Isnin, 15 November 2010

BIAR ADIL..TAK DOUBLE STANDARD...TAK MENIPU...DAN MENGANGGAP DIRI SENDIRI BETUL AJE

Nafi sumbangan negeri, Sultan Kedah dukacita
Mohd Shubihi Muhamad Zain
ALOR SETAR, 14 Nov: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kecewa dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan negeri membantu mangsa banjir besar baru-baru ini.

"Namun, beta dukacita kerana ada suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan beta serta semua pihak yang terlibat di dalam membantu mangsa banjir," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Penggal Ketiga, dekat sini, pagi tadi.

Gambar: Pemeriksaan perbarisan PDRM oleh Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika perasmian Sidang Dun Kedah.

Sementara itu, baginda juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dana, saling membantu dan bekerjasama memberi bantuan tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan fahaman politik semasa negeri menghadapi bencana banjir terburuk itu.

"Beta merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membantu mangsa banjir dan keadaan ini jelas menggambarkan semangat persaudaraan dan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat beta yang berbilang kaum dalam menghadapi bencana, titah baginda lagi.

Ucapan tahniah turut dirakamkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) yang berjaya menerajui kerajaan negeri secara adil, beramanah dan proaktif.

"Rakyat di negeri ini telah diberi layanan yang adil, hubungan antara kaum semakin erat melalui pelbagai aktiviti yang telah dijalankan. Beta dapati kerajaan negeri telah memberikan sepenuh daya usaha dan kerjasama dengan semua pihak bagi memajukan negeri ini," titah baginda


Halang media: Kenapa Perak tidak jadi isu?
Harakahdaily
IPOH, 14 Nov: Tindakan kerajaan Kedah tidak membenarkan beberapa media Umno membuat liputan perjalanan Sidang Bajet 2011 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang bermula hari ini terus menerima sokongan.

Sambil menyokong, Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim turut mempersoal kenapa isu itu diperbesarkan, sedangkan kerajaan BN Perak turut melakukan perkara sama kepada media alternatif.

"Kenapa heboh media pro BN tidak boleh masuk sidang DUN Kedah sedangkan di Perak media dan blogger pro PR sudah lama dihalang masuk dewan," soalnya.

Beliau berkata demikian sebagai membandingkan tindakan BN Perak di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang turut menghalang media pro Pakatan Rakyat membuat liputan beberapa sidang DUN sebelum ini.

"Sesekali selayaknya kita boleh cakap padan muka...," katanya sinis.

Beliau mengulas beberapa organisasi media, dilarang memasuki DUN Kedah bagi membuat liputan sesi belanjawannya yang bermula pagi ini.

Menurut Muhamad Helmi Mohamad Khalid, setiausaha akhbar kepada menteri besar, larangan itu dibuat ekoran laporan negatif media terhadap banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Hanya pemberita daripada The Star, Harakah, Sinar Harian, Makkal Osai, Malaysian Namban, Sin Chew, Kwong Wah, China Press, Nanyang Siang Pau, Guang Ming dan agensi berita Bernama dibenarkan membuat liputan untuk perbahasan belanjawan selama tiga hari itu.

"Hak media hanya bebas kepada media pengampu BN dan merekalah penghianat kepada rakyat," katanya


Timbalan Pengurus Yayasan Selangor diarah cuti
Harakahdaily
SHAH ALAM, 14 Nov: Kerajaan Negeri telah mengarahkan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Mohd Sharifuldin Sulaiman mengambil cuti bergaji selama sebulan berkuat-kuasa serta merta.

Ianya bagi membolehkan siasatan selesai berhubung majlis makan tengahari yayasan itu terlalu membazir sehingga Sultan Selangor membatalkan penyertaan baginda ke majlis itu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, laporan awal yang diterima menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar Yayasan itu.

Bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, beliau telah diminta bercuti dengan gaji penuh selama sebulan.

"Berhubung Yayasan Selangor, Kerajaan Negeri telah mengarahkan siasatan awal dilakukan terhadap keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor," kata Khalid.

Kerajaan Selangor juga memutuskan membekukan sementara semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS sehingga laporan penuh audit siap yang dijangka akhir bulan ini.

Ini berikutan kritikan yang dibuat terhadap PKNS yang didakwa menaja majlis perkahwinan seorang kenamaan baru-baru ini.

"Dengan keputusan ini, Jabatan Perhubungan Awam PKNS diarah supaya melaporkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum mengadakan sebarang aktiviti termasuk membuat keputusan-keputusan penting.

"Langkah ini untuk memastikan setiap aktiviti akan dipertimbangkan secara teliti dari aspek kepentingan, keperluan dan belanjawan sebelum dilaksanakan.

"Jabatan Perhubungan Awam PKNS dijangka berjalan seperti biasa sebaik laporan audit diterima dan keputusan mengenainya diumumkan," kata Khalid dalam kenyataannya.

Kerajaan Selangor, kata Khalid, mengambil kira semua pandangan dalam memastikan pentadbiran Negeri, agensi kerajaan dan anak-anak syarikatnya diuruskan dengan baik dan setiap wang yang dibelanjakan digunakan untuk kepentingan dan kebaikan rakyat.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, katanya, Kerajaan Negeri telah mengarahkan juru audit bebas untuk menyiasat semua dakwaan yang dibangkitkan berhubung dengan urustadbir Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, katanya, menghargai setiap maklumat salahlaku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat di uruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

" Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salahguna kuasa ke muka pengadilan," katanya


Zambry diseru bertaubat depan Kaabah
Harakahdaily
IPOH, 14 Nov: Dewan Pemuda PAS Perak tetap mahu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bertaubat biarpun Mufti negeri itu berpendapat beliau tidak syirik dalam isu meletakkan ancak ke tiang seri rumah baru-baru ini.

Kesempatan bertaubat itu wajar diambil sempena menteri besar Perak itu sedang menunaikan haji di Mekah di hadapan Kaabah.

Timbalan Ketuanya, Mohd Munir Ali dalam satu kenyataan, yakin bahawa itu sudah menginsafi perbuatan tersebut yang bakal mengundang kekeliruan kepada umat Islam yang lain.

"Kita mengharapkan sekembalinya Datuk Seri Zambry ke tanah air nanti, beliau akan menjelaskan tindakannya tersebut bagi memastikan perbuatan seumpamanya tidak lagi terus menjadi amalan masyarakat Melayu Islam.

" Kita merasakan dengan terdorongnya Datuk Seri Zambry untuk mengerjakan ibadah Haji ini akan cuba membersihkan amalan-amalan yang tidak diterima oleh agama Islam itu sendiri," katanya.

Tindakan Zambry melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober yang lalu mengundang persoalan banyak pihak.

Tindakan tersebut didakwa tergolong dalam perkara khurafat dan boleh mengundang syirik sehingga menjejaskan aqidah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bagaimanapun berpendapat perlakuan Zambry itu tidak syirik atas alasan menteri besar itu melakukannya tanpa niat.

"Proses pembersihan yang kini dilalui oleh Datuk Seri Zambry jua diharapkan akan mendorongnya untuk terus meninggalkan semua amalan khurafat berunsur syirik yang jelas akan menjejaskan akidah.

"Kita percaya hati kecil Datuk Seri Zambry ingin tetap memperbetulkan masyarakat Melayu Islam yang masih meneruskan amalan khurafat tersebut," katanya



Larang media bohong dan fitnah- Mahfuz
Mohd Shubihi Muhamad Zain
ALOR SETAR, 14 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertahan tindakan kerajaan Kedah tidak membenarkan beberapa media Umno membuat liputan perjalanan Sidang Bajet 2011 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang bermula hari ini.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan bermakna kerajaan negeri tidak mendokong kebebasan media namun sebagai pengajaran kepada mereka yang melakukan pembohongan dan fitnah terhadap kerajaan negeri seperti yang terjadi dalam isu banjir baru-baru ini.

"Media arus perdana ini sudah menyalahgunakan kebebasan mereka melakukan pembohongan dan fitnah atas nama kebebasan, yang kita nak adalah media yang melaporkan apa yang betul, adil, tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tidak ada tujuan politik disebaliknya.

"Kebebasan media tidak mengizinkan pembohongan, kebebasan media juga tidak mengizinkan fitnah, adalah wajar kerajaan negeri mengambil tindakan sedemikian terhadap media yang tidak faham apa erti kebebasan media dan media menyalahgunakan kebebasan itu," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Ketika ditanya media berkaitan usul untuk membenarkan media-media terlibat membuat liputan sidang belanjawan itu oleh Adun-adun Barisan Nasional, beliau berkata, mereka berhak berbuat demikian mengikut peruntukkan sistem demokrasi yang diamalkan kerajaan negeri itu.

"Terpulang kepada mereka kerana itu adalah hak mereka, dan terpulang pula kepada Speaker untuk menentukan samada menerima atau menolak usul itu kerana dia merupakan orang yang berkuasa ke atas perjalanan sidang dewan itu," katanya.

Beliau mengulas beberapa organisasi media, dilarang memasuki DUN Kedah bagi membuat liputan sesi belanjawannya yang bermula pagi ini.

Menurut Muhamad Helmi Mohamad Khalid, setiausaha akhbar kepada menteri besar, larangan itu dibuat ekoran laporan negatif media terhadap banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Hanya pemberita daripada The Star, Harakah, Sinar Harian, Makkal Osai, Malaysian Namban, Sin Chew, Kwong Wah, China Press, Nanyang Siang Pau, Guang Ming dan agensi berita Bernama dibenarkan membuat liputan untuk perbahasan belanjawan selama tiga hari itu


Pas Tidak Akan Naik Kapal Bocor
Ustaz Idris Haji Ahmad
Parti Islam Semalaysia PAS menolak pelawaan Datuk Ahmad Maslan untuk menyertai BN.

PAS tidak akan menaiki kapal yang bocor dan hendak karam, malahan PAS akan berusaha supaya ahli-ahli umno khususnya dan orang Melayu Islam bersama dengan PAS.

PAS tidak akan bersama dengan BN sebaliknya terus dengan Pakatan Rakyat yang sudah teruji dan terbukti.

Sekarang Umno sudah hilang kompas perjuangan dan ideologi.

Perjuangan yang hanya mementingkan ”perutism” sahaja.

Menjadikan perjuangan sebagai batu loncatan untuk peribadi walaupun merugikan bangsa.

Umno hanya boleh hidup dengan 3 M sahaja, iaitu Wang, jentera kerajaan dan media.

Umno sudah tidak bermaya untuk hidup dan bermain di atas padang yang sama rata.

Jika Umno tidak ada 3 M maka umno akan berkubur begitu sahaja.

PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat, kerana ini adalah percubaan politik yang terbaik walaupun dalam usia yang agak muda.

Umno dengan kekuatan media perdana ynag berada di tangan mereka cuba menggelapkan berita kebaikan PAS yang telah disumbangkan melalui Pakatan Rakyat, kes banjir di Kedah adalah satu contoh.

PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai idelologi yang jelas dan mempunyai kepimpinan yang berkualiti dan ahli yang ikhlas akan terus mara kedepan bagi membentuk lanskap baru dalam politik negara.

PAS menganggap cukuplah Umno yang telah diberi mandat untuk mengetuai negara lebih separuh abad.

Apa yang Umno boleh banggakan untuk tatapan generasi akan datang?

Rakyat merasakan sudah cukup penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh mereka dengan tekanan hidup akibat salah guna kuasa.

Walaupun negara ini adalah anugerah Allah dengan hasil mahsul yang banyak, namun masih ramai rakyat yang tidak bertanah.

Contohnya Sabah, tanah yang terbentang luas, hasil yang melimpah ruah, namun masih ada rakyat yang membina rumah di atas air.

PAS tidak akan izinkan Umno, mengkhianat rakyat untuk separuh abad yang kedua pula.

PAS wajib ganti Umno







Tiada ulasan: