Khamis, 11 November 2010

isu sosej babi di Sarawak

'JAKIM tak boleh campur isu sosej babi di Sarawak'
Jimadie Shah Othman
Nov 11, 10
3:55pm


Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari berpendapat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak boleh masuk campur menyiasat status agama bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah di Sarawak.

Katanya, ini kerana, di bawah kerangka federalisme yang diterima oleh perlembagaan, Islam adalah bidang kuasa negeri.

"Jadi dalam soal ini negeri mempunyai bidang kuasa; Jakim tidak boleh masuk campur. Lagi pun di sisi perlembagaan, JAKIM sepatutnya berada di bawah Majlis Raja-Raja, bukan kerajaan persekutuan.

"Tapi malangnya ini tidak berlaku. Semua agensi Islam persekutuan dikuasai oleh Umno/kerajaan," katanya ketika diminta mengulas arahan supaya Jakim menyiasat status agama budak itu yang bapanya dikatakan Islam manakala ibunya pula Kristian.

Semalam, kerajaan mengarahkan bahagian penyelidikan JAKIM menyiasat status agama bapa budak itu - Baginda Minda atau Noor Azman Abdullah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, arahan itu ekoran keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada arahan itu bertentangan dengan perjanjian 18 Perkara Sarawak ketika negeri di pulau Borneo itu menyertai Malaysia pada tahun 1963.

Perkara pertama dalam perjanjian itu menyebut tiada bantahan Islam sebagai agama negara, bagaimanapun tiada agama negeri bagi Borneo (Sabah dan Sarawak) dan tiada pengamalan berkaitan dengan Perlembagaan Malaya patut digunapakai di Borneo.

Menjawab soalan Malaysiakini melalui e-mel, Abdul Aziz menjelaskan, apa pun perkara dalam perjanjian itu, meskipun ada hujah moral, tetapi peruntukan dalam perlembagaan persekutuan - perkara 3(3) yang mewajibkan perlembagaan negeri tidak beraja memasukkan Agong sebagai ketua agama - berkata sebaliknya.

"Cuma soalnya apakah JAKIM bertindak atas arahan Agong? Pada pendapat saya Agong perlu bertindak atas inisiatif baginda sendiri sebagaimana dalam konteks baginda sebagai ketua agama di negeri baginda sendiri," jelasnya.

Mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang status agama anak, Abdul Aziz yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarangsa (UIA) berkata, keputusan itu itu tidak mempunyai kuasa undang-undang.

"Ia sekadar pandangan yang boleh diterima atau ditolak oleh negeri-negeri," katanya.

Sementara itu, pihak ibu pejabat Jakim di Putrajaya dan cawangannya di Kuching ketika dihubungi enggan mengulas perkara tersebut buat masa ini


Peguam Muslim pula kata boleh
Jimadie Shah Othman
Nov 11, 10
5:59pm


Walaupun terdapat pelbagai pandangan berhubung bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) - yang diarah menyiasat kes 'sosej babi' di Sarawak - Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) berpendapat perkara itu bukanlah satu isu.

Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat, walaupun dinyatakan dalam perjanjian 18 Perkara Sarawak bahawa tiada agama negeri bagi Borneo (Sabah dan Sarawak), tetapi enakmen agama tetap wujud di negeri itu.

"Walaupun dinyatakan begitu dalam perjanjian (18 perkara) itu, tetapi undang-undang itu ada.

"Misalnya enakmen agama dan kekeluargaan Islam," katanya ketika diminta mengulas arahan supaya JAKIM menyiasat status agama seorang budak yang bapanya dikatakan Islam manakala ibunya pula Kristian.

Kes murid sekolah rendah itu mencetuskan kontroversi apabila dia dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej tidak halal ke sekolah. Perkara itu turut didebatkan di Parlimen semalam.

Semalam juga, kerajaan mengarahkan bahagian penyelidikan JAKIM menyiasat status agama bapa budak itu, Baginda Minda atau Noor Azman Abdullah.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada arahan itu bertentangan dengan perjanjian 18 Perkara Sarawak ketika negeri di pulau Borneo itu menyertai Malaysia pada tahun 1963.

Perkara pertama dalam perjanjian itu menyebut tiada bantahan Islam sebagai agama negara, bagaimanapun tiada agama negeri bagi Borneo (Sabah dan Sarawak) dan tiada pengamalan berkaitan dengan Perlembagaan Malaya patut digunapakai di Borneo.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Zainul Rijal berkata Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua bagi agama Islam di negeri-negeri yang tidak beraja seperti Sarawak.

"Perjanjian itu hanya deklarasi. Undang-undang itu ada. Dan ia diterima seperti di negeri-negeri lain di Malaysia," katanya

JAKIM diarah siasat agama bapa murid
Nov 10, 10 8:47pm

Kerajaan telah mengarahkan bahagian penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyiasat status agama bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata selepas mengenal pasti status Beginda Anak Minda atau Noor Azman Abdullah, siasatan boleh dijalankan terhadap dakwaan anaknya Basil Anak Beginda dirotan guru akibat kejadian itu.

Katanya status agama Beginda perlu disiasat kerana mengikut keputusan muzakarah Fatwa Kebangsaan apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.

"Selepas itu (baru) boleh sampai kepada kesimpulan apa juga keputusan tentang itu boleh tentukan kepada kenapa budak ini dirotan," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Akhbar pada 5 November lepas melaporkan seorang ibu, Angela anak Jabing membuat aduan bersama sayap wanita PKR kepada Jabatan Pelajaran Sarawak dengan mendakwa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sebuah sekolah di Sarawak kerana membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Sehubungan itu, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Datin Fatimah Abdullah berkata Jabatan Pelajaran Negeri itu akan meneliti kes berkenaan selain mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah.

Terdahulu, persidangan dewan hari ini hangat apabila Zulkifli Nordin (BEBAS-Kulim-Bandar Baharu) yang berbahas membangkitkan isu berkenaan dan mempersoal pendirian PAS berhubung perkara terbabit.

Kekecohan itu berlarutan sehingga mengakibatkan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) diarah keluar dewan sehingga Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyambung persidangan dewan pada sebelah petang, kerana berterusan mencelah ketika Zulkifli berbahas, walaupun diarah untuk tidak berbuat demikian beberapa kali.

Dzulkefly berterusan menyalahkan Zulkifli kerana membawa isu itu ke dalam dewan, dan menyatakan ia tidak sesuai dibincangkan berikutan masa yang diperuntukkan kepada anggota parlimen untuk berbahas sangat singkat iaitu 10 minit.

Rentetan daripada itu, Zulkifli kemudian membalas dengan bertanya: "Adakah kamu (Dzulkefly) sokong anak seorang Islam bawa babi ke sekolah?"

Pada sebelah petang, Chong Chien Jen (DAP-Bandar Kuching) memberitahu pemberita bahawa Basil bukan orang Islam berdasarkan status agama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak itu dan sijil perkahwinan ibu bapanya yang dihantar melalui e-mel kepadanya oleh ibu kanak-kanak itu hari ini.

"Menurut sijil itu, bapa kanak-kanak itu, Beginda Anak Minda tidak mempunyai agama manakala ibunya, Angela anak Jabing adalah Kristian. Jadi berdasarkan ini, kanak-kanak itu dibesarkan sebagai seorang penganut Kristian menurut agama ibunya," katanya.

Katanya persoalan yang berbangkit sekarang ialah kenapa Basil dirotan penolong kanan sekolah itu kerana membawa sosej babi ke sekolah.

Beliau mendakwa bahawa menjadi kebiasaan bagi kedai kopi di Sarawak menjual makanan hahal dan tidak halal di tempat yang sama dan bagi orang Islam dan bukan Islam untuk makan di meja yang sama.

- Bernama



Kerana isu babi, MP PAS dihukum keluar Dewan
S Pathmawathy
Nov 10, 10
1:46pm


Ahli parlimen PAS Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad hari ini diarahkan keluar dari Dewan Rakyat kerana menimbulkan ketegangan berhubung identiti seorang pelajar lelaki yang dirotan kerana membawa nasi dengan daging khinzir goreng dan sosej yang tidak halal.

Dzulkefly (kiri) yang berang dengan hujah yang ditimbulkan oleh Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) bahawa bapa budak berkenaan beragama Islam.

Justeru, “tidak wajar” bagi seseorang Islam membawa makanan “haram” ke sekolah.

“Jika bapa budak itu beragama Islam, maka sewajarnya budak itu juga semestinya beragama Islam,” kata Zulkifli.

Namun, menurut Dzulkefly, isu yang dibangkitkan bukan berhubung indentiti agama pelajar berkenaan tetapi tindakan pihak sekolah yang menghukum budak lelaki itu dengan merotannya.

Makan babi

Zulkifli kemudian berkata "inilah PAS menggalakkan anak Muslim makan babi".

Kenyataan itu telah mencetuskan ketegangan di Dewan Rakyat dengan Dzulkefly terus membidasnya dengan berkata: "Inilah amalan agama yang paling sempit".

Kenyataan itu kemudiannya membangkitkan kemarahan bukan sahaja Dzulkefly, malah sebahagian ahli parlimen Pakatan Rakyat lain.

Turut bangun membantah Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), dan Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja).

Tidak berpuas hati dengan kenyataan Zulkifli itu, Dzulkefly kemudiannya bangun membantah sehingga dewan menjadi kecoh dan tidak terkawal oleh Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Jaafar.

Meskipun diarahkan oleh timbalan speaker supaya berhenti bertengkar dan duduk, namun Dzulkefly terus membidas bekas ahli parlimen PKR yang berpaling tadah itu.

Wan Junaidi kemudian mengarahkan supaya Dzulkefly keluar dewan sehingga waktu makan tengahari berahir pada jam 2.30 petang ini.

"Apa yang memanaskan saya apabila saya disuruh duduk, dalam masa sama Kulim Bandar Baharu (Zulkifli) terus menerus menyerang PAS, serang Islam dan serang saya," katanya di luar pintu dewan.

Khianati agama

Pada sidang media selepas itu, Dzulkefly mendakwa ahli parlimen Kulim Bandar Baharu sengaja menggunakan ruang perbahasan untuk mencetuskan pertentangan.

"Dalam semangat toleransi beragama, Kulim Bandar Baharu membuat satu penyataan yang menunjukkan orang Islam ekstrem.

"Kalau benar mahu bahas isu ini, bukan di sini, tapi Kulim Bandar Baharu terus mengatakan bahawa inilah PAS, yang menghalalkan orang Islam makan babi.

"Inilah cara paling jahat yang sebenarnya mengkhianati agama atas kononnya untuk memperjuangkan agama," katanya kesal.

Sementara itu, Yusmadi Yussof (PKR-Balik Pulau) pada sidang media sama turut mengecam sikap Zulkifli.

Katanya, Zulkifli tidak bertanggungjawab dan tidak mengamalkan konsep Islam moderat yang mahu ditonjolkan kepimpinan negara.

"Saya terkilan kerana Kuala Selangor (Zulkefly) menjadi mangsa dalam usaha pertahankan Islam yang sebenar,” ujarnya

Tiada ulasan: