KUALA LUMPUR, 16 Nov: Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim (gambar) mencabar Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, R. Ganesan memastikan sidang pada 30 November ini berjalan dengan lancar tanpa provokasi daripada Adun Barisan Nasional. Khalil selaku Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat negeri berkata, sebelum ini Ganesan gagal menunaikan janjinya memastikan sidang berjalan lancar apabila banyak perkara yang bertentangan dengan peraturan dewan dilakukan Adun BN. "Kalau berani saya cabar Ganesan pastikan sidang berjalan tanpa ada gangguan. "Bukankah sebelum BN kalah dalam pilihan raya umum ke-12 di Perak dia mampu kendalikan sidang tanpa gangguan polis. Kenapa selepas kalah polis begitu ramai? "Seperti sidang sebelum ini Ganesan juga menjanjikan perkara yang sama tetapi tidak ditunaikan, dan tidak selayaknya seorang speaker berbohong," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak. Khalil turut menuntut Ganesan menjelaskan mengenai kepincangan sidang Dun sebelum ini, yang disifatkan sebagai tidak mengikut amalan demokrasi. "Saya tuntut Ganesan untuk menyatakan sikapnya kepada kepincangan sidang Dun sebelum ini dan adakah perkara tersebut akan berulang lagi. "Sebetulnya banyak lagi kepincangan dalam setiap kali sidang sejak BN rampas kuasa pada 6 Feb 2009," katanya. Ia termasuk pembesar suara Adun Pakatan tidak berfungsi, pemerhati luar dihalang untuk hadir sidang, hanya media pro BN yang dibenarkan membuat liputan dan tidak kurang dari 300 orang polis berpakaian seragam berkawal di luar dan dalam dewan. Tambah Khalil, meskipun BN namun mereka tetap menyalahkan Pakatan dan memburuk-burukkanya melalui media. "Yang memalukan Adun PR yang yang sering dipersalahkan sedangkan semuanya berpunca dari BN. "Saya rasa sekali lagi hasrat kami untuk bersidang dan berbahas dengan baik tanpa ganguan masih tidak terjamin," katanya lagi. Ganesan seperti dilaporkan sebuah akhbar semalam, meminta wakil rakyat supaya mengelak daripada menimbulkan kekecohan semasa Sidang Dun Penggal Ketiga yang akan bermula 30 November ini. Beliau dilaporkan sebagai berkata, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat yang menimbul kekecohan berdasarkan Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak. Katanya, sebanyak 59 notis telah dihantar kepada kesemua Adun pada 28 Oktober lalu untuk menghadiri sidang kali ini
Akaun wang ihsan pelajar tiada duit? Wartawan Kita | KOTA BHARU, 16 Nov: Anehnya wang ihsan sebanyak RM15 juta dikatakan telah diagih kepada pelajar miskin, namun sehingga kini ramai ibu bapa mendakwa akaun bank anak mereka yang dibuka tidak ada duit. Mereka memberitahu pelajar yang disenarai mendapat wang ihsan diminta pihak sekolah membuka akaun bank bagi membolehkan wang ihsan disalurkan. “Malangnya ketika saya semak akaun anak saya minggu lepas tidak ada wang yang dimasukkan,” dakwa seorang bapa dari Kuala Krai. Difahamkan setiap pelajar miskin diuar-uarkan mendapat wang ihsan antara sebanyak RM150 hingga RM200. Pelajar yang disenaraikan mendapat wang tersebut dipastikan tidak mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mendakwa wang ihsan sebanyak RM15 juta telah dibelanjakan daripada RM25 yang diperuntuk tahun ini. Menurutnya bakinya sebanyak RM10 juta lagi besar kemungkinan digunakan bagi bantuan banjir. Bagaimanapun di Kampung Manek Urai ramai penyokong Umno difahamkan mendapat wang ihsan bagi membaiki rumah bernilai lebih RM5,000 setiap seorang. Hampir kesemua rumah penyokong Umno di kampung tersebut dibaiki di mana ada yang membesar bahagian hadapan, dapur dan menukar zink serta dinding baru. Malah pada kempen pilihan raya kecil Dun Galas Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan mengedarkan risalah projek mega kerajaan Barisan Nasional (BN) Dun Galas dari sumber royalti minyak. Projek yang disenaraikan pada risalah tersebut termasuk mewujudkan Berjaya Gua Musang Theme Park yang digambarkan seperti pusat perjudian di Genting Highlands bernilai RM1.5 bilion. Selain itu cadangan projek Golf Club & Country Resort bertaraf 5 Star bernilai RM850 juta. Kesemua cadangan tersebut bernilai lebih RM2 bilion iaitu sama dengan jumlah wang royalti yang dituntut kerajaan negeri sejak tahun lepas. Sedangkan sebelum ini pemimpin Umno berkali-kali menafikan Kelantan mempunyai hak ke atas royalti minyak kerana kedudukan telaga di luar kawasan tiga batu nautika. Seorang lagi bapa juga dari Kuala Krai mendakwa ketika beliau ke bank bagi menyemak status akaun wang ihsan anaknya tidak ada wang yang dimasukkan ke dalam akaun tersebut. Program wang ihsan juga menjadi bahan kempen Umno untuk menarik ibu bapa hadir ke sekolah. Kelmarin program serupa diadakan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2 Pasir Mas di mana ibu bapa dipaksa hadir pada program pengagihan wang ihsan. Seorang bapa yang juga pegawai kerajaan pusat mendakwa program tersebut dirasmikan seorang pemimpin Umno di Pasir Mas. “Ceramah Pemuda Umno Pasir Mas itu bukan mengenai pendidikan sebaliknya mengenai politik Umno dan mencemuhkan pihak lawan. “Saya lihat ramai ibu bapa yang hadir keluar dewan kerana mereka ditipu hadir bagi mendengar ceramah pemimpin Umno yang berselindung di sebalik program pengagihan wang ihsan,” ujarnya
Media tidak beretika perlu diajar Mohd Sabri Said | PERMATANG PAUH, 16 Nov: Ketua Dewan Pemua PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan at-Tantawi (gambar) menegaskan, memang layak media yang tidak beretika mesti diajar sebagai teladan untuk mereka mengkaji semula laporan yang berat sebelah. Berucap pada malam penutup Karnival Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) malam tadi, beliau berkata tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah melarang media pro Umno membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) merupakan reaksi biasa sebagai protes bukanya menghalang kebebasan media. "Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan memang patut sebab media pro Umno buat liputan berat sebelah berkaitan banjir. Media hanya tumpukan pada sumbangan Kerajaan Pusat, seolah-olah menidakkan bantuan kerajaan negeri. Lepas tu hentam tanpa bagi peluang Menteri Besar menjawab," terangnya. Sebagai contoh, katanya ketika bantuan Dewan Pemuda PAS Pusat yang berkampung di Kubang Rotan di mana mangsa banjir diberikan sumbangan dan disajikan gulai daging lembu pada hari pertama, pada hari kedua pula ayam masak merah manakala hari ketiga gulai telur ikan masin. “Bila hari ketiga, datang TV3 dan terus menemu ramah mangsa yang dihidangkan gulai telur ikan masin. Mereka buat cerita bukan-bukan kononnya mangsa diberikan hidangan yang tidak seberapa, ada pilih kasih dan seumpamanya. "Itulah kejahatan yang dibuat, mereka mencipta isu demi kepentingan Umno dan Barisan Nasiona (BN). Mereka meninggalkan etika yang mengkehendaki bersikap jujur dan tulus pada sebarang laporan," jelasnya kecewa. Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan, laporan yang dibuat oleh media pro Umno itu didalangi oleh beberapa individu yang sengaja mengambil kesempatan berlakunya banjir terburuk yang melanda Negeri Kedah. Beliau juga yakin peristiwa yang berlaku itu tidak akan mendorong rakyat untuk kembali ke pangkuan Umno yang telah membohongi mereka sejak 50 tahun lalu. "Rakyat Kedah pasti tahu cerita sebenar apa yang berlaku. Semua itu pembohongan media pro Umno yang senantiasa mencari ruang untuk mereka mengucar-kacirkan pemerintah Pakatan Rakyat,” katanya
SPR perlu agresif sifar rasuah pilihan raya Muhammad Yusri Amin | KOTA BHARU, 16 Nov: Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) Bahagian Timur berpendapat sasaran sifar rasuah dalam pilihan raya hendaklah dijadikan objektif utama di samping usaha berkesan digerakkan bagi mempastikan etika, keadilan dan kebebasan pilihan raya tercapai. Pengarah Mafrel Bahagian Timur, Dr Abdul Halim Yusof berkata, ini kerana pilihan raya yang adil, bebas dan telus itu merupakan ‘jantung kepada demokrasi’. Justeru, katanya semua pihak mestilah memainkan peranan bagi mempastikan objektif itu terlaksana. Tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah mewujudkan strategi lebih agresif dan berkesan dalam mencapai sifar rasuah. Sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula, ujarnya hendaklah melaksanakan operasinya lebih terbuka di lapangan semasa pilihan raya supaya menjadi strategi bagi menutup pintu rasuah. “Dalam masa sama, rakyat perlu dididik tentang maksud an bentuk rasuah yang boleh terjadi dalam pilihan raya. Ini penting agar rakyat boleh menjauhinya, sementara ‘peniup wisel’ pula mampu memainkan peranan dengan berkesan. “Walau pun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.45 Galas pada 4 November lalu Mafrel tidak diberikan akreditasi oleh SPR dalam kerja pemantauan, namun Mafrel tidak berputus asa dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab sosialnya dengan meneruskan pemantauan perjalanan pilihan raya,” katanya. Beliau turut mengulas betapa perlunya pendekatan baru dalam kempen pilihan raya termasuk ketidakwajaran kehadiran polis dalam jumlah yang ramai. “ini kerana dalam konteks PRK N.45 Dun Galas, 88 peratus responden menyatakan tidak wujud pergaduhan atau keganasan, manakala selebihnya mengakui wujud sedikit pergaduhan tetapi tidak serius. “Sementara 86 peratus tidak merasai apa-apa kebimbangan untuk keluar mengundi dan semua pihak perlu berusaha mengurangkan kos pilihan raya,” katanya. Analisis dari Laporan Kajian Persepsi Penduduk Kawasan N.45 Dun Galas yang di sediakan Mafrel Kelantan juga menekankan aspek pengundian pada hari bekerja di mana ramai penduduk setempat tidak bersetuju. Ini, katanya kerana kemungkinan membebankan pengundi dari segi aspek pergerakan, masa, pekerjaan atau perniagaan mereka
Yayasan Selangor: MB minta Noh beri penjelasan Harakahdaily | SHAH ALAM 16 Nov: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Datuk Seri Noh Omar membuat penjelasan berhubung kenyataannya semalam yang mendakwa majlis makan tengahari sempena ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor adalah RM800,000.
Sambil menafikan dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu, Khalid berkata, jumlah yang dilaporkan kepadanya hanya RM 300,000 dan bukan RM800,000 seperti yang didakwa.
"Angka yang diberikan kepada saya hanya RM300,000.
"Biar beliau (Noh Omar) tampil dan menjelaskan (angka RM800,000)," kata Khalid kepada pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor semalam.
Beliau mengulas dakwaan Noh kelmarin bahawa kos sebenar adalah melebihi RM300,000 dan menjangkau RM800,000.
Majlis itu sepatutnya diadakan semalam namun dibatalkan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak hadir kerana dukacita setelah dimaklumkan perbelanjaan melebihi RM300,000.
Kelmarin, Khalid dalam satu kenyataanya juga menjelaskan siasatan awal berhubung keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor telah dimmulakan.
Sementara itu, menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar yayasan itu, Mohd Sharifuldin Sulaiman diarah cuti bergaji selama sebulan berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan selesai.
"Kerajaan menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.
"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salah guna kuasa ke muka pengadilan," katanya
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 16 Nov: PAS mendakwa cadangan kerajaan mahu melaksanakan pendidikan seks bermula sekolah rendah pada tahun hadapan, tidak lebih untuk kepentingan kroni Umno BN dan bukan ikhlas mahu mengatasi masalah pembuangan bayi.
Bagi PAS, cadangan itu bukan satu penyelesaian konkrit malah dilihat peluang untuk kroni Umno merebut projek mencetak buku dan alat bantu mengajar sahaja.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu kenyataan berkata, PAS merasa pelik tindakan kerajaan yang memperkenalkan pendidikan seks dalam usia yang begitu muda iaitu sejak sekolah rendah.
Sedangkan, seks adalah naluri yang Allah anugerahkan kepada semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini dan apa yang perlu diterapkan ialah bagaimana cara mengawal diri, adab pergaulan lelaki dan perempuan, akhlak dan cara berpakaian.
"Sepatutnya kerajaan perlu bertindak bagi mengawal gejala pembuangan bayi dengan menyekat punca berlaku perzinaan seperti mengawal penyiaran televisyen, iklan, filem, majalah lucah yang menjadi penyumbang kepada gejala perzinaan.
"PAS berpadangan ia lebih kepada orientasi perniagaan. Bukankah pemimpin umno BN adalah orang yang pakar menyamun harta rakyat dengan cara terhormat dan terlepas daripada undang-undang," katanya.
Tambahnya lagi, seketika dahulu heboh mengenai remaja lepak, rempit, maka di kemukakan Program Rakan Muda dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang memberi projek segera kepada kroni Umno.
Kemudian, Umno katanya 'buat-buat bising' mengenai pencapaian pelajar dalam Bahasa Inggeris, sehingga mngemukakan cadangan agar pelajaran Metematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris.
Namun projek-projek tersebut akhirnya hanya merugikan wang rakyat namun tiada kesan besar yang boleh dibanggakan.
"Lesap wang rakyat kepada kroni untuk LCD dan note book hampir RM6 bilion.
"Sekarang heboh pula buang bayi maka dikemukakan mata pelajaran seks. Sudah pastilah syarikat kroni sedang menunggu mangsa untuk membaham pula," katanya lagi.
Beliau turut mempersoal sikap pemimpin Umno yang dilihat seperti perihatin terhadap akhlak dan moral masyarakat, sedangkan katanya, Umno jugalah yang menjadi penaja besar kepada program penyumbang keruntuhan akhlak.
Umno juga katanya seperti lebih senang jika rakyat rosak akhlak, kerana mereka tidak peduli kepada permasalahan negara dan penyelewengan dalam pentadbiran.
"Kementerian Pelajaran hendak mencadangkan pendidikan seks di sekolah rendah, seiring dengan cadangan untuk mengadakan hub hiburan malam, bukankah ini idea Pak Pandir namanya.
"Ibarat tangan kanan meletak baja manakala tangan kiri meletak racun," katanya. |
| | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan