Selasa, 30 April 2013

MENGUNDILAH DENGAN PENUH YAKIN DAN CERIA...JANGAN TAKUT PADA SESIAPA....KAN KITA INGINKAN PERUBAHAN...INSYAALLAH IANYA AKAN BERJAYA

PR jamin teliti semula kontrak tanah di Iskandar M'sia

Anis Nazri, 30 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mempersoalkan bagaimana tanah rizab Melayu di Wilayah Iskandar boleh dijual jauh lebih rendah dari harga pasaran.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata tanah yang dibeli usahawan Robert Kuok itu dijual dengan harga RM 334 sekaki, berbanding harga pasaran yang bernilai RM 720 sekaki persegi.

"Persoalannya, mengapa harga yang dijual jauh lebih rendah dari harga pasaran? Dan adakah ia juga permulaan kepada tergadainya tanah Melayu untuk kepentingan segelintir pemimpin Umno sebagaimana yang dilihat di Penang ketika BN memerintah?" soal beliau pada sidang media, hari ini.

Salahudin yang juga calon Parlimen Pulai dan Dun Nusajaya berkata, umum masih tidak mengetahui bahawa bumiputera telah secara sengaja atau tidak, dipinggirkan dari pembangunan projek mega Wilayah Iskandar.

Tambah beliau, kebanyakan penduduk bumiputera yang menetap di sekitar Iskandar Malaysia kini terpaksa berpindah keluar berikutan kenaikan harga barangan yang tidak terkawal.

Dalam pada itu, beliau yang juga calon Nusajaya berkata kemasukan dana-dana pelaburan dari luar negara dikhuatiri hanya bersifat 'hot money' atau pelaburan jangka pendek.

"Keadaan ini bakal membuatkan ketidakstabilan kepada pasaran hartanah, sektor di mana kebanyakan pelaburan disalurkan. Pelabur-pelabur bersifat jangka panjang dari luar negara tidak melabur di Iskandar Malaysia, sebaliknya kebanyakan syarikat yang melabur adalah kategori industri kecil dan sederhana," kata beliau.

Mengulangi pendirian dan jaminan Pakatan Rakyat, tegas Salahuddin, PAS berjanji tidak akan menghalang sebarang bentuk pembangunan untuk kesejahteraan rakyat Johor.

Bahkan, tambahnya Pakatan Rakyat menyokong segala bentuk pembangunan jika ia memberi manfaat yang tinggi kepada rakyat Johor.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat akan meneliti semula segala kontrak membabitkan Iskandar Malaysia jika memenangi Johor, Salahuddin berkata Pakatan Rakyat menghormati semua perjanjian yang termaktub, namun menegaskan perlu penambahbaikan mengenainya.

"Pembangunan Iskandar Malaysia akan diteruskan, tetapi beberapa penambahbaikan perlu dilakukan agar ia tidak menjadi "Greater Singapore" semata-mata," tegas beliau.

Beliau turut memberi jaminan sekiranya berlaku pelanggaran dalam kontrak tersebut, pihaknya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak, selain melaksanakan audit pengurusan untuk memastikan projek itu memberi manfaat kepada semua pihak.

Warga M’sia di UK serah RM100,000 kepada PAS

Rahmat Wahab , 30 Apr 2013
MANCHESTER: Warga Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK) dan Ireland telah menyerahkan sumbangan berjumlah hampir RM100,000 kepada PAS.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi PAS Representative Council UK Eire, Ir Jupri Bade kepada Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairil Nizam dalam satu majlis yang diadakan di Abraham Moss High School, Manchester.

[Gambar: Ir Jupri Bade (baju hijau) sedang menyerahkan sumbangan kepada Khairil Nizam.]

Dalam majlis yang sama, PAS Representative Council UK Eire juga telah mengadakan sesi dialog antara golongan profesional yang menetap di United Kingdom dengan Khairil bagi menerangkan isu-isu yang berkaitan dengan pilihanraya dan situasi terkini tanah air.

Antara isu yang disentuh adalah berkaitan dengan situasi ekonomi Malaysia yang semakin membimbangkan dengan jumlah hutang negara yang sudah mencecah RM500 billion dan penerangan manifesto Pakatan Rakyat bagi PRU13 yang terdapat dalam Buku Jingga.

Selain itu, beliau juga ada menyentuh masalah sosial yang berlaku di Malaysia, seperti budaya samseng yang semakin parah dan kes pembunuhan berprofil tinggi.

Dalam majlis tersebut, Ir Jupri Bade menyatakan bahawa PAS melalui PRC UK Eire aktif melaksanakan beberapa aktiviti seperti sesi penerangan atas talian bersama dengan pimpinan PAS di Malaysia dan lawatan muhibbah ke kawasan-kawasan di United Kingdom.

Menurut beliau, sambutan yang diberikan oleh warga UK adalah sangat menggalakkan dan hal ini terbukti dengan jumlah sumbangan besar yang diberikan oleh warga UK dan Ireland setakat ini.

Salah seorang profesional yang hadir, Ahmad Ali yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat multinasional di sini mengatakan bahawa rakyat Malaysia yang berada di UK perlu mengambil peluang pilihanraya ini untuk membetulkan sistem pentadbiran negara dengan memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat (PR).

Hal ini, katanya kerana PR begitu beriltizam untuk membetulkan kesilapan yang berlaku dalam dasar-dasar negara jika diberikan peluang untuk memimpin negara dalam pilihanraya umum ini.

Menurut beliau lagi, rakyat tidak perlu takut untuk melakukan perubahan kerana perubahan kerajaan ada berlaku di negara maju seperti United Kingdom sendiri.

Semaikan semangat ukhuwwah sekalipun berbeza pemikiran

Ustaz Nasrudin bin Hasan, 30 Apr 2013
Apabila saya menegur dan mengkritik bukan sahaja saya mesti bersedia untuk menerima respon balas (dalam bentuk penghujahan positif atau negatif) daripada pihak yang dikritik, tetapi saya juga mestilah jujur dan benar dalam teguran dan kritikan yang bakal dilontarkan. Malah saya jua mesti terikat dengan etika mengkritik sekalipun berhadapan dengan kemungkinan hujah balas yang tidak beretika dan berdisiplin.

Tidaklah bermakna hanya saya yang benar. Berkemungkinan besar, saya salah dan silap dalam mengemukakan pandangan dan setiap kali saya berbeza pendapat dengan pihak lain, apa yang saya harapkan agar Allah menunjuk jalan-Nya yang benar. Inilah prinsip yang akan terus saya "genggam" bersama sedikit nikmat ilmu anugerah Allah.

Tidak senang sebenarnya untuk mengkritik, justeru kritikan adalah melahirkan rasa tidak setuju terhadap pihak lain yang berkemungkinan boleh mengguris perasaannya dan mungkin juga boleh mengendurkan tali persahabatan yang telah lama terjalin.

Namun begitu, selamanya saya tidak boleh berdiam diri terhadap suatu yang saya tidak bersetuju dengannya. Terutama dalam perkara yang melibatkan penyelewengan fakta, kekeliruan maklumat, tuduhan tanpa bukti, fitnah tanpa asas dan keangkuhan yang berpanjangan.

Lantaran itu, sebagaimana saya mesti tabah, terbuka dan berhati-hati dalam menatah kalimah bernada kritikan, saya juga sangat mengharapkan pihak lain (yang dikritik) tidak cepat melatah, berjiwa besar, jujur dalam menilai dan apa yang paling penting ialah, tidak menganggap kritikan itu sebagai satu peluru yang membunuh nilai persahabatan dan juga nilai keintelektualan atau kesarjanaan.

Saya percaya jika yang dikritik itu bertaraf sarjana, sebagaimana ia tidak mudah tewas hujah begitulah seharusnya ia tidak mudah terpengaruh dengan elemen-elemen yang mengheretnya ke medan pergaduhan atau perbalahan yang menimbulkan rasa benci di hati dan kecewa di jiwa.

Sebaliknya ia mestilah sangat menghormati kritikan dan pandangan pihak lain biarpun ia menganggap kritikan itu hanyalah hujah picisan atau pandangan yang dangkal (sebab kita boleh tidak menerimanya), justeru menghormati pandangan dan kritikan pihak lain adalah suatu sikap terpuji dan selayaknya itulah penampilan seorang sarjana apatah lagi jika dia seorang ahli politik.

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar : ayat 18)


Sikap tidak menghormati hujjah dan kritikan pihak lain hanya mempamerkan keangkuhan dan keegoan diri yang mungkin "teruja" dengan pencapaian ilmunya atau anugerah kesarjanaannya. Soalnya, apakah hujah dari pihak kita sahaja menepati ciri-ciri ilmiah sedang hujjah dari pihak lain dinilai picisan biarpun sarat dengan hujjah dan dalil?

Saya suka membawa pendekatan para sarjana agung dalam sejarah peradaban Islam. Ternyata mereka sangat tinggi disiplin dalam menangani khilaf dalam apa jua isu, terutama dalam isu-isu yang tidak menjejaskan akidah.

Ilmu dan tawaduk (merendah diri) menjadi asas disiplin tersebut di samping mereka mengetengahkan adab-adab ikhtilaf yang cukup wibawa dan berkualiti.

Lihat sahaja bagaimana imam-imam mazhab mengendalikan khilaf dalam kalangan mereka. Biarpun mereka menafikan sekeras-kerasnya hujah pihak lain, tidak sedikit pun mencalarkan penghormatannya terhadap orang yang mereka kritik apatah lagi meremehkan hujjah pihak lain. Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata terhadap imam As-Syafii, “Beliau (Imam As-Syafii) adalah manusia yang paling faqih (paling faham) tentang Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.” (Lihat : Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. hlmn:312.)

Imam Ahmad bin Hanbal juga ada menyebut dalam rujukan yang sama, “Aku tidak mengetahui nasikh hadis daripada mansukhnya melainkan aku duduk bersama As-Syafii.”

Walapun masing-masing membentuk mazhab, mereka berkhilaf di atas pentas ilmu yang dihiasi dengan keikhlasan dan ketakwaan bukan semangat menegakkan benang basah dan bersikap prejudis terhadap pihak lain.

Wajarnya disiplin mereka dalam menangani medan perbahasan dan penghujahan ini diterima pakai dalam setiap pertikaian antara kita dewasa kini.

Saya akur, bahawa khilaf tidak mungkin boleh dihapuskan. Terlalu banyak punca dan sebab yang menghela ke arah khilaf. Perbezaan latar belakang menuntut ilmu sudah cukup meletakkan para ilmuwan ini berkhilaf antara mereka. Tahap pencapaian ilmu, perbezaan manhaj dan method, jurang usia, perbedaan zuruf (suasana), perbedaan kefahaman dan (maslahah) kepentingan turut menjadi penyumbang penting berlakunya khilaf.

Kita tidak perlu sempit dada dan sesak nafas dengan fenomena ini. Ia sihat, malah terlalu sihat andainya para ilmuwan Islam ini dapat menanganinya dengan disiplin khilaf yang tinggi dan baik.

http://www.tarbawi.my

Wahai anakandaku, pulanglah awal

-, 30 Apr 2013



Ayahanda ingin memulakan surat ini dengan bertanya soalan ini. Apakah anakanda sedar mengapa manusia sering menelan air liur?

Semasa kita mendengar, melihat, makan, bercakap (mengumpat mahupun memuji) dan bersolat, manusia sentiasa menelan air liur?

Apa tujuan manusia menelan air liur? Air liur adalah salah satu makhluk Allah yang sentiasa keluar dari rongga tanpa disedari aleh manusia. Ia terdiri dari pelbagai bentuk molekul yang akan berubah sebagaimana air lain.

Bilamana kebaikan yang diterima, didengar, dilihat, dibaca atau disentuh, maka molekul air akan berubah membentuk nilai yang baik, demikian sebaliknya.

Maka setiap orang sebenarnya membentuk perlakuan ber-asarkan air liur yang ditelannya.

Pernahkah terlintas pada minda anakanda mengapa kita diwajibkan untuk menunaikan solat 5 kali sehari? Tujuannya mungkin adalah untuk kita menelan air liur yang baik yang menenangkan untuk 5 kali sehari. Begitu juga ketika kita senyum, orang yang melihat senyuman kita akan berasa riang kerana air liur yang dihasilkan adalah baik.

Sebaliknya sekiranya kita mengumpat seseorang, mendengar dan melihat benda yang tidak baik, air liur beracun akan dihasilkan sehingga minda kita terkena racun dengan buruk sangka, takut, dengki dan cemburu.

Wahai anakanda,

Anakanda sungguh bertuah kerana dilahirkan di zaman internet. Setelah subuh, anakanda membaca berita melalui internet – samada di Facebook atau mana-mana laman lain. Membeli surat khabar sudah dianggap sebagai satu pembaziran.

Ekoran itu, anakanda tidak terkena racun yang ditaburkan di media tradisional seperti akhbar tradisional dan TV.

Tapi, situasi sungguh berbeza bagi generasi ayahanda. Kami disajikan setiap hari dengan racun melalui surat khabar dan TV media perdana. Terlalu banyak air liur beracun yang telah kami telan untuk berpuluh tahun. Pemikiran kami sudah kaku seolah-olah diracuni. Berita pukul 8pm seolah-olah lebih penting daripada kuliah Maghrib bagi sebahagian besar kita.

Generasi ayahanda terkena racun air liur bahawa BN ialah tempat kami bernaung dan mencari makan. Tanpa BN habislah rezeki kami. Kami diracunkan sehingga sebegitu rupa sehingga terlupa bahawa rezeki datangnya dari Allah. Ada antara kita yang menganggap BN lebih besar daripada segalanya.

Namun itu sangat berbeza di generasi anakanda. Generasi anakanda tidak terkena racun ini. Air liur beracun yang cuba dihasilkan di mulut anakanda melalui akhbar-akhbar dan TV milik kerajaan gagal berlaku kerana anakanda ada internet sebagai sumber mencari kebenaran.

Oleh itu, dakyah kerajaan tidak terkena pada generasi anakanda. Generasi anakanda lebih sedar mengenai situasi negara kerana maklumat di hujung jari. Oleh itu, anakanda perlu menjadi agen perubahan dengan memberikan penawar kepada generasi ayahanda.

Generasi ayahanda perlu disembuhkan. Cara paling berkesan untuk menawarkan racun air liur berdekad yang ditelan kami ialah penerangan daripada anakanda menggunakan fakta dan hujah. Generasi ayahanda perlu dididik mendapatkan sumber maklumat kedua melalui teknologi-teknologi terkini. Diharap anakanda dapat memikul tanggungjawab ini.

Wahai anakanda,


Pulanglah mengundi kali ini. Ajaklah sahabat-sahabat anakanda untuk pulang ke kampung bersama untuk mengundi. Selain mengundi, anakanda boleh meluang masa dengan bonda dan ayahanda.
Baliklah awal sehari dua untuk memberikan penawar kepada kedua-dua orang tuamu. Yakni, anakandalah penawar racun air liur terbaik untuk mereka terkena dakyah kerajaan di akhbar-akhbar dan tv perdana.

Sekian itu sahaja anakanda untuk kali.

Ayahandamu.
Senyum.
Ini KALI-Lah.

Alkisah seorang murid pandai tapi…

Tuan Ibrahim Tuan Man, 30 Apr 2013


Seorang pelajar bernama Mahros sangat disukai oleh para guru di sekolahnya. Keputusannya agak bagus dan budi pekertinya sangat elok.

Mahros membawa perwatakan gadis yang soleh, mendengar kata dan bertimbang rasa.

Di Tingkatan 2, Mahros terus diangkat menjadi Ketua Kelas dan juga pengawas sekolah.

Sikap Mahros mula berubah selepas diangkat menjadi Ketua Kelas dan pengawas.

Di waktu rehat, untuk mengelakkan beratur panjang, Mahros menyalahguna kuasanya setiap kali untuk keluar awal dari kelas atas alasan ada urusan pengawas.

Di kelas agama Ustaz Ismail yang Mahros sangat tidak menyukai, Mahros selalu menggunakan alasan ada guru yang memanggilnya untuk perkara lain. Lalu Mahros lari keluar ke kedai koperasi, di mana guru koperasinya Cikgu Bijan selalu memanjakannya.

“Ros tak ada kelas ke? Senang datang bantu cikgu menjaga kedai koperasi waktu ini,” tanya Cikgu Bijan.

“Ustaz Ismail tak datang. Jadi kelas kosong. Saya ketua kelas keluar cari Ustaz Ismail tak dapat. Jadi datang sini,” Mahros menipu Cikgu Bijan.

“Saya ada kelas. Mahros boleh jaga kedai untuk satu waktu (40 minit)?” tanya Cikgu Bijan.

“Boleh. Cikgu pergilah,” kata Mahros.

Di kedai koperasi, Mahros mula mengambil untung sendiri dengan mengenakan harga lebih tinggi pada pelajar. Ada pelajar yang merungut, tapi kerana takutkan Mahros akan membalas dendam dengan selalu mencari masalah dengan mereka seperti pakaian tak sopan, rambut panjang, tudung tak elok dan lambat masuk kelas, mereka lebih rela memdiamkan diri.

Kadangkala bukan untung sahaja yang Mahros ambil, malah dia mula mencuri benda-benda yang boleh dijual di luar.

Cikgu-cikgu lain yang selalu memuji Mahros masih tidak mengetahui bahawa sikap Mahros dah berubah sama sekali.

Mahros kini seorang pelajar yang tamak, mencuri, menipu dan menindas pelajar. Di depan cikgunya, Mahros masih seorang pelajar yang keputusannya cemerlang dan sopan kerana di depan cikgu-cikgunya, Mahros akan berubah watak.

Namun, perubahan Mahros dikesan oleh Ustaz Ismail kerana Mahros paling banyak keluar daripada kelasnya. Namun keputusan pendidikan Islam Mahros masih mendapat A.

“Rosak kalau dibiarkan Mahros begini. Ya, keputusan pendidikan Islamnya masih A, tapi ia serupa membaca Quran tapi tidak mengamalkan segala yang disarankan Allah,” bisik Ustaz Ismail di hati.

Ustaz Ismail memikirkan satu cara untuk mendedahkan wajah sebenar Mahros. Beliau mula merakam alasan-alasan yang diberikan Mahros untuk keluar daripada kelas agamanya.

Satu hari di kelas Ustaz Ismail, Mahros memberikan alasan bahawa dia dipanggil Cikgu Mala dan mohon keluar kelas. Ustaz Ismail merakam apa yang dikatakan Mahros dan membiarkannya keluar kelas. Selepas 5 minit, Ustaz Ismail menelefon Cikgu Mala bertanya apakah benar beliau memanggil Mahros.

“Tak adalah. Mengapa Mahros berkata begitu? Mesti ada sebab. Sebab dia budak baik jarang menipu,” kata Cikgu Mala di telefon.

Ustaz Ismail kemudian menyuruh Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain untuk bersama mencari Mahros, dengan alasan Mahros jarang menipu, takut Mahros menghilang kerana sebab-sebab tertentu.

Akhirnya Ustaz Ismail sengaja membawa Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain ke kedai koperasi melihat Mahros sedang menjual barang-barang di kedai koperasi.

Mahros terkejut dengan kehadiran semua cikgu yang menyayanginya.

“Mengapa kamu di sini? Tadi kamu berkata Cikgu Mala nak jumpa,” tanya Ustaz Ismail.

“Ustaz salah dengar kot. Saya kata ada cikgu panggil. Tak sebut Cikgu Mala pun. Cikgu Bijan yang panggil saya ke sini bantu, jadi saya datanglah. Kelas agama ustaz, jangan bimbang, saya tak masuk pun, saya tetap dapat score A,” cubaan menipu Mahros dengan nada kecil kerana ingin berlakon seperti dia dianiaya.

Ustaz Ismail tidak mahu berkata apa-apa. Beliau menelefon Cikgu Bijan dan suruh beliau datang ke kedai koperasi segera.

Cikgu Bijan pun sampai dan terkejut melihat semua cikgu berada di sini bersama Mahros.

“Apa halnya ustaz?” tanya Cikgu Bijan.

“Mengapa Mahros ada di koperasi? Tuan Bijan ada panggil dia ke?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan melihat mata Mahros, dan Mahros mengangguk.

“Ya. Saya panggilnya. Ada apa?” kata Cikgu Bijan.

“Dia selalu keluar kelas saya dan Tuan Bijan selalu memanggil dia keluar waktu saya mengajar?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan mula menggelabah kerana nada Ustaz Ismail agak keras.

“Ya. Sebab Mahros dah pandai agama. Dia dah selalu score A. Tak pergi kelas ustaz pun tak apa,” Cikgu Bijan cuba mempertahankan Mahros.

Ustaz Ismail masuk ke kedai koperasi mengambil satu lagi alat perakam suara yang dipasangnya tanpa pengetahuan Cikgu Bijan dan Mahros.

Ustaz Ismail memainkan perakam suara yang ada di tangannya di mana jelas menunjukkan Mahros memberitahunya Cikgu Mala memanggilnya.

Perakam suara kedua di kedai koperasi berbunyi:

“Kamu ponteng kelas Ustaz Ismail lagi? Alasan apa yang kamu guna kali ini?” tanya Cikgu Bijan pada Mahros.

“Kali ini saya kata Cikgu Mala panggil,” jawab Mahros sambil ketawa.

Wajah Mahros dan Cikgu Bijan terbongkar akhirnya. Pelajar-pelajar yang membeli di koperasi terus mengadu bahawa mereka dipaksa membeli harga barangan koperasi yang dijual Mahros pada harga yang lebih tinggi.

Ustaz Ismail mengarahkan Cikgu Bijan melakukan satu pemeriksaan stok ringkas – dan mendapati jumlah stoknya kurang daripada sepatutnya, menunjukkan bahawa Mahros telah mencuri.

“Cikgu-cikgu sekalian. Mahros seorang budak baik sebelum ini. Malangnya kepercayaan kita dan kuasa yang kita berikan pada dia telah merosakkan dia. Kita terpaksa bertindak untuk melucutkan jawatannya untuk menyelamatkan dia daripada terus melakukan dosa.

Lagipun, orang yang hilang kuasa lebih mudah bertaubat. Jika kita kekalkan kedudukan Mahros, walaupun dia berjanji akan berubah, ia tidak akan berlaku kerana kuasa yang ada di tangan tidak akan menyebabkan Mahros insaf sepenuhnya,” cadang Ustaz Ismail.

Kalian cikgu-cikgu semua setuju termasuk Cikgu Bijan. Cikgu Bijan turut memohan maaf atas kesilapannya terlalu memanjakan Mahros.

Dapat maksud tersirat cerita ini?

Untuk menyelamatkan Barisan Nasional, kita perlu menurunkannya daripada tampuk kuasa. Sebenarnya itu cara terbaik untuk kita membantu BN untuk mengurangkan dosa. Hanya setelah hilang kuasa, barulah boleh seseorang betul-betul bertaubat dan insaf.

Bagaimana nak turunkan kuasa BN? Tak perlu bertumbuk dan bersamseng seperti mereka. Kita hanya perlukan sebatang pen. Hari 5 Mei ini, pangkah Bulan, Roket atau Bulan kecil.

Senyum.

Lepas baca, mohon share kepada kawan-kawan yang memerlukannya.

Jadilah agen perubahan.

INI KALILAH.

Tiada ulasan: