayai lebih ramai pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan selaras dengan visi, misi dan objektif penubuhan Yayasan Selangor.

Baginda juga telah dimaklumkan bahawa Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Yayasan Selangor sendiri tidak dimaklumkan mengenai perkara ini dan kos yang terlibat.

Akhir sekali Baginda menasihatkan Yayasan Selangor untuk lebih prihatin dalam menguruskan kewangannya dan memberikan fokus ke atas amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas penubuhannya



Ambil alih saham Star, MCA didakwa pecah amanah
Nov 12, 10 3:13pm

Seorang ahli MCA hari ini membuat laporan polis supaya menyiasat kemungkinan berlaku pecah amanah oleh pemimpin parti itu berhubung pembelian 42.4 peratus saham dalam Star Publications (M) Sdn Bhd oleh badan pelaburannya.

Laporan polis itu dibuat oleh naib pengerusi MCA cawangan Bukit Pasar, Hui Huat di balai polis Seremban semalam.

Dalam laporannya, Hui mendakwa amalan MCA memiliki saham berkenaan daripada badan pelaburannya, Huaren Holdings, adalah bercanggah dengan perlembagaan parti.

“Pemindahan saham ini tidak mendapat kebenaran mesyuarat agung khas (EGM) MCA. Pembelian dan pemindahan saham adalah di atas arahan majlis presiden. Tetapi mengikut Artikel 47, Perlembagaan MCA, majlis presiden tiada kuasa membuat keputusan pembelian,” laporan polis itu dipetik.

Katanya, pembelian itu juga tidak mendapat pengesahan Jawatankuasa Pusat MCA, seperti yang disyaratkan oleh Artikel 45.9 perlembagaan parti berkenaan.

“Oleh hal demikian, pembelian ini adalah satu penyelewengan kuasa yang tidak dibenarkan di bawah Perlembagaan MCA. Transaki pembelian saham ini adalah void ad initio dan satu tindakan pecah amanah terhadap ahli-ahli MCA,” katanya lagi dalam laporan itu.

Menurut Hui, keputusan parti memiliki saham daripada Huaren Holdings yang dimiliki sepenuhnya oleh parti itu sebenarnya adalah tindakan yang tidak diperlukan dan sehubungan itu, mencurigakan.

Katanya, kegagalan mengadakan EGM bagi membahaskan perkara itu, juga melanggar tanggungjawab fidusiari.

Ketika dihubungi untuk ulasan lanjut, Hui berkata parti itu berdepan dengan 'precedence' di mana pembelian besar perlu melalui kelulusan perhimpunan agung parti.

“Semasa zaman (bekas presiden Tun Dr) Ling Liong Sik (pertama dari kiri), EGM diadakan sebelum parti membeli kumpulan penerbitan Nanyang. Tetapi kali ini tidak,” katanya.

Hui juga berkata beliau akan membuat aduan yang sama kepada Pendaftar Pertubuhan kerana ia membabitkan perlembagaan parti.

Pada 5 November lalu, MCA mengesahkan ia memindahkan 313,315,769 saham bernilai RM1 seunit Star Publishing daripada Huaren Holdings kepada parti itu, pada nilai pasaran lebih kurang RM1.3 bilion



PKR siasat peratus tinggi mengundi di Sabah
Aidila Razak
Nov 12, 10
4:05pm


PKR sedang menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pengundian pemilihan pucuk pimpinan parti itu, di beberapa cabang di Sabah, kata timbalan pengerusi PKR Sabah, Christina Liew.

"Saya memeriksa dengan ibu pejabat parti dan diberitahu mereka sedang menyiasat... Saya faham majoriti (aduan) telah dibuat kepada ibupejabat, tetapi saya tidak tahu masa berapa lama siasatan akan dijalan," katanya ketika dihubungi kelmarin.

Tumpuan utama ialah mengenai jumlah yang keluar mengundi di beberapa cabang di Sabah, termasuk Sandakan dan Libaran, telah mencetuskan kebimbangan kerana rata-rata ia adalah sekitar 10 peratus.

"Ahli di Sabah nampaknya merasa bahawa pemilihan pucuk pimpinan pusat kurang penting berbanding di peringkat cabang kerana mereka lebih prihatin terhadap siapa yang memimpin mereka di peringkat cabang," kata Liew (kiri).

Di Libaran, 898 dari 1,501 ahli berdaftar, atau 59,83 peratus keluar mengundi, dengan calon timbalan presiden, Azmin Ali menyapu bersih hampir semua undi di cabang itu.

Sandakan juga mencatatkan jumlah pengundi yang tinggi - 43,57 peratus - dengan 456 daripada 1,047 ahli yang berdaftar, keluar mengundi.

"Bagaimana mereka boleh membuat begitu ramai keluar mengundi? Ada sekitar 4,000 ahli di Kota Kinabalu (cabang Liew), tapi hanya 300 yang keluar mengundi," katanya.

Sandakan, Libaran serta cabang-cabang lain yang ahlinya ramai keluar mengundi, seperti Tawau dan Tenom, hampir 100 peratus undi adalah untuk Azmin..

Di Tawau sahaja, calon timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Chang Lih Kang memperolehi kesemua 232 undi, kecuali satu undi untuk lawannya Khairul Anwar Ahmad Zainuddin.

Ketika dihubungi untuk mendapat pengesahan bahawa siasatan sedang dijalankan, pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr Molly Cheah keberatan untuk mengatakan ya atau tidak.

Apabila didesak seterusnya, beliau bagaimanapun berkata: "Jika Christina Liew dah kata ia sedang disiasat, maka ia sedang disiasatlah.



Pemuda PAS bantah filem gay
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menentang hasrat penayangan filem “Anu Dalam Botol” yang didakwa bertemakan kehidupan gay.

Ketuanya, Nasruddin Hassan, berkata sikap penerbit filem tersebut Raja Azmi Raja Sulaiman, wajar dipersoal kerana cuba menonjolkan budaya songsang untuk tatapan masyarakat negara ini.

"Apakah sebenarnya motif utama pembikinan dan penyiaran filem berkenaan?

Adakah ia merupakan isu atau fokus penting dikalangan masyarakat terutamanya golongan belia pada hari ini?

Malah, DPPP juga hairan mengapa pihak beliau menamakan judul filem asal berkenaan adalah “Anu Dalam Botol”?," soal Nasruddin.

Beliau berkata demikian setelah merujuk kepada laporan sebuah portal berita tempatan semalam bahawa Raja Azmi telah menghantar skrip filem berkenaan kepada pihak berkuasa agama di negara ini selain daripada Lembaga Penapisan Filem untuk mendapatkan nasihat dan kebenaran.

Kata Nasruddin lagi, DPPP bukan bersifat taboo dalam membincangkan soal-soal seksualiti.

Malah katanya perbahasan Fiqh (Hukum Hakam Islam) telah dibincangkan secara panjang dan mendalam isu-isu mengenai seksualiti tanpa rasa segan silu kerana ia demi kepentingan ilmu dan kefahaman masyarakat.

Menurutnya, perfileman, sepatutnya memainkan peranan yang betul untuk membangunkan minda masyarakat dengan cara menerbitkan filem-filem yang berkualiti disamping menggunakan sistem teknologi yang canggih.

"DPPP berpandangan bahawa kualiti adalah berdasarkan kepada jalan cerita atau pengisian yang memberikan kesan besar dalam diri masyarakat supaya menjadi lebih baik dan mampu mengkoreksi peribadi individu dengan mengambil kira pertimbangan agama, budaya dan nilai yang perlu diterapkan kepada masyarakat," katanya

Tiada ulasan: