UMNO cabar Pas berundur
KOTA BHARU-UMNO mencabar Pas supaya terlebih dahulu berundur di negeri yang bermasalah di bawah pemerintahan mereka (Pakatan Rakyat) sebelum menyarankannya kepada pihak lain.
Ketua Penerangan UMNO Negeri, Dali Husin berkata, sepatutnya Pas membuktikan dahulu corak pemikiran pemimpin tersebut yang meminta UMNO berundur secara terhormat.
Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan supaya UMNO perlu berundur secara terhormat jika tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat, sekali gus mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Membidas kenyataan itu, Dali yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa turut mencabar Pas melaksanakan cadangan tidak masuk akal itu di negeri bermasalah dan bukannya setakat mencadangkan kepada parti lawan.
“Kita lihat di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah ada masalah dengan pemerintahan mereka, jadi saya mengarahkan supaya Pas laksanakan cadangan tersebut di tempat mereka.
“Pas kena buat di negeri ini, buktikan kata-kata ini dengan mereka dahulu sepatutnya berundur kerana rakyat sudah mula tidak menyenangi pentadbiran mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sambil menyifatkan Pas tidak dapat menerima sistem demokrasi pemerintahan berdasarkan pilihan rakyat, Dali turut menyangkal kemampuan pembangkang untuk memerintah negara.
“Bagi saya kenyataan Abdul Hadi tersebut adalah kerana wujudnya kebimbangan beliau terhadap sokongan rakyat yang kembali memilih UMNO,” katanya.
Dali juga secara sinisnya menyatakan Pas hanyalah boneka dan alat kepada PR, malah hanya mempunyai peratusan yang kecil sahaja untuk memerintah negara.
“Pas hanya digunakan oleh pihak lain untuk mengukuhkan kuasa mereka dan jika mereka mempunyai kekuatan sudah tentu masalah tidak akan timbul di negeri pemerintahan mereka,” katanya
Remaja sembunyi sejam
KOTA BHARU – Gara-gara takut ditangkap penduduk selepas cubaan mencuri tidak menjadi, seorang remaja sanggup bersembunyi dalam semak selama satu jam di Kampung Beris Jawi, malam kelmarin.
Remaja yang dipercayai berusia 14 tahun itu di tahan oleh penduduk setempat apabila cubaannya bersama seorang rakan tidak kesampaian apabila pemilik rumah menyedari tindakan mereka.
Pemilik rumah, Mohd Noor Husin, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan tiga orang anaknya sedang menonton televisyen dan bertindak selepas mendengar bunyi dari luar rumah.
Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 10 malam itu, dia terdengar bunyi dan menyangka ianya bunyi kucing tetapi terkejut apabila melihat kelibat manusia di luar rumahnya.
“Ketika itu, saya membawa sebatang kayu dan menyergah suspek tetapi kedua-dua mereka sempat melarikan diri.
“Saya sempat melihat kedua-dua suspek berlari ke arah yang bertentangan di antara satu sama lain dan tidak sempat mengejar mereka,” katanya yang juga mempunyai kedai tayar berdekatan dengan rumahnya.
Menurutnya, ketika rakan suspek melarikan diri, dia dipercayai terlibat dalam kemalangan kecil ketika dilanggar kereta di hadapan rumahnya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mohd Noor berkata, selepas kejadian, dia meminta bantuan dari penduduk setempat untuk mencari kedua-dua suspek dan satu jam kemudian mereka hanya menemui salah seorang daripadanya bersembunyi dalam semak lebih kurang 100 meter dari rumahnya.
Suspek kemudiannya di bawa ke Balai Polis Pengkalan Chepa untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut dan beliau berkata, remaja itu dipercayai terlibat dengan kes dadah.
Beliau berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut lagi berhubung kes tersebut
Bayi dalam kotak
GEORGETOWN - Seorang lelaki yang ingin membuang kotak yang disangkanya sampah terkejut apabila ternampak seorang bayi lelaki di dalamnya.
Mahmud Maslan berkata, ketika ditemui, bayi itu tidak menangis.
“Saya menjumpai satu kotak dan setelah diperiksa, ia berisi seorang bayi lelaki. Saya mengambil keputusan membawanya pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, seorang lelaki yang dipercayai baru pulang dari masjid menjumpai kotak minuman di penjuru kaki lima Flat Sri Petani, lalu mengambilnya untuk dibuang.
“Siasatan awal mendapati bayi seberat 2.7 kilogram baru diletakkan di situ kira-kira 15 minit setelah dilahirkan dalam tempoh 24 jam. Bayi itu sihat dan dalam keadaaan stabil serta masih mempunyai tali pusat.
“Ketika ditemui, bayi yang berkulit cerah dan berambut lurus itu tidak menangis dan dalam keadaan bogel, diletakkan dalam kotak minuman. Pemeriksaan doktor, mendapati tali pusat bayi itu dipotong dengan kasar dan ini menunjukkan suspek tidak mempunyai pengalaman."
"Terdapat juga kesan darah kering pada bayi itu,” katanya kepada media di Balai Polis Pulau Tikus, di sini, semalam.
Menurutnya, bayi itu belum diketahui keturunannya dan sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut .
Kong Meng turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, menghubungi Ibu Pejabat Daerah Timur Laut Pulau Pinang di talian 04-2282222 begin_of_the_skype_highlighting 04-2282222 end_of_the_skype_highlighting.
Kes itu disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan