Sabtu, 27 April 2013

ADA MATA TENGOK...ADA TELINGA DENGAR...ADA OTAK FIKIR

Gambar Petugas cedera 'Teruk' dalam insiden letupan di ceramah BN
Posted on Saturday, April 27 @ 09:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh AnakSgDerhaka

Petugas cedera 'Teruk' dalam insiden letupan di ceramah BN Nibong Tebal tersebar!!.. Saksikan betapa parahnya dia...



Seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan akibat terkena bahan letupan ketika majlis ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) berlangsung di pekarangan Bilik Gerakan BN Nibong Tebal di Nibong Tebal malam tadi.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mangsa berusia 30-an itu dikejar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilapor stabil.

Beliau berkata polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian yang berlaku pada 10.15 malam itu, dan tidak menolak kemungkinan ia perbuatan khianat.

"Kita telah arahkan Unit Bom dan Forensik untuk menyiasat jenis letupan yang digunakan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Abdul Rahim berkata hasil siasatan akan dimaklum secara terperinci pada satu sidang akhbar secepat mungkin.

Terdahulu, majlis yang dihadiri 3,000 orang itu menjadi kecoh apabila orang ramai bertempiaran lari selepas terkejut mendengar satu letupan kuat pada jarak kira-kira 10 meter dari bahagian belakang pentas ucapan.

Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah.

Bagaimanapun, majlis yang bermula pada 8.30 malam itu diteruskan seperti biasa dengan kawalan ketat anggota polis dan berakhir pukul 12.30 malam.

Sementara itu, beberapa saksi kejadian yang berada berhampiran pentas ketika ditemui berkata mereka terkejut mendengar letupan kuat berkenaan dan masing-masing berlari menyelamatkan diri.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Micheal, 39, berkata sewaktu kejadian, beliau baharu tiba di lokasi kejadian dan hanya sempat mendengar ceramah kira-kira 10 minit sebelum terkejut dengan letupan itu dan menyelamatkan diri bersama isterinya.

Katanya, letupan itu sangat kuat seperti bom menyebabkan semua orang terkejut dan suasana menjadi riuh rendah sebelum beliau ternampak seorang lelaki cedera dan dibawa ke hospital.

Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 58, berkata letupan itu dari longgokan sampah di belakang pentas.



"Letupan itu menyebabkan sampah berterbangan sehingga terpercik dan mengotori beberapa buah kenderaan, mujurlah serpihan bahan letupan itu tidak mengenai saya," katanya.

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow pula menyifatkan insiden itu mencemar nama baik demokrasi dan mahu segala bentuk amalan politik yang menjurus ke arah keganasan dihentikan serta-merta.

"Kita tidak mahu semasa tempoh berkempen ini ada rakyat atau pengundi yang cedera, dan saya nasihatkan semua parti bertanding dapat mengawal emosi penyokong kerana kita tidak mahu peristiwa sebegini berulang lagi," katanya.

Antara barisan penceramah pada majlis itu ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman, Ketua Wanita MCA Tan Cheng Liang dan Pengerusi Perhubungan Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Kat atas tu apa yang telah dilaporkan oleh Bernama dan berikut pula ialah komen Calon BN bagi Parlimen Nibong Tebal ini..



Betul ke teruk??.. cuba tengok gambar di bawah ni..




Ish.. ish... ish... teruk betul kecederaannya.. cedera parah tu..

Persoalannya disini ialah...kenapa majlis yang bermula pada 8.30 malam itu diteruskan seperti biasa dengan kawalan ketat anggota polis dan berakhir pukul 12.30 malam, jika Unit Bom dan Forensik sedang menyiasat jenis letupan yang digunakan?

Majlis sepatutnya dihentikan terus jika pihak Polis menemui sebarang unsur-unsur yang boleh mendatangkan kecelakaan yang serius..

Tiba-tiba muncul pula cerita ini..



Boleh percaya ke??.. macam cerita kartun saja ni.. atau sekadar nak meraih simpati pengundi?

Lagipun... ada ke pengganas nak sabotaj majlis orang dengan meletakkan bahan letupan dalam longgokan sampah?.. kalau adapun tentu bangang sekali pengganas itu...

darisungaiderhaka.blogspot.com


 
Letupan PRU: Suspek belajar dari negara jiran
AHMAD ISMADI ISMAIL
27 April 2013
Ceramah anjuran BN Nibong Tebal dicemari insiden letupan
Penyokong-penyokong BN bahagian Nibong Tebal memerhatikan kesan letupan di perkarangan Bilik Gerakan BN Nibong Tebal di Jawi malam tadi. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam kejadian meletupkan kawasan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Nibong Tebal, Pulau Pinang dan Sekinchan, Selangor, baru-baru ini, cuba mempelajari apa yang berlaku dalam kejadian serangan dan pengeboman semasa proses pilihan raya negara jiran.

“Polis sedang mempertingkatkan risikan mengenal pasti dalang sebenar yang mengupah serta mengarah pelaku menimbulkan keadaan kekecohan dan huru-hara semasa berkempen.

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal isu membabitkan sesuatu yang boleh mengancam keselamatan masyarakat, tidak kira dia dari parti mana sekalipun hukuman dan tindakan tegas akan dikenakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Khalid juga berharap agar rakyat menjadikan iktibar dengan apa yang menimpa penduduk di negara jiran selepas beberapa siri letupan dan serangan pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan pihak tidak berdosa terkorban.

“Jangan bawa masuk budaya meletupkan kawasan awam seperti yang sering berlaku di negara jiran, demi keharmonian dan ketenteraman awam negara ini,’ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner  Ramli Mohamed Yoosuf, pelbagai kesalahan sepanjang tempoh seminggu kempen PRU13 antaranya, kes ugutan ke atas seorang calon di Kuala Kubu Baru, Selangor, baru-baru ini.

“Calon dipercayai diugut untuk membayar RM30,000 kepada sekumpulan individu sekiranya ingin menang dalam PRU13,” katanya.

Katanya, PDRM turut menerima laporan kes ugutan bunuh yang diterima Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pada jam 5.40 petang, 22 April lalu yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh individu yang tidak dikenali.

“Kami menerima laporan daripada mangsa, kelmarin. Kes itu masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menerima laporan kejadian pergaduhan dan merosakkan poster calon bertanding di Rembau, Kuching, Jertih, Tampin dan Menglembu.
3 lelaki direman bantu siasatan letupan di Nibong Tebal

26 April 2013
3 lelaki direman bantu siasatan letupan Nibong Tebal
3 lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes letupan tempat ceramah BN Selasa lepas. - Foto Bernama
NIBONG TEBAL - Tiga lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kejadian letupan di tempat ceramah Barisan Nasional (BN) di Jawi di sini Selasa lepas.
  
Perintah reman sehingga 29 April itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Salwa Jaafar.
  
Polis menahan ketiga-tiga lelaki yang berumur antara 25 dan 41 tahun itu di Georgetown, Bukit Mertajam dan Seberang Perai Selatan, kelmarin.
  
Kejadian letupan itu berlaku pada pukul 10.15 malam semasa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang.
  
Berikutan itu, seorang petugas keselamatan berusia 35 tahun cedera di kaki kanan terkena serpihan sampah akibat letupan berkenaan.
  
Polis mengesahkan bahan letupan yang digunakan dalam insiden itu ialah alat letupan rekaan (IED) dan percaya ia adalah perbuatan terancang sekumpulan profesional. - Bernama

Letupan bukan halangan terus kempen'
9:26PM Apr 25 2013  
Ancaman letupan dalam ceramah BN sebelum ini tidak harus menjadi halangan supaya orang ramai terlibat dalam kempen pilihan raya yang tinggal sepuluh hari sahaja sebelum pengundian pada 5 Mei ini.

Calon PKR Sungai Acheh Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya menolak memberi persepsi mengaitkan Pakatan Rakyat dengan perkembangan negatif itu.

Mengambil kira perkembangan terkini, beliau yang lebih dikenali sebagai CheguBard menuding jari kepada "mereka" yang didakwanya cuba "mengganggu mood perubahan" rakyat.

anwar ceramah in permatang pauh 270311 chegubard"Taktik menghantar samseng ke tapak ceramah tidak memberi kesan mengurangkan kadar kehadiran orang ramai.

"Apakah letupan bom ini satu taktik baru?" soal Badrul yang terkenal dengan NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang dipimpinnya.

Semalam, polis mengesahkan bahan letupan yang digunakan dalam insiden malam Selasa berhampiran bilik gerakan BN Nibong Tebal ialah Alat Letupan Rekaan (IED) dan percaya perbuatan terancang sekumpulan profesional.

Dalam kejadian pukul 10.15 malam kelmarin, seorang petugas keselamatan berusia 35 tahun cedera di kaki kanan terkena serpihan sampah akibat letupan berkenaan.

Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang.

KPRU: Hanya 3.4% tangkapan
Sementara itu, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendesak polis segera mengambil tindakan tegas kerana keganasan politik semakin menjadi-jadi ketika tarikh pengundian makin hampir.
Badan pemikir itu dalam kenyataannya berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 632 laporan polis diterima daripada hari penamaan sehingga masa terkini tetapi hanya 22 tangkapan (atau 3.4 peratus) sahaja dibuat.

"KPRU mempersoalkan apakah tindakan polis untuk menghalang atau membanteras kejadian-kejadian seperti ini?" kenyataan itu dipetik.

"Pada tahun lepas, keganasan politik berlaku di ceramah-ceramah politik pakatan pembangkang. Pada tahun ini, ia telah bermula menular kepada pihak BN. KPRU menyeru pihak polis mengambil tindakan sebelum terlambat."
Polis buru 3 remaja baling bom petrol di Jelapang
 
Polis sedang memburu tiga remaja yang dipercayai membaling dua bom petrol ke arah Bilik Gerakan Barisan Nasional di Jelapang semalam.
  
Jurucakap media pilihan raya umum ke-13 kontinjen polis Perak, Supt Maszely Minhad berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil atau menghubungi balai polis terdekat.
  
"Kita sedang menjejaki suspek melalui maklumat yang kita perolehi setakat ini. Namun ia belum mencukupi. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Akta Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
  
Beliau turut mengingatkan semua penyokong parti agar mematuhi undang-undang dan tidak sengaja melakukan kerosakan atau khianat terhadap mana-mana parti bertanding.
  
Dalam pada itu, Maszely berkata polis menerima 11 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya dan telah membuka tiga kertas siasatan semalam.
  
"Semalam, empat lelaki ditahan kerana menimbulkan kekacauan di sebuah Bilik Gerakan di Kampung Kerunai, Gerik dan kesemua mereka kini ditahan reman," katanya.
  
Beliau berkata sebanyak 143 ceramah telah dijalankan di seluruh Perak semalam di mana 30 dari jumlah itu didapati tidak mempunyai permit.

"Meskipun kaedah permohonan permit telah dipermudahkan, namun masih ramai penganjur ingkar untuk berbuat demikian," katanya.
  
- Bernama
Kereta anak Dr Xavier dibakar
NURULFATIHA MUAH
27 April 2013
Kereta anak Dr Xavier dibakar
Ford Fiesta milik Sangetha musnah dipercayai akibat perbuatan khianat.
Sangetha Jeyakumar
Sangetha Jeyakumar
KLANG - Kereta milik anak perempuan calon PKR Seri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar musnah dibakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di rumahnya, di Taman Klang Jaya, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Sangetha Jeyakumar, 30, berkata, kejadian disedari jirannya apabila melihat dua lelaki memanjat tembok masuk ke pekarangan rumahnya sebelum memecahkan cermin kereta dan melempar tong petrol serta membakarnya.

Katanya, beliau tiada di rumah dan ada di Bilik Gerakan Dun Seri Andalas ketika kejadian kira-kira jam 11 malam, manakala suami dan anak lelakinya sedang tidur.

“Jiran menjerit minta bantuan dan suami terjaga lalu menelefon saya. Sampai ke rumah api sudah dipadamkan bomba dan polis. Ford Fiesta saya dibakar tahap ‘total loss’.

“Jiran saya turut diugut simbah petrol ketika cuba bantu tapi tidak berjaya selepas rumah saya dikerumuni jiran lain,” katanya.

Sangetha yang juga Setiausaha AMK Cabang Kota Raja berkata, beliau kerugian hampir RM85,000 namun dokumen penting untuk pilihan raya yang diletakkan dalam bonet kereta terselamat.

“Keluarga saya trauma tetapi ia tidak akan membakar semangat kami untuk memperjuangkan dasar Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau mendakwa insiden itu hampir mencetuskan pergaduhan apabila terdapat kira-kira 100 pemuda memakai baju berlogo Barisan Nasional (BN) membuat provokasi di hadapan rumahnya selepas api dipadamkan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, polis menahan empat lelaki disyaki ada kaitan dengan kes.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan kedudukan semua suspek, sebelum menahan mereka pada jam 5 pagi semalam.

"Kita turut rampas dua tong minyak, sebilah parang serta satu pemetik api dalam kereta Kia Sephia berwarna perak milik suspek," katanya.

Mohamad berkata, semua suspek sebenarnya tidak berpuas hati dengan individu lain yang mengganggu adik perempuan seorang daripada mereka.

"Namun mereka tersilap rumah dan melakukan serangan ke atas orang lain (mangsa)," katanya.

Mohamad berkata, polis percaya motif serangan tiada kaitan dengan isu politik.
Dinding masjid diconteng perkataan kesat kutuk parti politik
MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
27 April 2013
Dinding Masjid diconteng perkataan kesat kutuk parti politik
Mohd Basri (dua, kiri) bersama jemaah masjid menunjukkan perkataan kesat ditulis di dinding beranda masjid.
BANDAR TUN RAZAK - Jemaah Masjid Assyakirin Felda Keratong 5 yang ingin menunaikan solat Subuh gempar apabila dinding beranda masjid itu diconteng dengan tulisan tidak sepatutnya menggunakan penyembur cat berwarna merah, semalam.
Calon Pas Dun Bukit Ibam, Syukri Ahmad berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan pihak yang ‘taasub’ berpolitik hingga sanggup mencemar kesucian Islam.
Menurutnya, perbuatan itu juga disifatkan sebagai tidak menghormati masjid yang menjadi tempat umat Islam menunaikan solat, menuntut ilmu dan mengeratkan perpaduan.
“Kami mengecam tindakan tidak bertanggungjawab dilakukan pihak yang mungkin ekstrem politik hingga lupa masjid adalah rumah ALLAH SWT yang perlu dimuliakan,” katanya.
Syukri berkata, perkara itu dianggap serius memandangkan masjid bukanlah ‘gelanggang’ untuk mana-mana pihak meluahkan perasaan tidak puas hati.

“Kita sepatutnya menghormati sistem demokrasi sedang berjalan, tetapi biarlah dengan cara yang betul dan bukannya bertindak dengan fikiran tidak waras hingga menyebabkan kita tidak menghormati rumah ibadah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Pas diketuai Ketua Penerangan Kawasan Rompin, Suhaimi Ahmad membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Razak pada jam 11 pagi semalam.

“Bagi melahirkan perasaan kesal, kami turut mengajak jemaah masjid menunaikan solat hajat selepas solat Jumaat supaya diberikan petunjuk kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya.

Pengerusi Masjid Keratong 5, Mohd Basri Abd Rahim pula berkata, semua jawatankuasa masjid tanpa mengira fahaman politik mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut sambil menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, jawatankuasa masjid juga melarang dan tidak membenarkan sama sekali mana-mana pihak untuk berpolitik di dalam masjid.
“Kami kesal dengan perbuatan tersebut dan meminta polis menyiasat perkara ini dengan lebih mendalam," katanya.

Sinar Harian 19 April lalu melaporkan, seramai 20 ahli Pas membuat laporan polis di Bandar Tun Razak selepas bendera parti itu dipatahkan dan diconteng dengan pelbagai lakaran menggunakan cat berwarna hitam di sekitar Bandar Tun Razak, Keratong 3 dan Keratong 5.
Bagaimanapun, keesokannya, Barisan Nasional (BN) pula tampil membuat laporan sama apabila mendakwa dua bendera parti itu turut dibakar.
Perbuatan khianat itu mendorong kira-kira 50 pengundi muda BN diketuai Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Keratong 5, Yahya Darus membuat laporan di balai polis sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, polis sudah menyiasat kes itu dan mengklasifikasikan ia sebagai perbuatan khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: