Jumaat, 3 September 2010

25 tahun Memali

Umno yang sempit fikiran dan 25 tahun Memali
Ahmad Lutfi Othman

Memang nampak tersepit, kelam-kabut dan gelabah yang amat sangat. Hal-hal yang tidak sepatutnya menimbulkan polemik pun dieksploit seolah-olah satu krisis besar sedang berlaku. Akhirnya, yang terdedah adalah kejahilan dan kejakunan sendiri. Lebih buruk lagi, ia bagaikan senjata makan tuan buat parti yang kini dirasuk krisis keyakinan.

Iulah yang dihadapi Umno untuk cuba juga mempamerkan imej palsunya sebagai pelindung Melayu sebagai jalan terakhir mempertahankan sisa-sisa kuasa.

Segala yang dirancang serba tidak menjadi. Sekali mahu berlagak sebagai juara agama, tetapi dalam masa sama memberikan tafsiran "yang bukan-bukan" tentang Islam.

Malah, pemimpin Umno seperti Hishamuddin Hussein juga mahu "berfatwa" sambil merendah-rendahkan pandangan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ulama yang disanjung kerana penghayatan ilmu dan kesederhanaan hidupnya.

Hasilnya slogan 1Malaysia hilang entah ke mana (Umno sendiri mengkhianati slogan tajaan presidennya), dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauhkan diri, manakala orang Melayu yang tidak lagi mudah disogok dengan tafsiran songsang Utusan Malaysia pun kian mengerti. Ya, sampai bila orang Melayu boleh diperbodoh-bodohkan dengan pembohongan dan taktik usang?

"Umno tidak ubah seperti beruk yang menelan mercun sehingga mulutnya terpaksa dijahit kerana bahan itu meletup. Bila tuan beruk membakar mercun, dia baling ke atas, maka beruk ingatkan benda apa, lalu melompat dan terus memasukan ke dalam mulutnya. Apa lagi, pecah mulut binatang tersebut," ujar AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu ketika berucap pada program Ihya Ramadhan Perdana di Seberang Jaya, baru-baru ini.

Bermula fitnah doa khutbah Jumaat mohon diberikan hidayah kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, seterusnya memperolok-olokkan istilah "tazkirah" merujuk kes Ahli Parlimen Serdang DAP, Teo Nie Ching di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dan Ahli Parlimen Selayang KeADILan, William Leong di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru.

Wah, hebat betul pemimpin Umno bercakap tentang isu seperti hadas besar dan menutup aurat kepada bukan Islam, sedangkan untuk diri dan kelompok mereka, bagaimana pula?

Saya masih memegang pandangan awal seorang rakan: "Isu ini hanya menjauhkan lagi orang bukan Islam dengan Umno, sebaliknya mendekatkan PAS dengan mereka, terutama dalam konteks dakwah. Kini terbukti siapa yang sempit fikiran dan jumud."

"Masyarakat kini didorong untuk lebih berfikir antara kebenaran dan kepalsuan. Selagi rakyat bersedia untuk merenung dan menganalisis, ia adalah perkembangan yang baik untuk negara ini," tambahnya.

(Saya akan menulis tentang pertemuan dengan Nie Ching dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam tulisan berikutnya nanti).


II.

November depan, genap 25 tahun Peristiwa Memali terakam kukuh dalam sejarah negara. Mungkin tiada perayaan jubli perak meraikannya namun ia tetap diingati, dari perspektif yang mungkin berbeda-beda.

Ketika darah Ustaz Ibrahim Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, tumpah ke bumi bersama 13 orang anak muridnya, saya berada di tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM, saya diminta rakan-rakan untuk meninjau lebih dekat tragedi yang ditohmahkan pemimpin kerajaan BN sebagai berpunca daripada "ajaran sesat" dan "melindungi penjenayah".

Ustaz Ibrahim yang mahu ditahan melalui ISA sama sekali tidak mengalah. Beliau menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya. Dan ini merupakan satu rekod "termahal" dalam usaha menyanggah ISA, yang kini dikenali sebagai kempen "mansuh bukan pinda".

Nama Ustaz Ibrahim tidak asing bagi saya. Sebagai anak Kedah, saya biasa mendengar cerita tentang ketegasan dan kelantangannya. Apabila mendengar daleh Menteri Dalam Negeri, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam tentang rasional "operasi pembunuhan" itu, siang-siang lagi saya menyifatkannya satu pembohongan.

Mana mungkin seorang ulama muda yang ikhlas menabur bakti kepada orang kampung dan menolak kesenangan berkhidmat dengan kerajaan terbabit dengan jenayah yang tidak pernah pun dibuktikan.

Sebaik dirasakan suasana agak reda, saya segera pulang ke kampung di Kubang Pasu, mencari teman untuk Mukim Siong, Baling. Kebetulan sepupu saya pernah belajar bersama adik Ibrahim Libya, Ustaz Ismail di Kelantan.

Dalam perjalanan, kami menempuh banyak sekatan jalan raya. Polis berada di mana-mana. Suasana agak menggerunkan, apatah lagi itulah kali pertama saya melalui jalan pintas ke Baling. Pelbagai soalan terpaksa dijawab (dan saya terpaksa memberi alasan palsu( sebelum kami dibenarkan menghampiri lokasi kejadian.

Memali ketika itu bagai dilanggar garuda. Sunyi sepi. Rumah-rumah ditutup rapat. Hatta tiada kelihatan anak-anak bermain di halaman. Kebanyakan penghuninya ditahan.

Kesan-kesan peluru jelas kelihatan di rumah Ustaz Ibrahim. Kami juga ditunjukkan bekas darah. Saya mengambil masa agak lama memerhatikan suasana sekitar rumah bersejarah itu.

Di satu sudut di belakang rumah Assyahid, saya terpaku diam, cuba membayangkan tragedi berdarah itu. Tanpa sedar air mata mengalir. Sungguh pilu. Menusuk jauh ke dalam kalbu.

Mulanya saya menjangkakan rumah yang diserang ketumbukan polis dengan bantuan kereta perisai dan helikopter itu jauh di pinggir hutan, rupanya betul-betul di tepi jalan utama. Jauh sekali daripada sangkaan bahawa Baling masih dikepung komunis.

Dua tahun kemudian, 1987, semasa bertugas di Harakah, sekali lagi saya berkunjung ke sana, bersama Aris Awang, pemberita sambilan Harakah ketika itu. Aris pernah dilantik Setiausaha Perhubungan PAS Kedah beberapa tahun lalu.

Saya diminta menyiapkan satu makalah khas tentang Memali, yang kemudiannya diberi tajuk Percikan Darah Syuhada. Ibrahim Libya tergolong bersama rentetan nama para syuhada

Bersama Aris saya bermalam di sana, dan sempat beramah mesra dengan warga Memali, antara lain dengan "penjenayah yang cukup dikehendaki", seperti didakwa Musa Hitam. Peliknya beliau tidak pula ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Sejurus balik ke Kuala Lumpur dan berjaya menyiapkan makalah berkenaan, satu tangkapan borong besar-besaran di bawah ISA dilakukan pada penghujung Oktober 1987, Operasi Lalang.

Mulanya agak keberatan juga Harakah mahu mengedarkannya bimbang ia dijadikan alasan untuk menjadikan senarai tangkapan lebih panjang. Selepas mengadakan perbincangan, satu halaman terpaksa digunting.

Memali kembali dekat apabila saya diperkenalkan dengan Ustaz Ismail, adik Assyahid bagi merawat "penyakit misteri" saya pada tahun 2001. Beliau mudah diajak berbual. Antara topiknya adalah peristiwa berdarah itu juga. Selain "berubat", Ustaz Ismail merupakan teman bercerita.

Kami kerap berbicara soal Memali, suka dan duka, tetapi lebih banyak kisah sedih yang terungkap. Beliau yang meninggal dunia secara tiba-tiba pada Februari 2009, selalu juga menyebut nama anak sulung Ibrahim Libya, Mohd Islah, yang kebetulan tinggal di sekitar Sungai Buloh, tidak begitu jauh dengan rumahnya di Kuang.

Sehinggalah pada minggu lepas, ketika bekas tahanan ISA, Cikgu Zainon Ismail (CN Al-Afghani - saya pernah menerbitkan beberapa bukunya mengenai pengalaman beliau di Afghanistan) menziarahi saya, juga untuk menerima sumbangan tabung Dewan Muslimat PAS Pusat dengan kerjasama Harakah, mewakili keluarga yang memerlukan di Memali, nama waris Assyahid Ibrahim Libya muncul kembali.

Cikgu Non yang juga pernah bertugas dengan Harakah, memberitahu, Islah kini menjadi mudir di sebuah tahfiz dekat Kubu Gajah, Sg Buloh.

Pagi itu, 30 Ogos, saya cukup gembira dapat bertemu wajah anak sulung Assyahid bersama Saleha Husin. Lot 1855, Jalan Gajah 24 itu cukup nyaman dan tenang. Sesuai sekali untuk pelajar tahfiz. Kawasannya pula luas, 2 ekar. Islah ceria bercerita tentang impian membesarkan lagi Maahad Tahfiz At-Taqwa yang diasaskan seorang usahawan.

Saya lebih teruja apabila dimaklumkan cawangannya akan dibuka di Memali sendiri. Bagi saya, waris Ibrahim Libya perlu meneruskan tradisi di kampung bersejarah itu. Sekurang-kurangnya Memali akan dikenali sebagai pusat keilmuan yang dihormati, dan saya kira itu juga satu impian Assyahid.

Islah ketika bapanya gugur syahid berumur 9 tahun, belajar di Dehrang, Kedah, sebuah pusat pengajian Islam di bawah Ustaz Nikmat Yusof. Detik-detik getir 25 tahun lalu masih kejap dalam ingatannya, terutama bagaimana beliau "dilarikan" ke Kelantan.

Harapan saya mahu membaca satu catatan daripada Islah sendiri tentang kembara hidup bersama empat lagi adik-adiknya, Mohd Ihsan, Mohd Irsyad Zamani, Niswah Hasina dan Nurul Syuhada.

Sumbangan untuk Maahad Tahfiz At-Taqwa boleh disalurkan ke dalam akaun Maybank 562085515936 atas nama Ehsani Enterprise.

III.

Secara peribadi saya bukan sahaja membantah keras sikap tidak peduli KDN yang belum memperbaharui permit Suara Keadilan (SK), malah tidak faham mengapa tiada usaha sistematik untuk berkempen menuntut hak menerbitkan organ parti berkenaan. Meskipun permit Harakah hanya tergendala untuk satu keluaran dan kemudiannya disambung semula, nasib malang SK tidak boleh dipandang mudah.

Masakan mahu dibiarkan sahaja pemerintah boleh melakukan apa jua yang terlintas bagi menyekat kemaraan pengaruh Pakatan Rakyat tanpa menghadapi sebarang tentangan.

Sudahlah syarat penerbitan lidah rasmi parti, termasuk Harakah, begitu ketat dan "tidak masuk akal", hayatnya pula boleh dicantas bila-bila masa, tanpa memberikan apa jua sebab dan ruang untuk merujuknya ke mahkamah tertutup sama sekali.

Pada 26 Ogos lalu, ditemani Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan, Wartawan Kanan, Wan Nordin Wan Yaacob dan Jurugambar, Wan Zahari Wan Salleh, saya mengunjungi rakan-rakan SK di Seksyen 13, Shah Alam.

Selain bertanya khabar atas tekanan dahsyat pemerintah, saya berhasrat membincangkan langkah-langkah perlu untuk mencetuskan isu berkenaan agar "lebih didengar lagi" termasuk oleh pemimpin Pakatan sendiri.

Editor SK, Dzulkarnain Taib dan wartawan Mohd Najib Ibrahim menyambut kami. Saya perhatikan operasi penerbitan mereka masih berjalan seperti biasa, dengan judul yang bertukar-tukar, tetapi masih mengekalkan "Keadilan", seperti Sinar Keadilan, Obor Keadilan dan terbaru Metro Keadilan.

Bagaimanapun, pengalaman saya semasa mengendalikan penerbitan tidak berkala selepas Detik dan Wasilah diharamkan, cukup perit terutama dari segi rangkaian pengedaran dan pengendalian perniagaan.

Pejabat SK kelihatan tidak serancak Harakah tetapi petugasnya tetap tekun bekerja. Terbayang nasib Harakah semasa digantung tiga bulan di hari-hari akhir era Abdullah Ahmad Badawi. Mujur, penggantungan itu ditarik balik Najib Razak apabila mula bertakhta di Seri Perdana. Bagi saya, usah mengharapkan semata-mata ehsan menteri. Yang penting, tuntutan mengembalikan permit penerbitan harus digembleng secara bersama, termasuk oleh pimpinan PAS dan DAP.

Dalam pada itu, di peringkat petugas akhbar pun harus ada majlis perbincangan bersama para editor. Saya akui sehingga kini agak kurang usaha penyelarasan sesama kami. Keperitan selalunya ditanggung sendiri. Dan perkara ini tidak boleh terbiar begitu saja. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) harus merangkumi semua sektor dalam media alternatif. Sebagai penggerak KAMI, saya rasa masih banyak yang dapat dilakukan untuk membebaskan media daripada pelbagai kongkongan.

Dalam pertemuan itu juga saya dan Dzulkarnain saling mengemukakan idea untuk menyemarakkan kempen membebaskan cengkaman ke atas media, antaranya menganjurkan perhimpunan bantahan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) bersama pertubuhan yang berminat, selain mencari sokongan individu berpengaruh (seperti usaha KAMI menemui Hamdan Adnan, bekas Pesuruhjaya Suhakam) terutama dalam industri media bagi memastikan kempen dapat dijayakan



Pelajar tahfiz Padang Balang dan anak Ibrahim Libya diraikan
Saidah Hairan

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Program 'Mubarak Ramadan dan Syawal' anjuran Bilik Berita Harakah dan Dewan Muslimat PAS Pusat diteruskan dengan memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar miskin dan anak-anak yatim di Tahfiz Darul Furqan, Kampung Padang Balang, Sentul, dekat sini.

Seramai 50 orang pelajar tahfiz yang terdiri daripada anak-anak yatim serta pelajar yang memerlukan bantuan telah menerima sumbangan daripada Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, pada petang 30 Ogos lalu.

Bilik Berita Harakah serta Dewan Muslimat PAS Pusat turut memberi sumbangan barang-barang keperluan dapur seperti beras, mihun, minyak masak, gula dan telur kepada Tahfiz Darul Furqan.

Barangan tersebut diserahkan kepada Mudir Tahfiz, Ustaz Salleh Sani Harun Al-Hafiz yang diadakan di dewan surau tahfiz berkenaan. Turut hadir hampir 100 pelajar lelaki dan perempuan. Turut sama, Setiausaha Muslimat PAS Pusat, Kartini Ahmad.

Ustaz Salleh dalam ucapan ringkas mengucapkan jutaan terima kasih atas ingatan Harakah dan Dewan Muslimat PAS Pusat di atas sumbangan makanan dan wang kepada pelajar-pelajarnya. Tahfiz Darul Furqan diasaskan sejak lebih 15 tahun lalu dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.

Sementara Ustaz Nuridah mengingatkan pelajar-pelajar agar rajin menekuni ilmu, terutama di bulan Ramadan ini. Beliau menjelaskan sumbangan yang diserahkan adalah derma ikhlas daripada orang ramai, khususnya pembaca Harakah.

"Kami hanya menjalankan amanah orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kepada pihak yang memerlukan. Moga dengan usaha kecil ini dapat meringankan sedikit bebanan kewangan di bulan penuh keberkatan ini, apatah lagi menjelang Syawal," ujar Ustazah Nuridah.

Ahmad Lutfi ketika ditemui pula berazam untuk menjejaki lebih banyak lokasi bagi menyerahkan sumbangan masyarakat yang cukup prihatin dengan golongan yang tidak bernasib baik.

"Tabung yang dianjurkan Dewan Muslimat ini masih baru, namun dilihat dari sambutan penderma, Alhamdulillah. Saya jangkakan untuk masa akan datang, insya-Allah ia mampu mengutip dana lebih banyak, yang boleh diagihkan kepada lebih ramai khalayak," kata Ahmad Lutfi.

Sumbangan kewangan daripada seluruh rakyat Malaysia masih diperlukan. Segala derma dan bantuan boleh disalurkan terus ke dalam akaun Maybank 564025400533, atas nama Parti Islam Se-Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Lutfi turut menyampaikan sumbangan kepada Mudir Maahad Tahfiz At-Taqwa, Ustaz Mohd Islah Ibrahim, iaitu anak sulung Assyahid Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, di Jalan Gajah 24, Kubu Gajah, Sg Buloh

Tiada ulasan: