Rabu, 24 April 2013

ALASAN TENTUNYA KUKUH

Undi awal 30 April, tetapi polis sudah mengundi semalam?

Harakahdaily, 24 Apr 2013


(Kertas undi Parlimen Setiawangsa yang diterima anggota polis)

KUALA LUMPUR: Warga internet semalam kecoh apabila laporan yang mengatakan kertas-kertas undi untuk anggota polis sudah mula diedarkan semalam sedangkan pengundi awal hanya akan berlaku 30 April ini.

Beberapa blog semalam mula menyiarkan beberapa gambar kertas undi untuk Parlimen Setiawangsa dan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur mula diedarkan kepada anggota polis untuk proses undian.

Padahal menurut SPR sebelum ini, istilah pengundi pos sudah tidak ada dan hanya berlaku pengundian awal.

(Kertas undi untuk Parlimen Bandar Tun Razak yang diterima anggota polis undi undi pos)

Pengundian awal pula menurut SPR akan bermula 30 April, lima hari sebelum pengundian berlaku iaitu pada 5 Mei.

"Salah seorang sahabat seorang anggota Polis mendakwa telah diarahkan untuk mengundi hari ini meskipun difahamkan tarikh pengundian awal sepatutnya ialah 30 April," lapor blog Milo Suam semalam.

Selain itu, terdapat foto yang menunjukkan kertas undi kepada petugas pilihan raya terbabit turut dicetak dua nombor siri berbeza iaitu di borang dan kertas undi.

Pengendali blog Milo Suam ketika dihubungi mengesahkan perkara ini.

Beliau menerima panggilan dari rakannya itu dan memaklumkan mengenai.

"Saya minta dia memberikan bukti, lalu dia ambil gambar kertas undi itu dan dihantar kepada saya," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu, anggota polis di Bandar Tun Razak juga mula menerima kertas undi bersama sampul semalam.

Laman facebook Polis Diraja Malaysia pula mengesahkan undi pos bermula 23 April 2013 di samping undi awal yang akan bermula 30 April.

Berikut penjelasan polis dalam laman web Polis Diraja Malaysia itu.

#PRU13 #GE13 KEKELIRUAN ANTARA UNDI POS DAN UNDI AWAL:

Merujuk kepada kekeliruan yang ditimbulkan melalui media sosial berkaitan anggota polis sudah mula mengundi, berikut adalah perbezaan di antara Undi Pos dan Undi Awal:

UNDI POS - akan diadakan lebih awal iaitu sebaik sahaja kertas undi dicetak dan pengundi pos perlu mengembalikan kertas undi yang telah ditanda kepada Pegawai yang bertanggungjawab untuk menyerahkan kepada Pejabat Pegawai Pengurus selewat-selewatnya pada jam 5.00 petang pada hari mengundi. Bagi PRU 13, undi pos telah bermula PADA 23 April 2013 iaitu setelah pihak PDRM menerima kertas undi dari pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

UNDI AWAL - akan diadakan lebih awal sebelum tarikh pengundian biasa. Kertas-kertas undi yang telah ditanda akan disimpan dengan selamat dan akan dibuka untuk pengiraan pada jam 5.00 petang pada hari pengundian sebenar. Bagi PRU 13, pengundian awal telah ditetapkan pada 30 April 2013.

PRU13: Siapa Akan Pulihkan Ekonomi Malaysia?

Syahir Sulaiman, 24 Apr 2013
"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A’raf : ayat 96)

Rakyat di antara dua pilihan

Ekonomi sangat berkait-rapat dengan keputusan dan pilihan.

Sesebuah ekonomi yang sihat diukur pada tahap permintaan dan penawaran terkumpul yang terbit daripada kerancakan aktiviti keusahawanan dan transaksi perniagaan di antara penjual dan pembeli, manakala pelaksanaan polisi ekonomi sesebuah negara boleh bertindak sebagai pemangkin atau penghalang kepada kerancakan ekonomi tersebut.

Dalam sektor perniagaan, terdapat dua kategori usahawan iaitu mereka yang berdaya-eksplorasi (exploration) dan mereka yang berdaya-eksploitasi (exploitation). Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis usahawan ini wujud tetapi sebuah ekonomi yang sihat memilih lebih ramai usahawan berdaya-eksplorasi.

Di pentas politik pula terdapat dua kategori ahli politik iaitu mereka yang berdaya-khidmat (service-oriented) dan mereka yang berdaya-manipulasi (manipulative-oriented). Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis ahli politik ini wujud tetapi sebuah ekonomi yang sihat memilih lebih ramai pemimpin berdaya-khidmat berbanding pemimpin khianat yang hidup dengan korupsi, manipulasi dan pembaziran wang rakyat.

Manakala dalam kalangan rakyat juga terdapat dua kategori pengguna iaitu pengguna-bijak (smart consumer) dan pengguna-dimanipulasi (manipulated consumer). Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis pengguna ini wujud tetapi sebuah ekonomi yang sihat memilih lebih ramai rakyat yang bijak daripada dipijak.

Pemangkin sebenar pertumbuhan ekonomi terletak di tangan pengguna dan rakyat yang bijak.

Ekonomi Malaysia – Langkah Pemulihan

Tiada siapa dapat menafikan bahawa ekonomi Malaysia perlu dipulihkan,

Tahap permintaan dan penawaran di dalam negara bergantung pada tahap kecenderungan rakyat untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan (propensity to produce) yang dibalas dengan ganjaran pendapatan, seterusnya kecenderungan untuk berbelanja, menyimpan dan meminjam (propensity to consume, to save, to borrow). Kita seharusnya hidup mengikut kemampuan, seterusnya berjimat untuk menyimpan dan meminjam hanya untuk perkara yang berkualiti dan diperlukan.

Usahawan berjaya pula adalah mereka yang melaburkan masa dan tenaga dalam mencipta produk yang lebih baik, memberikan khidmat pelanggan yang terbaik, bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar, dan menyokong segmen pekerja untuk meningkatkan komitmen dan produktiviti.

Namun, dari masa ke masa, kebanyakan usahawan berdaya-eksplorasi ini cenderung untuk beralih menjadi usahawan berdaya-eksploitasi apabila mereka ini ‘terlalu besar untuk gagal’, melobi kerajaan untuk mendapatkan pelbagai projek, tender dan insentif cukai, mengurangkan kos dengan memberi tekanan kepada gaji pekerja, bergabung dengan pesaing untuk mewujudkan gergasi monopoli, ketandusan idea baru dan meneruskan penghasilan produk yang sama berbanding membangunkan produk baru, serta memanipulasi harga untuk mengaut keuntungan yang lebih terhadap pengguna dan rakyat.

Sokongan kerajaan sewajarnya dialih daripada membela gergasi korporat kepada usaha penggalakan pertumbuhan industri kecil dan sederhana. Insentif dan subsidi perlu disalurkan untuk meningkatkan kecekapan dan daya tahan rakyat dan usahawan, manakala polisi cukai dan undang-undang perlu dilaksanakan untuk mewujudkan iklim pelaburan yang mampan dan produktiviti yang tinggi, bukannya untuk melahirkan generasi ‘kenal-siapa’ (know-who) yang mengatasi kualiti ‘tahu-bagaimana’ (know-how) di dalam masyarakat.

Dasar ekonomi negara perlu beralih kepada prinsip nilai berbanding terbina di atas prinsip manipulasi yang dipandu rasa tamak dan takut (greed and fear). Kebergantungan kepada kerajaan dapat dikurangkan dengan membudayakan nilai tanggungjawab bersama di antara kaya dan miskin sebagaimana dianjurkan daripada amalan zakat, sedekah, infaq dan wakaf bagi menampung pembinaan institusi agama, masyarakat, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur kepada rakyat.

Pendekatan ekonomi berkebajikan

Gagasan pendekatan ekonomi berkebajikan yang dikemukakan oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang adalah sangat tepat dan berwawasan jauh sebagai jalan penyelesaian kemelut ekonomi yang sedang melanda negara dan dunia secara keseluruhannya.

Penegasan beliau bahawa tanggungjawab pemerintahan dan memakmurkan bumi ini adalah satu amanah yang mesti ditunaikan, bukan hanya untuk memenuhi tuntutan rakyat yang mengangkat sesebuah kerajaan, bahkan pada kekemuncaknya supaya kepimpinan negara bertanggungjawab kepada Allah SWT, jelas membuktikan iltizam ekonomi yang menjamin nilai keadilan sosial ditegakkan dalam urusan bernegara.

Sebagai kerangka dasar ke arah membetulkan kegagalan sistem ekonomi yang sedang melanda dunia dan negara, beliau telah mengemukakan empat langkah utama seperti berikut:

1. Membetulkan falsafah ekonomi sedia ada kepada yang lebih adil dan memakmurkan pertumbuhan ekonomi melalui dasar fiskal dan monetari yang menjamin keadilan sosial secara mampan;
2. Membetulkan pelaksanaan dasar ekonomi dengan bersendikan akhlak dan perkiraan dosa-pahala, akauntabiliti yang holistik, undang-undang yang mendidik mampu mencegah, dan seterusnya menghalang elemen pembaziran, ketirisan, penyelewangan serta rasuah;
3. Membuat penilaian menyeluruh terhadap kekuatan hasil mahsul negara, supaya pengurusan warisan khazanah negara ini dimanafaatkan dengan lebih telus dan adil untuk semua rakyat dan generasi masa depan;
4. Menolak diskriminasi, yakni dasar ekonomi dan sifat kebajikannnya dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik,  negeri, dan wilayah, dengan merujuk kepada keadilan Islam yang sebenar. Tindakan ini sekaligus menolak amalan kronisma nepotisma, dan manipulasi dan monopoli pasaran, melalui pelaksanaan undang-undang yang membela kebajikan rakyat keseluruhannya.

Hal ini pastinya menuntut kepada perincian melalui dasar dan polisi, serta program dan mekanisma yang tersusun ke arah merealisasikan hasrat murni ini.

Menarik untuk disorot ungkapan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam memberi pengertian terhadap sebuah kehidupan, baik untuk diteladani oleh rakyat dan kerajaan, yang menyebut “Saya lebih pentingkan kehidupan yang mewah di akhirat berbanding di dunia sekarang. Saya tanamkan dalam jiwa saya, apabila meninggal dunia nanti saya pasti tanpa meninggalkan sebarang hutang. Ini sudah cukup bagi saya. Paling saya takut meninggalkan hutang di kedai runcit atau sebagainya”.

Justeru, penyelesaian ke arah pemulihan ekonomi Malaysia bukannya terpikul di bahu pakar-pakar ekonomi, tetapi ia sebenarnya terletak di tangan anda.

Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi, Dewan Pemuda PAS Malaysia

Nadwah Ulama rumus sebab tolak BN pada PRU13

Harakahdaily, 24 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Nadwah Ulama dan Kepimpinan NGO Islam yang terdiri dari tuan-tuan guru, ulama dan pemimpin NGO Islam dari seluruh negara bermuafakat bahawa perubahan pemerintahan di peringkat Pusat dan negeri dalam PRU13 adalah suatu tuntutan kepada umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Dengan isu-isu yang berbangkit sepanjang 1999 hingga 2013, Nadwah yang dihadiri lebih 400 alim ulama dan 16 NGO Islam seluruh negara berlangsung di Alor Setar, semalam.

Turut hadir adalah Tuan Guru Haji Saleh Bin Musa selaku Mursyid Nadwah (gambar), Syeikh Mohd. Zainol Asri Romli, Tuan Guru Haji Abdul Majid Abu Bakar An Nadwi, Tuan Guru Haji Abdul Wahab Hassan, Tuan Guru Haji Abdullah Lebai Samah Bukit Lada, Tuan Guru Haji Mohd Rejab Md. Akhir, Syeikh Mohd. Rodi Abdul Rahman Al Hafiz, Tuan Guru Khairul Anuar Shafii, Tuan Guru Haji Mohd. Nasir, Mohd Azmi Abdul Hamid, Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Tuan Guru Haji Ahmad Abdullah, Tuan Guru Haji Yusuf Husin Pondok Penyarum dan Dr. Muhammad Fauzi Zakaria.
Para ulama, tuan guru dan pemimpin NGO Islam bersepakat bahawa kuasa pemerintah perlu berubah tangan pada PRU13 ini demi menyelamatkan negara dari terus menuju kepada kepincangan dan penyelewengan dalam urustadbir negara.

Mereka yang telah memegang kuasa telah mengkhianati mandat rakyat dengan pelbagai penyalahgunaan kuasa dan pembolotan kekayaan negara di kalangan pemimpin elit negara.

Isu berikut adalah alasan kenapa rakyat perlu menolak BN dan memberi mandat kepada gabungan parti alternatif dari Pakatan Rakyat untuk menerajui pemerintahan Pusat dan negeri dalam PRU13:

1. BN mempertajamkan sentimen agama dengan membiar pihak tertentu untuk menimbulkan konflik,

2. Sentimen perkauman sempit  semakin diapi-apikan oleh BN yang akan menghancurkan negara.

4. Status agama Islam tidak bertambahbaik malah semakin terjejas akibat dasar nasionalisme sempit dan faham sekular yang diamalkan oleh pemerintah.

5. Campur tangan dalam institusi awam oleh parti politik yang keterlaluan.

6. Perbelanjaan kewangan negara yang tidak telus,

7. Membenarkan politik lucah, politik wang dan politik mengaibkan yang semakin mengotorkan demokrasi,

8. Membenarkan penghakisan budaya hidup dan kelunturan aqidah umat Islam dan kerosakan moral masyarakat yang semakin parah,

9. Menyalahurus ekonomi negara sehingga menyebabkan kos hidup rakyat meningkat, beban hutang negara meningkat kepada lebih RM500 bilion





10. Penswastaan keperluan hidup asasi rakyat sehingga merumitkan kehidupan golongan berpendapatan rendah,
11. Amalan rasuah, kronisme dan nepotisme yang semakin parah,

12. Kos hidup yang melibatkan makanan asas, khidmat kesihatan, khidmat pengangkutan, kos pendidikan, perumahan yang semakin meningkat,

13. Keselamatan sosial yang semakin tidak terjamin,

14. Gejala keruntuhan akhlaq generasi muda yang semakin serius,

15. Perbelanjaan kerajaan yang mencatat salahurus agensi kerajaan seperti yang dilaporkan oleh Audit Negara berulang setiap tahun,

16. Keyakinan rakyat kepada agensi awam yang semakin luntur,

17. Politik kotor, politik wang, politik samseng dan politik lucah menjadi-jadi,

18. Kebocoran wang haram yang berjumlah berbilion ringgit keluar negara yang merugikan pendapatan negara dari segi cukai,

19. Salahurus penggunaan tabungan awam seperti KWSP, Tabung Haji, Tabung Tentera,

20. Korporat penting negara seperti TNB, Petronas , Telekom, MAS, PNB yang disalahurus kerana campurtangan politik  yang menyebabkan ada yang rugi dan ada yang disalahguna,

21. Pelbagai agensi awam diujudkan tetapi telah membebankan perbelanjaan negara tanpa memberi pulangan yang kepada rakyat seperti yang sepatutnya

22. Kedaulatan negara terjejas akibat kelemahan pertahanan negara yang menyebabkan banyak khazanah negara dicerobohi dan kuasa besar seperti Amerika Syarikat terus mengguna kesempatan untuk menguasai ekonomi danolitik negara

23.Sektor media awam disalahguna sehingga kredbiliti agensi media awam terjejas teruk akibat campurtangan parti politik pemerintah yang melampau.


Pendukung deklarasi ulama.




NGO-NGO




1. Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura)

2. Majlis Perundingan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)

3. Persatuan Ulama Kedah (Puk)

4. Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)

5. Teras Pengupayaan Melayu (Teras)

6. Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)

7. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah)

8. Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa)

9. Pertubuhan Darul Mustafa Negeri Kedah (Darul Mustafa)

10. Women’s Initiative For Research, Development & Advancement (Wirda)

11. Persatuan Kebajikan & Pendidikan Pelajar Islam Kedah (Persida)

12. Yayasan Paksi

13. Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah)

14. Gerakan Sokong Syariah (Gesa)

15. Institut Pengembelingan Komuniti (Impak)

16. Institut Penyelidikan Syariah Malaysia (Isra)




Pondok dan sekolah agama



  1. Madrasah Al Rahmaniah Sik
  2. Maahad Darul Muhajirin Gajah Teriak
  3. Madrasah Darul Muhtadin Jeniang
  4. Madrasah Manabi’ Al-Ulum Al-Diniah Telaga Batu Jitra
  5. Madrasah Ahmadiah Addiniah Al Islamiah Pondok Ahmad Nahu
  6. Madrasah Al-Zuhudiah Parit Panjang
  7. Madrasah Ahmadiah Bukit Pinang
  8. Madrasah Islahiah Pondok Ustaz Adnan
  9. Madrasah Nurul Islam Charok Tok Uban Sik
  10. Ribat Nasrul Muhajirin Kg.Permatang Kaka
  11. Al Madrasah Al Imaniah Ad Dalawiyah Kg. Padang Buluh Nipis
  12. Madrasah Addiniah Al-Mardiyah Pondok Sg.Kob
  13. Maahad As-Syatirie Kg Sg. Dedap Yan
  14. Maahad Al-Tarbiah Al-Islamiah Al-Wataniah Kg Begia, Sik
  15. Madrasah Darul Ulum Al Barakah Kg Batu Besar Sik
  16. Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah Kg. Sungai Mati Lepai
  17. Madrasah Takwiyatul Islamiah Pondok Bukit Lada
  18. Pondok Tn.Guru Hj.Hussin Dol Guar Chempedak
  19. Madrasah Tahzib An Nufus Pondok Ust.Awang Lanai
  20. Madrasah Al-Hidayah Al-Hukmiah Pondok Permatang Nibong
  21. Madrasah Munawwarah Parit Panjang, Baling
  22. Madrasah Al-Falah Al-Samaniah Ad-Diniah Pondok Alor Janggus
  23. Madrasah At-Tarbiah Pondok Kg. Landai
  24. Pondok Darul Saadah Sg Limau Baling
  25. Pondok Semeling
  26. Pondok Hj Wan Soleh Jitra
  27. Pondok Penyarum Baru Tobiar, Pendang
  28. Madrasah Jaafarul Hasanah Lepai
  29. Pusat Pengajian Tarbiyatul Auladiyah Kilim Langkawi
  30. Sek Men Islam Darul Ulum (Smidu) Pokok Sena
  31. Madrasah At Taklimiah Al Khairiah Tok Keling,
  32. Sek Men Agama Al Baqiyatussolihat Langkawi,
  33. Madrasah An Nur Al Islamiah Gajah Mati Pendang
  34. Akademi Islam Haji Abdullah Suboh Kota Kuala Muda,
  35. Sekolah Menengah Agama Ihsaniah Belantik Sik,
  36. Sek Men Agama Makarimul Akhlak Langgar
  37. Maahad Tarbiah Islamiah Derang
  38. Madrasah Zubaidiyah Merbok
  39. Pusat Pendidikan  Al-Islah Pinang Tunggal
  40. Madrasah Nurul Hidayah Kg.Tembak K.Ketil
  41. Markaz At Ta'lim Wat Tarbiah Pondok Bandar Hilir
  42. Madrasah Saadatul Wathoniah Kg. Tembak K.Ketil
  43. Madrasah Misbahul Falah Parit Panjang
  44. Madrasah Nurul Islah Parit Panjang
  45. Maahad Tahfiz Al-Fityan Yan
  46. Maahad Tahfiz Al Quran Yayasan Al Huffaz Parit Panjang
  47. Institut Pendidikan Islam & Tahfiz Al-Quran Abada Parit Panjang
  48. Pusat Tahfiz Al Amin Lunas
  49. Pusat Pengajian Islam Maahad Raudatul Ulum Serdang,Kedah
  50. Maahad Tahfiz Mutmainnah Sungai Petani
  51. Ma'ahad Al-Imam Al-Syafie Pendang
  52. Maahad Tahfiz Al-Barakah Tikam Batu,Sg Petani
  53. Maahad Qiraat Amal Aimy Dzalifah
  54. Sekolah Tahfiz Sains An-Najihin Kulim, Kedah
  55. Maahad Tahfiz Saidina Abu Bakar Kuala Nerang, Kedah
  56. Maahad As Solehah Kuala Kangkong Alor Setar
  57. Sek. Agama At-Toyyibah Changlun
  58. Madrasah Islahiah Diniah Memali Baling
  59. Sek. Ren. Islam Darul Ulum (Sridu) Tandop Alor Setar
  60. Sek. Integrasi Faizin (Saif) Guar Chempedak
  61. Sek. Ren Islam Darul Ulum (Sridu) Langkawi
  62. Sek. Ren Islam Burhanuddin Al-Helmi Alor Star
  63. Sek. Rendah Islam An-Nur Gajah Mati Pendang,
  64. Sek. Ren Islam Darul Ulum (Sridu) Kupang, Baling
  65. Sek. Rendah Islam Raudhatul Muslimin Sg. Kembal Kuala Ketil
  66. Sekolah Rendah An-Naim Kuala Ketil
  67. Sek. Rendah Darul Hijrah Mukim Siong Baling





     Ribuan warga P'jaya hadiri ceramah Husam, Mat Taib
    Harakahdaily, 24 Apr 2013
    PUTRAJAYA: Kehadiran bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkempen untuk calon PAS Putrajaya Datuk Husam Musa malam tadi ternyata mencetuskan fenomena luar biasa.

    Dalam program ceramah yang berlangsung di padang kompleks kejiranan Presint 9 malam tadi, lebih 10,000 hadir untuk mendengar ucapan Muhammad yang baru sahaja mengisytiharkan diri menyertai PAS dua hari lalu itu.

    Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib juga adalah bekas Ahli Jawatankuasa Tertinggi Umno.

    Beliau yang pernah menjadi menteri besar Selangor selama 11 tahun ketika di dalam BN, juga dikenali sebagai antara tokoh berpengaruh khususnya bagi masyarakat Melayu di Selangor.

    Selain Husam, turut berceramah sepentas adalah bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan Dr Zaiyadi Awang Noh.

    Mat Taib dalam ucapan awalnya ketika mengumumkan menyertai PAS sebelum ini memberi jaminan akan berkempen untuk kemenangan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.

    Beliau akan turun khususnya ke seluruh Selangor, membantu calon-calon PAS dan Pakatan Rakyat berkempen sepanjang tempoh kempen ini.

    Berikut antara gambar sekitar ceramah malam tadi.




Tiada ulasan: