Selasa, 2 November 2010

CAKAPLAH DAN BERILAH..SELAGI ADA KUASA DIDUNIA...DAH MATI JAWABLAH...BETUL TAK PE...SALAH TANGGUNGLAH...

PAS turunkan sepanduk 'tidak bertuan'
Salhan K Ahmad
Nov 2, 10
2:34pm


Sekumpulan 30 orang daripada jentera pilihan raya PAS menurunkan satu sepanduk yang dipasang di depan satu pondok polis di Kampung Batu Putih yang didakwanya boleh menaikkan kemarahan dan kebencian.

Sepanduk itu yang tertulis "Pemimpin DAP beri tazkirah di surau, kenapa PAS sokong rumah Allah dihina", dipercayai dipasang di situ sejak malam tadi.

Penasihat jentera pilihan raya kecil Dun Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mengetuai pasukan itu berkata, tindakan tersebut diambil bagi membantu pasukan penguatkuasa SPR.

"Walaupun SPR ada tiga pasukan penguatkuasa, mungkin suruhanjaya itu tidak dapat pantau kawasan pilihan raya yang begini luas.

"Sepanduk seperti ini (dipasang) tanpa tanggungjawab kerana tidak diberitahu siapa penerbitnya.

"Ia digantung di depan pondok polis yang bertugas 24 jam.

"Mereka ambil kesempatan untuk naikkan kemarahan dan kebencian," katanya yang tidak akan membuat sebarang aduan berhubung insiden itu.

"Kita sengaja tidak buat aduan sebab dalam pengalaman di (pilihan raya kecil) Manek Urai tidak ada tindakan polis.

"Mungkin mereka sibuk, kita hanya membantu," katanya lagi.

Sebelum ini, satu jentera PAS juga telah menurunkan satu sepanduk di kawasan Bandar Lama Gua Musang


K'jaan tak lagi umum harga RON 97
Nov 2, 10 3:25pm

Kerajaan tidak akan lagi mengumumkan setiap kenaikan harga petrol gred premium RON 97 kerana ia akan didasarkan kepada harga purata pasaran.

azlanTimbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata kementerian berkenaan dan kementerian kewangan akan memantau harga runcit mengikut "harga global".

"Sama seperti melihat harga saham di Bursa, anda perlu mencari sendiri harganya," katanya kepada wartawan di bangunan Parlimen.

Sejak kenaikan terakhir harga petrol pada bulan Julai, di mana harga RON 97 juga tertakluk kepada pengapungan yang berdasarkan harga pasaran, hari ini adalah pertama kalinya harganya meningkat.

Menurut Rohani, dari 16 Julai sampai sekarang, harga petrol di pasaran global adalah stabil dan tidak ada kenaikan harga.

Bulan lalu, tambahnya, harga di pasaran global naik, maka harga petrol pun diselaraskan mengikutnya.

Rohani berkata, kerajaan akan memantau harga purata pasaran setiap bulan



90 peratus jemaah haji M'sia wajib bayar dam
Nov 2, 10 2:18pm

Kira-kira 90 peratus daripada 26,000 jemaah haji Malaysia yang memilih mengerjakan ibadah haji Tamattuk pada musim haji ini dikehendaki membayar dam mengikut syarat-syaratnya.

Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah berkata dam yang wajib dibayar itu ialah dengan menyembelih seekor kambing atau satu pertujuh bahagian seekor lembu.

"Jemaah haji boleh memilih dengan membayar sebanyak 350 Saudi Riyal (SR) untuk seekor kambing iaitu mengikut harga pasaran, bagi seorang.

TH cuma memberikan perkhidmatan yang boleh diwakilkan kepadanya mengikut Ju'alah (wakil yang dilantik)," kata Tengku Aziz kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah.

Beliau berkata TH menawarkan perkhidmatan bayaran dam di kaunter kewangannya di Mekah dengan memotong dari akaun simpanan atau membayar tunai bagi memudahkan
jemaah haji tidak perlu bersusah payah menguruskannya sendiri.

"Sebenarnya ada lima kategori jemaah yang mengerjakan haji Tamattuk tetapi tidak dikenakan dam. Antaranya ialah mereka yang mengerjakan umrah dalam musim haji dan dia keluar dua marhalah (91 km) dari Tanah Haram atau lebih untuk berniat haji dan kemudian masuk semula ke Mekah untuk menunaikan haji," katanya.

Menurut Tengku Aziz jemaah haji tidak dipaksa mewakilkannya kepada TH dan boleh menguruskannya sendiri kerana perkhidmatan tambahan ini disediakan bagi membantu mereka yang sukar mencari kambing dan menyembelihnya.

Haji Tamattuk ialah jemaah haji yang menunaikan umrah dahulu dalam bulan haji dan kemudian mengerjakan haji pada tahun hijrah yang sama. Haji Qiran, jemaah haji mengerjakan umrah dan haji secara serentak dan mereka dikenakan dam.

Kira-kira 10 peratus lagi jemaah Malaysia yang mengerjakan Haji Ifrad iaitu menunaikan ibadah haji dahulu dan mengerjakan umrah kemudian tidak perlu membayar dam, kata Tengku Aziz.

Menurut beliau lazimnya pelaksanaan dam dijalankan setelah tamat musim haji oleh pejabat Konsul Haji Malaysia di Jeddah dan daging akan diagihkan kepada fakir miskin di Mekah.

"Saya harap jemaah akan mewakilkan pembayaran dam kepada TH supaya mereka dapat mengerjakan ibadah dengan tenang. InsyaAllah kami akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya," kata Tengku Aziz.

- Bernama


Hillary jumpa mahasiswa, NGO di UIA
Nov 2, 10 3:05pm

Setiausaha negara Amerika Hillary Clinton melawat Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Kuala Lumpur ketika pentadbiran Barrack Obama sedang berusaha untuk memupuk hubungan dengan Malaysia yang majoriti penduduknya Muslim.

Dalam pertemuan di Institut Antarabangsa untuk Pemikiran dan Tamadun Islam - sebuah badan pemikir yang berpusat di UIA - beliau menjawab soalan mengenai dasar luar negara Amerika yang disiarkan di televisyen pagi ini.

Para hadirin termasuk kebanyakannya mahasiswa serta anggota pertubuhan sivil.
Hillary dijadual mengadakan perbincangan hari ini dengan Menteri Luar Negeri Datuk Anifah Aman serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak sihat.

Seorang pegawai kerajaan Malaysia, yang tidak mahu namanya disebut, berkata Hillary juga dijadual menemui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menghadiri tuduhan liwat, dan berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Pembantu Anwar pula berkata mereka menjangkakan pertemuan tersebut, tetapi pegawai Amerika berkata ia tidak tersenarai dalam jadual lawatan Hillary.

Malaysia merupakan persinggahan kelima dalam jadual lawatan Hillary ke Guam, Vietnam, China dan Kemboja. Beliau juga akan melawat Papua New Guinea, New Zealand, Australia dan Amerika Samoa



Umur bersara hakim syarie dilanjut ke 66 tahun
Nov 2, 10 2:23pm

Had umur persaraan wajib bagi hakim Mahkamah Syariah akan dilanjutkan kepada 66 tahun daripada 58 tahun mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata ini bagi menyelaras dengan umur persaraan hakim Mahkamah Sivil.

"Tujuannya antara lain ialah agar hakim yang baru dapat menimba berpengalaman daripada hakim yang senior. Selain itu, dengan adanya hakim tersebut kita berharap tidak ada kes tertangguh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Syariah dan Undang-undang Peringkat Kebangsaan 2010, di Nilai hari ini.

Katanya amalan sekarang ialah apabila sampai umur 58 tahun, perkhidmatan hakim-hakim Mahkamah Syariah akan disambung secara kontrak setiap tahun.

Semasa merasmikan seminar tersebut, Jamil Khir berkata inisiatif perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan umum terhadap keunggulan undang-undang Islam sebagai undang-undang yang dapat menjamin keadilan kepada semua pihak tanpa mengira bangsa atau agama.

Beliau juga berkata Mahkamah Syariah perlu menjadi institusi yang bebas dan disegani dalam menegakkan keadilan tanpa perlu tunduk kepada tekanan luar yang datang daripada pelbagai kelompok organisasi dan masyarakat.

- Bernama



Dr Asri: Sudah masanya Anwar bersara 'politik'
Nov 1, 10 3:31pm

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata sudah sampai masanya untuk ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' kerana banyak rentak tari politiknya makin 'tidak seimbang'.

asri jais record statment colum upacara telan air ludah ustaz 100410 pcMenulis dalam blognya di bawah tajuk 'Politik kita memerlukan anjakan baru', Dr Mohd Asri menegaskan "politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas".

Mereka yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai 'al-quwwah' (kemampuan), al-Amanah (amanah) dan mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik tauke, tulisnya lagi.

"Kita perlu politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara.

"Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat.

"Kita mahu ahli-ahli politik kita berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepimpinanan mereka yang berteras ilmu dan budi," tambahnya

NONESehubungan itu, Dr Mohd Asri menyarankan semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, "berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat."

"Sama ada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan. Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi 'hero' dalam pentas baru politik hari ini.

"Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang telah dibuat. Jika Tun Abdulllah (Ahmad Badawi) pun bersara, makin mereka yang 'sewaktu' dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara," tulisnya.

Mengenai saranannya supaya Anwar bersara politik, Dr Mohd Asri berkata zamannya mungkin makin menyusur pergi dan "saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat 'story-design' politik yang sama."

NONE"Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demi untuk mewjudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan. Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini.

"Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar," tambahnya.

Sambil memohon maaf, Dr Mohd Asri berkata beliau apa-apa kepentingan kedudukan ataupun jawatan atas pandangan yang seperti ini.

"Saya tahu sesetengah pembangkang cepat 'melenting' jika ada pandangan yang mereka tidak setuju.

"Namun, mereka kena ingat banyak pandangan yang saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik," tulisnya




Banjir bertambah buruk, lebih 9,000 dipindahkan
Nov 2, 10 2:27pm

Keadaan banjir di utara Semenanjung kini bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat.

Hujan yang berterusan sejak semalam menyebabkan 9,264 penduduk daripada 2,214 keluarga di beberapa daerah di Kedah kini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di seluruh negeri itu yang dibuka sejak semalam.

Di Perlis pula, jumlah mangsa yang dipindahkan kini meningkat kepada lebih 3,000 orang berbanding kira-kira 1,600 orang malam tadi.

Di Kedah - Kubang Pasu adalah daerah paling teruk terjejas akibat banjir dan sehingga 11.30 pagi ini seramai 6,215 orang dari 1,443 keluarga telah dipindahkan ke 34 pusat pemindahan.

Keadaan banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk hari ini akibat aliran air dari daerah Padang Terap dan paras air di semua terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan sungai di Kubang Pasu kini melepasi paras bahaya.

Sehubungan itu, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Noh Dahya, menasihatkan penduduk di daerah berkenaan terutama mereka yang terbabit dalam banjir besar pada 2005 supaya bersedia dan seboleh-bolehnya berpindah awal.

Katanya, ini kerana paras air dijangka meningkat dalam tempoh enam jam bermula 11.30 pagi.

"Setakat ini boleh dikatakan hampir seluruh daerah ini dilanda banjir dan penduduk di 33 kampung dalam 16 mukim telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir," katanya.

Pada 2005, lebih 11,000 penduduk dipindahkan akibat banjir di Kubang Pasu.

Selain Kubang Pasu, daerah lain yang kini dilanda banjir ialah Padang Terap dan sehingga kini seramai 2,368 orang telah dipindahkan, Kota Setar (313 orang) dan Pokok Sena (368 orang).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Padang Terap Khalijah Latif berkata antara kampung yang terlibat di daerah itu ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Belimbing Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Bacaan paras air bagi tiga sungai di daerah itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kuala Nerang 21.08 meter (bahaya 17.07m), Sungai Kubu di paras 15.13m (bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 34.21m (bahaya 33m).

Tinjauan mendapati jalan utama dari Kuala Nerang menuju Padang Terap ditutup untuk semua lalu lintas.

Jurucakap bilik gerakan banjir Pokok Sena Noor Nazila Hassaim berkata tujuh kampung di daerah itu kini ditenggelami air, antaranya Kampung Bukit, Kampung Baru, Kampung Derang dan Kampung Bukit Hijau.

"Empat pusat pemindahan yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, Surau Seberang Paya, Dewan Kampung Empa dan Surau Permatang Limau," katanya.

Di Kota Setar, sebanyak 11 kampung ditenggelami air dengan semua sungai di daerah itu kini melepasi paras bahaya.

- Bernama



Orang Asli di K'tan ditawar dua ekar tanah
Salhan K Ahmad
Nov 1, 10
6:07pm

Kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan ketetapan untuk mewartakan kawasan penempatan Orang Asli di negeri itu sebagai satu kawasan rizab, kata timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yaakob.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis kerajaan negeri pada Mac lalu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan surat perakuan memaklum kepada masyarakat itu bahawa kawasan yang didiami mereka dimasukkan ke dalam rizab berkenaan.

"Keputusan itu dibuat melalui kuasa di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Kita akan beri dua ekar seorang dalam kawasan rizab tersebut," katanya ketika ditemui selepas satu mesyuarat khas ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Lojing hari ini.

Menurut Ahmad, setakat ini kerajaan negeri telah mengenalpasti dua buah kawasan yang masing-masingnya berkeluasa 101 dan 11 ekar di Kampung Sandrop yang terletak dalam jajahan kecil Lojing di Gua Musang.

Bagaimanapun, kawasan penempatan masyarakat Orang Asli itu belum digazetkan kerana perlu melalui proses penelitian untuk menentukan keluasan kawasan terbabit.

Pada peringkat ini, kerajaan negeri masih dalam peringkat menyukat perimeter kawasan tersebut.

"Kemudian kerajaan melalui pejabat tanah akan senaraikan nama-nama Orang Asli yang berada di dalam itu supaya tidak dimasukkan orang (bukan Orang Asli).

"Kita belum pasti keluasannya (keseluruhan bagi negeri Kelantan) tapi kita akan kenalpasti. Semua kawasan Orang Asli kita akan rizabkan," katanya lagi.

Selepas melalui proses tersebut, barulah ia diluluskan pada mesyuarat kerajaan negeri dan digazetkan, katanya lagi.

Mesyuarat selama kira-kira dua jam itu dipengerusikan menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Difahamkan, mesyuarat yang diadakan di Pejabat Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lojing di Gua Musang bagi menyesuaikan jadual kempen pemimpin PAS termasuk Nik Abdul Aziz.

Nik Abdul Aziz pada petang ini dijadualkan untuk melawat satu perkampungan Orang Asli di Sandrop yang terletak berhampiran



Batu Sapi: PM lulus RM16j besar jalan Sibuga
Nov 1, 10 4:05pm
Sebanyak RM16 juta diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bagi melaksanakan projek membesarkan Jalan Sibuga, yang kerap mendatangkan kerumitan kepada pengguna jalan raya itu, mulai tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga menteri pembangunan infrastruktur negeri, berkata berikutan rungutan penduduk kawasan itu yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri Sekong dalam kawasan parlimen Batu Sapi, beliau secara peribadi menghubungi Najib, yang juga menteri kewangan, pada jam 9.30 pagi tadi bagi meminta peruntukan untuk menaik taraf jalan sepanjang 2.75km itu.

"Perdana menteri terus meluluskan peruntukan RM16 juta dan meminta saya mengumumkannya hari ini.

"Kita akan membesarkan jalan laluan sehala itu kepada dua hala bagi mengatasi masalah kesesakan jalan yang sering berlaku di situ," katanya dalam satu sidang akhbar di Sandakan hari ini.

Menurut Pairin, jalan raya itu semakin sibuk dengan adanya lapan sekolah di sekitarnya, sebuah kompleks sukan, rumah warga tua, taman-taman perumahan dengan 5,000 unit rumah dan Institut Latihan Perindustrian.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah memberi peruntukan RM2.3 juta bagi kerja pembaikan dan penurapan 12 jalan kecil di sekitar Jalan Sibuga.

- Bernama



'Tabung Budi - topeng tutup kepincangan SYABAS'
Nov 1, 10 1:12pm

Setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Husin mendakwa wujud keraguan yang melampau dan percanggahan niat dalam program Tabung Budi yang dilancarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) baru-baru ini,

"Tabung Budi melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air yang disubsidikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Selangor dan diserahkan pula kepada SYABAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengurus besar bahagian komunikasi korporat dan hal ehwal awam SYABAS, Abdul Halim Mat Som dilaporkan berkata wang kutipan tabung itu akan disalurkan kepada keluarga yang langsung tidak menerima 20 meter padu air percuma.

"Modus operandinya tidak masuk akal kerana kerajaan negeri membayar SYABAS dengan harga penuh, iaitu RM11 juta sebulan," kata Faekah lagi.

Menurutnya lagi, SYABAS tidak layak untuk mengutip subsidi 20 meter padu tersebut dari mana-mana individu.

"Jika ia dilakukan, Syabas akan dibayar dua kali untuk 20 meter padu air yang sama," tegasnya.

Hairannya, kata beliau, mengapa SYABAS tidak pula secara terus memberikan air percuma kepada rakyat tanpa menuntut bayaran penuh dari kerajaan negeri.

"Lebih memeranjatkan lagi, sebahagian dari kutipan dana yang kononnya untuk membantu rakyat miskin turut datang dari potongan gaji pekerja Syabas sebanyak RM 11.40 sebulan," tambahnya.

Faekah menyifatkan program tersebut sebagai satu gimik dan sekadar latihan perhubungan awam demi memulihkan imej SYABAS.

Lebih menghairankan, tambahnya, SYABAS langsung tidak meminta pandangan kerajaan negeri, mahupun berbincang mengenainya.

"Apa yang lebih penting, Syabas tidak ada hak dan tidak layak untuk mengutip derma dari mana-mana individu pengguna air yang telah mendapat subsidi dari kerajaan negeri.

"Jika benar ada individu yang mahu mendermakan subsidi yang diberikan tersebut mereka hendaklah memulangkannya kepada kerajaan negeri dan bukannya kepada SYABAS.

"Kami menggesa SYABAS berhenti menggunakan skim tersebut sebagai topeng menutup segala kepincangan urustadbir. "Sekiranya SYABAS benar-benar ingin menolong rakyat, kembalikan hak air kepada rakyat Selangor," katanya


Mahkamah sahkan pembebasan Raja Petra
Nov 1, 10 11:23am

Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini membatalkan rayuan kerajaan berhubung keputusan pembebasan Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Keputusan sebulat suara itu dibuat tiga panel hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang berpendapat bahawa isu di mana KDN mahu mahkamah menentukan adalah akademik kerana perintah penahanan yang dikeluarkan ke atas Raja Petra telah luput.

Dua lagi panel hakim adalah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Datuk Seri Md Raus Sharif.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah dimaklumkan bahawa perintah tahanan dua tahun telahpun berakhir.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memaklumkan panel bahawa ia merupakan pendiriannya untuk tidak menarik balik rayuan itu walaupun perintah tahanan itu telah luput.

Beliau juga berkata pendakwaan tidak dapat menyerahkan notis rayuan kepada Raja Petra yang tidak hadir ke mahkamah hari ini. Dia dipercayai berada di luar negara.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedar bahawa Raja Petra mesti hadir dalam prosiding rayuan mengikut Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan kerana beliau berpendapat beliau dapat meneruskan rayuan mengikut keadaan.

Peguam bela Raja Petra, Malik Imtiaz Sarwar memohon mahkamah untuk membatalkan rayuan berdasarkan bahawa rayuan itu telah menjadi akademik kerana perintah menteri untuk menahan anak guamnya selama dua tahun telahpun tamat.

Raja Petra ditahan mengikut ISA untuk 56 hari tetapi pada November 2008, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membenarkan permohonan habeas corpus dengan berkata Kementerian Dalam Negeri telah bertindak melampaui batas kuasanya.

Kementerian Dalam Negeri merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 November 2008 yang membebaskan Raja Petra yang ditahan selama dua tahun di bawah ISA.

Awal September lalu, Tun Abdul Majid memberitahu tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Arifin bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan notis rayuan kepada Raja Petra.

Oleh itu, Arifin yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan rayuan itu kerana mereka masih belum menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra.

Apabila ditanya oleh Hashim tentang peluang untuk menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra Tun Majid menjawab "Alamat Raja Petra masih tidak diketahui " .

Ketika itu peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Raja Petra memberitahu mahkamah rayuan itu bersifat akademik kerana perintah menteri untuk menahan anak guamnya selama dua tahun telah pun tamat.

"Perkara itu bersifat akademik tetapi tiada apa yang boleh menghalang menteri untuk mengeluarkan perintah baru selepas dua tahun " katanya.

Tun Majid berkata perintah menteri itu akan bersifat akademik selepas 21 September 2010 Pada 7 November 2008 Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada ISA selepas memutuskan penahanannya selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting di Taiping Perak adalah tidak sah.

Raja Petra ditangkap pada 12 September 2008 kerana beliau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara dan perintah untuk menahan beliau di bawah ISA dikeluarkan pada 22 September 2008. Raja Petra ditahan berdasarkan antara lain, memiliki dan menjalankan laman web Malaysia-Today dan dengan niat dan menerbitkan artikelnya dan juga komen-komen pembaca Malaysia Today dengan sewenang-wenangnya, yang menghina orang Islam, kesucian Islam dan peribadi Nabi Muhammad SAW



Jambatan usang pun tak terjaga, kata Anwar
Nov 1, 10 1:23pm

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mahu mendirikan Menara Warisan 100 tingkat yang menelan perbelanjaan RM 5 billion tetapi tidak mampu menyelenggarakan jambatan kecil dan usang di Kampung Gas, Sandakan, lapor TV Selangor.

"Apa yang ada dalam Bajet 2011 yang mengutamakan penduduk Batu Sapi. Yang difikirkan oleh Najib ialah mahu mendirikan menara 100 tingkat dan mengkayakan kroni mereka.
"Balak berpuluh bilion diambil tapi jambatan kecil usang di Kampung Gas untuk kegunaan rakyat miskin pun tidak terjaga. Tak guna punya kerajaan!" perli Anwar sambil disahut dengan laungan Reformasi oleh penyokongnya pada ceramah petang semalam.

Sebelum ini calon Pakatan Rakyat, Ansari Abdullah jatuh ke laut dua kali akibat keusangan jambatan di Batu Sapi. Kali terakhir beliau jatuh semasa mengggunakan jambatan itu di Kampung Gas.

Anwar berucap di hadapan lebih seribu penduduk Batu Sapi di Sanbay Hotel dekat Sandakan petang semalam dalam majlis Debat Perdana anjuran Pakatan Rakyat.

Katanya, kemenangan di kawasan parlimen P185 akan menghantar mesej yang amat jelas bahawa pengundi Sabah dan Sarawak bersama-sama rakyat Semenanjung menolak sepenuhnya kepimpinan Najib yang mewakili Umno-BN.

Beliau berkata jika kemenangan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di Sibu, Sarawak boleh dianggap sebagai kejutan kepada 'kubu besi' BN, kemampuan pengundi Batu Sapi memartabatkan calon PKR ke Parlimen 4 November ini menjadi pukulan kepada Umno-BN.

"Kita perlu ingat pada pilihan raya umum 2008 pengundi Semenanjung telah menolak Umno-BN dan undi popular yang Pakatan Rakyat perolehi ialah 51 peratus. BN hanya menang disebabkan undi Sabah dan Sarawak, sebab itu mereka label simpanan tetap.

"Pilihan raya Batu Sapi adalah rahmat Tuhan kepada rakyat Sabah, satu peluang kepada pengundi membuat gegaran di Parlimen, membawa isu-isu yang tidak mungkin diperjuangkan oleh wakil BN mahupun Sapp," kata Anwar.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata Pakatan Rakyat sekarang mampu berdepan dengan rakyat dengan pelbagai bukti dasar yang dilaksanakan oleh negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah serta Kelantan.

"Di Pulau Pinang semasa BN memerintah belanjawan sentiasa defisit tetapi dua setengah tahun sahaja Pakatan Rakyat memerintah rizab kerajaan negeri mencecah lebih RM1 bilion.

"Di Kedah pula selepas memerintah, rakyat menikmati pengurangan cukai sebanyak 30 peratus di kawasan bandar dan 70 peratus di luar bandar. Di Selangor rakyat bukan sahaja nikmati air percuma tapi skim khairiat kematian sebanyak RN2,500, untuk pelajar universiti RM1,000 dan macam-macam lagi," katanya.

Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat Sabah membuat perubahan dengan bersama-sama melakarkan laluan ke Putrajaya bagi mengubah senario politik perkauman dan kronisme yang menjadi budaya Umno-BN sejak 50 tahun.

Katanya, kemenangan Pakatan Rakyat di Batu Sapi dianggap penting kepada rakyat Sabah khususnya dalam usaha mendapat pembelaan sebenarnya apabila diabaikan oleh pimpinan BN sejak sekian lama meskipun negeri itu makmur dengan sumber asli dan alamnya.

Seramai 1,615 pengundi pos di P185 Batu Sapi akan membuang undi bermula hari ini.

Tiada ulasan: