Selasa, 7 September 2010

RUMAH TERBUKA BOLEH..JANGAN TERJERAT MAKSIAT...SEGI AURAT..CAMPUR GAUL LELAKI PEMPUAN BEBAS..SERTA MEMBAZIR DAN MENUNJUK2...


Tradisi rumah terbuka dan perantau di kampung
http://kalamperantau.wordpress.com

Siasah bilangan 0217 sempena Aidilfitri akan berada di pasaran lebih awal, iaitu khamis 9 September, 2010. Jadi Pengarang Siasah minta saya siapkan artikel lebih awal dari biasa. Saya pun terkial-kial apa yang perlu saya coretkan untuk tatapan pembaca Siasah sempena Aidilfitri ini.

Sejak kolum tetap saya ‘Kalam Perantau’ telah tiada dalam akhbar Siasah ini, saya menulis mengikut kesempatan masa yang saya ada. Malah saya diberitahu oleh webmaster, blog kalamperantau.wordpress.com akan tinggi hitnya, kalau tulisan saya dikemaskinikan pada hari berkenaan.

Menjelang hariraya aidilfitri, seorang bekas pegawai kanan kerajaan Terengganu yang berpangkat Datuk ada menelefon beberapa hari lepas jemput datang ke rumah hariraya aidilfitri ini. Dia memaklumkan sudah berpindah dan menetap semula di rumah lamanya di Kuala Terengganu.

Sebagai peminat setia, dia juga memberikan beberapa komen terhadap Siasah yang dikatakannya tidak berapa menyengat lagi dan kurangnya berita tentang perkembangan politik Terengganu sedangkan rakyat dibawah cukup gelisah dengan keadaan yang ada di Terengganu pada hari ini.

Dia juga bertanyakan tentang kolum saya di Siasah. Saya juga dah kurang menulis tentang Terengganu, kecuali sesekali sahaja. Katanya, dia tidak pernah ketinggalan mengikuti kolum berkenaan setiap minggu kerana saya membicarakan persoalan Terengganu sebelum ini.

Dato’ berkenaan hanya tahu kolum berkenaan ditulis oleh saya setelah diberitahu oleh Haji Husin Ismail, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada beliau.

Sebelum itu, dia tidak tahu saya yang menulisnya walaupun dia agak rapat dengan saya. Malah dia pun tidak tahu bahawa saya pernah ditawarkan menjadi salah seorang setiausaha kepada Menteri Besar Terengganu ketika itu, kerana dia hanya mengenali saya diatas sifat sebagai seorang professional.

Begitu juga seorang rakan lama ketika menjadi aktivis pemuda Terengganu dulu mengingatkan supaya jangan lupa Program Ijtima’ Idulfitri Anak-anak Terengganu di Perantauan pada 3hb. Syawal, (12hb. September) di Kuala Ibai.

Berakhir Ramadhan dan Selamat Hari Raya

Ramadhan kali ini banyak meninggalkan kesan dan kenangan kepada kita semua. Dalam kesempatan yang ada ini, saya juga ingin merakamkan Selamat Hariraya, Maaf Zahir dan batin kepada semua pembaca Siasah. Saya turut menyarankan supaya berhati-hati dijalanraya. Semoga kita selamat sampai ke kampong halaman masing-masing.

Berakhirnya Ramadhan bermakna, bermulanya Syawal. Tahun ini Aidilfitri dijangka jatuh pada hari Jumaat. Menjelang tibanya Syawal, umat Islam yang merantau mula teringatkan untuk pulang berhariraya dengan saudara-mara kampong halaman masing-masing.

Masa inilah suami isteri yang berlainan negeri mula membuat undi, kampung siapa yang akan dijengah dahulu untuk berhariraya. Di kampung suami atau kampung isteri. Malah ada yang dah buat giliran dari awal lagi. Jika tahun lepas berhariraya di kampung isteri, tahun ini giliran berhariraya dikampung suami pula.

Kota yang selalu sibuk mula lengang sejak beberapa hari lepas. Pulangnya Perantau ke kampung halaman masing-masing. Tinggallah warga tua dan orang-orang tempatan bersama pembesar-pembesar negara serta pendatang-pendatang asing sahaja untuk berhariraya di kota-kota raya yang tidak pernah sunyi sebelum ini.

Pengalaman saya lebih 40 tahun ini, kalau tidak silap ingatan hanya sekali sahaja berhariraya diluar kampung halaman sendiri. Kalau tidak silap itupun diawal-awal kahwin dahulu. Masa itu, anak pun tidak ada anak lagi, jadi hanya setakat isteri sahajalah yang merengek untuk balik kampung.

Hampir semua jiran-jiran kami balik ke destinasi masing-masing. Tinggallah seorang dua golongan tua yang dah menjadikan tempat tinggal kami itu sebagai kampung halaman mereka sendiri setelah ibubapa mereka sendiri pun tidak ada lagi untuk pulang ke kampung asal masing-masing.

Memang suasana berhariraya dan keadaan jauh berbeza sekali. Dengan berbaju melayu dan bersamping selepas sembahyang hariraya ditempat kami tinggal, pada pagi hariraya itu saya terpaksa pergi bertugas di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka. Isteri pun hendak ikut sekali.

Pada subuh hariraya kedua kami tetap juga bertolak balik juga ke kampung halaman untuk berhariraya dengan sanak saudara-mara. Itu lebih dua puluh tahun dulu. Sekarang ini, suasana berhariraya dibandar-bandar pun dah semakin meriah. Mungkin kalau dipanjangkan umur, jika kami terus menetap di sini dalam jangka masa 10 tahun akan datang, bandar juga akan menjadi kampung halaman kami.

Di kawasan saya tinggal, suasana bulan ramadhan cukup meriah. Malah lebih meriah dari ketika berada dikampung. Masa saya kecil-kecil dahulu, tidak banyak surau-surau dan masjid-masjid yang menyediakan juadah berbuka setiap hari. Hanya, lepas terawikh ada moreh.

Di kampung, biasanya hanya pada satu malam sahaja diadakan berbuka puasa ramai-ramai (dipanggil nama’at, selepas tamat bacaan tadarus al-quraan di masjid atau surau berkenaan). Pada masa inilah seluruh kariah lelaki kampung dan kampung-kampung berjiran dijemput untuk memeriahkan majlis berbuka puasa di surau atau masjid berkenaan.

Itu cerita puluhan tahun dahulu ketika saya masih lagi peringkat kanak-kanak. Sekarang suasana dah banyak berubah. Suasana ini tidak dialami oleh anak-anak kita sekarang. Anak-anak kita sekarang hidupnya lebih banyak didepan televisyen dari pergi ke surau dan masjid dalam bulan Ramadhan dan berhariraya ke rumah sanak saudara.

Satu lagi budaya yang dah sebati dengan masyarakat kita adalah mengadakan rumah terbuka dan menyediakan ‘duit raya’ ketika menyambul aidilfitri ini. Bagi yang dewasa pula, mereka terpaksa membuat budget untuk duit raya, Walaubagaimana pun jumlah ini bergantung kepada budget seseorang. Dalam keagawatan ekonomi, serba salah kita dibuatnya. Harga barang dah tak pernah turun.

Kanak-kanak suka bertanding berapa duit raya yang mereka dapat sesame sendiri. Kekadangnya ada yang meletakkan target berapa dia nak dapat dan perlu dapat. Anak-anak sekarang pun dah pandai tetapkan RM50 untuk ‘upah’ berpuasa dan duit raya. Kekadang boleh habis hingga RM500 untuk ‘duit raya’ ini untuk anak-anak sendiri dan saudara mara serta jiran tetangga

Tiada ulasan: