Selasa, 2 November 2010

BILA MENGUNDI ORANG BEGINI AKAN DICARI....TAK TAHU LAH BERJUANG UNTUK RAKYAT ATAU PERUT SENDIRI.....

Warga emas tinggal dalam hutan

TASEK – Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Begitulah ungkapan yang menggambarkan kehidupan seorang warga emas yang tinggal bersendirian di pondok kecil dalam hutan di sini.

GRangasamy, 63, tinggal seorang diri dan hanya menoreh getah yang tumbuh dalam hutan untuk menampung perbelanjaan harian.

Lebih menyayat hati apabila pondok kecil yang didiaminya itu hanya mempunyai dua tingkap dan tidak mempunyai bekalan air paip dan elektrik.

“Saya mandi di parit yang berhampiran manakala air untuk minum saya peroleh dari tokong cina yang terletak di atas bukit di sini. Sementara makanan pula, saya hanya makan sayur dan jika ada duit lebih baru saya membeli nasi di kedai itu pun dengan kadar RM1 atau RM2 sahaja.

“Semasa saya berusia sekitar 20-an ahli keluarga saya mati dan sejak itu saya hidup sebatang kara.

“Selepas kematian ayah, ibu pula menyusul dan diikuti adik-beradik lain. Kematian mereka tidak diketahui puncanya seolah-olah dugaan untuk saya.

“Sedih dengan kejadian yang menimpa saya mengambil keputusan menaiki basikal ke mana sahaja tanpa arah tuju,” katanya.

Difahamkan, semasa usianya 50 tahun, dia terpaksa menjalani pembedahan usus akibat makan makanan segera.

“Makanan segera itu sahaja mampu saya beli dan kini jika lapar saya hanya makan sayur dan minum air yang dimasak menggunakan dapur kayu.

Kesempitan hidup Rangasamy mendapat perhatian daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tasek.

Pengerusinya, Mohd Said Mohd Zain, berkata, pihaknya akan membantu Rangasamy untuk mendapatkan bantuan.

“Sebelum ini, kita tidak tahu dia tinggal dalam hutan disebabkan kawasan yang terpencil dan terasing dengan penduduk lain.

“Kita mendapat tahu perkara ini daripada penduduk dan difahamkan mereka ternampak sebuah pondok yang didiami seorang lelaki India ketika memasuki kawasan ini.

“Hasil maklumat yang diterima, pihak JKKK segera memantau dan mendapati hampir empat tahun dia menetap di hutan.

“Justeru itu, kami memberi beberapa sumbangan berupa makanan harian sebagai membantunya pada peringkat awal,” katanya.



Demi kasih suami sanggup gadai nyawa

KEMAMAN – Seorang penoreh getah maut manakala isterinya cedera parah disengat ribuan ekor lebah apabila mereka secara tiba-tiba diserang kumpulan serangga berbisa itu ketika pulang daripada menoreh di kebun milik mereka dalam kejadian di Kampung Tanah Lot, Pasir Gajah, di sini, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

Berikutan sengatan berbisa ribuan ekor lebah itu, tubuh Ali Din, 54, bertukar warna menjadi keungu-unguan dan dia meninggal dunia dalam pangkuan isterinya, Khersiyah Engku Hassan, 51, ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Kemaman.

Mengimbas kembali kejadian berkenaan, Khersiyah yang turut disengat kira-kira 102 ekor lebah di seluruh badannya berkata, kejadian berkenaan berlaku begitu pantas ketika dia dan suaminya menyedari langit tiba-tiba berubah mendung dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari kebun mereka.

“Ketika mahu pulang ke rumah bersama suami secara tiba-tiba cuaca bertukar mendung sebelum saya terasa pipi kanan saya sakit seperti disengat serangga menyebabkan saya menepuk pipi dan mendapati rupa-rupanya serangga itu adalah seekor lebah sebelum saya dan suami mendongak ke atas.

“Rupa-rupanya, kumpulan lebah berkenaan betul-betul berada di atas kepala kami menyebabkan suami saya terus menjerit supaya saya lari ke arah kiri dan dia pula berlari ke arah kanan.

Katanya, bagaimanapun, ketika mahu berlari saya terjatuh dan dikerumuni serta disengat lebah itu, lantas suami berlari mendapatkan saya sambil melaungkan azan,” katanya semalam.

Menurutnya, walaupun sudah tidak terdaya berikutan terasa perit kerana disengat pada ubun-ubun dan seluruh badan, dia tetap menggagahkan diri berlari selepas diangkat suaminya.

“Ketika itu, saya lihat suami masih bertenaga walaupun dia juga turut disengat hampir seluruh badan terutama pada bahagian kepala.

“Kemudian, kami terus berlari sambil menjerit meminta tolong ke arah rumah kongsi pekerja warga Bangladesh lebih kurang 500 meter dari kebun kami,” katanya sebak.

Khersiyah berkata, sebaik tiba di rumah kongsi berkenaan, suaminya menjerit meminta pekerja terbabit mencampakkan kertas dan selimut sebelum dua pekerja di situ mencampakkan selimut dan suaminya menyelimutkannya sambil berlari menuju ke rumah jiran.

“Buruh berkenaan turut melarikan diri ke dalam semak berdekatan berikutan kumpulan lebah itu menyerang mereka.

“Kami pula terus berlari tetapi tiba-tiba suami saya terjatuh, namun dia menjerit mengarahkan saya supaya terus berlari tanpa mempedulikannya dan saya terjun ke dalam air dalam tong biru yang terletak beberapa meter di hadapan kami,” katanya.

Menurutnya, berikutan kepanasan selepas disengat ratusan lebah, dia segera berendam dan apabila menoleh, dia tidak dapat menahan air mata apabila melihat suaminya dikerumuni ribuan ekor lebah dalam keadaan bersujud sebelum mereka diselamatkan jiran.

“Luluh hati saya apabila melihat keadaan suami ketika itu apatah lagi ketika itu arwah hanya memakai baju lengan pendek menyebabkan dia lebih teruk disengat daripada saya yang memakai baju lengan panjang,” katanya.

Walaupun Khersiyah juga parah disengat lebah, namun selepas mendapatkan rawatan kira-kira jam 2 petang kelmarin, dia akhirnya dibenarkan keluar daripada wad kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supe-rintendan Abdullah Sani Salat berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12 tengah hari disebabkan alahan pada biasa lebah.

Jenazah mangsa yang juga bapa kepada lima anak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Gajah, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sinar Harian difahamkan kehadiran ribuan lebah di kebun milik Khersiyah itu disebabkan sarang lebah yang terletak berhampiran kebun suami isteri itu dikacau burung helang menyebabkan kumpulan lebah itu keluar daripada sarang sebelum menyerang pasangan terbabit.



Arwah beria-ia mahu ke kebun



Walaupun reda dengan pemergian suami, namun Khersiyah tidak menyangka sikap arwah suaminya yang beria-ia mahu ke kebun getahnya pada pagi itu menjadi adalah detik terakhir suaminya mencari rezeki buat mereka sekeluarga.

“Pada pagi itu, tiba-tiba saya terasa tidak sedap badan dan menyatakan hasrat tidak mahu menoreh getah kepada arwah suami, tetapi arwah memujuk saya dan menyuruh saya berehat seketika sebelum bekerja.

“Malah, saya masih ingat lagi kata-katanya ’manalah tahu ada rezeki untuk anak kita hari ini’ kerana inilah ayat yang terluah dari bibirnya ketika memujuk saya untuk menoreh getah walaupun saya katakan kepadanya tidak sedap badan,” katanya.

Khersiyah yang mula menoreh bersama suami sejak lebih setahun lalu berkata, pada hari kejadian, suaminya turun bekerja seawal jam 6.30 pagi sebelum dia menyusul ke kebun getah seluas kira-kira 2.4 hektar yang terletak tidak jauh daripada rumah mereka pada tengah harinya.

Katanya, lebih menyayat hati apabila melihat suaminya tetap menggagahkan diri berlari terenjut-enjut bagi menyelamatkan diri mereka kerana arwah suaminya itu baru sahaja mengalami kemalangan motosikal Jun lalu.

“Saya memang tidak sangka kejadian disengat lebah akan meragut nyawa suami,” katanya.

Katanya, pemergian arwah suaminya itu juga menyebabkan dia dan lima anak; Mohd Asmadi, 18; Ahmad Suzai, 17; Akma Nabihah, 16; Norakma Syafika, 11 dan Ahmad Hafiz Iman, 6, hilang tempat bergantung.

Sementara itu, anak sulung Khersiyah, Mohd Asmadi turut melahirkan rasa terkejut dengan kehilangan bapanya kerana sebelum ini bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

Menurutnya, berita kematiannya bapanya itu diketahui kira-kira jam 12.45 tengah: hari ketika dia menjawab peperiksaan kertas Pe-ngajian Am bagi Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) di Sekolah Menengah Kebang-saan (SMK) Chukai sebelum ke Hospital Kemaman.

Katanya, panggilan telefon daripada ibu saudaranya, Engku Saadah Engku Hassan, 43, mengejutkan.

“Kali terakhir saya bercakap dengan ayah pada Sabtu lalu sebelum saya ke asrama, namun ketika itu arwah tidak menunjukkan perangai pelik,” katanya.



Lapor jika lihat sarang lebah, binatang bisa di kebun



Kejadian penoreh getah terbunuh berikutan disengat lebah turut menggemparkan penduduk Kampung Pasir Gajah kerana ia kejadian maut pertama kali berlaku setakat ini membabitkan serangan lebah.

Susulan kejadian itu, penduduk, Zulkifli Othman, 44, memohon kerjasama semua pihak prihatin dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati di kebun mereka terdapat sarang lebah mahupun sarang binatang berbisa lain.

“Kes ini juga memberi peringatan kepada semua pihak agar lebih berhati-hati pada masa depan dan tidak boleh beranggapan lebah tidak berbahaya,” katanya


Chef Adabi meninggal dunia

ALOR GAJAH - Permintaan Raman Abu Samah, 53, yang meninggal dunia awal pagi kelmarin untuk disemadikan di sebelah pusara ibu bapanya dipenuhi keluarga apabila jasadnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kelemak, dekat sini, kelmarin.

Arwah yang lebih mesra dan popular dengan panggilan Chef Raman sebelum ini menyandang jawatan Pengarah Promosi dan Perhubungan Awam Adabi, menghidap penyakit kencing manis dan masalah usus yang dikesan sejak setahun lalu, bagaimanapun semakin kritikal sejak empat bulan lalu.

Chef Raman meninggalkan dua anak, Liyana Syafiqah, 14, dan Iman Syafiq, 11, yang sebelum ini tinggal bersamanya di Senawang, Negeri Sembilan.

Iman Syafiq ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia menjaga arwah sejak menghidap penyakit berkenaan dan reda atas pemergian ayahnya walaupun tidak berkesempatan bertemunya pada saat terakhir sebelum meninggal dunia.

“Sepanjang tinggal dengan ayah, saya bersyukur kerana dapat berbakti ketika ayah bertarung dengan kesakitan walaupun apa yang saya lakukan tak sebesar pengorbanan ayah tetapi sebagai anak, saya rasa selesa dapat jaga makan pakai ayah.

“Saya salin lampin ayah lepas mandi, saya suapkan ayah makan dan saya juga kemaskan rumah setiap hari,” katanya


Bekas banduan kena sebat

KUANTAN - Tidak serik dengan hukuman penjara tujuh bulan kerana mencuri, seorang bekas banduan kembali menjalani hukuman itu selama 15 tahun selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan merogol kanak-kanak berusia 6 tahun 11 bulan, Februari lalu, kira-kira lima bulan selepas dia dibebaskan.

Tertuduh, A Ravishankar, 20, dari Taman Datuk Rashid dekat sini, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan itu menukar pengakuannya di hadapan Hakim Nor Adidah Ahmad sebelum dijatuhi hukuman itu bermula dari tarikh dia tangkap serta empat sebatan.

Dia yang diwakili peguam, Zaharman Zainal Abidin sebelum itu memberitahu mahkamah kejadian berlaku tanpa disedari kerana ketika itu dia berada dalam keadaan mabuk.

Dia bagaimanapun menafikan kejadian itu atas sebab pengaruh filem porno kerana dia tidak pernah menontonnya sebelum ini.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin, bekas buruh kontrak yang dibebaskan daripada hukuman penjara Oktober 2009 didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu dalam semak belakang sebuah rumah di Jalan Mat Kilau di sini, kira-kira jam 2.20 petang 14 Februari lalu.

Perbuatannya bagaimanapun disedari pemilik rumah (pengadu) apabila lelaki itu mendengar jeritan seorang kanak-kanak dari belakang rumahnya sebelum ternampak tertuduh dalam keadaan separuh bogel sedang merogol mangsa yang terbaring di atas rumput tanpa pakaian.

Tertuduh yang dicekup lelaki terbabit diserahkan kepada polis manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan hari berikutnya untuk pemeriksaan sebelum kanak-kanak itu disahkan menjadi mangsa rogol.

Dia yang sebelum ini didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu supaya hukuman ke atasnya dikurangkan memandangkan dia terpaksa menyara keluarga selain menanggung kos rawatan bapa dan abangnya yang sakit.

Anak bongsu daripada enam beradik itu juga mengakui sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang.

Noor Svetlana bagaimanapun membantah rayuan tertuduh itu sebaliknya memohon satu hukuman lebih berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Menurutnya, walaupun ketika kejadian tertuduh masih muda namun mangsa dalam kejadian itu jauh lebih muda.

Mangsa yang bertubuh kecil turut dibawa ke dalam mahkamah sambil ditemani ibunya untuk meyakinkan mahkamah terhadap keseriusan kesalahan tertuduh yang sanggup merogol kanak-kanak terbabit yang masih mentah dan belum bersekolah.

Noor Svetlana juga memberitahu, mangsa bukan sahaja di rogol dalam semak yang menyebabkan beberapa kecederaan kecil pada tubuhnya malah kanak-kanak itu juga turut ditampar

Tiada ulasan: