Selasa, 23 April 2013

BETUL...BAGI PELUANG...ANGGOTA MELAYU JUGA SERTA MENGHAYATI ISLAM DENGAN BAIKNYA...MALAYSIA BUKAN PARTI TERTENTU PUNYA...ATAU KAUM...MALAH ALLAH YANG PUNYA...SEDARLAH KITA MAKHLUK YANG AKAN MATI

Fadzil Hanafi: Umno Kedah tak banyak 'calon agama'
 
Bekas anggota exco Kedah Datuk Fadzil Hanafi yang disingkirkan daripada Umno kerana bertanding sebagai calon Bebas di DUN Alor Mengkudu berkata beliau kecewa dengan BN yang menurutnya tidak banyak mengetengahkan calon dengan latar belakang agama di peringkat DUN kali ini.
Beliau yang pernah memegang portfolio hal ehwal agama Kedah itu berpendapat, tindakan berkenaan "tidak menampakkan bahawa Umno memperjuangkan agama" dan beliau menganggap ia satu "penghinaan" kepada Islam.

Fadzil juga berpendapat, Umno tidak mengambil pengajaran daripada kekalahan dalam "tsunami 2008" supaya memilih calon yang dikehendaki rakyat.

Katanya, masyarakat di kampung khususnya di Alor Mengkudu amat menyukai calon yang mempunyai latar belakang agama khususnya bagi mengendalikan majlis berkaitan Islam seperti tahlil, kenduri kesyukuran, membelah mulut anak dan menjadi imam.

"Sepatutnya parti ambil (calon) yang terbaik daripada baik. Ikut pemilihan kali ini, tidak ada tokoh agama. Tak ada tokoh agama seorang pun, menjadi calon yang dipilih oleh perdana menteri. Adakah ini dikatakan Umno memperjuangkan agama?.

"Kalau dia (Umno) memperjuang agama, sudah tentu dia meletakkan orang agama lebih daripada kepada orang lain, kerana negeri ini berada di tangan pembangkang," katanya petang ini.

Beliau juga tidak berpuas hati apabila BN mencalonkan semula individu yang telahpun tewas sebanyak dua kali sebelum ini, selain individu yang pernah dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

Sedangkan, rakannya, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim sebagai tokoh agama juga tidak dicalonkan bertanding kali.

"Saya tengok kerakusan mereka ini, jangka masa hayat mereka akan lebih singkat. Apabila jangka hayat semakin singkat, yang menjadi mangsa adalah orang Melayu, kerana selama ini yang mempejuangkan orang Melayu adalah Umno.

"Sekiranya sesebuah parti yang memperjuangkan agama, tetapi dari segi pelaksanaannya, mengetepi tokoh agama, satu musibah akan melanda parti tersebut," katanya.

Satu-satunya calon dari kalangan tokoh agama yang diketengahkan di Kedah adalah menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanding di parlimen Jerai.

Beliau juga berpendapat, masyarakat masih lagi memerlukan khidmatnya di kawasan yang pernah dimenanginya dalam pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Pada pilihan raya umum 1999, beliau menang di kerusi DUN Tanjong Seri – sebelum persempadanan semula – dengan majoriti 440 undi. Manakala pada 2008 undi majoriti beliau meningkat kepada 2,827 undi. Beliau digugurkan pada 2008.

Fadzil berkata beliau memenuhi semua ciri perkara berkenaan. Selain itu, beliau juga seorang anak tempatan yang merendah diri, mesra dengan orang kampung, mudah didekati, dan berpengalaman.

Beliau berdepan dengan persaingan tiga penjuru antara ketua Pemuda PAS Kedah Ahmad Yahya dan ketua Wanita Umno Alor Setar Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah.

Fadzil yakin, pengundi yang "waras" akan memilih beliau berbanding Sharifah Maznah.

"Kalau dia (rakyat) kata Sharifah, tak apa kita terima. Kalau rasa dia waras, dia mesti terima (calon) agama... Sebagai contoh, siapa nak baca doa.

"(Betul), dia boleh (panggil) orang pejabat agama tapi tidak ada ke di kalangan calon-calon (BN) yang bertanding (yang berupaya mengetuai bacaan doa)?" soalnya lagi.

Beliau yang ditemui di kediamannya semalam berkata, beliau merancang untuk menguasai persaingan ini dengan hubungan baiknya dengan pengundi di kawasan tersebut.

"Saya selesa (berkempen) bersendirian dan tidak perlu mengadakan ceramah yang lebih besar. Saya menjadi wakil rakyat selama dua penggal.

"(Bahan kempen seperti) risalah dan bendera pun ada. Saya memerlukan dua hari lagi sebab masih tidak siap lagi.

"Kalau buat ceramah besar-besar, kalau yang hadir tidak ramai, ia memberi imej yang tidak elok dan dikatakan tidak dapat sambutan. Saya lebih kepada personal touch," katanya.

Fadzil juga berkata, beliau juga tiada masalah untuk menyampaikan ceramah di pentas PAS atau PKR memandangkan beliau kini telah dipecat daripada Umno.

Katanya, beliau telah mendapat jemputan ceramah daripada Pakatan Rakyat khususnya PAS di DUN Kubang Rotan pada 27 April ini dan akan memikirkan untuk memenuhi jemputan tersebut.
Jeneral bersara mahu tawan JB dengan taktik 'Bosnia'
10:53AM Apr 23 2013  
VIDEO l 4.58 minit
Bekas ketua turus Angkatan Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein berkata beliau akan menggunakan strategi sama seperti ketika menangani perang saudara Bosnia-Herzegovina dalam usahanya untuk merampas kerusi parlimen Johor Bahru.
Beliau berdepan orang kuat BN Datuk Shahrir Abdul Samad di kerusi berkenaan.
"Saya tidak akan mendedahkannya (strategi) buat masa ini, tapi memadai jika dikatakan ia rancangan yang sama (di Bosnia) walaupun kita perlu menyesuaikan dengan keadaan di Johor Bahru.

"Saya ada ijazah sarjana dalam kajian peperangan dan kami mengkaji peperangan. Tentulah, sebagai seorang tentera saya akan menggunakannya di lapangan," kata Hashim dalam satu wawancara dengan KiniTV lewat petang semalam.
BN yakin calonnya mampu atasi Guan Eng
 
Kerusi Parlimen Bagan yang dipertahankan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada pilihan raya umum ke-13 ini dianggap kubu kuat DAP, namun bagi Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, peluang untuk BN membuat kejutan tetap ada.

Ini kerana kata Teng, pemimpin BN di kawasan itu telah bekerja keras sejak empat tahun lepas membela dan memperjuangkan kebajikan rakyat yang diabaikan wakil rakyat di situ.  

"Semua calon BN yang bertanding di kerusi Parlimen Bagan dan tiga dewan undangan negeri (DUN) di sini dikenali rakyat setempat kerana merekalah yang sering turun padang," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat gerakan MCA Bagan, di Butterworth malam tadi.

Beliau memberi contoh calon BN bagi kerusi parlimen iaitu Chua Teik Siang yang dilihat sebagai 'underdog' dalam pertembungan itu, namun menjalankan tugas sebagai 'wakil rakyat' sejak lebih empat tahun lepas.

Dari segi populariti, Lim memang terkenal di sini apatah lagi kawasan Bagan kubu kuat DAP sejak 1986, namun dari segi kerja Chua lebih dikenali, katanya yang menambah sokongan pengundi kepada BN, terutama kaum Cina yang merupakan majoriti, semakin meningkat.

Menurut Teng, walaupun calon BN merupakan muka baharu, mereka optimis kerana rata-rata rakyat meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan DAP menunaikan manifesto 2008 termasuk menghapuskan tol Sungai Nyior.

Kerusi Parlimen Bagan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Lim, Chua dan calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Lim Kim Chu. Kawasan itu mempunyai 59,385 pengundi.

Tiga DUN yang kesemuanya disandang wakil DAP iaitu Bagan Dalam, Bagan Jermal dan Sungai Puyu masing-masing menyaksikan pertandingan empat penjuru, tiga penjuru dan satu lawan satu.

DUN Bagan Dalam ditandingi calon BN Karuppanan M Malairaja, Tanasekharan Autherapady (DAP), Lim Seang Teik (PCM) serta calon Bebas Asoghan Govindaraju.

Di Bagan Jermal pula calon BN Tan Chuan Hong bertembung Lim Hock Seng (DAP) dan Lim Kim Chu (PCM), manakala Sungai Puyu ditandingi calon BN Sum Yoo Keong dan Phee Boon Poh (DAP).

Sementara itu, Chua berkata pengalamannya selama lebih empat tahun turun padang di kawasan berkenaan mendapati masyarakat jelak dengan sikap kerajaan negeri pimpinan DAP yang tidak melakukan apa-apa untuk rakyat dan hanya tahu mengutuk usaha pembangunan yang dijalankan BN.

Beliau merujuk kepada kegagalan kerajaan negeri di bawah DAP yang gagal menambah bilangan sekolah Cina di Bagan bagi menampung keperluan yang bertambah setiap tahun, selain tiada perancangan untuk membangunkan ekonomi dan menyediakan rumah kos rendah.

Bagan masih kekal dengan lima sekolah yang dibangunkan kerajaan BN sebelum ini, katanya.

"Macam mana mereka (pembangkang) mahu ambil alih Putrajaya kalau Pulau Pinang pun tak dapat dijaga dengan baik?," katanya.

Beliau turut meluahkan kemusykilan dengan keputusan tiba-tiba kerajaan negeri mahu membina terowong dasar laut kononnya untuk mengatasi masalah lalu lintas di Pulau Pinang.

"Kenapa tergesa-gesa nak jalankan projek itu? Kalau mereka ada RM6.3 bilion, kenapa tidak membina rumah kos rendah di Bagan dan juga monorel yang lebih realistik dan memanfaatkan semua rakyat," katanya.

Beliau turut mencabar pembangkang menetapkan tahun Malaysia akan bankrap kerana mereka sering menjaja tohmahan negara akan muflis jika BN terus meneraju Malaysia.

"...sudah 55 tahun dipimpin BN tidak bankrap malah lebih maju dan rakyat hidup senang," katanya.

- Bernama
Mat Taib: 'Umno sudah buat baik, beri Pas peluang'
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
23 April 2013
Muhd Taib / Mat Taib
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, Pas, Umno dan PKR harus bersatu di bawah satu lambang yang bertunjangkan Islam supaya perpecahan di kalangan umat Melayu-Islam dapat dihentikan segera.

Disebabkan itulah beliau memilih untuk menyertai Pas yang pada hemat beliau sebagai sebuah parti yang boleh menambah baik apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) selama ini ke arah Malaysia yang lebih baik.

"Saya tengok bangsa saya berpecah belah. Pecah belah teruk ini, tidak nampak asasnya untuk bersatu. Ramai cerdik pandai, semua menyeru kepada kesatuan.

"Saya juga cuba menyumbangkan sekarang ini, mungkin saya gagal, tak apa.  Tetapi lebih baik saya bercakap dan menyampaikan daripada saya diam. Ini pada saya satu usaha," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Muhammad, yang juga bekas Naib Presiden Umno dan bekas menteri Kabinet, semalam menyerahkan borang menyertai Pas sekali gus menjawab desas-desus seorang menteri besar akan menyertai Pas dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Sinar Harian, Muhammad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib berkata, hanya dengan penyatuan, Pas, Umno dan PKR, syiar Islam dapat dikembangkan dan kepimpinan berteraskan al-Quran dapat diterjemahkan.

"Itu saya kata, kalau kita serius hendak menzahirkan kepimpinan Islam yang bersatu, kita kena menguatkan kepimpinan Islam," tegas Mat Taib.

Oleh itu katanya, beliau memilih menyertai Pas bagi tujuan penyatuan itu.

"Kalau di sini carca marba punya cara, sambutan merdeka pun boleh menari pakai seluar dalam pun nampak, saya lebih berminat kalau sambutan merdeka, sambutan ini baca doa. Sekarang ini pun radio Ikim, ratingnya tinggi. Minat orang sudah ada ke situ," katanya.

Ditanya adakah hasrat beliau itu diajukan kepada Umno, Mat Taib berkata, "saya tengok kumpulan yang berminat dalam bidang ini ialah Pas" dan tambahnya "saya tidak mahu serang Umno kerana saya lama dalam Umno."

"Itu tidak adil. Umno sudah buat baik. Saya fikir Pas perlu diberi peluang. Bagi dia peluang," katanya.
Mat Taib: Saya tak pernah kecewa dengan Umno
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
23 April 2013
Mat Taib
SHAH ALAM - Menafikan hasratnya menyertai Pas kerana didorong perasaan kecewa, mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, hajatnya untuk menyertai Pas sudah lama wujud.

"Tidak betul itu," jawab beliau dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.
"Saya sudah jumpa Datuk (Seri) Hadi (Awang) setahun lepas di rumah Datuk dengan Mohamad Sabu, dua-dua sekali. (Mereka kata) masuklah-masuklah (Pas)," jelas Muhammad lagi.

Namun ujarnya, beliau mengambil masa yang agak lama untuk memutuskan menyertai Pas kerana mahu menambahkan ilmunya dahulu.

"Saya kata nanti dulu, saya pun tak cukup ilmu saya lagi.

"Jadi saya fikir, semua (Pas, Umno dan PKR) bergabung tapi mesti menggunakan lambang Islam. Kita mati nanti,  kita ditanya balik, anda pasti dengan apa yang anda perjuangkan? Saya amat pasti dengan apa yang saya perjuangkan sekarang," kataya.

Muhammad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Taib menambah, kini beliau yakin perjuangannya pada hari ini adalah perjuangan yang sebenar-benarnya demi agama, bangsa dan negara.

"Saya bukan hendak jawatan, saya tak mahu jawatan. Saya tak mahu bertanding sebab itu kita umumkan dua hari selepas penamaan calon," ujar beliau.
Nama Anis melonjak selepas terima nisan
Wartawan Sinar Harian
23 April 2013
Anis Afida
SENAI – Anis Afida Mohd Azli, 25, merupakan calon termuda dari Johor yang bertanding di N38 Dun Penawar mewakili Pas.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) dari Universiti Teknologi Malaysia ini mula diasah bakatnya menerusi perjuangan penduduk di Pengerang selaku status Pengerusi NGO Gabungan Pengerang.

Keberanian dan kelantangannya bersuara pernah mengaitkannya dengan insiden mengejutkan iaitu penerimaan ‘hadiah’ berupa batu nisan yang tertera namanya dan dicatatkan tarikh kematian.
Malah kediaman ibu bapanya di Bandar Penawar turut diancam dengan simbahan cat merah menyebabkan kerosakan kereta dan halaman rumah.
Insiden itu secara tidak langsung melonjakkan namanya lalu diangkat Pas selaku calon PRU13.

Menyentuh berkaitan PRU13, Anis yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Negeri Johor menaruh harapan untuk melihat perubahan.

Dia turut mengakui statusnya sebagai calon muda bukan penghalang malah menjadi kelebihan buat pengundi seusia mendampinginya.

“Saya yakin dengan gelombang anak muda, kerana komposisi kaum majoritinya Melayu dan seimbang dari usia. Saya melihat faktor usia bukan kekangan mendekati masyarakat.
“Arwah datuk dan nenek, ibu bapa, adik-beradik dan saudara saya merupakan penduduk tempatan dan amat dikenali dalam masyarakat setempat.

"Saya mendekati pengundi seperti rakan sebaya dan mendekati mereka yang berusia seperti datuk, nenek dan cucu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, statusnya selaku wanita dan muda akan menjadi kelebihan buatnya malah tidak mencetuskan situasi kurang senang.

“Kedudukan saya mewakili Pas membuktikan calon muda relevan menjadi pemimpin dan diberi peluang untuk memimpin. Kami akan membawa perubahan dari idea dan perjuangan,” katanya.

Anis Afida menentang penyandang Hamimah Mansor (BN) di Dun Penawar dengan majoriti pengundi sebanyak 98.36 peratus Melayu, 0.32 peratus Cina, 0.53 peratus lain-lain kaum.
Mubarak Selangor kesal Mat Taib sertai Pas
NIZAM ZAIN
22 April 2013
Muhammad Taib
Muhammad Muhd Taib menyerahkan borang keahlian kepada Hadi Awang di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur hari ini. Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
Muhammad Taib
Muhammad Muhd Taib (dua dari kiri) dengan rasminya menyertai Pas. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
SHAH ALAM - Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai Pas berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Mubarak Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar berkata, tindakan Muhammad itu tidak pernah diduga biarpun banyak dinasihatkan Mubarak dan rakan parti supaya tidak meneruskan hasratnya itu.

"Kita kesal dan syukur kami Mubarak Selangor tidak ikut jejak beliau, hanya beliau seorang tinggalkan kami.

"Sebelum ini ramai kawan beliau cuba merapatkan hubungan dengannya untuk meminta pendapat dan nasihat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha Sekretariat Mubarak Selangor, Datuk Abd Samad Maharudin; Ketua Penerangan Mubarak, Datuk Salomon Selamat dan Ahli Jawatankuasa Mubarak Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Muhammad, 65, yang turut dikenali dengan panggilan Mat Taib, menyerahkan sendiri borang kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pagi tadi.

Sehubungan itu, Abu Hasan berkata, Mubarak Selangor akan mengemukakan laporan kepada Majlis Tertinggi Mubarak bagi memaklumkan perkara itu untuk diambil tindakan susulan.

Ditanya sama ada Mat Taib akan menjadi ancaman kepada BN khususnya sepanjang tempoh berkempen nanti, beliau berkata, ia tidak sedikit pun menjejaskan peluang BN untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR).

"Kami yakin Mat Taib tak ada ruang dan tempat di Selangor lagi dan usaha dia untuk menagih undi daripada rakyat negeri ini tidak mungkin berjaya," katanya.

Meskipun Muhammad jelasnya masih mempunyai pengaruh yang kuat di Selangor, namun perkara itu beliau serahkan kepada rakyat untuk menentukannya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketika diminta mengulas status keahlian Muhammad dalam Umno, beliau berkata, perkara tersebut akan diputuskan oleh majlis tertinggi parti walaupun beliau mempunyai keahlian seumur hidup.

"Kalau ahli tidak patuh kepada garis panduan parti, individu itu boleh dipecat dan digugurkan keahliannya," katanya.

Dalam pada itu, Mubarak dan BN Selangor juga bersedia menghadapi sebarang serangan terhadap mereka dalam kempen pilihan raya PR yang mungkin akan digunakan untuk membantu jentera parti pembangkang.
Mat Taib: 'Saya kena sokong parti ada pendirian'
SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
22 April 2013
Muhammad Muhd Taib
Muhammad bercakap pada sidang media selepas penyerahan borang keahlian menyertai Pas hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyertai Pas hari ini berkata, beliau merasakan sudah tiba masanya perubahan dilakukan agar pembangunan dinamik negara ini "mempunyai roh."

Katanya, beliau melihat Pas sebagai satu-satunya parti yang mampu membawa kesedaran tersebut.

“Selama saya menjadi menteri besar dan aktivis Umno, memang benar negara kita maju. Tetapi, sudah sampai masanya pengisian pembangunan ini ada rohnya.

“Saya fikir parti yang boleh isi roh itu mestilah parti yang perjuangkan Islam. Hanya Pas yang bawa kesedaran itu," katanya kepada pemberita.

Muhammad, 65, yang turut dikenali dengan panggilan Mat Taib, menyerahkan sendiri borang kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, Pas juga dilihat mempunyai pendirian untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh.

“Kalau Melayu bawah satu lambang agama dan diterapkan dalam satu ajaran, masyarakat tak akan berkecamuk. Pelaksanaan Islam sekarang tak menyeluruh.

“Saya kena sokong parti yang ada pendirian. Jika semua orang Melayu dan Islam sokong Pas, saya fikir negara ini boleh jadi contoh,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Taib berkata, hasrat menyertai Pas sudah timbul setahun lalu namun hanya diumumkan dua hari selepas penamaan calon.

“Hasrat dah setahun tapi saya tunggu masa sesuai. Saya umum selepas penamaan calon sebab tak mahu orang kata saya nak jadi calon.

“Saya tak berhajat jadi calon atau pegang jawatan. Saya cuma nak bagi sokongan kepada Pas,” katanya.

Beliau juga berkata, orang Melayu di bandar mesti menaikkan syiar Islam melalui undi kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, penyertaan Mat Taib mampu memberi kekuatan kepada Pas.

“Kita mengalu-alukan penyertaan beliau. Kita anggap ini sokongan yang cukup kuat daripada seseorang yang mempunyai pengaruh besar di Selangor.

“Kehadiran beliau juga memberi kekuatan kepada parti untuk terus melangsungkan perjuangan Islam,” katanya.
MB Terengganu sumpah laknat
NORHAFIZA MUSA
23 April 2013
Mb Terengganu sumpah laknat
Ahmad semasa sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat PMINT dengan SPRM, semalam.
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sekali lagi bersumpah laknat bahawa beliau tidak terlibat dalam skandal balak yang dituduh oleh pihak pembangkang selama ini.

Sumpah tersebut dibuat semasa hadir ke Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, di sini, semalam.

Sumpah itu merupakan kali ketiga dilakukan sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.

Pertama semasa dituduh terlibat dalam isu pakaian sekolah, dan kedua beliau bersumpah menghubungi Lim Guan Eng dalam isu tempat letak kereta bertingkat semasa sidang Dun.

“Terbaru, saya dituduh terlibat dengan skandal balak. Sebab itu hari ini, di hadapan tuan-tuan biarlah saya bersumpah.

"Bismillahirrahmanirrahim, Wallahi, Watallahi, Wabillahi. Saya tidak terlibat melakukan rasuah dalam pemberian (skandal) balak,” katanya disambut tepukan hadirin pada majlis itu.

Sementara itu, semasa sidang media, beliau berkata, pihak pembangkang sengaja mempolitikkan isu itu walaupun perkara itu telah diserahkan kepada SPRM.

Katanya, pihak pembangkang sengaja bermain politik dengan menyelitkan perkara tersebut dalam siri-siri ceramah mereka.

Menurutnya, beliau juga bercadang membawa al-Quran semasa kempen PRU supaya apabila ada ceramah yang menuduhnya terlibat dalam skandal tersebut, beliau tidak teragak-agak untuk naik ke pentas pembangkang.
“Kalau saya dengar mereka berceramah ada diselitkan isu tersebut, saya akan suruh mereka bersumpah dan saya akan bersumpah sekali. Kebetulan hadir majlis hari ini, saya bersumpah terus.  

“Saya tidak terlibat dengan skandal balak dan ambil duit dan sebagainya. Saya bukan orangnya. Ini merupakan kali ketiga, saya bersumpah.  Pertama semasa isu pakaian sekolah, kedua isu tempat letak kereta dan hari ini skandal balak,” katanya.

Beliau juga bercadang untuk mengenakan syarat akuan bersumpah laknat mengikut hukum Islam kepada semua calon BN, malah kesemua penjawat awam di jabatan dan agensi kerajaan terutama yang melibatkan urusan tender juga akan berbuat demikian.

Langkah itu wajar dikuatkuasakan bagi mengelak sebarang musibah, selain mahu membuktikan segala projek yang diluluskan itu telus dan bebas daripada gejala rasuah.
Umno perlu tentukan calon pilihan raya lebih awal

22 April 2013
Rais Yatim
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim
KUALA LUMPUR - Umno perlu tentukan calon untuk pilihan raya lebih awal, iaitu dua bulan sebelum sebarang pilihan raya umum, bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar yang mampu menang, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata selain itu, penentuan calon perlu dilakukan dengan sistematik dan mengikut lunas yang ditetapkan bagi memastikan mereka betul-betul layak untuk bertanding.

"Dalam menentukan calon mampu menang, pemimpin parti perlu menjelaskan kelayakan calon dan faktor yang perlu dipertimbangkan bukan hanya berdasarkan usia, tetapi juga produktiviti mereka, katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada Umno perlu berubah dalam menghadapi cabaran abad ke-21.

Rais juga berkata dengan menentukan calon lebih awal, ia dapat mengelakkan timbul masalah ketidak puasan pihak tertentu di saat-saat akhir.

Beliau juga berkata pemilihan tidak sepatutnya berdasarkan pada usia sahaja, malah pertimbangan perlu diberikan kepada aspek produktiviti.

"Jika produktiviti mengatasi usia, sudah jelas apa jawapannya...apa gunanya jika seseorang itu muda tetapi produktiviti dan hasil tidak dapat diperkirakan," katanya. - Bernama
Karpal minta Dr M mohon maaf

22 April 2013
karpal-singh
Karpal Singh
GEORGETOWN - Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh hari ini meminta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang didakwanya bersifat memfitnah terhadap penasihat parti itu Lim Kit Siang, yang bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah.

Beliau berkata pada 11 April, Dr Mahathir membuat kenyataan berkenaan melalui blognya, 'Chedet', yang merujuk Lim sebagai seorang yang mengamalkan sikap perkauman dan tidak peka dengan masyarakat pelbagai budaya.

"Sepucuk surat sudah dihantar kepada Dr Mahathir hari ini dan beliau mempunyai masa tiga hari, mulai esok, untuk menarik balik (kenyataan itu) serta memohon maaf dan jika beliau gagal berbuat demikian, satu tindakan undang-undang akan dimulakan terhadap beliau," katanya kepada pemberita di sini.

Satu laporan polis akan dibuat terhadap Dr Mahathir berhubung kenyataannya itu, kata beliau, sambil menambah: "Semoga ini menjadi pengajaran kepada ahli politik agar tidak melakukan serangan peribadi dalam bentuk fitnah dan hasutan semasa berkempen untuk pilihan raya umum ini."

Dalam blognya, Dr Mahathir berkata Lim bertanding di Gelang Patah kerana ia merupakan kawasan majoriti Cina dan beliau akan memainkan sentimen kaum itu. 

Lim akan ditentang Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman bagi kerusi itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Pada pilihan raya umum 2008, calon BN Tan Ah Eng daripada MCA mengekalkan kerusi berkenaan apabila beliau mengalahkan calon PKR Dr Zaleha Mustafa dengan majoriti 8,851 undi. - Bernama

Tiada ulasan: