Rabu, 17 November 2010

BAGUS KITA BONGKAR SEGALA PENYELEWENG DAN PEMAKAN HARTA RAKYAT...TERMASUK PUAK2 SENDIRI..DAN JANGAN PEJAM MATA...KALAU TAK...AKHIRAT ALLAH BONGKAR

Jauhi rasuah, fitnah dan zalim sesama manusia
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Umat Islam diajak memulakan proses penghayatan semangat Aidiladha di dalam setiap kehidupan terlebih dahulu selaku individu muslim.

“Marilah kita tingkatkan penghayatan diri kita terhadap kefahaman ajaran Islam dan membudayakan seluruh perintah dan larangan agama di dalam kehidupan diri,” kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhamad Razak Idris.

Katanya, umat Islam juga hendaklah meningkatkan kegiatan kerohanian dan mengukuhkan nilai-nilai luhur dan kualiti dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

“Hal ini tentu sekali menuntut kita menghayati perintah beramanah dan berintegriti di dalam setiap pekerjaan.

“Kita hendaklah menjauhi perbuatan rasuah, menjauhi fitnah dan zalim terhadap sesama manusia,” ujarnya dalam perutusan Aidiladha 1431 Hijrah yang disambut hari ini.

Tambahnya, kesemuanya itu akan dapat disempurnakan menerusi kekuatan kerohanian yang berteraskan kepada keyakinan serta kepatuhan sepenuhnya terhadap Allah S.W.T

Berikut adalah perutusan penuh beliau.

Tahmid kesyukuran ini melambangkan kerendahan hati manusia di dalam mengabdikan diri setulus-tulusnya terhadap Allah s.w.t. Sesungguhnya, Aidil Adha mempunyai pengajaran yang amat besar kepada kehidupan kita sebagai seseorang Muslim dan umat Islam. Dalam hubungan ini, antara pengajaran terbesar sekali ialah tentunya tentang semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail di dalam menyempurnakan perintah Allah. Pengorbanan baginda mereka di dalam menjunjung perintah Allah adalah lambang kepatuhan tertinggi seorang hamba kepada Penciptanya.

Penghayatan serta kefahaman terhadap pengorbanan yang dilakukan baginda seharusnya diinsafi serta dihayati oleh seluruh umat Islam, terutama di kalangan para belia. Selaku kelompok teras masyarakat, para belia mempunyai kekuatan untuk memainkan peranan sebagai agen perubah yang positif terhadap persekitaran mereka. Peranan ini boleh dijayakan menerusi proses penghayatan semangat Aidiladha dalam konteks pengukuhan semangat pengorbanan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada seluruh ajaran Islam di dalam amalan dan penghayatan diri.

Kita yakin, sekiranya penghayatan semangat pengorbanan dan ketaatan yang tinggi ini dapat dijelmakan, sebagai agen perubahan, para belia akan mendorong kewujudan sebuah persekitaran hidup yang bercorak Islami sejajar dengan tuntutan syariah. Persekitaran yang Islami adalah prasyarat asas yang akan membawa kepada sebuah kehidupan yang yang diberkati dan seterusnya membawa kepada kelahiran umat terbaik - khayra ummah.

Bagi tujuan tersebut, marilah kita memulakan proses penghayatan semangat Aidiladha ini di dalam setiap kehidupan diri kita terlebih dahulu selaku individu Muslim. Marilah kita tingkatkan penghayatan diri kita terhadap kefahaman ajaran Islam dan membudayakan seluruh perintah dan larangan agama di dalam kehidupan diri. Kita juga hendaklah meningkatkan kegiatan kerohanian dan mengukuhkan nilai-nilai luhur dan kualiti dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

Hal ini tentu sekali menuntut kita menghayati perintah beramanah dan berintegriti di dalam setiap pekerjaan. Kita hendaklah menjauhi perbuatan rasuah, menjauhi fitnah dan zalim terhadap sesama manusia. Kesemua ini akan dapat disempurnakan menerusi kekuatan kerohanian yang berteraskan kepada keyakinan serta kepatuhan sepenuhnya terhadap Allah S.W.T, yang disegarkan melalui amalan-amalan kerohanian seperti solat sunat, membaca Al-Qur’an serta zikir.

Semoga Allah swt merahmati segala urusan kehidupan kita semua dan memberi kekuatan untuk kita terus gigih dan komited di medan dakwah. Dan khusus untuk para jemaah haji di Mekah, bagi pihak Abim, kami mendoakan semoga semua memperoleh haji dan mabrur dan sentiasa berada di dalam kesihatan yang terbaik untuk menyempurnakan ibadah terpenting Islam ini. Wassalam


Kedah agih 380 lembu korban

Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 14 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah mengagihkan sejumlah 380 ekor lembu yang sebahagian besarnya disumbangkan anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) untuk dijadikan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hadir menerima sumbangan tersebut di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, semalam.

Pada tahun ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah telah menyumbang sebanyak 120 ekor lembu korban, Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah (20), Bina Darulaman Berhad (20), Yayasan Islam Negeri Kedah (10), Yiked Holding Sdn. Bhd. (10), Perbadanan Menteri Besar Kedah (18) dan selebihnya adalah merupakan sumbangan kerajaan negeri sendiri.

Azizan kemudiannya mengagihkannya itu kepada kesemua wakil-wakil rakyat, agensi-agensi negeri dan persekutuan, sekolah-sekolah agama rakyat yang akan bertanggungjawab menguruskan penyembelihannya pada hari raya korban nanti.

Dalam ucapannya, Azizan berterima kasih kepada GLC yang sekian kalinya memberikan sumbangan lembu korban dan menyifatkannya sebagai hadiah untuk rakyat di negeri itu.

"Pemberian daripada syarikat yang terlibat merupakan salah satu usaha melangkah ke hadapan dalam membantu golongan yang memerlukan dan saya berharap agar usaha ini dapat diteruskan.

"Sumbangan ini adalah hadiah untuk rakyat negeri Kedah agar mereka dapat melaksanakan ibadah korban yang menjadi simbol ketakwaan orang-orang yang beriman," katanya.

Turut hadir ialah pemimpin-pemimpin kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan dan penerima-penerima sumbangan tersebut


Kiswa baru untuk Kaabah
Nov 17, 10 6:49am

Kain penutup Kaabah yang dikenali sebagai 'Kiswa' diganti baru dalam satu majlis tahunan di Makkah yang disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan.

Menurut sebuah akhbar tempatan di Makkah, Saudi Gazette, majlis pemasangan Kiswa yang baru itu disempurnakan oleh para petugas dari Majlis Agung yang menjaga Hal Ehwal Dua Masjid Suci.

Kiswa baru berharga SR20 juta (100 Saudi Riyal bernilai kira-kira USD26.67) setinggi 14 meter yang diperbuat dari sutera serta bersulam benang emas itu dihasilkan di sebuah kilang khas.

Ia turut merangkumi satu langsir di bahagian pintu Kaabah yang diperbuat daripada sutera khas, enam setengah meter tinggi dan tiga meter lebar, yang dihiasi dengan ayat-ayat suci Al-Quran yang disulam indah dengan benang diperbuat daripada emas dan perak.

- Bernama


Bukti kos RM800 ribu - Noh mahu MB mohon maaf
Nov 17, 10 7:08am

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata beliau sedia didakwa di mahkamah sekiranya dakwaannya mengenai kos penganjuran majlis sambutan ulang tahun Yayasan Selangor mencecah RM800,000 terbukti tidak benar.

Katanya beliau juga bersedia memberi penjelasan berhubung kenyataannya mengenai perkara itu, dengan syarat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ADUN tertentu yang mempertikaikan kesahihan dakwaan itu memohon maaf kepadanya terlebih dahulu.

Menurutnya beliau sanggup menyahut cabaran Menteri Besar untuk mendedahkan semua butiran mengenai perbelanjaan itu, dan jika apa yang didedahkan nanti tidak betul, dia sanggup disaman Khalid.

"Saya sanggup hadapi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan alat tulis kepada pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2010 dalam kawasan Parlimen Tanjong Karang.

Majlis sambutan itu mulai mendapat perhatian Jumaat lalu apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan membatalkan hasrat untuk berangkat ke majlis itu apabila dikatakan dukacita kerana kos mengadakannya amat tinggi.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberikan kontrak untuk menganjurkannya.

Laporan sebelum ini menyebut perbelanjaan bagi mengadakan sambutan itu ialah RM300,000, termasuk untuk majlis jamuan tengah hari dan 90 peratus daripada jumlah itu dibayar terlebih dahulu kepada sebuah syarikat pengurusan acara.

Sementara itu, bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor, Takril Tasuki berkata dakwaan Abdul Khalid yang mengatakan Akaun yayasan itu tidak diaudit sejak empat tahun lalu adalah tidak benar.

Beliau berkata segala prosedur kewangan di Yayasan Selangor diikuti sepenuhnya sehingga persaraanya pada Ogos tahun lalu.

"Semua akaun Yayasan sudah diaudit sepanjang tempoh saya menjadi Pengurus Besar Yayasan Selangor. Barangkali, mungkin ada satu dua lewat disebabkan masalah teknikal melibatkan Universiti Industri Selangor dan Kolej INPENS," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: