Seramai 34 ahli PKR yang bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum Ke-13 (PRU13) dipecat daripada parti itu.
  
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua berkata tindakan itu diambil selepas mereka gagal menarik diri daripada bertanding dan memohon maaf kepada PKR setelah parti pembangkang itu memberi mereka tempoh sehingga 5 petang pada Khamis lepas.
  
Beliau memberitahu Bernama bahawa kesemua ahli tersebut merupakan pemimpin peringkat cabang.
  
"Mengikut perlembagaan parti pun, kalau ada ahli yang masuk parti lain atau menentang parti, automatik akan kena pecat tetapi kita beri amaran dan tempoh untuk memohon maaf.
  
"Namun sehingga 5 petang Khamis lepas, tiada sebarang respon daripada ahli-ahli ini. Selepas ini, mereka akan diberikan surat pemecatan," katanya.
  
Sebelum ini, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi tempoh sehingga Khamis lepas kepada ahli PKR yang bertanding sebagai calon bebas untuk memohon maaf dan menarik diri daripada bertanding.
  
- Bernama
Nik Aziz yakin rakyat pilih kerajaan pusat baru 5 Mei
JANATUL FIRDAUS YAACOB
27 April 2013
Nik Aziz
Nik Abdul Aziz berucap pada ceramah perdana bertajuk ‘Pas For All’ di Putrajaya malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
PUTRAJAYA - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Barisan Nasional (BN) akan dikuburkan selama-lamanya pada 5 Mei ini dengan kerajaan baru dibentuk pada keesokan hari.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, dengan angin kebangkitan rakyat negara ini yang mahukan perubahan dalam atmosfera politik akan memilih Pakatan Rakyat (PR) sebagai peneraju kepimpinan negara dan menolak kerajaan sekarang.

“(Pada) 5 Mei rakyat akan mengundi, keyakinan saya mereka memilih kerajaan yang berlandaskan syariat Islam.

“6 Mei seluruh negara akan merayakannya dengan tertubuhnya negara Islam sebenar. Gelombang Islam akan hapuskan nilai-nilai sekular,” katanya ketika menyampai ceramah perdana bertajuk ‘Pas For All’ di sini malam tadi.

Hadir sama, calon Pas Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Md Nor Mohd; Yang Dipertua Pas Putrajaya, Nazir Zakaria dan calon Pas Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami.

Dalam perkembangan sama menurutnya, PR akan menerapkan konsep cara hidup Islam sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan.

“Islam datang dari ALLAH SWT, kita (manusia) hanya menumpang di dunia ALLAH. Tibalah masanya kita amalkan sebuah negara mengikut acuan seperti yang disyariatkan.

“Saya yakin Putrajaya ini bakal dirampas dan kita bersama-sama menobatkan Datuk Husam Musa sebagai Ahli Parlimen Pas di sini,” katanya.

Sementara itu, di Pentas Treler Negara Berkebajikan yang sama, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya BN terus memerintah negara fitnah akan menjadi santapan rakyat setiap hari.

“Sebelum menjelang tarikh 5 Mei, Umno-BN telah rencanakan 1,001 fitnah jahat sebagai momokan pilihan raya.

“Terkini blogger Milo Suam mendedahkan proses undi awal penjawat awam tidak seperti dijadualkan berlangsung pada 30 April telah didakwa tetapi Papagomo yang memihak kepada mereka dibiarkan bertanding sebagai calon bebas di Permatang Pauh,” katanya.

Mengulas perkara sama Nurul Izzah berkata, tanpa Pemantau Pilihan Raya (Paca) tidak mustahil BN akan merampas keputusan pilihan raya.

“Diingatkan undi setiap rakyat adalah penting untuk masa depan negara kerana pilihan raya kali ini terpenting buat kita.

“Kita perlu kuat menahan fitnah dan tohmahan menjelang tarikh 5 Mei kerana semua itu akan kita kuburkan pada hari berikutnya,” katanya.
Hisham: Polis, AG kaji ambil tindakan ke atas Husam
Wartawan Sinar Harian
27 April 2013
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KLUANG - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas Datuk Husam Musa kerana mendakwa pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim adalah disebabkan kerajaan korup.

Hishammuddin berkata, kenyataan calon Pas bagi kawasan Parlimen Putrajaya itu adalah biadap dan sama seperti kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung kejadian pencerobohan Lahad Datu.

Husam katanya, patut berhati-hati kerana kata-katanya boleh menyinggung perasaan penjawat awam di seluruh negara.

"Beliau tidak bertanggungjawab kerana mengaitkan kematian pegawai kastam tersebut dengan rasuah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman di sini hari ini.

Husam dikatakan membuat kenyataan itu pada satu ceramah di Putrajaya semalam.

Shahahruddin, 58, meninggal dunia di Hospital Putrajaya selepas ditembak tiga kali dari jarak dekat di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi semasa dalam perjalanan ke pejabatnya di Presint 3 di Putrajaya semalam.

Serangan dilakukan oleh dua lelaki bermotosikal.

Hishammuddin mengingatkan pembangkang agar tidak mempolitikkan kejadian tersebut untuk meraih sokongan pengundi.

Pihak polis dan pejabat Peguam Negara katanya, sedang mengkaji kemungkinan mengambil tindakan terhadap Husam berikutan kenyataan tersebut. - Bernama
Turunkan harga minyak satu pembohongan besar Anwar

27 April 2013
Ismail Sabri
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
BERA - Janji kononnya harga minyak akan diturunkan jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum ke-13, 5 Mei ini, merupakan satu pembohongan besar pihak pembangkang bagi menarik sokongan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menjaja cerita itu dalam siri ceramahnya, hanya bertujuan memancing undi semata-mata.

"Jika harga minyak diturunkan 20 sen seliter, kerajaan akan menanggung bebanan berjumlah RM4 bilion setahun, apa yang dijaja Anwar, hanyalah janji bohong semata-mata," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Anwar dilihat bertindak menabur segala janji bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk mencapai cita-citanya ke Putrajaya.

Anwar pada ceramahnya di Simpang Sebertak, dekat sini dua hari lepas menaburkan pelbagai janji termasuk menurunkan harga minyak bagi menarik sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

"Rakyat jangan mudah terperangkap dengan pembohongan pembangkang kerana apabila hajat mereka tercapai, segala yang dijanjikan hancur dan hilang semuanya dan yang menderita adalah rakyat," kata Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi kawasan Parlimen Bera.

Mengulas mengenai tuduhan calon PKR di Parlimen Bera, Zakaria Abdul Hamid, kononnya kerajaan tidak melakukan sesuatu bagi menangani bekalan air dan meningkatkan kemudahan infrastruktur, Ismail Sabri berkata calon PKR itu bercakap tanpa fakta yang benar.

"Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM18 juta sebelum ini bagi kerja-kerja menaik taraf jalan antara simpang Triang Satu ke Tembangau, sebanyak RM10 juta lagi untuk kerja-kerja menaik taraf jalan dari Kerayong ke Simpang Sebertak dan RM10 juta lagi untuk kerja-kerja menaiktaraf jalan dari Simpang Pos Iskandar Orang Asli ke jalan Ladang Bera Kemayan," katanya.

Beliau berkata kerja kerja menaik taraf jalan itu dijangka siap akhir tahun ini.

Mengenai masalah bekalan air, Ismail Sabri berkata kerja-kerja menukar batang batang paip lama di parlimen itu sedang dijalankan kontraktor membabitkan peruntukan lebih RM50 juta.

"Semua tuduhan Zakaria itu tidak benar sama sekali kerana kerajaan dari masa ke semasa melaksanakan pembangunan di daerah ini," katanya. - Bernama 

Dedah : Pencalonan Puad Zarkashi Tidak Sah?
Posted on Sunday, April 28 @ 01:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Sumber Nusajaya Kini

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu segera mengemukakan kenyataan balas terhadap satu laporan polis yang telah dibuat 18 April, Khamis lepas.

Dalam repot polis berkenaan, pengadu Saudara Siam Bin Kasrin telah mengemukakan aduan berhubung salah laku yang telah dilakukan oleh calon Barisan Nasional (BN) iaitu Saudara Mohd Puad Zarkashi.

Menurut Haji Siam, pada pilihanraya umum ke-12 yang lepas, beliau telah dilantik menjadi wakil calon bagi Saudara Fuad Zarkashi sebagai calon Barisan Nasional untuk Parlimen P150 Batu Pahat.

Namun disebabkan sikap tidak telus calon dalam pilihanraya tersebut kerana ada elemen yang menyalahi Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Haji Siam mengambil keputusan untuk tidak menandatangani penyata perbelanjaan calon pada borang (d).

Tambah beliau, akibat daripada tindakan itu beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Setiausaha Agung UMNO (BIL UMNO/R/SUA/8 JLD 1/21) yang bertarikh 7 November 2009.

Menurutnya lagi, SPR Johor telah memaklumkan kepada beliau bahawa calon berkenaan telah pun diperakui dan diwartakan.

Mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, mana-mana calon yang terpilih dan wakil tidak menghantar penyata perbelanjaan dalam tempoh yang ditetapkan, adalah tidak layak bagi calon berkenaan untuk bertanding pada pilihanraya berikutnya.

Pada 16 April 2013 yang lepas, Dr Hj Mohd Puad Zarkashi telahpun menerima watikah untuk bertanding sebagai calon BN dalam PRU-13 bagi Parlimen Batu Pahat.

Lebih mengejutkan lagi apabila SPR telahpun mengesahkan pencalonan beliau pada 20 April yang lepas semasa hari penamaan calon.

Dalam laporan polis yang sama, Hj Siam juga telah menyangkal tanggapan umum yang telah menuduh beliau menerima RM 2 juta bagi membolehkan Saudara Puad Zarkashi bertanding semula dalam PRU-13 kali ini.


Salinan Repot Polis Yang Dibuat Di Balai Polis Daerah Batu Pahat

Sumber: nusajayakini.com



Daim: Bukan masa sesuai tukar kerajaan

27 April 2013
 Tun Daim
Tun Daim Zainuddin
SUNGAI PETANI - Malaysia akan berada dalam situasi bahaya sekiranya rakyat memilih pihak yang tidak berpengalaman untuk menerajui kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berkata, dalam keadaan krisis ekonomi yang melanda dunia ketika ini, ia bukanlah masa yang sesuai untuk rakyat menukar tampuk pemerintahan negara dengan menyerahkannya kepada pakatan pembangkang yang tidak mempunyai pengalaman.

"Sekarang ini krisis ekonomi dunia, di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, India, China, masalah ekonomi akan berlaku.

"Kalau kita ambil kerajaan yang kita tidak tahu, tidak ada pengalaman... lingkuplah negara kita, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan Jentera PRU13 Parlimen Merbok di sini, hari ini.

Mengenai PRU13, Daim berkata, beliau berkeyakinan Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kuasa sebagai Kerajaan Persekutuan, dan BN  empunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan kembali Kedah dan Selangor, yang kini ditadbir parti pembangkang.

Beliau berkata, ini boleh dicapai sekiranya pemimpin dan anggota Umno serta parti komponen BN bersatu.

Mengenai insiden letupan ketika ceramah BN di Pulau Pinang dan Perak, Daim berkata, tindakan sedemikian dilakukan oleh mereka cuba mewujudkan rasa takut di kalangan rakyat. - Bernama
Muhyiddin: Kempen pembangkang makin agresif dan kasar

27 April 2013
Muhyiddin: Kempen pembangkang makin agresif dan kasar
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pasar Baru Bukit Keteri. - Foto Bernama
KANGAR - Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang dengan trend terkini pembangkang yang bersikap lebih agresif menjelang (hari pengundian) pada pilihan raya umum ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang tidak mempunyai adab dan budaya semasa berkempen hingga menjadi agresif dan kasar.

Mereka mungkin merasa kedudukan mereka terancam akibat sokongan rakyat yang meningkat terhadap Barisan Nasional (BN).

Berucap pada perhimpunan pemimpin bersama masyarakat kawasan parlimen Arau di Dewan 1Malaysia, Simpang Empat dekat sini hari ini, Muhyiddin berkata, pembangkang yang tidak yakin dengan keupayaan mereka kini bertindak awal di luar batasan adab dan susila.

"Pembangkang merasa ini peluang baik untuk menarik perhatian. Adakah wajar bertindak ganas dan timbulkan huru hara?," katanya.

Sebagai contoh, ialah kejadian bom di bilik gerakan BN di Nibong Tebal, Pulau Pinang baru-baru ini hingga mencederakan pekerja parti, kata Timbalan Pengerusi BN itu.  

"Pada pertimbangan saya, ada pihak tertentu nak wujudkan sesuatu untuk cetuskan keadaan tidak tenteram. Ada bukti daripada risalah rasmi pihak sana untuk cetuskan sesuatu pada hari mengundi," katanya di hadapan lebih 2,000 orang.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan kenyataan supaya jangan ada pihak yang menimbulkan masalah pada hari mengundi.

Pihak keselamatan dan SPR akan mengambil langkah menangani perkara dengan sewajarnya bagi mengelak kebimbangan para pengundi menunai tanggungjawab.

Sementara itu, Muhyiddin yakin dengan kesungguhan BN Perlis untuk mengekalkan kedudukan termasuk di kawasan parlimen Arau.

Sebelum itu, Ketua Umno bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yakin pihaknya akan merampas kembali dua kerusi dewan undangan negeri yang kini dikuasai pembangkang (Pas) iaitu Simpang Empat dan Sanglang.

"Untuk Arau, kita akan pastikan semua kerusi dewan undangan negeri (Dun) menjadi milik BN begitu juga dapat mengekalkan kedudukan kerusi parlimen Arau," kata Shahidan, calon BN bagi kerusi parlimen itu.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan calon-calon BN bagi kerusi Dun dalam parlimen Arau. - Bernama