Rabu, 24 November 2010

SEMUA ADA JANGKA HAYAT...YANG KEKAL ITU ALLAH....JANGKA HAYAT DALAM KETENTUAN ALLAH SERTA ILMU ALLAH...TIADA SAPE MAMPU MENENTANG...BERTAKWALAH

Najib bimbang, siasatan Scorpène semakin meluas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mula bimbang sekarang ekoran siasatan yang lebih meluaskan terhadap skandal rasuah dalam pembelian kapal selam buatan Perancis, Scorpène.

Selain Najib, turut mula bimbang adalah pemimpin dari India, China dan Brazil serta pemimpin Perancis termasuklah bekas Presiden, Jacques Chirac, bekas Menteri, Dominique de Villipin dan Edouard Balladur di samping Presiden Perancis sekarang, Nicholas Sarkozy.

Demikian menurut laporan Asian Sentinel semalam dalam laporan yang ditulis oleh Gavin M. Greenwood, seorang konsultan keselamatan yang berpejabat di Hong Kong John Berthelsen, editor Asia Sentinel.

Mungkin persiapan ke arah itulah, pejabat kedutaan Malaysia di Perancis penuh dengan bekas pegawai tentera termasuk dutanya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, 58, yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera. Dr Abdul Aziz menerima watikah perlantikan itu awal Mei 2010 lalu.

Menurut seorang rakyat Malaysia yang berkunjung ke pejabat kedutaan Malaysia di Perancis baru-baru ini dalam urusan kerjanya, apa yang mengejutkan beliau adalah ramainya bekas tentera yang menjadi kakitangan di pejabat kedutaan itu termasuk dutanya.

Beliau tertanya-tanya, kenapa ramai sangat bekas tentera di situ, lalu dia teringat kes kapal selam yang tidak boleh menyelam kat Malaysia dan wanita Monggolia yang mati kerana dibom dengan C4.

Menurut Asian Sentinel, para peguam kepada keluarga 11 jurutera Perancis yang mati dalam serangan bom di Karazchi tahun 2002 lalu, akan memfailkan dakwaan pembunuhan terhadap Chirac dengan mendakwa kejadian itu berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class untuk tentera laut negara itu.

Sarkozy adalah Menteri Bajet Perancis ketika kerajaan negara itu menjual kapal selam yang dibina oleh gergasi pertahanan Perancis, DCN ( yang kemudiannya dikenali sebagai DCNS) kepada Pakistan dengan nilai USD950 juta.

Pendakwaraya mendakwa, ahli poltik, pegawai tentera dan orang tengah Pakistan menerima jumlah komisyen sehingga Euro2 juta yang kembali semula ke Paris untuk membantu kempen Balladur yang tidak berjaya mengalahkan Chirac itu.

Menteri Bajet, Sarkozy didakwa meluluskan elemen kewangan dalam penjualan kapal selam itu. Ketika itu, beliau adalah jurucakap pasukan kempen presiden Balladur dan menurut media Perancis, mereka telah membuka dua syarikat di Luxembrg untuk menguruskan wang rasuah itu, lapor Sentinel.

Adalah didakwa, apabila Chirac dipilih semula, beliau telah membatalkan pembayaran rasuah itu kepada Pakistan, menyebabkan tindakan serangan membalas dendam ke atas kenderaan yang dinaiki oleh para jurutera Perancis dan tiga rakyat Pakistan itu. Beberapa tahun lamanya, Pakistan menyalahkan serangan itu kepada militan Islam termasuk Al Qaeda.

Salah seorang peguam itu berkata, pihaknya akan menyiasat bagaimana keputusan memghentikan komisyen itu dicapai. Beliau juga mahu memanggil Sarkozy untuk memberikan keterangan namun Presiden Perancis itu dengan marahnya menafikan dakwaan itu.

Sebagai Presiden beliau mempunyai umuniti dan berhak untuk menolak dari dipanggil memberikan keterangan.

DCNS telah menjual Scorpènes kepada Pakistan pada tahun 1994. Malaysia melalui usaha Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membayar USD1 bilion kepada DCNS untuk memesan kapal selam itu dan pada tahun yang sama, iaitu 2002, ketika para jurutera Perancis itu dibunuh, lapor Sentinel.

Sebagai timbal balas, syarikat yang dimiliki rakan Najib, Abdul Razak Baginda telah dibayar Euro114 juta sebagai 'komisyen'. Ia disahkan dalam satu jawapan di Parlimen Malaysia.

Isu ini menjadi semakin panas apabila Altantuya Shaariibuu, wanita Monggolia yang mendakwa teman wanita Abdul Razak dibunuh dan diletupkan badannya sehingga berkecai dengan C4, peledak yang selalu digunakan oleh tentera.

Altantunya datang ke Malaysia untuk menuntut hak yang dijanjikan kepadanya iaitu USD500,000 dari komisyen yang mereka perolehi ekoran peranannya dalam urusan jual beli kapal selam ini.

Abdul Razak bersama dua pengawal peribadi Najib telah didakwa ekoran kejadian itu namun Abdul Razak telah dibebaskan manakala dua lagi pegawai polis yang menjadi pengawal peribadi itu dijatuhkan hukuman bunuh.



PAS kemuka usul bincang serangan Korea Utara
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub akan mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) untuk menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan serangan Korea Utara terhadap jirannya, Korea Selatan.

“Dengan ini diberikan notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan,” ujarnya dalam usul tergempar yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Berikutan adalah usul tergempar beliau.

Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) mohon mencadangkan:

Bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan tindakan Korea Utara baru-baru ini telah melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dengan melepaskan berpuluh-puluh tembakan meriam ke atas pulau Yeonpyeong, yang menempatkan kira-kira 1,000 tentera Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning, yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

Hubungan di antara Korea Selatan dan Korea Utara sejak insiden sempadan terburuk pada perang 1950-1953 dahulu kini semakin membimbangkan. Berikutan daripada insiden serangan tersebut ke atas pulau nelayan itu juga menyebabkan dua anggota marin Korea Selatan maut, sementara 15 anggota marin lagi dan tiga penduduk awam cedera.

Perkara ini berlaku berikutan sepasukan unit tentera Korea Utara melepaskan tembakan meriam sebagai tindakan provokasi pada kira-kira pukul 2.34 petang waktu tempatan (1.34 petang waktu Malaysia) dan pasukan tentera Korea Selatan melancarkan serangan balas sebagai pertahanan. Berikutan itu juga amaran ketenteraan Kelas A bagi situasi tempur ini dikeluarkan serta-merta oleh Korea Selatan.

Saya berharap, Parlimen Malaysia pada hari ini perlu membincangkan perkara tersebut sebagai dasar luar Kerajaan terhadap kedua-dua Negara tersebut. Ianya juga ada protes kita terhadap krisis peperangan yang bakal berlaku di sana. Penegasan terhadap kancah peperangan perlu dimuktamadkan oleh Malaysia kerana kita ada hubungan perdagangan dikedua-dua Negara tersebut.

Oleh yang demikian, saya meminta agar bantahan Parlimen Malaysia dibuat serta-merta terhadap kedua-dua Negara tersebut demi memelihara keharmonian hubungan dagangan atau pun warga Malaysia yang kini berada di sana



Zambry bentang bajet pilihan raya?
Harakahdaily

IPOH, 24 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merasakan Bajet 2011 yang akan dibentangkan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 30 November ini adalah Bajet Pilihanraya bagi persiapan Umno BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Timbalan ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, pihaknya melihat perbentangan bajet nanti bakal memfokuskan bentuk perkhidmatan dengan memastikan semua peruntukan akan sampai kepada rakyat demi mendapatkan undi mereka.

“Sudah tentu segala bentuk peruntukan tersebut akan melibatkan banyak perkara termasuklah projek-projek mega bagi menunjukkan kemampuan sesebuah kerajaan mengurus tadbir negeri dengan baik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Namun DPPN Pk, katanya menganggap apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Baginya, kerajaan negeri Umno BN Perak pada hakikatnya gagal dalam pengurusan negeri dengan efisyen dan jelas hanya menggunakan persidangan Dun nanti semata-mata untuk memenuhi agenda politik mereka yang ingin mengekalkan kuasa pemerintahan yang telah dirampas daripada Pakatan Rakyat (PR).

Persidangan Dun, ujarnya bukan hanya untuk meluluskan bajet, tetapi lebih dari itu untuk menzahirkan permasalah dan pandangan rakyat serta proses pembaikpulihan sistem pemerintahan yang secara jelas gagal dipenuhi oleh kerajaan Umno BN sekarang.

DPPN Pk juga, tambahnya melihat bagi persediaan menghadapi PRU 13 nanti, bajet kali ini bakal memberi perhatian kepada kebajikan dan kepentingan rakyat, terutama dari kalangan orang muda, bagi memastikan sokongan kepada Umno BN akan terus diterima.

Justeru, beliau menjangkakan peruntukan yang lebih besar akan diberikan kepada golongan itu yang akan disalurkan melalui pelbagai kemudahan atau program khas.

Ini, katanya kerana Umno BN sedar sokongan orang muda adalah garis penentu kepada kemenangan mana-mana parti politik dalam PRU.

Bagi DPPN Pk, katanya kuasa orang muda sekarang ini boleh menentukan jatuh bangun mana-mana parti politik dan yang paling penting adalah kuasa orang muda sebagai suara keramat yang perlu diberikan perhatian.

“DPPN Pk amat yakin orang muda sekarang ini sudah mampu untuk menilai dengan baik dan membaca apa yang tersirat di sebalik bajet yang bakal dibentang nanti lantas menzahirkan respons mereka terhadap pengkhianatan yang dilakukan melalui undi mereka di dalam PRU 13 nanti,” katanya lagi



OKT mati: Suaram kecewa kualiti PDRM
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kematian seorang pemuda, S Kalaiselven, 21, di Hospital Sultan Ismail selepas suspek ditangkap di bawah Ordinan Darurat pada September 2010.

Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata, S Kalaiselvan telah ditahan bawah Ordinan Darurat kerana disyaki terlibat dalam kes jenayah.

Katanya, pihak polis daerah Kota Tinggi telah mendapat perintah reman beberapa kali dan menahannya sehingga suspek ditahan bawah Ordinan Darurat.

Suaram juga, katanya mengecam tindakan pihak polis bertugas yang telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan Orang Kena Tahan (OKT) adalah dalam keadaan yang sihat dan baik seperti yang dinyatakan dalam Akta Kaedah-Kaedah Lokap(L.N.3289/1958)(4) semasa tempoh tahanan.

“Kami juga amat meragui kualiti perkhidmatan dan rawatan yang diterima oleh suspek di hospital yang boleh menyebabkan suspek meninggal dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Suaram turut melahirkan kekecewaan terhadap kualiti perkhidmatan PDRM.

Menurutnya, mengikut kenyataan ahli keluarga mangsa, pihak polis tidak memaklumkan kepada mereka mengenai keadaan kesihatan OKT sebelum itu walaupun OKT pernah dihantar ke hospital beberapa kali sebelum itu.

“Kami juga membantah kewujudan undang-undang zalim seperti Ordinan Darurat yang digunakan oleh polis untuk menahan suspek.

“Kami membantah segala undang-undang tanpa perbicaraan kerana ia merupakan satu penindasan terhadap hak-hak asasi manusia,” katanya lagi.

Tamnbahnya, undang-undang sebegitu akan melahirkan rasa bimbang dan kerisauan orang awam mengenai keselamatan OKT semasa mereka di bawah tahanan Ordinan Darurat atau undang-undang zalim yang lain.

Justeru, katanya Suaram menyeru agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian S Kalaiselvan serta menubuhkan IPCMC iaitu Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang bersifat bebas serta telus dan adil.

Selain itu, tambahnya tindakan tatatertib perlu diambil segera terhadap pengawai polis yang gagal menjalankan tanggungjawab.

Selain itu, segala undang-undang tanpa perbicaraan amat perlu dimansuhkan segera demi mengelakkannya daripada disalahgunakan untuk menindas hak asasi manusia



Kongkongan BN punca penjawat awam bermasalah
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim mencadangkan satu kajian terperinci dilaksanakan segera bagi mengenal pasti faktor penjawat awam bermasalah.

Beliau berkata, laporan bahawa terdapat 6,133 kakitangan kerajaan bermasalah dan berprestasi rendah pada 2009 harus dipandang serius.

"Fakta yang mengatakan terdapat 6,000 lebih penjawat awam bermasalah adalah sesuatu perkara yang serius dan perlu ditangani dengan segera.

"Satu kajian secara menyeluruh terperinci mestilah dilaksanakan dengan segera bagi mengenal pasti apakah punca-punca yang menyebabkan hal itu," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah bahawa kira-kira 6,133 kakitangan kerajaan dilaporkan bermasalah dan berprestasi rendah pada 2009, meningkat 789 kes berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Khalil, budaya kerja cemerlang sukar untuk direalisasikan selagi penjawat awam dikongkong pemimpin politik untuk kepentingan peribadi mereka.

"Sejak 53 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah negara, semakin banyak penjawat awam yang bermasalah dan dikambing hitamkan kerana tujuan individu tertentu," katanya.

Mengambil contoh situasi di Perak ketika Pakatan Rakyat memerintah, beliau berkata, kerajaan negeri cuba melepaskan kongkongan dan kawalan politik terhadap penjawat awam supaya mereka dapat melakukan kerja dengan selesa.

"Kita memberi keselesaan sepenuhnya kepada penjawat awam untuk bekerja tanpa kongkongan dan tidak ada arahan bukan-bukan.

Namun dakwanya, selepas berlaku rampasan kuasa di negeri itu, BN bertindak mengongkong penjawat awam dan menghasut mereka agar membenci Pakatan.

"Tidak terdapat kes yang melibatkan Adun PR memaksa penjawat memenuhi kepentingan peribadi dan kroni selama 11 bulan memerintah.

"Terkini di Perak terdapat penghulu-penghulu seluruh Perak dikumpulkan dan diberi ceramah untuk membenci Pakatan adalah satu tindakan BN yang bacul dan terdesak.

Tegasnya, penjawat awam sewajarnya diberikan kebebasan untuk memilih mana-mana parti politik selagi tidak mengganggu tugas mereka.

"Mereka tidak sesekali boleh dipaksa untuk menyokong mana-mana parti politik dan mereka sebetulnya ada hak untuk membuat keputusan sendiri," katanya yang juga Adun Titi Serong.


Mata Lebam: 2 menteri diarah soal Gani Patail
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, Nov 24: Dua menteri kabinet telah diarahkan menyoal Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung dengan dakwaan beliau terlibat dalam salah lapor kepada Kabinet berikutan tragedi Mata Lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim 12 tahun lalu.

Keputusan itu dicapai kabinet dipercayai selepas surat terbuka bekas Pegawai Penyiasat polis terhadap kes itu, Datuk Mat Zain Ibrahim kepada Ketua Polis Negara yang mendakwa Gani terlibat dalam salah lapor kepada Kabinet itu.

“Sekarang saya telah diarahkan (oleh Kabinet), Datuk Rais dan saya sendiri agar bercakap dengan Peguam Negara. Kami menunggu beliau pulang dari Mekah,” kata Nazri kepada laman web The Malaysian Insider.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu, Kabinet mahu mendengar sendiri daripada Gani sendiri mengenai dakwaan terbaru Mat Zain dalam satu lagi surat terbukanya kelmarin sebelum mengambil tindakan susulan.

“Kami mahu mendengar daripada Peguam Negara sendiri (mengenai surat terbuka).

“Ini perkara yang serius. Jika beliau (Mat Zain) bercakap benar, kita kena mendapatkan maklumat lanjut... tetapi sehingga itu, tiada apa-apa keputusan,” kata Nazri.

Semalam Harakahdaily menyiarkan berita surat terbuka yang dihantar oleh Mat Zain itu kepada Ketua Polis Negara.

Dalam surat itu Mat Zain mendakwa, Gani telah dua kali membuat salah lapor atau menipu kepada Kabinet.

"Apa yang pasti ialah, pertuduhan menipu Jemaah Menteri terhadap Tun LLS (Ling Leong Sik) itu tidak adil kepada beliau, jika Peguam Negara pula tidak dituduh, kerana beliau juga pernah menipu Jemaah Menteri, sekurang-kurangnya dua kali," tulis Mat Zain dalam surat itu.

Menurut surat Mat Zain itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor telah bersedia untuk mengambil tanggungjawab berikutan kes Mata Lebam dan mahu melepaskan jawatannya.

Persetujuan itu dicapai dalam satu perbincangan antara beliau (Mat Zain) dengan Rahim dan timbalannya ketika itu, Tan Sri Norian Mai di pejabat Rahim.

"Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau (Rahim) layak membeli staff-car Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk repair sedikit-sedikit mana yang rosak," tulis Mat Zain.

Namun, keputusan itu berubah selepas Peguam Negara ketika itu, Datuk Mohtar
Abdullah bersama timbalannya, Datuk Abdul Gani Patail datang berjumpa dengan Rahim di pejabat Ketua Polis Negara itu.

Ekoran itu, pasukan polis didakwa gagal menyiasat siapa di belakang tragedi Mata Lebam menyebabkan kerajaan telah menubuhkan satu Suruhanjaya untuk menyiasatnya dan mendapati Rahim adalah pihak yang memukul Anwar sehingga lebam matanya.

Bagi Mat Zain, ini adalah satu tragedi kepada pasukan polis dan ia perlu dipulihkan segera.

Beliau membayangkan, satu tribunal diperlukan untuk menyiasat orang berkedudukan seperti Gani.

"Setakat yang saya telah dinasihatkan dan sesungguhnya percaya;bahawa jika seorang Peguam Negara didapati tidak lagi berupaya diatas apa sebab pun, untuk melaksanakan tugasnya dengan sempurna, atau didapati telah melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan beliau dipecat daripada jawatannya,maka pihak yang berkuasa mengadili/ menghakimi beliau ialah suatu Tribunal yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong sahaja, sepertimana perbekalan Artikel 125 Clause (4) Perlembagaan; setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri mengikut Artikel sama Clause (3)," tulis beliau dalam suratnya kepada Ketua Polis Negara 22 November lepas



Kemaruk politik Umno
Khalid Samad
Kebelakangan ini kita melihat bangaimana UMNO melepaskan serangan demi serangan dalam usahanya untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat. Walaubagaimanapun, sebahagian besar dari isu-isu yang mereka timbulkan hanya menunjukkan betapa terdesaknya mereka untuk menyerang PR sehingga menjadi bahan gurau di kalangan mereka yang bermaklumat. Sebagai contoh, isu duit judi di Pulau Pinang.


Manakala, isu-isu yang ditonjolkan sekarang pula adalah seperti berikut:

1. Isu pemilihan PKR dan Dato’ Zaid

Gambaran yang ingin diberi ialah PKR berada dalam keadaan huru-hara dan tunggang-terbalik. Oleh yang demikian, sekiranya benar dakwaan ini, maka tiada apa-apa yang perlu di takutkan oleh pihak BN. Tetapi dengan liputan meluas dan tumpuan yang diberi, maka jelas bahawa PKR tetap dilihat sebagai satu ancaman yang perlu ditangani. Yang akan menjadi jawapan muktamad bagi PKR terhadap dakwaan BN itu ialah kesatuan yang akan terhasil selepas selesainya proses pemilihan ini. ‘After the dust settles’ bak kata orang putih, sekiranya selesai dengan baik dan semua bersatu kembali, maka segala dakwaan BN akan terjawab dengan sendirinya.

Berhubung dengan Dato’ Zaid, saya secara peribadi berasa agak terkilan. Beliau merupakan harapan masyarakat Malaysia dan hakikat bahawa beliau mendapat pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden walaupun hanya setahun menjadi ahli PKR adalah bukti betapa beliau disanjung dikalangan ahli. Kesanggupan beliau mengorbankan jawatan Menteri demi prinsipnya diketahui dan diiktiraf semua. Malangnya beliau tidak sabar menangani cabaran.

Bagi saya, inilah bezanya di antara mereka yang datang untuk membawa perubahan dan mencorakkan sebuah gerakan dan mereka yang datang dengan tujuan mengepalai gerakan yang telah sedia dicorak. Kategori pertama menjangkakan akan adanya kekurangan dan perlunya melalui proses perubahan. Kekurangan dan kelemahan dilihat sebagai satu cabaran tetapi sanggup diharungi kerana pada dasarnya, wawasan tertentu telahpun diterima semua.

Manakala kategori kedua tidak mempunyai perasaan yang sama terhadap gerakan yang sedang dibangunkan. Dia sebagai ‘orang luar’ yang menuntut wujudnya suasana tertentu dengan kaedah yang tertentu. Sekiranya ianya belum lagi wujud, maka dia kesal dan berasa kecewa.

Pada awalnya saya mengharapkan Dato’ Zaid memilikki ciri-ciri kategori pertama dan bukan kategori kedua. Namun, kelihatan seolah-olah sebaliknya sejak kebelakangan ini.

2. Isu Banjir di Kedah

Isu banjir di Kedah pun ingin BN politikkan. Kononnya kerajaan Kedah tidak membantu dan lambat bertindak. Dakwaan ini tidak perlu saya respon. Hakikatnya, bukan sekadar kerajaan Kedah bertindak cepat dan berkesan, PAS Shah Alam pun, sepertimana PAS kawasan dan negeri yang lain, telah turun membantu. Selesai sahaja bergalas di Galas, sekumpulan petugas telah terus turun ke Kedah membawa bantuan.

Dalam pada itu misi bantuan disertai pula beberapa badan NGO, pihak kerajaan dan swasta seperti Muslim Care, MBSA, Bidara Flour, Angkatan Edaran dan banyak lagi. Mengikut laporan yang diterima, sejumlah 8 tan bantuan telah dihantar bernilai lebih kurang RM 20,000. Itu baru dari Shah Alam, apatah lagi dari kerajaan Negeri Kedah. Sudah pasti jauh lebih banyak.

Misi Bantuan Banjir di Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu
Kenderaan Pacuan 4 Roda Skuad Bantuan PAS Selangor
Misi Bantuan Banjir

Lagi gambar dari album Facebook Ahmad Safwan

3. Isu ‘penyelewengan’ di Selangor – PKNS dan Yayasan Selangor

Akhir akhir ini timbul pula isu ‘penyelewengan’ di Selangor. Perbelanjaan yang dikeluarkan oleh PKNS dan Yayasan Selangor untuk beberapa program yang tidak munasabah dan terlalu mewah dan boros ditonjolkan. Ya, mungkin benar. Jumlah perbelanjaan yang didedahkan dibawa oleh ADUN dari kedua-dua belah pihak mungkin dianggap tidak wajar dan tidak boleh diterima. Namun, perlu disiasat dan dibuat perbandingan dengan apa yang pernah dibelanjakan dahulu. Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada yang mendedahkan perkara ini.

Pada masa yang sama saya ucapkan tahniah juga kepada kerajaan Negeri Selangor atas tindakan segera mereka mengarahkan pegawai yang disyaki terlibat bercuti supaya siasatan dapat dilakukan dengan tepat, berkesan dan segera. Yang terlibat perlu dikenakan tindakan, sekiranya didapati bersalah dan tidak dilindungi. Mengarahkan mereka bercuti juga merupakan satu tindakan yang wajar sambil peranan mereka dalam kes berkenaan disiasat.

Jangan buat macam kerajaan BN. Walaupun dikemukakan bermacam-macam aduan dan laporan penyelewengan, ianya ‘business as usual’ atau semuanya berjalan seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa masalah. Kalau siasat pun, pegawai berkenaan masih di situ, mengepalai siasatan tersebut! Hendak siasat Ketua Polis Negara, KPN masih bertugas sebagai KPN!

Peristiwa sebegini perlu dimanfaatkan oleh PR untuk menunjukkan perbezaan di antara PR dan BN dan betapa PR telus dan tidak membela mana-mana pihak. Yang terbukti bersalah akan tetap dihukum.

4. Kembalinya Politik Samseng UMNO

Baru-baru ini kita turut digemparkan dengan berita seorang ADUN, YB Ng Sekinchan, dipukul samseng UMNO. YB berkenaan terpaksa dibawa ke Hospital untuk mendapat rawatan. Aneh dan ajaib, ada pula YB UMNO, Menteri pula itu, membela golongan samseng ini!

Inilah bukti sahih betapa kemaruknya UMNO dewasa ini. Sehingga hilang punca dalam usaha menangani cabaran kebangkitan PR. Samseng pun dibela dan dilindungi. Mungkin BN melihat budaya samseng sahajalah yang merupakan penyelamat mereka dewasa ini. Sepertimana dalam isu 'kepala lembu' di Shah Alam. Saya difahamkan UMNO Selangor yang bayarkan denda/saman golongan kepala lembu tersebut.

Semasa korban minggu lepas, ada yang siap pesan, “Hati-hati, jaga kepala lembu, supaya tidak jatuh ke tangan puak-puak kemaruk ini!”

Tiada ulasan: