Ahad, 28 November 2010

DUNIA..KEFAHAMAN BERBEZA2...HINGGA ADA YANG BUAT SESUATU HENDAK MENUNJUK2..ADA MEMPERJUANGKAN ISLAM...TAPI MENGANGGAP IA BETUL SAJA...ORANG TAK BERKEFAHAMAN MACAMNYA DIANGGAP TAK BETUL...SEBENARNYA MEREKA NI MASIH TAK KENAL ALLAH DAN ISLAM DENGAN SEBENARNYA...HINGGA MEMILIH GURU@USTAZ DENGAN MELEMPAR TUDUHAN TANPA SIASAT DAN FAKTA YANG LEMAH...SEKURANG2 JADILAH KITA SUKA KEPADA ORANG MENUNTUT ILMU...DAN JANGAN SAMPAI KITA MEMBENCINYA TERMASUK USTAZ ITU...ADAKAH KITA KAHSAF TAHU SIAPA YANG LEBIH TAKWA KALANGAN KITA......

Pengundi kritis pun ada risikonya
Ahmad Lutfi Othman
Memang sukar dan sengit. Mungkin keputusannya juga tidak dijangka nanti, mengulangi debaran 2008. Ya, tidak mudah bagi mana-mana parti politik berdepan pilihan raya umum ke-13. Tiada lagi jalan mudah seperti dahulu. Rakyat Malaysia kini benar-benar sudah ada pilihan untuk dipilih, tidak sepertimana pernah dikritik (sekali gus menyindir parti pembangkang) oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman.

Dato' Seri Najib Razak pastinya mengintai peluang terbaik untuk menebus maruah BN. Tarikh pilihan raya sentiasa menjadi senjata utama untuk memerangkap seteru politik. Selalunya, selepas tempoh 36 bulan, teka-teki pembubaran Parlimen akan bermula. Najib - melalui apa jua cara, seperti yang dilafazkannya dalam perhimpunan Umno lalu - tentunya mahu membuktikan bahawa dalam pilihan raya pertama yang diterajuinya, prestasi BN akan kembali melonjak.

Sejarah menunjukkan setiap perdana menteri baru akan mencatatkan kemenangan gemilang ketika pertama kali mengepalai jentera kempen. Misalnya, dalam pilihan raya 1974, Barisan Nasional yang baru dibentuk atas inisiatif Tun Abdul Razak Hussein, yang menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra, menguasai 135 daripada 154 kerusi Parlimen,iaitu 87.66 peratus.

Tun Dr Mahathir Mohamad pula merakamkan detik-detik indahnya dalam pilihan raya 1982 apabila BN menang 85.71 peratus kerusi Parlimen. Manakala dalam empat pilihan raya selepas itu, yang juga diterajui bekas Perdana Menteri keempat itu, prestasi BN naik-turun, tetapi tidak pernah mengatasi rekod 1982. Pada 1986, majoriti kerusi BN di Parlimen adalah 83.62 peratus; 1990, 70.55 peratus; 1995, 84.36 peratus; dan pada tahun 1999, 76.68 peratus.

Tanpa diduga, Presiden Umno yang dilihat paling lemah, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mengungguli kehebatan selepas mengejutkan parti-parti pembangkang dan memberikan nafas baru buat Umno pada 2004. BN mencatatkan kedudukan paling selesa sepanjang, apabila menang lebih 90 peratus kerusi Parlimen. Keselesaan membawa padah, malah mengheret Abdullah jatuh!

Mac 2008, tsunami politik menggegarkan negara. BN hilang empat lagi negeri (antaranya yang termaju di negara ini) dan buat pertama kali dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen. Jumlah kerusinya hanya 63.1 peratus. Asakan agar Abdullah berundur lebih kuat daripada dalam. Tarikh persaraannya terpaksa dipercepatkan. Dan Najib - orang yang paling mendapat manfaat daripada pengunduran Abdullah itu - pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Ramai pemerhati politik melihat pengundi kita semakin matang dan mampu menganalisis dengan baik. Mereka dianggap tidak mudah tersilau dengan propaganda murahan dan retorik memualkan. Selepas pilihan raya umum ke-10, yang menyaksikan pengundi Melayu bangun memprotes secara terbuka, timbul istilah "politik baru". Kawasan majoriti Melayu, terutama di utara dan pantai timur, "habis disapu" PAS.

Namun, empat tahun kemudiannya, "pantai berubah" dengan pantas. Imej "Mr Clean" Abdullah ternyata menarik imiginasi pengundi. Beliau diundi kerana potensinya dilihat begitu memikat, apatah lagi dengan keazamannya untuk membawa kelainan berbanding regim Mahathir. Timbul persoalan, apakah elemen politik baru yang muncul semasa teriakan reformasi sudah tidak relevan lagi?

Budaya politik baru ini rupanya tidak mudah disisihkan. Ia mengakar dalam diam. "Politik Malaysia tidak sama lagi selepas ini," kata bekas vokalis Blues Gang, Ito kepada saya, pada awal tahun 2000. Muntahan pemimpin tertinggi tidak ditelan bulat-bulat lagi. Wibawa media perdana menjunam. Zaman kerajaan tahu segalanya sudah berakhir.

Rakyat Malaysia menerima nasihat Abdullah agar tidak lagi membantah melalui demonstrasi jalanan, seperti fenomena 1999, tetapi menggunakan hak mereka dalam peti undi dengan begitu bijaksana. Kempen pilihan raya 2008, terutama pada minggu pertama begitu suram. Siapa sangka, rakyat sudah bersiap, malah tidak sabar-sabar lagi, untuk menghukum pemerintahan Abdullah.

Bagi A Kadir Jasin, BN ditolak kerana ia dilihat sebagai tidak cekap dan tidak sensitif kepada kehendak rakyat tetapi pada masa yang sama bongkak, mungkir janji,mengamalkan pilih kasih dan gagal menangani isu semasa seperti kenaikan harga barang dan kadar jenayah. Kepemimpinan kerajaan dan BN dilihat sebagai mempersendakan suara dan aspirasi rakyat.

Keperibadian, gaya, kaedah, serta prestasi Abdullah menjadi pertikaian. Faktor yang benar-benar menyebabkan pentadbiran beliau menjadi tidak begitu popular adalah persepsi mengenai kesombongan dan keangkuhan segelintir kecil manusia di sekeliling Abdullah.

Saya masih ingat pandangan seorang penganalisis politik bergelar profesor dalam satu seminar di UKM pada awal 1990-an. Maksudnya lebih kurang, beruntunglah Umno yang ditakdirkan menang dalam pilihan raya pertama pada 1955, yang seterusnya mendapat kepercayaan majoriti rakyat tanpa henti. Tambahnya, jika PAS menang dalam pilihan raya awal itu, beliau yakin PAS bersama sekutunya akan terus memerintah Malaysia "sampai bila-bila".

Saya merasakan profesor berkenaan mahu menekankan soal kesetiaan pengundi kepada parti pemerintah. Waktu itu belum timbul ungkapan politik baru. Umno di kebanyakan kawasan dianggap bakal menang mudah "walaupun meletakkan tunggul kayu". Faktor parti jauh mengatasi isu calon.

Era itu sudah berlalu. Pengundi yang kritis bakal "menyusahkan" siapa jua yang memerintah, termasuk Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang dikuasainya. Rekod menunjukkan momentum kemenangan oposisi sukar dilonjakkan dalam dua pilihan raya berturut-turut, sementalahan pula dipisahkan oleh seorang perdana baru. Memang Pakatan mahu membina sejarah baru, bukan meneruskan tradisi lama yang menguntungkan BN itu.

Benar, kerajaan negeri terbatas kuasanya. Tapi jangan terlalu ghairah mencanang impian ke Putrajaya hingga diperolokkan orang," komen seorang pensyarah politik. "Tunjukkan model terbaik dari segi kecekapan pengurusan, ketelusan pentadbiran, keikhlasan dan ketekunan berbakti. Perangi betul-betul politik wang. Saya dah tak dengar kerjasama empat negeri Pakatan terutama untuk membangunkan ekonomi."

"Dalam politik tidak boleh membaca selapis. Sentimen perkauman masih tebal dan perlu ditangani dengan bijak walaupun heboh budaya politik baru. Macam mana PAS nak ganti Umno kalau majoriti orang Melayu masih sangsi dengan Pakatan? Mungkin ia hanya persepsi, tapi saya tengok persepsi itu tak berjaya ditanggalkan walaupun selepas hampir tiga tahun Pakatan ditubuhkan," syarahnya lagi. Saya sekadar mencatat.



Pembeli Sri Hijauan buat laporan polis
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Kira-kira 50 pembeli apartmen Sri Hijauan, Ukay Perdana membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati hari ini ekoran kegagalan pemaju menyiapkan rumah selepas tujuh tahun berlalu.

Mereka membuat laporan itu selepas berkumpul beramai-ramai di kawasan apartmen itu mulai jam 10 pagi tadi.

Kira-kira jam 11 pagi polis datang dan menasihatkan mereka agar membuat laporan polis untuk membolehkan mereka membantu.

Ketua Balai Polis Taman Melawati, Cif Inspektor Muhamad Ruslin kemudiannya berjanji kepada mereka untuk menyiasat dan mempertemukan pembeli dengan pihak pemaju.

Mereka telah membeli apartmen berkenaan pada tahun 2003 dari Talam Corporation dan sepatutnya boleh diduduki tiga tahun kemudian selepas perjanjian jual beli ditandatangani iaitu dijadual siap pada tahun 2006.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, pembeli rumah terbabit bercadang untuk memasuki rumah mereka pada 28 November.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berjanji akan mengkaji isu dan mula Disember ini selepas menyelesaikan beberapa kes projek terbengkalai di Selangor.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya telah meminta pemaju menyambung perbentungan ke pusat pemerosesan air kumbahan berpusat kerana sambungan sekarang dibuat ke pusat pemerosesan sementara yang telah penuh




BN hanya fikir selamatkan parti bukan negara
Mohd Sabri Said
KEPALA BATAS, 28 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya mahu menyelamatkan kedudukan mereka dan tidak langsung memikirkan masalah rakyat di negara ini.

Katanya, walaupun cuba menonjolkan Malaysia sebuah negara hebat di mata dunia, namun hakikatnya rakyat negara ini masih dibelenggu segala permasalahan.

"BN hanya berfikir bagaimana nak selamatkan BN pada pilihanraya umum akan datang tidak pun merencanakan berbagai perancangan menghilangkan tangapan umum tentang Malaysia yang dicintai," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada ceramah anjuran PAS Cawangan Permatang Keriang dengan kerjasama Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Aishah, Penaga, Kepala Batas semalam.

Menurut beliau lagi, sebab itu BN memperkenalkan ahli gabungan dan bersekutu, semata-mata mahu menarik golongan muda yang masih tidak menyokong BN kerana marahkan Umno, MIC, MCA, Gerakan dan sebagainya.

"Apa guna sokong cara yang BN sedang laksanakan sekarang kerana menyokong BN bererti tetap bersekongkol dengan Umno dan komponen lain yang nyata menyelewengkan wang rakyat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Kata beliau, cara demikian hanya mahu memastikan BN terus kerana yang penting bagi mereka adalah memenuhi kocek sendiri dan kroni terdekat.

Perdana Menteri sepatutnya mengenal pasti kelemahan pentadbiran sendiri dan memperbetulkanya agar mampu memperkasakan negara kembali.

Negara pada waktu ini sedang berdepan kehilangan kepercayaan rakyat kerana hancurnya demokrasi, sistem kehakiman, gejala rasuah, gejala sosial berterusan.

"Nak ubah macam mana, mereka tetap naik perahu yang sama hanya pendayung sahaja yang bertukar tangan.

Tambahan lagi kini perahu yang dinaiki bocor sana sini pasti keadaanya kelam kabut menyalahkan orang itu dan ini bahkan ada yang telah terjun ke laut bila mendapat tahu perahu nak tengelam," jelas beliau.

Berceramah sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dan Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husein


Kontraktor Melayu Pulau Pinang tidak lembik
Harakahdaily

GEORGETOWN, 28 Nov: Sistem tender terbuka yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah teraju Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuktikan bahawa kontraktor Melayu di negeri ini tidak lembik, apatah lagi dayus.

Di sebalik dakwaan negatif seumpama itu selama ini, Guan Eng berkata, sistem berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti & Telus (CAT) yang menjadi pedoman pimpinan kerajaan negeri menunjukkan lebih 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu.

Di Pulau Pinang, katanya mana-mana kontraktor tidak perlu pakai kabel politik untuk dapat kontrak tetapi hanya pakai kabel komputer sebab kerajaan negeri mahu memartabatkan usahawan Bumiputera dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-perolehan dan kontraktor kelas F tidak perlu hanya datang dari UMNO sahaja.

Malah, ujarnya program Titian Saksama Rakyat (PTSR) sebanyak RM3 juta untuk membiayai program perniagaan ekonomi kecil telah memberi manfaat kepada 356 peminjam dan 81 peratus daripada jumlah itu ialah usahawan kecil Melayu.

“Biarlah Umno dan Barisan Nasional menerusi lidahnya, Utusan Malaysia hari-hari cuba menggambarkan kerajaan Pakatan Rakyat dan saya anti Melayu tetapi kita tahu kita memang memerintah berteraskan rakyat, berjiwa rakyat demi memartabatkan rakyat tanpa mengira kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, beliau meminta Kementerian Kerja Raya turut diminta untuk menambahkan bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang untuk projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang daripada 24.5 peratus sahaja buat masa ini kepada lebih 50 peratus di masa depan.

Tambahan sub-kontraktor dari Pulau Pinang adalah perlu untuk memberikan peluang kepada sub-kontraktor mendapat peluang daripada projek RM4.5 bilion yang bertapak di negeri mereka sendiri, katanya.

Menurunya, bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang yang kecil itu dinyatakan dalam jawapan Menteri Kerja Raya kepadanya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini yang menjelaskan bahawa setakat 30 September 2010, seramai 106 sub-kontraktor telah dilantik oleh kontraktor utama bagi melaksanakan projek berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 26 sub-kontraktor atau 24.5 peratus sahaja merupakan kontraktor yang berdaftar di Pulau Pinang, tambahnya.

Kerajaan Persekutuan menubuhkan syarikat khas, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan diperbadankan sebagai pemegang konsesi projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pembinaan jambatan sepanjang 23.5 kilometer itu akan menghubungkan Batu Maung di Pulau Pinang dan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan dan telah dimulakan pada tahun 2008 dan dijangka siap pada bulan November 2013.

Kontraktor- kontraktor utama yang terlibat dengan pembinaan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang ini ialah Chec Contructions (M) Sdn Bhd yang berasal dari Republik Rakyat China, UEM Builders Berhad, Cergas Murni Sdn Bhd, IJM Contructions Sdn Bhd, HRA Teguh Sdn Bhd


GeMS untuk tangani gejala sosial
Khaulah Azwar

SELAYANG, 28 Nov: Kira-kira 5.3 juta rakyat di seluruh negara kini hidup di belenggu dengan keadaan yang tidak berapa selamat kerana diancam dengan berbagai tekanan.

Rententan itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah dengan menggadakan program Generasi Idaman Selangor (GeMS) sebagai langkah permulaan.

Menurut Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatan Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal, Insan negeri dalam sesi dailog bersama ketua-ketua kampung dan jabatan serta agensi kerajaan daerah Gombak semalam berkata, program itu merupakan satu permulaan untuk dibentangkan kepada semua yang hadir bagi bersama menangani masalah gejala sosial di negara ini.

Beliau telah meminta kepada semua yang hadir untuk menyediakan pelan induk dengan isi kandungan maklumat terperinci bagi mengenal pasti punca-punca berlakunya gejala sosial, tempat sarang maksiat, pembiakan sarang penagih dadah dan sebagainya di kalangan remaja sekolah dan belia.

Katanya, segala maklumat itu harus diserahkan kepada penghulu dan semua data tersebut kemudiannya akan diketengahkan kepada pegawai daerah yang dilantik sebagai Pengerusi Program Jelajah Generasi Selangor (GeMS) dan seterusnya akan dibawa ke peringkat negeri.

Tamnbahnya, semua data pelan induk di peringkat kawasan dan GeMS harus dihantar kepadanya pada 15 Januari 2011 dengan hasil kerja data yang tepat, bukan sekadar cantik tetapi mahukan data yang terperinci dan sahih.

“Semoga dengan pembentangan ‘master plan’ daripada peringkat kawasan ini kita dapat tahu berapa banyak sarang maksiat, ponteng sekolah, penagih dadah, pembuangan bayi dan sebagainya telah berlaku.

“Dan hasil tersebut kita akan mengambil tindakan selanjutnya. Semoga usaha murni ini akan dapat membendung masalah gejala sosial yang semakin menular,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri begitu serius untuk menangani gejala sosial dengan mengadakan berbagai program di beberapa kawasan di Selangor.

Jelasnya, antaranya rakyat telah mengikuti kem motivasi pelajar, Program Tuisyen Rayat Selangor (PTRS) , Kelab GeMS IPT, kem pemulihan akhlak dan pemantapan akidah, seminar keibubapaan, kursus jati diri, ceramah dan dailog mengikut kategori usia, kem kepimpinan remaja dan belia, seminar keluarga, kursus literasi komputer, ‘grooming image’ dan kem bina sahsiah.

Semua program tersebut, katanya diadakan untuk mendekati remaja dan belia agar mereka tidak tersasar jauh daripada landasan yang sebenar.

GeMS yang diadakan semalam adalah satu ‘wake up call’ dan katanya bukan bererti selepas ini tiada jenayah langsung.

“Saya juga ingin menyeru agar rakyat di Selangor memberi kerjasama dengan pihak bertanggungawab sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti tidak sihat wujud di kawasan sekolah dan awam. Peranan ini harus dimainkan semua pihak.

“Mereka harus membuat aduan kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya agar masaalah ini dapat ditangani sebaiknya,” katanya



Nurul Izzah undi tertinggi Naib Presiden PKR
Harakahdaily

PETALING JAYA, 28 Nov: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendapat undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dipilih sebagai Timbalan Presiden dengan mendapat 19,543 undi.

Keputusan itu diumumkan pada Kongres Nasional Tahunan ke-7 parti itu yang diadakan di sini, petang ini.

Keputusan penuh sebagaimana berikut:

Presiden

Datuk Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail (menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden

Mohamed Azmin Ali - 19,543 undi

Naib Presiden

1. Nurul Izzah Anwar – 13,211 undi

2. Tian Chua - 11,744 undi

3. Fuziah Salleh - 8,927 undi

4. Datuk Dr Mansor Othman - 8,576 undi

Ahli Majlis Pimpinan Pusat

1. Elizabeth Wong - 10,897 undi

2. Dr Badrul Amin Baharom - 9,672 undi

3. Hee Lot Sian - 8,473 undi

4. Khalid Jaafar - 7,889 undi

5. Datuk Johari Abdul - 7,719 undi

6. Abd Rahman Yusof - 7,719 undi

7. Haniza Talha - 7,588 undi

8. Fariz Musa - 7,511 undi

9. Zakaria Abdul Halim - 7,170 undi

10. Roland Chia Ming Shen - 7,095 undi

11. Siti Aishah Shaik Ismail - 6,876 undi

12. Ismail Yusof - 6,332 undi

13. Latheefa Koya - 6,242 undi

14. Kesavan Subramaniam - 6,139 undi

15. Shuhaimi Shafiei - 6,095 undi

16. M.R. Summugam - 5,964 undi

17. Yusmadi Yusoff - 5,810 undi

18. S.Manikumar - 5,789 undi

19. Mustafa Kamal Yusoff - 5,745 undi

20. Christina Liew - 5,707 undi

Tiada ulasan: