Isnin, 29 April 2013

‘INI KALILAH’

Billboard dibakar, PAS buat laporan polis

Muhamamd Faeez Azahar, 29 Apr 2013
IPOH: PAS Kawasan Batu Gajah semalam membuat laporan Polis berhubung tiga billboard kempen yang dipasang telah dibakar dipercayai perbuatan khianat pihak-pihak tertentu.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Gajah, Rosdy Abdullah, ketiga-tiga billboard tersebut yang dinaikkan di Taman Tasek Permai, berhampiran rumah calon BN, disedari terbakar kira-kira jam 5 pagi semalam.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan kelihatan api masih ada dan berasap. Ini bukan kejadian pertama disabotaj, sudah beberapa kali sebelum ini telah berlaku,” katanya kepada Harakahdaily selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah.

Mengulas lanjut, Rosdy yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Perak itu berkata, insiden khianat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu bukanlah perkara baru di kawasan itu.

Katanya, sebelum ini pihaknya telah membuat laporan polis terhadap beberapa insiden seperti itu.

“Kami sangat kesal dengan tindakan ‘bacul’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini, kami tidak mahu politik mundur ini berlaku dalam suasana politik baru ini,” jelasnya.

Jelas beliau, PAS menggesa pihak Polis dapat melakukan siasatan segera bagi mengenalpasti identiti mereka yang melakukan khianat itu.

Rosdy menjelaskan, PAS tidak mahu perkara sedemikian berulang lagi dan berharap pihak polis dapat membuat rondaan sekerap mungkin agar tindakan khianat itu dapat diatasi.

PAS katanya turut menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menasihati semua parti bertanding agar tidak melakukan perkara sedemikian.

“Berhadapanlah dengan politik harmoni, kita berlawan dengan hujjah, bukan dengan emosi,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Calon PAS Dun Sungai Rapat, Radzi Zainon ketika dihubungi berharap semua ahli dan penyokong PAS dapat bertenang dan bersabar dengan suasana berlaku ini.

Beliau berharap dengan kejadian itu akan membangkitkan lagi semangat jentera untuk melakukan gerak kerja dalam masa beberapa hari menjelang pilihanraya ini.

"Bersabarlah, kita teruskan kerja, mungkin itulah sahaja kerja mereka," ujar beliau lagi.

Zulkifly bersemangat untuk turun kempen semula

Harakahdaily, 29 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Calon PAS bagi kerusi Dun Lenggeng Zulkefly Mohamad Omar yang dimasukkan ke hospital selepas mendapat serangan angin ahmar semalam, kini sudah sedar dan boleh bercakap.

Menurut abangnya Abdul Halim Omar, keadaan Zulkefly (gambar) kini stabil dan fizikal beliau juga boleh bergerak seperti biasa.

"Alhamdulillah dia sedar, kenal orang, sudah boleh bercakap dan dah boleh makan. Kedua-dua tangan pun sudah boleh bergerak.

"Namun beliu masih memerlukan rawatan susulan dan masih tidak dibenarkan keluar hospital," katanya yang baru sahaja melawat Zulkefly di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, jika tiada apa-apa masalah, Zulkefly dijangka akan dibenar keluar dalam masa terdekat.

Zulkefly juga katanya dilihat bersemangat untuk segera meneruskan kempen beliau di Dun Lenggeng melawan calon BN Datuk Ishak Ismail dan seorang calon bebas Zulkifli Abdullah.

"Walaupun sedang menerima rawatan, pagi ini beliau masih sempat berbincang mengatur strategi kempen dengan pengurus kempen beliau dan ahli keluarga," katanya.

Anak muda Tasek Gelugor ceria bersama Pakatan

Mohd Sabri Said, 29 Apr 2013
TASEK GELUGOR: "Saya puas hati melihat perkembangan sokongan PAS yang semakin kuat di Parlimen Tasek Gelugor apabila ramai anak muda lebih berminat bekerja dengan kita daripada Umno dan Barisan Nasional (BN)," tegas calon PAS di Parlimen Tasek Gelogor, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin.

Jelasnya lagi, yang tinggal di markas Umno dan BN ialah remaja bawah umur dan golongan wanita bersama anak kecil datang melekatkan bendera parti pada waktu malam.
Jika ada yang ramai remaja pun ialah mereka yang makan upah untuk calon BN. Jika tidak diupah pastinya poster tidak digantung berbanding petugas Pakatan Rakyat yang rajin tanpa dibayar.

Menurutnya, setiap kali melawat kawasan bukan Melayu seperti Pokok Machang (kawasan pengundi India) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Berangan, Taman Desa Murni (pengundi Cina) di Dun Sungai Dua dan Dun Teluk Air Tawar yang ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mana 'mood' rakyat mirip tsunami 2008.

Justeru itu, ujarnya Pakatan Rakyat perlu mempertahankan situasi ini dengan merancang pendekatan yang lebih telus serta terus bertentang mata dengan rakyat.

"Sebenarnya keadaan ini menggusarkan Umno dan BN. Kebangkitan ahli Umno begitu lemah kerana mereka malu terhadap yang apa yang kepimpinan mereka buat selama ini," ujarnya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah kelompok di Unit Peti Undi (UPU) Lahar Yooi.

Beliau turut memuji kesungguhan para petugas PAS selain kesanggupan mengedar risalah dari rumah ke rumah, mereka membina replika jet, kapal selam, meriam, basikal dan seumpamanya untuk tujuan menceriakan lagi tempoh berkempen pada pilihanraya kali ini.

Lebih sejuta saksi Video ‘INI KALILAH’

Harakahdaily, 29 Apr 2013

(Video INIKALILAH yang sedang meletup di Facebook dan Youtube)


KUALA LUMPUR: Inilah video yang paling panas disebar di Facebook hari ini. Videonya pendek, tapi mencuit hati, terutamanya kaum Hawa.

Setakat ini, ia telah disaksikan lebih sejuta kali di Facebook.


Video ini dihasilkan oleh sekumpulan pelajar Malaysia yang belajar di UK bersama rakan-rakan mereka di sana.

Ramai penonton  menyifatkan idea mereka sungguh kreatif dalam mempromosikan tawaran-tawaran di manifesto Pakatan Rakyat secara mudah, efektif untuk diingat dan memberi semangat.

Sila tonton video pendek yang hebat ini di:

https://www.facebook.com/photo.php?v=10151542274579286



atau



http://www.youtube.com/watch?v=hvgyfZpfztw



6 hari lagi menuju pusat mengundi sebelum ke Putrajaya.

Jadi agen perubahan dengan berkongsi dengan rakan-rakan yang perlu menonton video ini.

 


TPM: 'Kita jangka BN akan terus kekal, jumlah kerusi agak menggalakkan'

29 April 2013
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
MELAKA - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berdasarkan petanda baik sokongan rakyat terhadap parti itu pada masa ini.

Beliau berkata jentera BN di seluruh negara kini bergerak dengan lancar dan usaha kempen yang dijalankan menerima sokongan yang jelas daripada pengundi.

"Sokongan bertambah baik, meningkat...masalah-masalah yang dikatakan awal berlaku dari segi soal calon dah selesai, jentera dah bergerak, saya dah pergi hampir kesemua negeri, saya lihat respons daripada usaha-usaha kempen yang kita buat mendapat sokongan yang begitu jelas daripada pengundi.

"Kita jangkakan BN akan terus kekal dengan jumlah kerusi yang boleh dikatakan agak menggalakkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembinaan jejantas pejalan kaki di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Wen Hua di sini, hari ini.

Malah, katanya, kawasan yang mempunyai majoriti kaum Cina juga telah menunjukkan peningkatan sokongan terhadap BN.

"Di kawasan-kawasan orang Cina juga sudah ada peningkatan sokongan berbanding seminggu lalu jadi trend ini memberikan kelebihan kepada kita," katanya.

Namun, Muhyiddin berkata tempoh kira-kira seminggu sebelum hari pengundian pada 5 Mei ini perlu digunakan jentera BN sepenuhnya untuk meningkatkan sokongan terutama di kawasan berstatus kelabu.

"Ini memberikan ruang untuk kita bekerja lebih supaya kawasan putih dapat kita kekalkan, yang kelabu supaya menjadi lebih putih, jadi gerakan kempen yang dibuat jentera parti menjadi lebih utama dalam tempoh beberapa hari ke hadapan," katanya.

Muhyiddin berkata pakatan pembangkang juga dilihat semakin goyah dan tertekan sehingga menggunakan taktik memburukkan pemimpin BN bagi meraih sokongan.

Bagaimanapun, katanya, BN akan meneruskan kempen dalam keadaan yang lebih rasional melalui pertemuan dengan para pengundi tanpa mengikut rentak dimainkan pembangkang.

"Insya-Allah BN akan menang, saya menyebutkan ini bukan atas kerana kita berasa sombong tetapi realiti yang kita lihat pakatan pembangkang dah mula goyah dan semua di kalangan mereka dah berasa tertekan sebab itu dia buat tuduhan pada pemimpin BN, dia buat pelbagai risalah," katanya. - Bernama
 
 
SPR kenakan tindakan tegas pihak beli, jual kertas undi

29 April 2013
SPR nafi polis, tentera sudah mula undi awal
Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menunjukkan laporan polis berhubung penyebaran maklumat melalui laman sosial kononnya proses pengundian awal telah pun bermula. - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati ada pihak terlibat dengan kegiatan membeli atau menjual kertas undi.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau didenda lima ibu ringgit atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut Kamaruddin orang yang disabitkan itu juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai pemilih atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

"Jika pada tarikh itu, dia telah pun dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamaruddin berkata terdapat pihak membangkitkan isu kemungkinan berlaku urusan pembelian kertas undi oleh sindiket tertentu dengan harga antara RM500 dan RM1,000, bergantung kepada tempat mengundi.

Perkara sama juga didakwa pernah berlaku pada pilihan raya sebelum ini. 

"Berdasarkan semakan SPR terhadap kes-kes petisyen pilihan raya yang merujuk kepada Pilihan Raya Umum Ke-12, SPR mendapati tidak ada satu pun petisyen pilihan raya dikemukakan mana-mana pihak berkaitan isu pembelian kertas undi," katanya.

"Ini bermakna, perkara itu sekadar dakwaan yang tidak ada bukti dan kebenarannya boleh dipersoalkan," tambahnya.

Menurut Kamaruddin tindakan mengikut akta sama boleh dikenakan kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan berikut; memasukkan ke dalam mana-mana peti undi apa-apa jua kertas, selain kertas undi yang dibenarkan oleh undang-undang; tanpa kuasa sewajarnya, membawa keluar dari tempat mengundi sebarang kertas undi atau didapati memiliki mana-mana kerta undi di luar sesuatu tempat mengundi. - Bernama

Tiada ulasan: