POKOK SENA - Hiburan dan pengaruh ikon yang salah dikenal pasti menjadi punca utama sebahagian besar peserta Kem Bina Insan (KBI) 2010 mengabaikan tuntutan solat.
Perkara itu didedahkan oleh barisan fasilitator melalui kajian selidik ke atas peserta yang berjumlah seramai 284 orang yang terdiri daripada belia berumur 13 sehingga 15 tahun kepada semua waris peserta pada Majlis Penutupan KBI di Dewan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum, dekat sini.
Komandan KBI 2010, Hafizzudin Baharuddin berkata, pada pembentangan khas itu sebanyak 50 peratus atau sebahagian daripada jumlah itu menjelaskan hiburan seperti rancangan televisyen dan juga hiburan semasa menyebabkan mereka lalai untuk menunaikan tuntutan solat.
Menurutnya, waktu solat subuh pula adalah waktu yang paling tinggi peratusnya yang gagal ditunaikan oleh para peserta iaitu sebanyak 41 peratus.
“Pada waktu yang sama kita turut mengadakan kajian selidik terhadap bacaan surah Al-Fatihah yang menjadi surah wajib di dalam menunaikan tuntutan solat.
“Pihak kami mendapati sebanyak 50 peratus gagal untuk membacanya dengan baik, sederhana sebanyak 26 peratus dan dan mampu membaca dengan jelas dan baik adalah sebanyak 24 peratus,” katanya.
Hadir merasmikan program itu ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul.
Program itu disertai kira-kira 131 peserta lelaki dan 117 peserta perempuan dan kira-kira 22 fasilitator dan 17 urusetia terlibat dengan hal ehwal pengurusan.
Hafizzudin berkata, beliau berharap pembentangan yang dibuat mampu memberikan gambaran sebenar kepada waris peserta agar mereka lebih prihatin dan peka kepada soal pegangan agama anak mereka masing-masing.
“Suasana kehidupan Islam perlu diterapkan di dalam kehidupan seharian. Semestinya peranan itu perlu dimainkan oleh ibu bapa.
“Pada waktu yang sama anasir-anasir hiburan yang mampu menjerat anak-anak sehingga melupakan tuntutan agama juga perlu diawasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, kegagalan ibu bapa untuk berbuat demikian dan memberikan pengawasan kepada anak-anak tidak akan mampu memberikan sebarang makna.
Kursus yang dihadiri juga tidak akan memberi kesan sekiranya ia tidak dipupuk dari semasa ke semasa.
KULIM - Kisah seorang nenek berusia 75 tahun yang sebelum ini dilaporkan melarikan diri dari rumah kerana terlalu sedih apabila hasratnya untuk menikahi kekasihnya seorang peladang berusia 42 tahun dihalang oleh waris dan anak-anak kerana faktor usia dilaporkan telah kembali ke pangkuan keluarga kelmarin.
Warga emas berkenaan yang uzur dilaporkan telah menghubungi warisnya dari Alor Setar kira-kira jam 3 petang dan meminta mereka mengambilnya kerana dia tidak tahu cara untuk balik ke rumah.
Ketika membuat laporan dan kenyataan di Balai Polis Kulim dia dalam keadaan lupa dan ini berlaku mungkin disebabkan faktor usia.
Menurut nenek berkenaan, dia pergi berjumpa dengan teman lelakinya dan bernikah di negara jiran tetapi tidak mengingati di mana majlis pernikahan itu dijalankan.
Apabila diajukan soalan oleh anggota polis di manakah surat pengesahan pernikahannya, dia mula bertanya kepada waris terdekat dan kemudiannya memaklumkan kepada polis segala surat menyurat ada dalam beg yang dilarikan oleh suaminya.
Menurut warisnya, nenek itu masih dalam keadaan keliru.
Katanya, ketika hendak mengambil nenek berkenaan pulang, lelaki yang dikatakan suaminya itu telah melarikan begnya di mana terdapat sejumlah RM1,700 termasuk dokumen perkahwinan mereka.
Waris mangsa tidak kisah sekiranya mereka benar-benar sudah bernikah.
Sinar Harian difahamkan, nenek terbabit sebelum ini tidak pernah berjumpa dengan lelaki yang dinikahinya.
Perkenalan mereka hanya melalui telefon sahaja dan dari itu timbul perasaan sayang antara mereka sehingga mengambil tindakan melarikan diri untuk bernikah di negara jiran.
Ketika ditanya oleh polis apakah dia akan terus bersama suami yang baru dinikahinya, dia kelihatan keliru dan memaklumkan tidak akan bersama suaminya lagi kerana dia berasa seperti ditipu dan diperdaya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, terdapat beberapa kejadian lari dari rumah dan ada dalam kalangan mangsa terlibat yang balik semula ke pangkuan keluarga dengan bantuan polis.
Katanya, masyarakat harus peka dengan permasalahan dialami oleh ahli keluarga masing-masing dan harus membuat laporan polis sekiranya ada antara mereka yang hilang atau tidak balik ke rumah.
“Saya meminta kerjasama orang ramai untuk membuat laporan polis sekiranya ada ahli keluarga mereka lari atau hilang dari rumah. Dengan adanya laporan polis, kami boleh membantu mencari ahli keluarga mereka.
"Kita harus peka dan cuba mendalami masalah dialami oleh ahli keluarga kita. Keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan mereka yang terlibat ini tidak mengambil jalan mudah untuk menyelamatkan diri,” katanya.
BAKAR ARANG- Seorang wanita berumur 70 tahun termangu apabila menyedari dia ditipu dua wanita sekelip mata hingga kerugian RM3,000 dan barang kemas berjumlah RM5,000 Isnin lalu.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Boo, 70, berkata, kejadian berlaku ketika dia ke pasar tani untuk membeli barangan keperluan dapur dan bertemu dengan seorang wanita berumur dalam lingkungan 30an.
Menurutnya, wanita 30an terbabit berpura-pura bertanyakan kepadanya mengenai masalah suaminya yang terkena buatan orang dan mencari tempat serta orang yang boleh menyembuhkan suaminya itu.
“Selepas seketika, wanita 30an itu bertanyakan di mana dia boleh membawa suaminya untuk pergi berubat bagi mengubati buatan orang (sihir), datang pula seorang wanita 40an mencelah dan mengatakan dia tahu bagaimana caranya untuk membantu wanita 30an itu.
“Wanita 30an itu kemudiannya mengajak saya menemaninya pergi bersama wanita 40an berkenaan untuk mengetahui cara bagaimana dia boleh menyembuhkan penyakit buatan orang dan akibat kasihan saya pergi menemaninya,” katanya ketika sidang media yang diadakan di pejabat MCA Sungai Petani di Taman Intan, di sini, kelmarin.
Boo berkata, mereka kemudiannya dibawa wanita 40an itu ke satu tempat bersebelahan dengan Pejabat Tenaga Nasional Behad (TNB) dan di sana wanita 40an telah meramalkan nasib Boo hingga dia percayakannya.
Menurutnya, wanita 40an itu mengatakan bahawa keluarga Boo akan ditimpa malapetaka iaitu kemalangan hingga meragut nyawanya dan anaknya pada tahun hadapan.
“Menurut mereka jika saya merayu kepada ‘atuk’ mungkin boleh mengelakkan malapetaka yang akan berlaku namun, ia memerlukan banyak wang untuk berbuat demikian.
“Wanita 30an itu juga meyakinkan saya mengenai rayuan kepada ‘atuk’ dan dia berkata ingin pulang ke rumah untuk mengambil wang dan kembali ke tempat itu untuk melakukan proses rayuan dan meminta saya berbuat demikian juga,” katanya.
Boo berkata, akibat ketakutan akan malapetaka yang diperkatakan itu, dia segera pulang ke rumahnya di Taman Intan dengan mengayuh basikal dan membawa RM3,000 dan barang kemas bernilai RM5,000 untuk diberikan kepada wanita 40an terbabit.
Menurutnya, apabila tiba di tempat itu semula, wanita 40an itu sudah menyediakan satu beg plastik berwarna hitam berisi dua air mineral dan surat khabar serta memintanya meletakkan wang dan barang kemas dalam beg plastik berkenaan serta mengikatnya.
“Wanita 40an itu memberikan beg plastik berkenaan dan mengatakan hanya boleh membuka beg plastik itu selepas 49 hari dan beri minum air mineral itu kepada anak saya.
“Pulang sahaja ke rumah, saya memberitahu cucu saya hal terbabit dan apabila cucu saya membuka beg plastik itu, wang dan barang kemas itu sudah tiada. Baru saya sedar saya ditipu mereka berdua,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, Ko Hung Weng berkata, dia berharap orang ramai meningkatkan kesedaran mengenai kes penipuan ini dan lebih berhati-hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan