Jumaat, 26 April 2013

BILA RAKYAT DAH MENOLAK...PAYAH NAK DIPUJUK LAGI...DITAMBAH KEMPEN MELAMPAU2 LAGI RAKYAT MELUAT

Ceramah berkelompok lebih berkesan kepada pengundi wanita

Muhammad Faizal, 25 Apr 2013

(Wanita yang hadir dalam ceramah berkelompok di Sungai Besar)

SUNGAI BESAR: Pendekatan kempen melalui ceramah kelompok meningkatkan sokongan dari pengundi kaum wanita terutamanya mereka yang berada di kampung-kampung.

Perkara itu dijelaskan oleh calon Dun Sungai Panjang (PAS), Mohd Fadzlin Taslimin kepada Harakahdaily yang sempat mengikut program kempen beliau.

Jelasnya lagi, melalui ceramah kelompok beliau dapat menarik lebih ramai pengundi wanita dan mudah untuk memberi penerangan.

"Mungkin pendekatan saya ini berlainan yang mana saya lebih kepada ceramah kelompok, bagi saya ini satu pendekatan terbaik untuk saya mendekati pengundi wanita.


(Mohd Fadzlin [tengah] bercakap dengan seorang wanita di Sungai Besar)

"Sepanjang 5 hari saya berkempen terdapat peningkatan sokongan dari pengundi wanita apabila kita mengadakan penerangan melalui ceramah kelompok," katanya.

Tambahnya lagi, golongan wanita lebih suka mendengar dalam suasana yang ringkas dan dalam kelompok yang kecil kerana ia dapat memberikan pemahaman yang jelas.

Jelasnya, bukan beliau tidak mengadakan ceramah yang besar melibatkan pimpinan utama, tetapi kebiasaan yang hadir majoritinya golongan lelaki dan golongan lelaki yang hadir tidak menyampaikan apa yang diterangkan pada ceramah tersebut kepada isteri mereka.

Fadzlin turut menyatakan selain peningkatan sokongan golongan wanita, masyarakat Melayu turut cenderung sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.

"Saya juga melihat sokongan masyarakat Melayu ada kecenderungan kepada Pakatan Rakyat, ini adalah hasil dari penjelasan kita tentang kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Mereka sedar dan mengakui apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri dan apa yang mereka perolehi sepanjang lima tahun pemerintahan Pakatan Rakyat," sambung beliau.

Faktor bahawa Pakatan Rakyat adalah kerajaan di Selangor banyak membantu kempen PAS kali ini berbanding pilihan raya 2008.

Ini kerana, orang kampung lebih hormat kepada kerajaan berbanding pembangkang.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan dengan penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam PAS juga turut menunjukkan masyarakat Melayu mula berminat dengan PAS.

Fadzlin menegaskan walaupun tumpuan diberikan kepada masyarakat Melayu, pengundi-pengundi Cina dan India walaupun mereka terus menyokong Pakatan Rakyat tumpuan turut diberikan bagi memastikan hubungan silaturahim itu terus terjalin.

Jeneral pilih PAS kerana tertarik perjuangan Islam

Anis Nazri, 25 Apr 2013

(Left Jeneral (B) Datuk Ismail menyerahkan borang menyertai PAS kepada Datuk Mustafa)


KUALA LUMPUR: Bekas Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir. Ismail Samion memilih PAS kerana tertarik dengan ideologi parti itu yang memperjuangkan Islam.

Beliau yang menyerahkan borang keahliannya kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, pagi tadi, berkata tiada apa yang boleh ditinggalkan kepada anak-anak dan keluarganya melainkan Islam.

"Saya pun sudah berumur, mungkin akan pergi esok lusa.  Apa yang kita mahu tinggalkan untuk anak-anak dan isteri, kalau bukan Islam?" soal beliau kepada wartawan.

Beliau turut menambah, suasana politik hari ini juga menunjukkan perlu berlakunya satu perubahan menyeluruh demi memastikan masa depan yang lebih telus dan adil.


Katanya, perubahan itu perlu datang dari diri sendiri, ahli keluarga dan teman-teman bagi sama-sama menyemarakkan momentum ke arah perubahan.

Ini kerana, tegasnya perubahan menyeluruh ini tidak boleh dilakukan bersendirian, sebaliknya perlu dilakukan dalam kelompok yang besar.

(Datuk Ismail mengisi borang memohon menjadi ahli PAS)

Mengakui kelompok tentera tidak mempunyai kebebasan bersuara ketika dalam perkhidmatan, Ismail menegaskan kini beliau tampil berani untuk menentang segala kemungkaran supaya tidak berterusan.

"Dulu saya tidak aktif politik.  Maklumlah, pegawai kerajaan kena patuh.  Tidak boleh bercakap...tak dibenarkan cakap pun. Tapi selepas bersara ini, saya berasakan perlu bersama-sama membuat perubahan.  Dan inilah peluang yang ada untuk melakukannya," tegas beliau lagi. yang cenderung dengan sistem dua parti.

Beliau berpandangan sistem dua parti membolehkan rakyat mempunyai pilihan yang luas untuk memilih, selain tidak menjadikan sesebuah parti monopoli itu sebagai sebuah parti yang tidak boleh ditegur.

"Kalau terus mengamalkan sistem monopoli secara berterusan, ia menjadikan sesebuah kerajaan itu tidak boleh ditegur dan boleh berbuat apa sahaja yang disukai mereka," kata beliau lagi.

Atas sebab itu, tambah Ismail perlua ada persaingan di antara dua parti bagi memastikan keselesaan rakyat dapat dipenuhi.

Perkara itu, kata Ismail boleh dilihat apabila BN memberi begitu banyak bantuan muktahir ini, bairpun boleh melakukannya sejak memerintah Malaysia 55 tahun lalu.

"Kenapa BN banyak beri bantuan? Kerana Pakatan Rakyat kuat menyebabkan mereka terpaksa memberi pelbagai bantuan. Sejak 55 tahun memerintah, tidak ada apapun (bantuan).  Apabila ada persaingan hebat, rakyat mendapat faedahnya.  Justeru, kita perlu meneruskan momentum itu," seru beliau.

Dilahirkan di Kuala Nerang, Kedah pada 23 Nov 1951, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir. Ismail Bin Samion (TUDM) merupakan lulusan dari Universiti Reading, UK dalam bidang kejuruteraan mekanikal pada tahun 1980.

Beliau telah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 38 tahun sebagai seorang jurutera dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Komandan Akademi Tentera Malaysia (MAM) dan akhirnya sebagai Naib Canselor (VC) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Kerjayanya dalam TUDM bermula sebagai seorang jurutera junior di skuadron pengangkutan (helikopter) dan semakin memuncak apabila dilantik ke jawatan Penolong kepada Ketua Tentera Udara (Kejuruteraan).

Beliau dilantik sebagai ketua jurutera TUDM (1997 hingga 2000) sebelum dilantik sebagai komandan MAM pada tahun 2001.

Apabila Akademi dinaik taraf kepada Universiti Pertahanan, pada tahun 2006, beliau telah dilantik sebagai Naib Canselor pertama. Beliau merupakan jurutera pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor sesebuah IPTA.

Selain daripada itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting lain di dalam berbagai sektor industri dan kejuruteraan Malaysia.

Beliau juga sangat aktif dalam menyokong aktiviti-aktiviti Industri Pembinaan dalam sebagai seorang penilai panel (2005 hingga 2010).

Beliau juga merupakan salah seorang daripada perintis bagi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam menilai dan mencadangkan penerima anugerah The CEO of the Year dan The Prominent Award.

Beliau pernah mewakili Institusi Jurutera (IEM) di dalam Lembaga Panel Tatatertib, Peguambela & Peguamcara (2010 hingga 2012) dan juga sebagai ahli PEMUDAH Selangor (2010 hingga 2012).

Mempunyai seorang isteri, Datin Khalijah Hashim dan dikurniakan 4 orang cahayamata. Ayah beliau, Samion bin Mohamad, adalah salah seorang bekas anggota tentera yang terkorban ketika Kedah diserang komunis pada tahun 1954. Ibu beliau bernama Aminah bt Ishak.

Penyertaannya ke dalam PAS hari ini melambangkan kesediaan Pakatan Rakyat untuk mentadbir dengan dengan baik dan mendapat sokongan dari teknokrat negara.

Urusetia Komuniti Orang Asal, non-Muslim di Kelantan

Aslani M, 25 Apr 2013


KOTA BHARU: Biar pun penduduk Melayu membentuk 95 peratus rakyat Kelantan, namun komuniti Orang Asal dan non Muslim pelbagai kaum turut diberi keutamaan di negeri ini.

Sehubungan itu PAS Kelantan mencadangkan urusetia khas diwujudkan bagi membangunkan masyarakat terbabit agar kehidupan mereka lebih terbela.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, kerajaan negeri tidak pernah lupa peranan masyarakat minoriti di negeri ini bagi sama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri.

Katanya, usaha itu menggambarkan PAS komited dengan program Membangun Bersama Islam bagi keberkatan dan kemakmuran rakyat Kelantan.

“Selain itu kita juga bercadang mewujudkan Majlis Amal Kebajikan Negeri bagi menyelaras program kebajikan rakyat.

“Kita juga memastikan penyelesaian secara adil permohonan milik tanah dan sehingga sekarang kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 78,000 permohonan hak milik tanah,” katanya ketika melancarkan tawaran PAS untuk rakyat Kelantan sempena pilihan raya umum ke-13 di sini, hari ini. (Gambar atas)

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff.

Tawaran tersebut yang bertema Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan setebal 42 muka surat diedar kepada wartawan.

Malam semalam sebahagian daripada sembilan teras tawaran tersebut diumumkan di hadapan ribuan rakyat di padang Majlis Daerah Pasir Puteh.

Tawaran tersebut meliputi cadangan menaik taraf Bahagian Dakwah Halaqat sesuai dengan peranan besar agensi berkenaan bagi mendidik rakyat.

Manakala tawaran-tawaran lain termasuk:-

+ Memperkasa Yayasan Islam Kelantan sebagai peneraju bagi pelaksanaan pendidikan bersepadu dan penyelarasan kurikulum sekolah rendah Islam

+ Pembinaan kompleks pendidikan Islam Kelantan

+ Memperkasakan peranan Institut Latihan Darulnaim bagi melahirkan pentadbir Islam yang cekap dan berintergriti

+ Menyusun semula syarikat milik kerajaan (GLC) bagi meningkatkan sumber kewangan dan pembangunan ekonomi

+ Meneruskan amalan perkongsian kerajaan-swasta bagi merancakkan pelaksanaan projek ekonomi berskala besar

+ Mewujudkan institusi pelaburan ekonomi rakyat Kelantan

+ Memperkasakan dana kebajikan rakyat melalui sumbangan GLC

Pengundi Pakistan, IC Sabah, mengundi di Perak

Muhammad Faeez Azahar, 25 Apr 2013
IPOH: PAS Perak telah mengesan banyak pengundi yang diragui berada di negeri ini.
Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Ahmad Nuri (gambar) berkata, sebanyak 4,095 pendaftar pemilih yang mendaftar kad pengenalan di Sabah telah dikesan mengundi di Perak.

Katanya, di Parlimen Tanjung Malim sahaja, terdapat 146 pengundi yang mendaftar kad pengenalan di Sabah termasuklah 30 daripadanya berketurunan Pakistan.

“PAS Perak hairan kenapa pengundi Pakistan kesemuanya mempunyai kad pengenalan Sabah dan kenapa tidak dari negeri lain,” katanya kepada Harakahdaily.

Ustaz Nuri menjelaskan, ini telah membuktikan projek IC Sabah yang dilakukan oleh BN benar-benar berlaku di negara ini.

PAS, katanya merasakan pengundi berketurunan Pakistan itu adalah hasil daripada projek IC sabah yang dilakukan oleh BN.

Ini bermakna katanya, projek IC tersebut bukanlah digunakan di Sabah sahaja tetapi di seluruh negara.

“Kami mempersoalkan kenapa pengundi berketurunan Pakistan ini mendaftar di  tempat lain termasuk di Tanjung Malim.

“Adakah mereka ini wujud di semua kawasan di seluruh negara?” soal beliau lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan seluruh jentera di semua peringkat mengesan individu-individu tersebut untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

“Inilah berlaku di negara ini apabila pemimpin sanggup memberikan kerakyatan kepada warga asing bagi  berusaha memastikan mereka terus berkuasa di negara ini.

“PAS sangat kesal dengan tindakan ini namun kami yakin usaha kotor ini tidak akan menjadi penghalang untuk kita menawan Putrajaya pada pilihanraya ini,” tegasnya lagi.

Calon PAS berazam jadikan Kunak daerah contoh

Harakahdaily, 25 Apr 2013
LAHAD DATU: Daerah Kunak perlu dijadikan agenda penting dalam transformasi negara dan negeri ini dalam menjadikan daerah tersebut sebagai sebuah daerah maju dan membangun.
Calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Kasman Karate, berkata agenda tersebut termasuklah memperluaskan semula penstrukturan jajaran komunikasi dan jaringan perhubungan agar selaras dengan perkembangan semasa negara.

“Saya begitu yakin bahawa, Kunak boleh dijadikan daerah kecil yang menjadi contoh kepada daerah-daerah kecil yang lain terutama di Sabah ini.

“Kunak turut memerlukan sebuah kepelbagaian kepakaran dalam bidang pembangunan yang akan menjadi asas kepada kemajuan dan kemudahan penduduk,” jelas beliau dalam sidang media di Bilik Gerakan MTD N.51 Kunak, dekat sini pagi tadi.

Katanya, perkara tersebut bukan merupakan perkara baru malah telah tercatat dalam buku Sejarah Malaysia dan turut disahkan oleh para arkelogi bahawa Kunak dijadikan tapak kegiatan manusia purba dan salah satu tempat pra-sejarah di mana zaman kewujudan manusia pertama di Tingkayu.

”Kunak bukan sahaja kaya dengan pelbagai sumber asli dan hidupan marin, tetapi Kunak juga merupakan sebuah daerah kecil yang kaya dengan kisah sejarah.

“Sejarah Kunak perlu diterokai dan dijadikan sumber tarikan para pelancong,” ujar beliau yang juga Setiausaha PAS Kawasan Silam.

Ujarnya, agenda pembangunan daerah tersebut dijadikan keazaman dan tekad beliau untuk terus berkhidmat kepada lapisan masyarakat terutama golongan muda yang memerlukan latihan serta bimbingan.

“Masalah yang timbul sama ada di kalangan generasi muda ini, memerlukan langkah penyelesaian yang konkrit bagi menjamin masa depan mereka di kemudian hari.

“Saya melihat bahawa golongan belia tidak diberikan peluang dan tempat yang sewajarnya. Ramai di kalangan golongan ini tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bekerja secara sampingan untuk mencari pendapatan,” jelasnya.

Kasman turut mempersoalkan pengaliran peruntukkan yang diperuntukkan kepada golongan anak muda di daerah ini.

“Saya mewakili suara anak muda ingin mempersoalkan ke mana perginya peruntukan yang diberikan untuk melaksanakan program-program anak muda,” kata beliau.

‘Ingat jasa cikgu’ bekas murid bantu Che Uda

Harakahdaily, 25 Apr 2013


SIK: ‘Ingat jasa cikgu’, itulah ungkapan bekas-bekas pelajar yang pernah mendapat didikan dan mengenali calon PAS bagi Parlimen P.013 Sik, Che Uda Che Nik.

Sebagai bekas pengetua dan Pegawai Pelajaran Daerah, Che Uda bukan sahaja mempunyai kelebihan bergaul dengan para pelajar dan pegawai di pejabat pelajaran, termasuk kakitangan kerajaan di jabatan di sini.

Bagi bekas pelajar, mereka berjanji untuk pulang mengundi pada 5 Mei nanti bagi memberikan sokongan kepada Che Uda mempertahankan kerusi parlimen Sik yang dimenangi pada PRU12 lalu.

Pada PRU 2008 lalu, Che Uda yang mendapat 16,864 undi menewaskan calon BN, Datuk Othman Desa yang memperolehi 16,383 undi dengan majoriti 481 undi.

Pada PRU13 ini, beliau ditentang oleh calon BN, Dr Mansor Abd Rahman.

Menurut Che Uda, bekas-bekas pelajar berkenaan yang kini berada di luar kawasan bukan sahaja akan pulang mengundi bahkan mereka turut membantu kempen melalui laman sosial.

“Mereka yang berada di luar ini juga dapat mempengaruhi ibu bapa dan keluarga yang berada di sini untuk memberikan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU13 ini,” ujarnya.

(Gambar: Che Uda pada satu majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar.)

Mengenai kakitangan kerajaan, beliau berkata, sekitar 80 peratus mereka yang bertugas dan mengundi di Parlimen Sik akan mengundi PAS dan Pakatan Rakyat.

“Pegawai kerajaan kini sudah berubah, insya Allah 80 peratus daripada mereka akan memberikan sokongan kepada saya,” katanya yang memperoleh Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dan Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1974 dan Diploma Pendidikan juga dari universiti yang sama.

Menurutnya, antara punca beliau mendapat perhatian dan simpati kakitangan kerajaan kerana pernah diletakkan di dalam 'peti sejuk' sewaktu menjadi Pegawai Pelajaran Daerah.

Selain itu, Che Uda dan isteri yang mempunyai keluarga besar di kawasan Parlimen Sik ini juga menjadi faktor yang akan dapat membantu beliau mempertahankan kemenangan pada PRU lalu.

“Pengaruh keluarga juga penting untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum kali ini kerana para pengundi juga akan memberikan sokongan kepada calon yang mempunyai keluarga besar di sini,” ujarnya.

JustUndi: Pakatan dominasi semua negeri

Harakahdaily, 25 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Just Undi merupakan satu aplikasi permainan android yang membolehkan rakyat negara ini menyatakan pilihan awal untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebelum hari sebenar mengundi pada 5 mei ini.

Berada di google play store sejak 5 Mac lalu, aplikasi ini membenarkan pengguna telefon pintar mengundi sama ada Pakatan Rakyat (PR) atau BN.

Sebelum membuat pilihan, pengguna diminta memilih negeri mana untuk diundi merujuk kepada kawasan mengundi pengguna tersebut.

Bagaimanapun, tiada kawasa sama ada Parlimen atau Dun disenaraikan dan pengguna hanya boleh memilih negeri sahaja.

Aplikasi ini juga hanya membenarkan pengunna mengundi sekali sahaja bagi mengelak pengundian berganda.

Kemaskini pada jam 1 tengah hari ini, keputusan JusUndi Poll menunjukkan sokongan di semua negeri didominasi oleh Pakatan Rakyat.

Perlis mencatatkan nisbah sokongan 67 peratus PR manakala 33 peratus BN, Kedah (74:26) BN, Pulau Pinang (81:19), Perak (80:20) dan Selangor (80:20).

Sementara itu di negeri selatan tanah air Negeri Sembilan (77:23), Melaka (73:27) dan Johor (71:29).

Bagi Wilayah Persekutuan pula, Labuan (63:37), Putrajaya (73:27) dan Kuala Lumpur (66:34).

Bagi negeri di Pantai Timur, Pahang (72:28), Terengganu (73:27) dan Kelantan (77:23), manakala Sarawak (66:34) dan Sabah (68:32).

Bagaimanapun di bahagian bawah aplikasi ini menyatakan bahawa, JustUndi adalah satu aplikasi mendidik masyrakat untuk mengundi dan tidak mencerminkan keputusan sebenar PRU13.

Tiada ulasan: