Isnin, 22 November 2010

BUATLAH KERJA DENGAN ADIL DAN TELUS...SEBAB MUNGKIN KITA BOLEH LEPAS DIDUNIA...DIAKHIRAT TENTU TAK BOLEH....

Sultan ulangi hasrat ganti Tambak Johor
Nov 22, 10 5:12pm


Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura diteruskan.

Pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 hari ini, Sultan Ibrahim bertitah pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura malah menjadi kemudahan untuk rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini.

"Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin dan berusaha menangani masalah rakyat. Namun begitu, masih ada hasrat rakyat Johor yang masih belum dapat dipenuhi iaitu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor," titah baginda di Istana Besar di Johor Baharu.

Baginda bertitah ketiadaan Tambak Johor akan membolehkan air di Selat Tebrau bebas mengalir sekaligus memberi kesan yang baik terhadap alam sekitar di sekelilingnya.

Berangkat ke istiadat berkenaan ialah permaisuri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Yang Dipertua Jumaah Di Raja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad dan kerabat-kerabat di raja lain.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Prof Datin Jamilah Ariffin, barisan exco kerajaan negeri, anggota Dewan Undangan Negeri serta pegawai kanan kerajaan.

Sultan Ibrahim turut meminta rakyat di Johor supaya hidup secara bertolak ansur, bersederhana dan hormat-menghormati tanpa mengira kaum selaras dengan motto kerajaan Johor "Muafakat Itu Berkat" bagi mengekalkan kesejahteraan negeri.

Baginda mahu semua pemimpin masyarakat sentiasa berusaha menyatupadukan masyarakat yang dipimpin serta mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan individu mahupun politik.

"Di Johor, tidak kira apa jua kaum, Melayu, India, Cina, mereka semua adalah rakyat negeri saya. Hak dan kepentingan semua akan dijaga. Oleh itu, jangan diungkit apa yang telah berlaku supaya terhindar rasa tidak puas hati dan buruk sangka," titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan seluruh rakyat Johor supaya merebut peluang daripada pembangunan pesat negeri termasuk pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.

Dalam titah berkenaan, baginda turut mengisytiharkan penubuhan Yayasan Sultan Ibrahim yang bertujuan memberikan bantuan pendidikan, kebajikan, biasiswa kepada pelajar miskin, perubatan serta bantuan kepada warga emas dan orang kurang upaya.

Menurut Sultan Ibrahim, dana untuk yayasan berkenaan disumbangkan daripada semua elaun diraja yang diterima baginda.

Sultan Ibrahim pada istiadat berkenan turut berkenan mengurniakan gelaran "Duli Yang Maha Mulia" kepada Raja Zarith Sofiah dan gelaran "Yang Amat Mulia Enche' Besar" kepada bonda baginda, Hajah Khalsom Abdullah.

Baginda turut mengurniakan Darjah Kerabat Pangkat Pertama (DK I) yang merupakan darjah tertinggi bagi Johor kepada Hajah Khalsom dan Pangkat Pertama Datuk Seri Setia Sultan Ismail Johor (SSIJ) kepada Tunku Ismail.

--Bernama
Keluarga dakwa polis tembak mati dengan sengaja
Nov 21, 10 7:43pm


Dua laporan polis dibuat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dakwaan melepaskan tembakan terhadap seorang pemuda dan seorang remaja bagi menyebabkan kematian dan bukannya untuk mempertahankan diri.

Laporan terhadap kejadian pada 13 November itu dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya semalam oleh anggota keluarga almarhum terbabit.

Dalam aduannya Nor Hafizah Mad Razali berkata beliau tidak berpuas hati dengan alasan polis bahawa anaknya Muhammad Shamil Hafiz ditembak kerana cuba menyerang polis dengan parang.

Alasan yang sama diberikan oleh Norhaliza Tuah, kakak kepada Mohd Hairul Nizam yang meninggal dalam kejadian sama.

Mereka mendakwa, kesimpulan itu dibuat berdasarkan keadaan tubuh Muhammad Shamil dan Mohd Hairul Nizam yang ditembak daripada jarak dekat dan "tidak kelihatan seperti berlaku dalam peristiwa tembak menembak"


MB: S'gor tak perlu p'raya negeri
Nov 22, 10 6:43pm


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak nampak perlunya diadakan pilihan raya negeri itu dalam masa terdekat kerana mandat kerajaan yang ada masih panjang.

Beliau berkata Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor yang dipilih pada pilihan raya umum lepas memerlukan masa yang secukupnya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Saya berpandangan pilihan raya negeri Selangor perlu diadakan dalam tempoh empat tahun selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

"Pilihan raya tidak harus diadakan terlalu awal dalam usaha memberi peluang kepada wakil rakyat membalas kepercayaan pengundi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri bersedia mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.

Abdul Khalid berkata kerajaan tidak harus membebankan rakyat dengan mengadakan pilihan raya terlalu awal kerana itu satu pembaziran.

- Bernama


PAS: Panduan siber untuk buta, pekakkan rakyat
Nov 22, 10 2:36pm


PAS menyifatkan tindakan kerajaan yang mahu memperkenalkan garis panduan berkaitan hasutan dalam dunia siber sebagai satu lagi usaha untuk membuta dan memekakkan rakyat untuk mendapat maklumat sebenar.

Ketua penerangannya Idris Ahmad mendakwa, tindakan itu lebih kepada usaha untuk membendung "maklumat penyelewengan" kerajaan BN daripada diketahui rakyat.

idris ahmad information chief pas muktamar in kota bharu"Seperti yang kita sedia maklum Umno-BN hanya bergantung kepada propaganda media perdana sahaja untuk mengekalkan pengaruh mereka di negara ini.

"Mereka tidak mampu untuk melawan serangan yang dibuat oleh media baru pada hari ini, walaupun mereka mengupah individu untuk melemparkan fitnah kepada PAS dan Pakataan Rakyat," katanya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilaporkan berkata, garis panduan yang memberi definisi terperinci mengenai kesalahan hasutan dalam internet akan diperkenalkan dan dijangka siap minggu ini.

internet media and print mediaTanpa menyatakan bila garis panduan itu akan dikuatkuasakan, beliau berkata, ia sedang diperhalusi.

Dalam kenyataan hari ini, Idris mempersoalkan, tidak cukup lagikah "kongkongan" terhadap rakyat melalui akta sedia ada seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Hasutan.

"Kerajaan boleh bertindak mengikut akta yang sedia ada dengan membawa pesalah ke muka pengadilan.

"Adakah salah rakyat pada hari ini mendapat maklumat yang benar supaya mereka boleh membuat pilihan yang tepat untuk melantik pemegang amanah khazanah di negara ini?" soalnya lagi.

Menurut Idris, jika maklumat yang didedahkan berkaitan dengan rahsian ketenteraan negara, penghinaan kepada agama dan bangsa, kerajaan masih boleh bertindak dengan akta sedia ada


Bicara kes Aminulrasyid ditangguh ke esok
Nov 22, 10 12:23pm


Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini menangguhkan sehingga esok perbicaraan kes seorang koperal polis yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, dalam satu kejadian tembakan ketika remaja itu sedang memandu kereta di Seksyen 11 di sini, April lepas.

Hakim Latifah Mohd Tahar membuat penangguhan itu selepas peguam Salim Bashir yang mewakili Jenain Subi memaklumkan bahawa seorang lagi peguam bela tertuduh, M Athimulan perlu menghadiri perbicaraan kes lain di Pulau Pinang.

Timbalan Pendakwa Raya R. Kalaiyarasi hadir menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dan Idham Abd Ghani.

Mahkamah sepatutnya menetapkan hari ini untuk pihak pembelaan menyoal balas saksi ke-25 pendakwaan, Cif Ins Mazli Jusoh @ Che Kob dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang merupakan penyiasat tempat kejadian.

Jenain, 48, dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

--Bernama

Tiada ulasan: