Khamis, 4 November 2010

MANUSIA LA NI SUKA AMIK HATI MANUSIA...SAMADA PEMIMPIN ATAU PEMERINTAHAN....WALAUPUN BERCANGGAH DENGAN HUKUM ALLAH...AMIK HATI MANUSIA RASA LEBIH AULA

SPR: Kemeja-T 2Malaysia pun boleh
Nov 4, 10 1:08pm

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pemilih dibenarkan memasuki pusat pengundian dengan memakai kemeja-T bertulis 1Malaysia.

"Boleh, OK, kita hanya haramkan logo parti politik, kamu nak tulis 2Malaysia juga boleh," kata Wan Ahmad kepada Malaysiakini ketika melawat SRJK(C) Gua Musang.

Beliau mengulas desas desus bahawa sesiapa yang memakai kemeja-t sewaktu mengundi akan mendapat RM100 sebagai "ganjaran".

Memberitahu beliau tidak mendapat sebarang aduan setakat ini, Wan Ahmad mencabar "pembawa cerita" itu membuat laporan polis supaya siasatan dapat dibuat.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat, tolong laporkan pada pihak polis. Kita dengar banyak cerita hari ini tetapi tidak menerima sebarang laporan," kata Wan Ahmad.

Ditanya tentang pemantauannya sekitar tempat pengundian hari ini, beliau berkata perjalanan dalam pusat pengundian berjalan lancar, tetapi terdapat beberapa masalah di luar tempat itu.

Katanya, terlalu banyak orang luar datang ke Galas, sekali gus mencetuskan ketegangan apabila kedua-dua penyokong parti bertanding saling memprovokasi pihak lain.

"Bila kami provokasi, pihak satu lagi akan naik angin," katanya sambil berkata setakat ini tiada pergaduhan di Batu Papan kerana pihak polis menghalangnya dari masa ke semasa







Penyokong PAS-BN bergaduh dalam khemah
Nov 4, 10 10:24am

Proses pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Galas hari ini dicemari dengan pergaduhan dipercayai berpunca daripada provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan khemah BN untuk meraih undi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Seri Wangi, di Gua Musang.

Menurut laporan Bernama, dalam kejadian pada 8.15 pagi, sekumpulan penyokong PAS telah memasuki kawasan di sebelah BN, menyebabkan penyokong BN meminta mereka supaya keluar dari kawasan itu.

Seorang saksi, Mahmud Ismail, 56, berkata keengganan penyokong PAS untuk berpindah ke kawasan khemah parti mereka mencetuskan insiden maki-hamun antara kedua-dua pihak sehingga menyebabkan penyokong PAS mengeluarkan kata-kata kesat terhadap BN.

"Reaksi daripada kata-kata kesat itu mendorong penyokong BN hilang sabar dan berlakunya pergaduhan antara kedua-dua pihak namun tiada kecederaan serius berlaku berikutan kepantasan polis bertindak," katanya kepada Bernama.

Dalam tempoh beberapa minit, polis tiba bersama empat trak kecil dan beberapa anggota Pasukan Penggempur Ringan untuk meleraikan pergaduhan itu.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontijen Sarawak Datuk Ahmad Soffian Md Yassin, yang juga Timbalan Pengarah Operasi Markas Taktikal Polis (Martek) DUN Galas berkata pihaknya telah mengarahkan kedua-dua penyokong parti supaya bersurai dan berada di khemah parti masing-masing.

"Kita juga telah menggantung garisan kuning polis untuk membuat sempadan bagi membahagikan kawasan kedua-dua penyokong parti itu dan tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya.

--Bernama


Penilaian 'tangan syaitan' Mohd Nor tak normal
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Nov 4, 10
1:38pm


Merujuk kenyataan bekas calon BN, Ustaz Mohd Nor Idris mengenai YAB Menteri Besar Kelantan, Dato Nik Aziz Nik Mat:

"Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan...dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan". (Malaysiakini)

Saya melihat perlu perkara ini diulas, agar tidak menjadi ikutan atau pegangan sesetengah pihak. Walaupun itu merupakan kenyataan peribadi, tetapi apabila disiarkan dalam media, saya rasa terpanggil untuk memberikan pandangan.

Bukan kerana hendak membela MB Kelantan semata, tetapi saya ingin menyanggah cara penghujahan sebegini agar tidak menjadi trend golongan agama nanti.

Saya fikir jika kita membenarkan hujah seperti digunakan untuk menilai insan lain, maka rosaklah alam ini. Bagaimana mungkin dengan mendakwa kasyaf atau dapat mengingkap rahsia seseorang dengan menggunakan unsur spiritual dijadikan ukuran dalam menilai seseorang? Jika ini dijadikan hujah dalam menilai atau menghukum seseorang, maka ramailah yang akan terzalim.

Nanti akan datang pihak lain pula, lalu menghukum orang pula sebagai buruk berdasarkan kasyafnya atau mimpinya atau ilhamnya yang kesemua itu disandarkan kepada Tuhan. Lalu nama Allah dijadikan mainan. Dalam Islam, walaupun seseorang mungkin mempunyai 'perasaan dalamannya' yang tersendiri, namun itu tidak boleh dijadikan hujah dalam memburuk atau menilai orang lain tanpa bukti apath lagi untuk tatapan umum.

Nabi SAW yang menerima wahyu pun, namun dalam hadis baginda menyebut: "Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, dalam menghukum dan menilai baginda berteraskan hujah. Maka kita dalam menilai seseorang hendaklah berdasarkan bukti dan hujah bukan sekadar perasaan hati, atau bisikan kasyaf atau mimpi. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi SAW terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah.

Jika beliau (Mohd Nor) ingin mengkritik atau menilai MB Kelantan sebagai tangan syaitan, beliau hendaklah mendatang hujah dan bukti kejahatan yang melayakkan dinilai sedemikian rupa. Jika ada hujah, ia diterima. Jika tiada, ia tuduhan tanpa dalil.

Maka hendaklah kita ingat, bahawa kasyaf, mimpi, ilham dan seumpamanya bukan hujah dalam menentukan kebenaran atau kesalahan.

Penentuan salah betul dalam Islam adalah fakta dan bukti. Al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) menyebut: "Selemah-lemah hujah mereka (ahli bidaah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: 'Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini, buat ini1'."

Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasauf. Di kalangan mereka ada yang berkata: 'Aku melihat Nabi S.A.W dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini. Dan memerintah aku sebegini'. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syariat. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan"(Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, cetakan Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut).

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu". (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)


*Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti kerajaan Perlis



Banjir semakin buruk, jumlah mangsa lebih 41 ribu
Nov 4, 10 11:18am

Angka penduduk yang dipindahkan kerana banjir di negeri-negeri utara Semenanjung dilaporkan terus meningkat manakala keadaan banjir pula dikatakan semakin buruk.

Di Kedah, jumlah mangsa meningkat kepada lebih 28,000 orang pagi ini berbanding sekitar 27,000 malam semalam, ekoran keadaan yang semakin buruk di empat daerah.

Jumlah mangsa banjir di Perlis pula terus meningkat hari ini dengan mangsa yang dipindahkan sebanyak 13,723 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata angka itu meningkat berbanding lebih 11,000 mangsa yang ditempatkan di lebih 40 pusat pemindahan semalam.

Keadaan banjir di Rantau Panjang, Kelantan setakat 8 pagi ini pula tidak berubah dengan jumlah mangsa yang berada di tiga pusat pemindahan di sini kekal 475 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, semua mereka yang membabitkan 121 keluarga itu ditempatkan di stesen kereta api lama, Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Tok Deh.

Beliau berkata sejumlah 410 orang ditempatkan di stesen kereta api lama, iaitu penduduk Kampung Kedai Lama, Kedap dan Kampung Dangar.

"Selain itu, 42 penduduk lagi dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi yang terdiri daripada penduduk Kampung Banggol Kulim dan Bandang Guchil manakala di Sekolah Kebangsaan Tok Deh pula seramai 23 orang yang terdiri daripada penduduk sekitar," katanya.

Jurucakap itu, bagaimanapun, menjangkakan jumlah itu akan beransur kurang mulai hari ini berikutan paras air Sungai Golok yang terus surut.

Di Kedah, daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang mencatatkan peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan, manakala keadaan banjir di Padang Terap pula semakin baik dan jumlah mereka berada di pusat pemindahan berkurangan.

Di Kubang Pasu, seramai 15,637 penduduk daripada 4,347 keluarga kini dipindahkan, manakala di Padang Terap seramai 3,219 orang masih berada di pusat pemindahan, Kota Setar melibatkan 1,788 penduduk, Pokok Sena (1,259 orang) dan daerah Pendang merekodkan 158 penduduk dipindahkan.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga 9 pagi ini, sebanyak 104 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 46 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, 15 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya keadaan banjir di Padang Terap bertambah baik dengan 774 orang daripada 274 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Keadaan banjir di Kota Setar semakin buruk dan tinjauan Bernama mendapati paras air semain naik walaupun hujan telah berhenti.

Beberapa jalan utama di bandar raya Alor Setar pula semakin digenangi air menyebabkan keadaan sesak.

Selain itu beberapa kawasan kediaman juga berdepan dengan gangguan bekalan air, termasuk terputus bekalan.

Di Perlis, kebanyakan mangsa banjir yang dipindahkan ialah dari kawasan Kangar manakala di kawasan utara Perlis, keadaan beransur surut.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut melawat mangsa-mangsa banjir hari ini.

Sebelum itu, beliau mendengar taklimat yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid



Isu 'kafirkan' Umno: Berita Harian mengaku ralat
Abdul Rahim Sabri
Nov 4, 10
10:48am

Akhbar Berita Harian hari ini membuat pembetulan berhubung laporan yang memetik ucapan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang mendakwa tokoh DAP Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan "Umno Kafir" dalam satu ceramah pilihan raya kecil di Gua Musang.

Dalam pembetulan yang disiarkan dalam akhbar itu hari ini, pada muka surat 8, pengarangnya berkata laporan mereka "bukan merujuk kepada penasihat DAP" itu.

"Ucapan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam ceramahnya, DAP semakin berani mencampuri urusan agama Islam di peti undi Kampung Baru Hulu, Gua Musang seperti disiarkan Berita Harian semalam, bukan merujuk kepada penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Kesilapan dikesali - Pengarang," pemberitahuan itu dipetik.

Semalam Lim mengarahkan peguamnya mengemukakan saman terhadap laporan Berita Harian dan Mohd Ali berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan itu dalam satu ceramah di sebuah ceramah di Sungai Terah, Gua Musang.

Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

"Saya didakwa mengatakan Umno kafir dalam satu ceramah di Galas bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini merup
akan fitnah dan pembohongan oleh kerana saya tidak bercakap seperti yang didakwa oleh beliau.

"Saya juga tidak pernah menghadiri ceramah di tanah rancangan Kesedar seperti yang didakwa dan ini merupakan perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menyebarkan kebencian kaum dan agama," kata Lim pada sidang media di lobi Parlimen semalam


Tiada ulasan: