Selasa, 23 April 2013

JANGAN BUATLAH PERANGAI2 SYAITAN

Jangan gopoh memburu kemenangan Islam

Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz, 23 Apr 2013
Daripada Abi Abdullah Khabbab bin al Arat beliau berkata, "Kami telah mengadu kepada Baginda SAW sedang Rasulullah pada ketika itu sedang berbaring di bawah naungan Kaabah beralaskan serban. Maka kami bertanya; Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?"

Maka berkatalah Rasulullah SAW, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruh daging dan tulang-belulangnya, namun demikian mereka tidak memalingkan daripada agama. Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan ini (agama Islam) sehinggalah permusafiran dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi ditakuti melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kalian adalah golongan yang gopoh." (Riwayat Bukhari)

Keghairahan untuk meraih kemenangan perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita Muhammad SAW tentang bagaimana Baginda SAW membina kemenangan.

Hadis yang saya bawakan adalah sebagai renungan kita. Ia memaparkan bagaimana sikap Nabi SAW pada saat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal, apabila para sahabat sering diseksa dengan dahsyat oleh kaum kuffar musyrikin.

Antara mereka ialah Khabbab al-Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya. Kesan penyeksaan tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh kepada diri Khabbab. Satu ketika Khabbab inilah yang pergi bertemu Nabi SAW, ketika Baginda sedang beristerahat di tepian Kaabah lantas bertanya, "Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang?"

Sahabat Pemuda sekalian!

Yang bertanya ialah insan yang berjuang malah menghadapi penyeksaan dahsyat oleh musuh-musuh Allah dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan agama. Insan yang bertanya ialah sahabat yang telah mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini, tiba-tiba nilai perjuangannya dijawab oleh Baginda Rasulullah bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyeksaan dari musuh-musuh Allah sehingga ada yang digergaji kepalanya, sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai-berai daging daripada tulangnya, namun mereka tetap mempertahankan agama.

Kemudian Baginda Rasulullah melanjutkan teguran, kamu yang datang meminta-minta agar di doakan kemenangan, kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti kemenangan yang dijanjikan Allah Taala.

Menghayati Sifat Kemenangan

Kemenangan adalah suatu yang dianugerahkan oleh Allah Taala dan tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah. Demikianlah sunnatullah terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.

Pengertian lain yang senada dengan maksud perbahasan ini ialah betapa tidak sekali-kali tidak kita memetik buah yang belum masak.

Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan sebagai renungan kita bersama ialah bagaimana situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam cengkerang telur sebelum dilahirkan ke bumi yang ganas ini.

Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut, mahu tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang untuk menetas dan akhirnya hidup membesar seperti warga ayam yang lain. Andai kata anak ayam tersebut tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba untuk memecahkan cengkerang telurnya dari dalam dengan paruhnya yang masih muda, nescaya usahanya itu gagal dan sia-sia.

Sikap tidak sabar ibunya juga boleh membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telur itu dengan paruhnya yang kuat, maka keluar berderailah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang baginya hidup. Anak ayam itu akan mati angkara sikap gopoh ibunya.

Memahami Syarat Kemenangan

Saya kira, demikianlah perihal perjuangan yang kita dokong ini. Walaupun kita ini bukanlah anak ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar menanti detik kemenangan yang bakal di anugerahkan oleh Allah Taala setelah kita berjaya mendatangkan syarat-syarat kemenangan dengan baik dan berkesan.

Kita mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita;
1. Gigih berjuang.
2. Ikhtiar melepasi segala cabaran.
3. Ikhlas dan istiqamah dalam mengenderai perjuangan.
4. Tabah mendepani ujian serta halangan dan;
5. Berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini.

PRU-13 yang sedang hangat menjadi bual bicara kita saat ini, saya tegaskan bahawa pemenang PRU yang sebenar adalah yang yakini Islam, yang ikut jalan Rasul dan yang ikhlas kepada Allah. Selainnya adalah tewas walau mara ke Putrajaya. Ayuh luruskan langkah.

Syukurlah, PAS berjuang dengan meyakini Islam, bertekad mendaulatkan pemerintahan yang digariskan oleh Allah dan al-Rasul dan sentiasa mengingatkan para pejuangnya agar sentiasa membina keikhlasan kepada Allah.

Syukurlah, PAS tidak nasionalis, tidak sekularis, tidak materialis dan tidak berjuang untuk dunia semata-mata.

Mari bersyukur kepada Allah, kita dianugerah berjuang bersama PAS. Itu nikmat tak terperi daripada-Nya. Mari berusaha meyakinkan umat Islam tanpa kenal putus asa agar menerima Islam sebagai cara hidup pilihan terbaik masa kini. Kepimpinan adalah amanah agama yang besar.

UNDILAH PAS

http://www.tarbawi.my

Sokongan meningkat 70 peratus – Khalid Samad

Muhammad Faizal, 23 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Abdul Samad yakin dengan peningkatan sokongan sebanyak 70 peratus, Pakatan Rakyat mampu mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam.
Beliau merujuk kepada sambutan dan sokongan yang diberikan oleh pengundi Shah Alam sepanjang tempoh berkempen selama tiga hari mulai hari penamaan calon Sabtu lepas.

Khalid yang ditemui sewaktu program kunjungan beliau bertemu pengundi di Seksyen 16 pagi tadi menyatakan sokongan pengundi Melayu telah meningkat sejak 2008.

"Tinjauan kita sepanjang tempoh berkempen mendapati sokongan meningkat kepada 70 peratus, ini juga termasuk kepada sokongan pengundi Melayu, bagi bukan Melayu kita mengetahui mereka telah lama menyokong Pakatan Rakyat.

"Setiap tempat yang saya kunjungi pengundi Shah Alam menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu kenyataan yang dikeluarkan Barisan Nasional (BN) mengatakan beliau menolak untuk berdebat dengan Datuk Zulkifli Noordin kerana mendapat nasihat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar ibrahim adalah propaganda BN.

"Malah sebelum ini mereka (BN) turut menyebar propaganda mengatakan saya minta dipindahkan kerusi ke tempat lain apabila mengetahui Zul Noordin akan bertanding di Shah Alam, ini semua fitnah serta propaganda murah mereka," kata beliau.

Beliau berharap pengundi di Shah Alam tidak tertipu dengan penyebaran propaganda palsu BN yang semakin hilang sokongan rakyat.

Labuan: PAS Wilayah terima keputusan Pusat

Salmiyah Harun, 23 Apr 2013


KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan menerima sepenuhnya keputusan pimpinan PAS Pusat menyerahkan Parlimen Labuan untuk ditandingi PKR pada PRU13 ini.

Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad berkata, ini sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam atas semangat setiakawan dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, tindakan pucuk pimpinan PAS itu selari dan memenuhi kemahuan rakyat serta menyokong usaha menuju kemenangan ke Putrajaya bagi mengalahkan Umno BN di Labuan.

Jelas Mohamad, PAS berjuang bukan untuk merebut takhta ataupun kepentingan peribadi dan apatah lagi manfaat kebendaan tetapi, PAS berjuang demi kebenaran yang dibawa oleh lslam.

Bahkan katanya, keputusan PAS Wilayah itu memberi gambaran yang jelas kepada Umbo BN bahawa Pakatan Rakyat tetap kukuh di Labuan.

"Kenyataan ini menggambarkan pendirian kita sebagai ahli PAS yang patuh dan taat kepada keputusan pucuk pimpinan," tegasnya dalam satu kenyataan.

Katanya, PAS rela berkorban untuk memastikan hubungan dalam Pakatan Rakyat dan mengharapkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menghormati keputusan itu.

"PAS akan terus melaksanakan tanggungjawab dan peranan di Labuan walaupun tidak bertanding dalam PRU13 demi meneruskan khidmat kepada masyarakat Labuan untuk memastikan hak rakyat terus terbela," katanya.

Kumpulan intelektual pula kempen tolak politik kotor

Hazayani Zakaria, 23 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Bimbang dengan budaya keji yang semakin subur dalam politik di Malaysia, sekumpulan ilmuan, sarjana, ulama, sasterawan, budayawan dan penggiat masyarakat menubuhkan Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera).

Gatera dari Bahasa Sanskrit yang bermaksud sudut pandangan bertujuan menyedarkan masyarakat supaya memilih pemimpin politik yang memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab.

Pengerusinya, Profesor Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, Gatera akan bergerak ke lapangan masyarakat untuk mengajak mereka menolak segala budaya kotor yang diamalkan dalam politik.

"Kami melihat persekitaran politik malaysia kini berada pada tahap yang parah, lebih-lebih lagi pada hari-hari menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.

"Sebahagian daripada para pemimpin, ilmuan dan ulama tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni masyarakat ini," kata beliau pada sidang media di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Prof Shaharir juga khuatir budaya ini berterusan apabila ada pihak yang ingin meraih kuasa dan mengekalkan kuasa mereka.

"Demi meraih kuasa dan mengekalkan kuasa, mereka menggunakan, membiarkan malah nampak menyuburkan segala kekejian, keganasan, dan penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan, keganasan, kesumbangan, kesamsengan, dengan tid amenghiraukan batasan agama dan budi bahasa yag diamalkan oleh masyarakat bertamadun," tegasnya.

Beliau juga berkata, Gatera akan bergerak secara aktif sepanjang tempoh kempen PRU13 ini untuk menyatakan pendirian mereka.

"Budaya kotor dalam politik inilah yang emnjadi pemangkin kepada kami untuk menubuhkan Gatera ini.

"Jadi kami akan turun ke masyarakat dalam memberikan penerangan mengenai kesan budaya politik kotor ini dan mungkin juga akan duduk sepentas denan ahli politik untuk menyatakan pandangan kami sekiraya dijemput," katanya sambil menambah, program-program Gatera akan berterusan walaupun selepasa PRU13 berakhir.

Sidang media turut dihadiri setiausah Gapaera, Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Kassim Muhamad, Penolong Setiausaha Aangkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz, Sarjana Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa, Prof Mohd Nazari Ismail.

Tian Chua yakin isu Lahad Datu tak jejas sokongan

Muhammad Faizal, 23 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Calon PKR bagi Parlimen Batu Tian Chua (gambar) berkata, beliau yakin isu Lahad Datu yang pernah dijadikan senjata Umno BN menyerang beliau, tidak akan menjejaskan sokongan pengundi di parlimen itu terhadapnya.

Bercakap kepada Harakahdaily, naib presiden PKR itu juga berkata, rakyat kini sudah pandai menilai dan tidak lagi percaya bulat-bulat kepada maklumat yang disebarkan sebelah pihak termasuk fitnah terhadapnya sebelum ini.

"Semua itu tohmahan yang tidak berasas sama sekali. Ianya taktik alih perhatian rakyat dari isu pemberian IC kepada warga asing, lalu dituduh kononnya saya hina pasukan keselamatan..

"Sepanjang karier politik saya, saya tak pernah mengambil sikap bermusuh dengan pasukan keselamatan, malah saya antara yang memperjuangkan hak mereka di parlimen," katanya.

Bagi parlimen Batu, Tian Chua akan berdepan empat lagi calon masing-masing dari BN, Berjasa dan dua bebas.

Calon BN adalah Dr Dominic Lau Hoe Chai, Berjasa pula diwakili Hashim Abdul Karim manakala bebas pula Nazariah Abbas dan Atan Jasin.

Mengulas lanjut, Tian yang juga aktivis reformasi berkata, mood rakyat sekarang ini hanya satu, iaitu mahu menumbangkan Umno BN dan beliau yakin serangan isu Lahad Datu tidak menjejaskan kempen beliau.

"Kawasan Batu ramai bekas polis dan tentera, dan saya yakin ianya tidak jadi isu.

"Saya yakin pengundi boleh menilai prestasi lima tahun saya berkhidmat di sini," katanya lagi.

Mengulas isu pertandingan lima penjuru, beliau berkata saingan hanya di antara Pakatan dengan BN.

"Hanya dua pilihan ini yang boleh menentukan hala tuju negara.

"Kalau rakyat setuju dengan pemerintahan rasuah, ketirisan dan penyelewengan, mereka akan undi BN," katanya.

Kedah akan kekal bersama Pakatan - Tamrin

Harakahdaily, 23 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi MARA Tamrin Tun Ghafar yakin PAS dan Pakatan Rakyat akan mengekalkan negeri Kedah dalam pilihan raya umum kali ini.

Beliau yang baru pulang dari memberikan ceramah di Alor Setar dan Jerai di Kedah mendapati sambutan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat cukup kuat di negeri itu.

"Berdasarkan pemerhatian dan maklumat yang saya terima, Kedah akan kekal bersama Pakatan.

"Saya juga rasa PAS akan menang di Parlimen Jerlun kali ini dan akan menang juga di DUN Air Hitam, tempat (Datuk) Mukhriz Mahathir bertanding," kata Tamrin.
Tamrin mengadakan sidang media bersama dengan MB Selangor yang menyertai PAS, tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib di Pusat Media PAS hari ini

(SAHABAT LAMA....Muhamad Taib dan Tamrin bertemu kembali di dalam PAS selepas sama-sama aktif dalam Pemuda Umno sebelum ini)


Malam ini, Tamrin akan berceramah di Baling pula. Beliau dijangka akan berceramah dengan calon PAS di Baling, Brig Jeneral (B) Najmi Ahmad, bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia.

Menurut Tamrin, Mukhriz cuba dibunuh oleh musuh politiknya di Kedah dengan meletakkan beliau bertanding di Air Hitam yang menjadi kubu PAS di Jerlun sejak dahulu.

"Mukhriz dikatakan akan dilantik jadi MB jika menang tetapi ramai yakin dia tidak akan menang kerana sabotaj dalaman," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pilihan raya umum lalu, Mukhriz bertanding di Parlimen Jerlun dan menang.

Namun DUN Air Hitam yang terletak di bawah Parlimen Jerlun dimenangi PAS manakala DUN Kota Seputeh BN menang.

ADUN Kota Seputeh telah diambil tindakan apabila tidak pernah menghadiri sidang DUN secara berturut-turut.

Namun ADUN yang tidak berminat menyertai sidang DUN itu sekali lagi dicalonkan Umno untuk mewakili BN di situ.

Ramai berpendapat jika Mukhriz benar-benar mahu dilantik sebagai MB, dia perlu diberikan kerusi yang selamat bukannya di kubu PAS.

Najib belanja RM4,364 setiap pengundi, terbesar di Asean - penganalisa

Harakahdaily, 23 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Seorang penganalisa politik terkemuka rantau Asia Tenggara hari ini membuat penganggaran bahawa Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak telah membelanjakan RM58 bilion atau RM4,363 setiap pengundi untuk PRU13 ini.

Dr Bridget Welsh (gambar), seorang professor madya sains politik menulis dalam artikelnya di Malaysia berkata perangkaan tersebut datang daripada analisa beliau dalam 4,000 sumber berita sejak 2009 dan kajian terhadap tiga bajet dan bajet tambahan dari 2010 sehingga 2013.

“Saya secara konservatif menganggar bahawa pentadbiran beliau (Najib) telah membelanjakan RM57.7 bilion bermula dari hari beliau menjadi Perdana Menteri sehingga sebelum parlimen dibubarkan dalam insentif pilihanraya,” tulis Bridget.

Bridget berkata Najib telah membelanjakan RM46.7 bilion dalam pembangunan sasaran berjanji dan RM11.0 bilion dalam program 1Malaysia.

“Dua komponen terbesar ini adalah bersifat pengagihan sasaran politik dan perbelanjaan 1Malaysia. Langkah-langkah ini berunsur politik, kerana bukan sahaja mereka dicanang dalam bentuk politik, ia juga disebarkan sebagai sebab-sebab untuk mengundi BN di peti undi nanti,” kata beliau.

Bridget berkata pembelanjaan terbesar bukannya datang daripada RM5.6 bilion yang digunakan untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tapi di atas langkah-langkah populis yang lain seperti kenaikan gaji dan pembinaan sekolah menggunakan duit daripada pejabat Perdana Menteri.

“Dalam erti kata lain, anggaran itu mencadangkan bahawa pentadbiran Najib telah membelanjakan kira-kira RM4,363 setiap pengundi setakat ini. Setakat ini, ini adalah pilihanraya termahal di Malaysia. Memandangkan bahawa wang juga diperuntukkan kepada calon-calon untuk kempen, lebih banyak wang akan digunakan,” beliau memberikan amaran.

Najib, kata beliau, sekarang boleh dikatakan terlibat dalam pilihanraya termahal di Asia Tenggara.

Sebelum ini, ada satu laporan Maybank bertarikh 19 Mac menyatakan bahawa Jabatan Perdana Menteri telah membelanjakan sebanyak RM36.1 juta untuk menaikkan imej pentadbirannya di mata rakyat menerusi pengiklanan.

Semangat abah sentiasa bersama saya - Anis Afida

Salmiyah Harun, 23 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Pemergian seseorang yang disayangi di saat-saat dia diperlukan sebagai pendorong dan tempat bergantung khususnya buat calon Dun Penawar Anis Afida merupakan satu dugaan yang cukup berat.

Ketika calon anak muda PAS ini sedang rancak berkempen menjelang pilihan raya umum 5 Mei ini, Anis dikejutkan dengan pemergian ayahnya semalam kerana mengalami masalah buah pinggang.

"Anis Afida akan kembali dalam masa dua-tiga hari lagi dengan langkah yang lebih ampuh dan semangat lebih kental menggalas tanggungjawab dan amanah abah. Doakan abah dan kami sekeluarga kekal di atas jalanNya!

"Dia telah berkorban segala yang dia ada untuk perjuangan menegakkan keadilan di muka bumi Allah taala ini," ujar Anis melalui laman Facebooknya.

Bagi Anis, arwah bapanya adalah mentornya di mana beliau kini menyambung perjuangan ayahnya yang merupakan aktivis PAS sejak tahun 1986.

Bapa Anis, Mohd Azli Jufri yang juga bekas guru menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu, semalam dan selamat di kebumikan jam 9 pagi ini Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi.

Sementara itu Timbalan Pesruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Anis Afida.

Mazlan cukup mengenali Allahyarham bapa Afida sejak 1986 ketika itu Cikgu Azli bergiat aktif dalam Dewan Pemuda PAS Johor bermula ahli biasa sehinggalah dilantik sebagai exco.

"Arwah adalah aktivis parti yg sangat gigih dan berani, meskipun seorang penjawat awam. Jawatan terakhir yg masih disandangnya ialah Setiausaha PAS Kawasan Pengerang. Bakat kepimpinan arwah dan isterinya Wan Rohani Wan Ahmad, diwarisi oleh Anis," kata Mazlan ketika menghubungi.

Tiada ulasan: