Rabu, 1 September 2010

KHALID SAMAD

Khalid: Bonus tanpa subsidi, tak masuk akal
Salhan K Ahmad
Sep 1, 10
4:29pm

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menuntut kerajaan supaya menjelaskan rasional di sebalik tindakan membayar 'bonus hari raya' sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam.

Katanya, beliau tidak menentang tindakan itu, tetapi pembayaran berjumlah RM900 juta untuk semua kakitangan kerajaan adalah "tidak logik."

Tambahnya, penjelasan itu perlu memandangkan kerajaan sebelum ini bertindak menarik balik subsidi berjumlah RM750 juta.

Kerajaan sebelum ini memberi alasan bahawa subsidi berkenaan tidak lagi efektif kerana hanya dapat memberi manfaat kepada golongan kaya, katanya.

Katanya lagi, tindakan itu bagaimanapun menyebabkan kenaikan harga barangan yang perlu ditanggung kepada semua peringkat masyarakat.

"Kerajaan tarik RM750 juta subsidi, tapi tiba-tiba dia beri RM500 kepada kakitangan awam semua peringkat.

"Pengarah yang gaji besar pun dapat juga. Anda tarik (subsidi) daripada orang susah untuk bagi untuk bagi (bonus berjumlah) RM900 juta lebih.

"Jadi apa logiknya? Adakah semata-mata sebab kerajaan Pulau Pinang dan Selangor dapat beri juga?," soal Khalid dalam satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.

Katanya, pemberian 'bonus' hari raya itu juga diumumkan dalam keadaan kerajaan mengumumkan belanjawan defisit.

Tambahnya, Pulau Pinang dan Selangor mampu berbuat demikian kerana mempunyai bajet lebihan.

"Tapi (kerajaan pusat) kata bajet defisit hingga terpaksa tarik subsidi," katanya lagi







Khalid Samad: Nazir tolak majlis 'politik' PM
Salhan K Ahmad
Sep 1, 10
4:18pm

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi didakwa "bersikap talam dua muka" apabila cuba menggunakan sebuah masjid di Petaling Jaya untuk satu program politik.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata tindakan itu dikesan melalui satu permohonan yang dihantar kepada nazir masjid berkenaan dia Kampung Medan.

Katanya lagi, nazir Masjid Nurul Ehsan itu bagaimanapun enggan meluluskan penganjuran majlis berbuka puasa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Salah-guna kuasa

Permohonan untuk menganjurkan majlis itu, dijadualkan pada 17 Ogos lalu, dihantar oleh setiausaha kerja badan perhubungan Umno negeri.

Bercakap pada satu sidang media di pejabatnya hari ini, Khalid berkata permohonan itu juga dibuat menggunakan kepala surat Umno Selangor.

Salinan surat berkenaan diedarkan kepada para wartawan.

Tambahnya, tindakan itu dengan jelas bercanggah dengan titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid bagi tujuan politik.

Katanya lagi, Khusrin (kiri) juga didakwa telah berusaha untuk mendapatkan persetujuan nazir masjid berkenaan untuk menjayakan program berkenaan.

"(Ini menunjukkan) Datuk Khusrin adalah ejen Umno yang salahgunakan jawatan dia untuk kepentingan Umno.

"Bila kita buat begitu (guna masjid untuk politik) macam-macam dia kata. Bila dia buat, dia (sanggup) merayu kepada nazir masjid," katanya.

Mengulas lanjut, Khalid turut menyelar alasan yang diberikan Khusrin sebelum ini dalam menjelaskan halangan kepada orang bukan Islam memasuki surau dan masjid.

Mandi hadas

Jelasnya, alasan bahawa orang bukan Islam berada dalam keadaan hadas besar adalah "tidak masuk akal."

Katanya, hanya orang Islam yang diwajibkan mandi hadas.

"Masalahnya bila ada pengarah JAIS yang ada agenda politik dan tak ada ilmu, memberi alasan memalukan sehingga orang bukan Islam hilang minat untuk berdamping dengan Islam," katanya.

Khalid juga mendakwa, sultan Selangor juga dimaklumkan dengan maklumat yang salah berkenaan kehadiran ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching ke sebuah masjid.

"Teo Nie Ching difitnah untuk beri tazkirah -- ini disalahmaklumkan kepada sultan sehingga sultan murka," katanya lagi.

Khalid turut menyelar pandangan yang ditimbulkan bahawa orang Islam tidak akan suka sekiranya orang bukan Islam memasuki rumah ibadat berkenaan.

Bina jambatan

"Kelangsungan Umno atas dasar perbezaan dan perbalahan (supaya) ada buruk sangka, takut dan tak yakin, supaya orang sokong mereka.

"(Mereka) sengaja nak timbulkan tanggapan bahawa Islam itu tidak mesra," tambahnya.

Katanya lagi, pandangan itu berbeza dengan pendekatan Pakatan Rakyat yang ingin "membina jambatan" dengan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Tambahnya, pendekatan ini bertujuan menghilangkan kesangsian antara kaum dan agama seperti yang boleh dilihat melalui kunjungannya ke sebuah gereja sebelum ini

Tiada ulasan: