Khamis, 25 November 2010

MAKSUD HADIS...BAIK UNTUK JADI RENUNGAN

Ukuran Iman Yang Sempurna

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak mencuri, tidak kan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak melakukan rompakanyang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian:

  • Orang yang tergamak melakukan perbuatan yang ditegah agama menandakan ketidaksempurnaan iman di jiwanya.
  • Kebahagiaan hidup adalah bergantung pada pertalian keturunan yang baik, keselamatan akal dan fikiran serta harta benda kerana keturunan yang terpelihara akan menjamin kesejahteraan keluarga dan masyarakat, akal yang sihat membolehkan seseorang itu membezakan antara yang baik dan buruk, hak dan batil serta keselamatan harta benda itu pula membolehkan segala perancangan dilakukan dengan lancar dan sempurna.
  • Oleh itu Islam melarang keras daripada melakukan perbuatan zina yang boleh mencemarkan keturunan manusia, minum arak atau menagih dadah yang boleh merosakkan akal fikiran serta perbuatan mencuri yang menyebabkan kesusahan orang lain dan sebagainya.
  • Sesungguhnya kekuatan iman itu dinilai pada sejauh mana seseorang itu dapat membendung hasutan nafsunya serta menjauhi bisikan-bisikan jahat yang menggodanya. Oleh itu amat penting bagi setiap mukmin sentiasa menjaga pergaulannya agar tidak terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat yang berlaku di sekitarnya.



Penghuni Syurga Ialah Sebaik-baik Muslim


Dari Abdullah, katanya: “Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada kami: “Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat dari penghuni syurga itu dari kamu?” Kata Abdullah kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula beliau: “Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu dari kamu?” kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata: “Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua) dari penghuni syurga itu dari kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.”

(Muslim)

Huraian:

Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah dalam mememuk agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Namun fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain (murtad). Betapa mudahnya iman mereka tergoyah dek kerana godaan dan hasutan duniawi.

Oleh itu benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai namun nilaian mereka hanyalah seperti buih-buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan. Mereka mudah dipermain-mainkan oleh pihak musuh bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain.

Justeru meskipun peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang tersebut tidak direbut oleh semua orang. Ramai yang berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang yang kafir


Roh Harum Dan Ruh Busuk

Dari Abu Hurairah r.a katanya: “Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit.” Kata Hammad : “Kerana baunya harum seperti kasturi.” Kata penduduk langit “Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam.” Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman: “Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat.” Kata Abu Hurairah selanjutnya: “Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya” – kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian, maka berkata penduduk langit,”Roh jahat datang dari bumi.” Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat.”

(Muslim)

Huraian:

Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman. Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya: “Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, “Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar.” (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50).

Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat



Kelebihan Mukmin Dan Kekurangan Kafir


Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah Taala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.”

(Muslim)

Huraian:

Usaha merupakan asas kepada pembentukan dan kemajuan hidup manusia walau apa pun agama dan bangsa yang dianuti. Dalam kehidupan di dunia ini manusia dikehendaki berusaha untuk mendapatkan sesuatu hajat termasuklah mendapatkan rezeki. Oleh itu di atas nama keadilan, Allah S.W.T Yang Maha Adil akan mengganjari sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh tidak kira sama ada dia seorang mukmin atau kafir.

Ini merupakan suatu bentuk motivasi agar manusia itu tidak merasa kecewa dalam meneruskan kehidupan mereka. Namun begitu, di samping memberikan balasan di dunia, orang-orang mukmin juga diberikan pahala yang akan menolongnya di akhirat kelak iaitu sebagai balasan kebaikan yang telah dilakukannya ketika di dunia

Tiada ulasan: