Isnin, 1 April 2013

JANGAN TAMAK SERTA JELOJOH JIKA MENANG...JANGAN RINGANKAN ATAU TINGGALKAN HUBUNGAN KITA DENGAN ALLAH...HADIR KEMAJLIS2 ILMU...IKHLAS DALAM SEMUA GERAKKERJA...BUATLAH SESUATU KERANA ALLAH BUKAN SELAIN DARIPADA ITU...AGAR KITA DAPAT RAHMAT DARI ALLAH

Pakatan tubuh Majlis Penasihat Keselamatan Rakyat

Selangorku, 31 Mac 2013


(Jeneral (B) Tan Sri Hashim bercakap dalam sidang media penubuhan MPKR)

PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Keselamatan Rakyat (MPKR) bagi memantau isu yang melibatkan pertahanan dan keselamatan negara.

Pengumuman yang dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyaksikan bekas Panglima Tenter Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein dilantik sebagai Pengerusi MPKR.

Menurut Hashim, selain berfungsi sebagai penasihat kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berkaitan aspek pertahanan dan keselamatan, majlis tersebut juga berperanan membangkitkan kesedaran awam tentang isu keselamatan negara.

Ahli Jawatankuasa majlis itu juga akan menilai kewajaran pembelian sesuatu aset pertahanan dari segi spefikasi dan samada berpadanan dengan harga yang dibayar kerajaan.

“Majlis ini akan menasihati pemimpin PR berkaitan semua aspek ruang lingkup isu-isu pertahanan dan keselamatan negara termasuk kaedah penilaian ancaman, proses penyediaan dasar, startegi pertahanan dan ‘force capability’ serta ‘capacity building’.

“Penubuhan MPKR ini adalah berasaskan rujukan kepada situasi keselamatan semasa di Malaysia, dasar-dasar serta peraturan kerajaan sedia ada dan pengalaman serta pengetahuan yang luas bekas penjawat awam dan tentera negara ini,” kata Md Hashim.

Menurut Md Hashim, MPKR turut bertindak mengisi peranan yang ditinggalkan Majlis Keselamatan Negara (MPK) yang ada hari ini.

“MKN pada masa ini fokus utamanya menjaga ‘keselamatan’ BN, tidak kepada isu keselamatan yang sepatutnya diutamakan,” kata beliau.

Selain Anwar dan Md Hashim, turut serta dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Tony Pua.

Kerajaan Umno Terengganu biaya blogger penjenayah?

Buletinonline, 31 Mac 2013
KUALA TERENGGANU: Umno negeri Terengganu mempunyai hubungan dengan blogger penjenayah dan pengundi hantu Papagomo serta pernah menggunakan wang kerajaan negeri menjemput beliau pada satu majlis pada hujung Januari, tahun lalu.

Menurut Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu, Dr Azman Ibrahim, seramai 50 orang 'bloggers dan facebookers' pro Umno dari seluruh negara menghabiskan masa selama dua hari menjadi tetamu kerajaan dan disambut oleh pemimpin kerajaan termasuk Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahmad Said dan Exco kerajaan YB Razif Bin Abdul Rahman.

"Majlis Pemimpin Bersama Bloggers anjuran Kerajaan Umno Terengganu yang diadakan di sebuah hotel di Bandaraya Kuala Terengganu dengan turut sama disertai oleh MB Ahmad Said  serta beberapa orang EXCO Kerajaan Negeri,

"Pihak KAMI memandang serius perkara ini terutamanya apabila ada di kalangan blogger yang dijemput adalah blogger pemfitnah seperti Papagomo dan  blogger Pas Beruk yang mengesahkan pembabitan kerajaan Umno dengan fitnah dan caci maki,

"Apatah lagi kini telah disahkan oleh PDRM bahawa Papagomo telah ditamatkan perkhidmatan kerana melakukan jenayah dan Pengerusi SPR mengakui bahawa beliau juga adalah seorang pengundi hantu,"ujarnya.

Menurutnya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff selaku Pengerusi SPR mengaku wujud dua nama Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) yang memegang kad pengenalan (biasa) 830121-03-5019 dan kad pengenalan (polis) RF142863 yang didaftar dua kali atau dengan lain perkataan mendaftar sebagai 'pengundi hantu' di dalam daftar pengundi.

Manakala susulan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 28 Mac lalu mengesahkan bekas anggotanya Wan Muhammad Azri Wan Deris,  yang popular sebagai penulis blog dengan nama samaran Papagomo, telah dibuang kerja kerana kes jenayah.

"Mortadza menjelaskan, Wan Muhammad Azri telah ditangkap atas satu kesalahan jenayah dan dihadapkan ke mahkamah pada 31 Oktober 2005. dan kemudiannya telah dibuang kerja daripada pasukan polis sejak September 2012.

"Penjelasan polis ini menunjukkan kerajaan Umno Terengganu selama ini telah mempunyai hubungan bekerjasama dengan blogger papagomo yang disahkan melakukan jenayah,"ujarnya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media.
Ku Nan: Umno, BN tidak terlibat agenda video seks
Wartawan Sinar Harian
31 Mac 2013
Tengku Adnan
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
KUALA LUMPUR - Sambil menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah terlibat dalam mana-mana agenda seks bagi menjatuhkan pemimpin politik, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pihak yang sanggup berpolitik sehingga melibatkan nama Rasulullah SAW.

Setiausaha Agung Umno dan BN ini berkata, perkara berkaitan agama dan baginda Nabi Muhammad SAW tidak sewajarnya dijadikan alat dalam hasrat untuk mengelirukan masyarakat.

“Tidak kiralah dalam apa jua keadaan perkara berkaitan kesucian agama Islam, hal-hal berkaitan akidah dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah sesuatu yang tidak perlu dijadikan bahan politik,” kata beliau dipetik Umno Online hari ini.

Ahli Parlimen Putrajaya ini mengulas berkaitan kenyataan dikeluarkan Penolong Setiausaha 1 Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi Twitter baru-baru ini.

Dalam tweetnya, pemimpin Pas tersebut telah mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan kononnya akan turut dilibatkan dalam video seks yang didakwanya adalah perbuatan Umno.

“Barisan Nasional dan Umno tidak pernah terlibat dengan mana-mana agenda sedemikian apatah lagi hal-hal yang melibatkan perlakuan moral dan keruntuhan akhlak.

“Semua dakwaan yang dibuat kepada pemimpin pakatan pembangkang berkaitan salah laku moral dan penyebaran video adalah melibatkan individu tertentu dan bukannya urusan parti, apatah lagi untuk mengaitkannya dengan Rasulullah SAW," kata beliau.

Dalam hal ini beliau menggesa masyarakat untuk membuat penilaian berdasarkan apa yang berlaku.

“Kita perlukan pemimpin yang matang, yang dapat membawa kepada kemajuan keseluruhan dan memberi tauladan berguna kepada rakyat,” tambah Tengku Adnan.

Khairul Fatmi Mat Som yang dipetik Sinar Harian hari ini mengakui kenyataan mengenai 'video seks Nabi' yang dipapar menerusi Twitternya 27 Mac lalu adalah kenyataannya sendiri.

"Itu kenyataan saya sendiri. Tidak, (akaun Twitter) bukan diceroboh," katanya.

Ditanya mengapa beliau buat kenyataan sedemikian yang diketahui boleh mengundang kontroversi malah dituduh menghina Nabi, sambil tertawa, Khairul Fahmi berkata, "Tunggu saja nanti, sekarang saya tak mahu cakap apa-apa lagi. Setiap orang ada persepsi sendiri, setiap yang berlaku pasti ada sebab," kata beliau.

Pemimpin Pemuda Pas itu juga hanya berkata, "terpulang kepada siapa yang membaca."

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Harun Taib pula berkata, kenyataan Khairul Fahmi mungkin merujuk kepada sikap Umno yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mengatasi musuhnya.

“Benda ini (video seks) tidak wujud dan adalah mustahil untuk Baginda melakukannya. Mungkin perbandingan yang dibuat hanya untuk menunjukkan betapa teruknya Umno.

“Mereka sanggup keluar video tidak baik orang tidak bersalah. Jika Umno wujud pada zaman Rasulullah, mungkin mereka akan buat perkara itu,” katanya.

Harun mengakui tindakan Khairul Fahmi membuat perbandingan dengan Rasulullah SAW kurang sesuai.

Chegu Bard: 75 peratus cawangan Umno haram!

Selangorku, 31 Mac 2013

(Badrul Hisham dalam sidang media bersama rakan-rakannya)

KUALA LUMPUR: Tahukah anda cawangan Umno di kawasan anda kemungkinan cawangan haram?

Ini kerana ia mungkin tidak didaftarkan semula dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selepas parti itu diharamkan pada tahun Februari 1988.

Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata hampir 75 peratus daripada belasan ribu cawangan Umno di seluruh Malaysia tidak pernah didaftarkan dengan ROS sejak bekas Umno Baru ditubuhkan pada tahun 1988.

Justeru, SAMM mengajak orang awam untuk menyertai kempennya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Umno dengan menyemak status cawangan Umno di tempat tinggal mereka dengan ROS.

Badrul Hisham berkata Umno merasakan mereka amat berkuasa, maka ribuan cawangan Umno di seluruh negara bertindak tidak mendaftarkan semula organisasi politik mereka seperti yang dikehendaki dalam Akta Pertubuhan 1966.

“Diyakini 3/4 daripada cawangan Umno seluruh negara adalah terdiri daripada cawangan haram, malah ada bahagian Umno juga yang terdiri dari bahagian tidak sah pendaftarannya,” katanya lagi.

Contohnya, pada tahun 2008 berlaku pergolakkan dalam Umno bahagian Tanah Merah, Kelantan di mana mereka yang mahu bertanding jawatan utama tidak membayar yuran dan terdiri daripada ahli dari cawangan haram.

“Ini diakui sendiri oleh Setiausaha Agung Umno (Tengku Adnan Tengku Mansor) sendiri dan Pendaftar Pertubuhan.

“Cuma kes di mahkamah dibuang kerana pengadu yang merupakan Ahli Umno telah dipecat melalui surat pemecatan yang telah di ‘back-dated’ kan.

“(Oleh itu) Pengadu telah hilang status sah (local standi) sebagai ahli Umno untuk membawa kes ke mahkamah,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) hari ini.

Menurut Badrul Hisham, melalui proses mahkamah, sebanyak 126 cawangan Umno di Tanah Merah didapati adalah cawangan yang tidak berdaftar dengan ROS.

Akan tetapi Umno Tanah Merah terus bermesyuarat dengan perwakilan daripada cawangan haram Umno (126 cawangan) dan perwakilan daripada mesyuarat haram tersebut telah menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno pada tahun itu (2008).

“Impilikasinya Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada tahun itu juga adalah haram kerana dihadiri perwakilan yang haram daripada cawangan Umno yang haram,” katanya lagi.

Katanya, sehingga sekarang lebih 2,181 cawangan Umno di Kelantan adalah haram termasuk di Jeli, Bachok dan Tumpat dan di Kota Bharu.

SAMM dan gabungan Blogger Revolusi 13 mengajak seluruh rakyat di negara ini untuk membantu mengumpulkan maklumat jumlah keseluruhan cawangan Umno yang tidak berdaftar untuk di bawa ke tindakan undang-undang.

“Anda boleh pergi ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan di negeri masing-masing, ambil borang Pertubuhan 27, isi dan buat carian cawangan Umno di tempat anda. Salurkan maklumat itu kepada kami untuk menolak organisasi haram sebagai pemerintah negara.

“Berdasarkan Seksyen 10 Akta Pertubuhan 1966 menyatakan semua warga Malaysia diberi hak untuk memeriksa dokumen pendaftaran mana–mana organisasi berdaftar di Malaysia kecuali beberapa dokumen sulit seperti laporan kewangan,” katanya lagi.

 


Cadangan untuk PR jika menang

Syed Abdullah Syed Osman ,
Alhamdullillah, nampaknya dengan tarbiah dan kesedaran ummah serta kekuatan kumpulan dakwah para ulama yang benar-benar mahukan Islam ditegakkan di negara ini maka berlakulah apa yang dikatakan mengembalikan hak-hak Islam kepada asalnya. Walaupun baru dianggap asasnya sahaja tetapi sudah ada kesedaran apabila ramai wanita Muslimin kini sudah menutup aurat dan tidak ada lagi pekerja beragama Islam di tempat-tempat premis perjudian atau menjadi tauke judi.

Kita mesti memperjuangkan pula hak-hak pekerja yang berkerja sebagai pramugari dan pramugara yang beragama Islam. Mereka bukan sahaja kena berpakaian menjolok mata dan tiada ciri-ciri Islamnya, tetapi juga mereka dikenakan membuat kerja-kerja saperti melayan pelanggan dengan minuman arak semasa penerbangan. Begitu juga ada antara pekerja wanita yang berkerja di hotel bertaraf lima bintang dan restoren makanan segera diwajibkan memakai pakaian seragamnya yang tidak menutup aurat.

Saya juga mencadangkan supaya tiap-tiap pintu masuk hotel di negara ini diletakkan tanda amaran bagi umat Islam yang menginap di situ untuk tujuan maksiat akan dicekup dan dihukum mengikut perundangan Islam. Tanda amaran itu juga wajar ada di semua taman bunga dan taman rekreasi.

Adalah dicadangkan juga agar kaki tangan yang akan diambil bekerja dalam perkhidmatan awam akan diuji dengan soalan berkaitan dengan agama yang asas saperti berkaitan dengan fardhu ain dan sekurang-kurangnya boleh pula membaca ayat-ayat lazim yang mudah dan ringkas dari al-Quran. Tujuannya adalah untuk memastikan pekerja dari kalangan umat Islam itu sekurang-kurangnya tidak terlalu jahil agama dan tahu garis panduan di mana halal haramnya.

Kerajaan Selangor salur RM32.5 juta bantu SAR

Harakahdaily, 31 Mac 2013


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menyalurkan RM32.5 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh negeri sejak mentadbir negeri lima tahun lalu.

Selangorku melaporkan, seorang guru Sekolah Pondok Bustanul Arifin, Ahmad Ansori Munshia, 46, mengharapkan bantuan ini tidak akan berakhir pada tahun ini memandangkan penggal Kerajaan Negeri selama lima tahun akan berakhir tidak lama lagi.

“Syukur alhamdulillah, tapi saya takut jika bantuan ini akan berakhir pada tahun ini.

“Sebab kami guru-guru SAR sudah diabaikan Kerajaan sebelum ini  dan Kerajaan Negeri PR tampil memberikan bantuan kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas menerima cek bantuan daripada kerajaan negeri.

Ahmad Ansori ditemui dalam Majlis Penyampaian Kepada SAR Negeri Selangor Fasa 1 Tahun 2013 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) malam kelmarin.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM6 juta bagi pembangunan SAR setiap tahun.

“Saya beri jaminan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) di Selangor,tidak sekali-kali meminggirkan SAR.

“Bahkan kita mahu sekolah-sekolah yang mengutamakan pendidikan agama Islam ini terus dibantu bagi menampung kekurangan yang semakin ketara dalam pendidikan keagamaan yang terdapat di sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali serta kira-kira 300 guru SAR seluruh Selangor.

Sehingga kini, sebanyak 200 buah SAR termasuk Sekolah Kursus Asas Fardhu Ain (Kafa) menerima manfaat daripada bantuan kerajaan negeri.

500 anak muda sertai Konvoi Gelombang Tolak

Harakahdaily, 31 Mac 2013


SHAH ALAM: Seramai 500 anak muda dan mahasiswa hari ini berkumpul di Dataran Shah Alam untuk menyertai konvoi Gelombang Anak Muda Tolak Umno BN (Tolak) dari Shah Alam melalui Gombak akan terus ke Dengkil.


Di Dengkil, Tolak  akan mengedar risalah agenda Tolak kepada seluruh masyarakat di situ.

Tolak juga akan berkumpul di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyerahkan satu memorandum menggesa Perdana Menteri itu membubarkan parlimen.

Konvoi itu juga merupakan siri jelajah mengutip tandatangan rakyat Malaysia sepanjang 1 kilometer sebagai mesej utama menolak Umno BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Program hari ini bermula dengan ucapan pengerusi Tolak, Muhamad Azan Safar.

“Lebih 500 anak muda berkumpul hari ini menunjukkan protes bahawa anak muda sudah muak dengan kerajaan yang ada sekarang.

“Anak muda ingin tukar kerajaan, mahu Malaysia yang baru, yang lebih adil, lebih telus tanpa rasuah, tanpa politik kotor,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh oleh hadirin.
Program itu merupakan siri jelajah pertama gelombang Tolak bermula di Lembah Klang.

Bermula 6 April ini, Tolak akan menjelajah seluruh Malaysia bermula di Melaka, Johor dan akan berakhir di Pahang pada 14 April.

Pada akhir jelajah Tolak tersebut ,1 kilometer tandatangan rakyat Malaysia akan diperoleh dan akan dibentangkan pada acara kemuncak di Kuala Lumpur nanti.

Bekas Adun Pengkalan Kubur meninggal dunia

Harakahdaily, 31 Mac 2013
TUMPAT: Bekas Adun Pengkalan Kubur, Wan Husain Wan Ahmad, 63 meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian kira-kira jam 2.45 petang tadi akibat sakit jantung.

Allahyarham dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak beberapa hari lalu sekembali daripada mengerjakan ibadat umrah di Makkah.

Beliau meninggalkan seorang balu, Normadia Muhammad dan 10 anak. Jenazahnya dijangka disembahyangkan di Masjid Pengkalan Kubur selepas solat Isya malam ini.

Allahyarham menang di Dun Pengkalan Kubur pada pilihan raya umum 1999, bagaimanapun gagal mempertahankan Dun terbabit pada PRU 2004.

Ketika itu beliau juga merupakan Ketua Urusan Ulamak PAS Tumpat. Sebelum menyertai pilihan raya beliau bertugas sebagai imam di Masjid Mukim Ketil, Pengkalan Kubur.

Wan Husain juga merupakan seorang peniaga yang berjaya di Tumpat.

Setiausaha PAS Tumpat, Jamaluddin Ishak berkata, Allahyarham merupakan satu-satu calon PAS yang  menang di Dun Pengkalan Kubur sejak PAS tewas di Kelantan pada PRU 1978.

“Pada PRU 1990 Dun berkenaan diwakili calon Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), Datuk Nik Man Nik Mohammad, yang mana ketika itu dikenali sebagai Dun Geting.

“Hamim merupakan calon Angkatan Perpaduan Ummah. Dan selepas itu hanya pada PRU 1999 calon PAS menang di Pengkalan Kubur,” katanya di sini. Dan mulai PRU 2008 kerusi tersebut ditandingi calon Parti KeADILan.

Jamaluddin berkata, selepas tidak bertugas sebagai wakil rakyat, Allahyarham bergiat semula dalam perniagaan garam.

Beliau turut menyifatkan kematian Tok Imam Wan Hussain merupakan satu kehilangan besar bagi PAS Tumpat dan Kelantan. Oleh itu beliau berharap keluarganya tabah menempuh segala dugaan.

Sementara itu di Kota Bharu ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Kota Bharu, Mohd Nasir Deraman, 50 kembali ke rahmatullah kira-kira 3.50 pagi tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab ll.

Allahyarham yang juga Setiausaha PAS Cawangan Kampung Lembah Sireh meninggalkan seorang balu Rosizati Sulaiman, 37 serta empat orang anak.

Allahyarham juga merupakan abang kepada Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Pusat, Norhashimah Deraman dan kakitangan pentadbiran Harakah Cawangan Kelantan, Nooraisiah.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Limau Manis, berhampiran Kompleks Kota Darulnaim selepas solat Zohor. Allahyarham juga merupakan ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Sireh.

Turut menziarahi jenazahnya, anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar dan Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Semasa dirawat di hospital beliau dilawati Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Adun Bunut Payung, Datuk Takiyuddin Hassan.

Norhashimah berkata, allahyarham telah lama mengidap penyakit diabetis. Bagaimanapun sejak dua minggu kebelakangan ini kesihatannya tidak begitu memuaskan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menziarahi arwah sama ada di rumah atau di hospital," ujarnya. Allahyarham merupakan anak kedua daripada 12 adik beradik.

Tiada ulasan: