Jumaat, 3 September 2010

JALANKAN HUKUM ALLAH....JANGAN SAMPAI ALLAH TURUNKAN BALA...

Sembunyi kekasih bawah katil

KULIM - Gara-gara takut ditangkap basah, seorang pelajar perempuan 14 tahun mengarahkan teman lelakinya yang berusia 17 tahun bersembunyi di bawah katil dalam keadaan tidak berbaju tatkala penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK) menyerbu sebuah rumah di Junjung, dekat sini, tengah hari semalam.

Ketua Unit Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12 tengah hari setelah mendapat maklumat pelajar perempuan itu membawa teman lelakinya pulang ke rumah.

“Serbuan diketuai Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib. Kami memperkenalkan diri tetapi tidak diendahkan. Pegawai penguat kuasa terpaksa masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang dan menemui seorang pelajar perempuan berbaring di atas katil bilik hadapan dan berpura-pura tidur,” katanya.

“Pelajar itu memaklumkan kepada PADK, dia hanya berseorangan di rumah kerana kakinya sakit. Curiga dengan kenyataan pelajar itu, PADK membuat pemeriksaan di bawah katil bilik tengah dan menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak berbaju,” katanya.

Ketika disoal siasat, Azmi berkata, kedua-duanya turut mengaku tidak berpuasa.

Menurutnya, pelajar lelaki itu pula mengaku dia mendengar pegawai penguat kuasa memanggil mereka membuka pintu rumah tetapi kekasihnya mengarahkan dia menyorok di bawah katil.

Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Junjung untuk membuat laporan sebelum ke PADK bagi proses memberi keterangan. Kedua-dua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 9 (1)(2) Enekman Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Ketika dibawa ke Balai Polis, pelajar lelaki terpaksa memakai baju T milik kekasihnya kerana dia tidak menemui pakaiannya yang diletakkan di dalam bilik gadis itu,” katanya.



Duda, janda khalwat


PENGKALAN BALAK - “Kami berdua hanya kawan dan tidak buat apa-apa pun dalam rumah ini.” Itu kata-kata wanita berumur 34 tahun dalam usahanya memperdayakan ang­gota Rukun Tetangga selepas dicekup di Taman Pengka­lan Balak, di sini, awal pagi kelmarin.

“Kami berdua belum merancang berkahwin tetapi tidak salah jika kami berkawan. Lagipun kami baru sahaja masuk ke dalam rumah, tak sampai pun lima minit, mustahil kami sempat melakukan apa-apa yang terlarang,” kata wanita itu lagi tanpa rasa bersalah.

Dalam pemeriksaan cegah maksiat yang dijalankan jam 1.20 pagi Ahad lalu, seorang lelaki Melayu, bekerja di sebuah kilang memproses ayam, di sini, dicekup ketika berkurung dengan seorang wanita Melayu, juga bekerja di tempat sama tanpa ikatan sah.

Lelaki terbabit yang baru bercerai dengan isterinya berasal dari Simpang Lui, Jempol, Negeri Sembilan, sementara wanita bergelar janda beranak dua itu pula berasal dari Pasir Panjang, dari negeri yang sama, mula menjalin hubungan intim sejak beberapa bulan lalu.

Janda yang didapati berkhalwat keluar menyerah diri selepas gagal memperdayakan anggota Rukun Tetangga



Misteri terjawab, mayat lelaki separuh bogel ditemui

NUSAJAYA – Misteri bau busuk sejak beberapa hari lalu akhirnya terjawab apabila mayat seorang lelaki separuh bogel yang sudah berulat ditemui di Kilometer 24, Jalan Gelang Patah – Johor Bahru, berhampiran Lima Kedai, di sini, pagi semalam.

Saksi kejadian yang enggan identitinya disiarkan berkata, beliau ternampak mayat yang berada di kawasan semak berhampiran jalan raya terbabit ketika dalam perjalanan ke kedai berdekatan menaiki motosikal pada jam 9.30 pagi.

“Ketika melalui jalan ini saya terhidu bau busuk dari arah semak terbabit selain ternampak objek yang mencurigakan dan mengambil keputusan memberhentikan motosikal sebelum terkejut apabila ternampak mayat seorang lelaki yang sudah berulat,” katanya.

Menurutnya, selepas yakin ia adalah mayat manusia beliau menahan dua orang anggota polis yang kebetulan sedang membuat rondaan bermotosikal, bagi memaklumkan perkara itu.

“Kira-kira dua hari sebelum mayat ditemui, saya ada terhidu bau busuk namun menganggap ia adalah bau daripada bangkai haiwan yang mati akibat dilanggar kenderaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau yang bekerja di sebuah ladang lembu berhampiran ternyata terkejut selain tidak menyangka bertemu mayat manusia di kawasan itu kerana berulang-alik setiap hari menggunakan jalan raya terbabit dari rumahnya untuk ke tempat kerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Aziz Ahmad berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis ke lokasi berkenaan bagi menjalankan siasatan sebaik menerima makluman mengenai penemuan mayat pada jam 10 pagi, semalam.

“Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk dibedah siasat.

Tiada ulasan: