Isnin, 22 April 2013

RAKYAT TAHU YANG BURUK PERANGAI DENGAN SOPANYA PERANGAI

Pekan Sauk Kini Kembali Riuh Rendah... Dengan PRU 13 ?
Posted on Monday, April 22 @ 11:49:20 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh: abuluqman

"


Balai Polis


Kempen DSAI PRU 13, di Sauk, Grik Perak ..Ribuan yang Hadir.

Berita Ringkas Klik SINI dan jadi FAN PAGE FB
"



Pakatan jangan tiru perangai BN

Ahmad Lutfi Othman, 22 Apr 2013


Pagi Ahad lalu, saya tidak mempunyai banyak pilihan. Untuk melihat sendiri situasi hari penamaan calon PRU13, saya terpaksa membataskan diri di sekitar Lembah Klang. Memang banyak kawasan tumpuan di luar Kuala Lumpur atau lebih tepat "kerusi panas", namun urusan kerja pejabat tidak memungkinkan saya melakukan kembara politik yang lebih mendebarkan.

Pada sebelah malamnya, semasa menyemak Harakah edisi Isnin, fikiran saya lebih terfokus kepada persoalan, sama ada DAP dapat menggunakan simbol roket atau terpaksa berkongsi menggunakan logo  PAS berlambangkan bulan.

Rata-rata kawan-kawan yang menelefon atau mengirim SMS meluahkan rasa seronok dan gembira dengan perkembangan itu. Mereka pastinya sudah muak dan jelak dengan budaya politik adu domba yang menyemai kebencian atau kecurigaan di antara kaum dan agama.

Apatah lagi anak-anak muda yang baru berjinak-jinak dengan siyasah, tentunya mereka lebih sukar menerima politik kebencian seumpama itu. Saya menerima banyak pertanyaan melalui emel dan SMS. Daripada soalan yang dikemukakan, saya yakin mereka suka jika esoknya DAP terpaksa menggunakan lambang bulan. Dan malam Sabtu itu, saya hanya dapat melelapkan mata kurang 45 minit sebelum azan Subuh.

Tentulah lokasi paling dekat dan mudah adalah  Dewan Ahmad Razali, Ampang, hanya kira-kira 2 kilometer dari rumah. Sahabat saya, Khasim Abdul Aziz akan mempertahankan kerusi Dun Lembah Jaya.

Tidak jauh dari situ, pertembungan menarik di Parlimen Pandang, apabila Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, tokoh muda yang berjaya membongkar pelbagai salahguna dan penyelewengan kerajaan BN, dengan bukti dan fakta kukuh, ditentang Gary Lim.

Awal-awal lagi Rafizi telah mendakwa berlaku salahlaku etika dan pelanggaran peraturan guaman oleh Gary Lim, yang menggantikan bekas Presiden MCA, Ong Tee Kiat.

Namun yang lebih dekat di hati saya ialah kawasan Parlimen Titiwangsa, satu-satunya kerusi yang dimenangi PAS di Wilayah Persekutuan pada 2008. Ia bukan hanya difaktorkan oleh kemanisan Parti Islam menang di tengah kotaraya, tetapi ingatan saya yang masih segar kepada lagenda Almarhumah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali. Dr Lo'Lo' sentiasa dikenang sebagai seorang tokoh wanita hebat, berkebolehan, tegas dan berani mempertahankan prinsip.

Saya juga berhasrat untuk menunjukkan sokongan kepada peguam muda, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, 37, Pengarah Jabatan Undangh-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat, yang juga terbabit aktif membela penduduk Kampung Baru, satu usaha mulia yang dirintis Dr Lo'Lo'.

Malah kalau diberi pilihan, saya turut teruja untuk melihat suasana di Lembah Pantai. Nurul Izzah Anwar, yang dilihat penganalisis sebagai pemimpin masa depan, dan mungkin mencatat sejarah sebagai PM wanita pertama di Malaysia, berdepan situasi sukar, terutama selepas terdedah begitu ramai pengundi yang meragukan di "kerusi panas" itu.

Bagaimanapun, tanpa perlu banyak berfikir, naluri saya lebih tergerak untuk ke Presint 9, Putrajaya, walaupun jaraknya paling jauh berbanding kerusi-kerusi yang saya sebut di atas.

Saya sampai agak lewat. Rakan saya terpaksa mencari parkir yang agak jauh. Pusat penamaan calon agak berbukit. Jenuh juga mendaki sambil bertongkat. Untuk kes pilihan raya umum, apatah lagi di kawasan yang tidak pernah terfikir untuk dimenangi PAS, kehadiran boleh disifatkan ramai dan meriah.

Beberapa individu yang menegur saya semasa berjalan perlahan menuju lokasi tumpuan rupanya datang daripada tempat yang lebih jauh daripada saya. Ada daripada Ijok, Gombak, Tanjong Malim dan Sabak Bernam. Masing-masing berwajah ceria, rancak bercerita tentang peluang, sekali gus menitip keyakinan Husam Musa  bakal melakar sejarah tersendiri.

"Warga Putrajaya ramai, lebih kurang 100,000 tetapi yang berdaftar sebagai pengundi di sini, hanya sekitar 16,000. Kalau dibuat referendum atau pungutan suara semua warga Putrajaya, saya yakin majoriti akan memilih Pakatan," kata seorang rakan, juga lulusan Universiti Teknologi Malaysia.

"Kakitangan kerajaan di sini sudah dikepung, susah bagi Husam nak tembusi. Jalan paling baik ialah pendekatan bersemuka," celah saya. "Tapi tuan, tidak mustahil PAS boleh buat kejutan," kata seorang lagi, yang begitu mengambil berat tentang perkembangan kesihatan saya.

"Memang segalanya tiada yang mustahil dalam politik, tapi saya lebih melihat Husam sebagai simbol keberanian baru," pintas saya, sambil menekankan pandangan peribadi yang amat mengharapkan tokoh seperti Husam perlu berada di Parlimen atau berperanan lebih penting di Kelantan.

Saya tertarik dengan mukadimah tulisan Subkyu Abdul Latif sehari selepas itu: "Ketika Pakatan Rakyat sedang mara ke Putrajaya, Husam Musa pergi ke situ dulu seolah-olah dia menunggu dan menyambut ketibaan ekspedisi itu.

"...Tiada siapa berfikir Anwar Ibrahim akan meninggalkan kawasan Permatang Pauhnya dan Ustaz Abdul Hadi Awang akan mengosongkan Marang untuk bertanding di Putrajaya. Lim Kit Siang yang suka mengejutkan berubah tempat bertanding pun tidak akan ke Putrajaya."

Tengahari Sabtu itu, saya meninggalkan Putrajaya dengan penuh kelegaan walaupun saya perhatikan lebih banyak bendera PAS berkibar dari atas kenderaan penyokong yang meningalkan pusat pentadbiran negara itu, dan bukannya dari atas rumah-rumah kediaman di sana!

Namun, belum pun sampai di rumah, saya cukup terganggu apabila dimaklumkan, sekurang-kurangnya tujuh kerusi menyaksikan pertembungan sesama sendiri, antara PAS dan KeADILan.
Fikiran saya agak bercelaru selepas mendapat SMS, calon PAS juga bertanding di kerusi Dun Kota Damansara, berdepan penyandang, Dr Nasir Hashim, yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

"Kebingungan" saya sedikit reda apabila seorang teman, bekas Adun Umno yang tidak terpilih semula, menelefon: "Rakan saudara, Hanipa Maidin berpeluang menang di Parlimen Sepang. Dua orang kuat Umno Sepang, AJK bahagian, Hanapiah Mohamad dan bekas Ketua Pemuda Umno negeri, Suhaimi Mohd Ghazali, bertanding menentang Timbalan Pengarah Pilihan Raya Selangor, Mohd Zin Mohamed."

Rakan saya semasa di kampus dulu, pertengahan 1980-an, Che Johan Che Pa, yang sepatutnya mengemukakan borang calon BN menarik diri untuk memberi laluan kepada "bapanya", Presiden Perkasa, Ibrahim Ali. Dan banyak lagi kisah hampir serupa membabitkan Umno-BN.

Apa pun, saya lebih mengharapkan tempoh sepuluh hari terakhir kempen ini dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku pada Sabtu lalu. Rakyat, khususnya pengundi muda tidak dapat menerima kecelaruan itu, yang memungkinkan mereka membuat kesimpulan mudah: "Pakatan yang nak menang ini pun dah tiru perangai buruk BN."


----------

Artikel ini disiarkan akhbar INIKALILAH!, yang akan berada di pasaran pagi Selasa, 23 April 2013

Berada di kawasan tegar Umno Johor

Abd Shukur Harun, 22 Apr 2013
Mengikuti perarakan penamaan calon PAS, Salahudin Ayub, untuk kawasan Parlimen Pulai, Johor dari Masjid Abu Bakar, Johor Bharu ke Dewan Jubli Intan, Sabtu lalu, menyaksikan suasana yang sangat luar biasa.

Salahudin bertanding melawan calon BN, Ahmad Jazlan.

Suasana di sekitar Johor Bahru hingga membawa ke Skudai dan Tampoi, malah hingga ke Gelang Patah, Pekan Nenas, berlainan dengan suasana pilihan raya di masa lalu di negeri ini, di mana dulunya bendera dan spanduk BN mendominasi semua kawasan.

Tetapi dalam PRU kali ini, Johor Bahru dan sekitarnya dilimpahi bendera PAS, PKR dan DAP. Kawasan Parlimen Pulai calon PAS bertanding dan di mana-mana orang bercakap secara terbuka mengenai Pakatan Rakyat dan calon dari komponan Pakatan.

Saya tenggelam dalam kibaran bendera dan spanduk PAS dan DAP yang di bawa oleh beribu-ribu penyokong Pakatan Rakyat. Seorang penyokong PAS memberitahu saya, “Dulu nak cari seratus orang penyokong PAS mengarak calonnya pun begitu sukar di Johor Bahru ini, tetapi kali ini, lihatlah, ribuan yang datang.”

Penyokong Pakatan dari DAP berbaju merah begitu bersemangat sekali, beriringan dengan penyokong PAS dan PKR. Salahudin berbaju Melayu berwarna merah, diiringi isterinya dengan warna yang sama, tidak henti-hentinya bersalaman dengan orang ramai.

Ternyata bendera dan sepanduk PAS, DAP dan PKR mewarnai Bandaraya Johor Bahru dan tentunya memberi isyarat permulaan akan berakhirnya dominasi Umno/BN di negeri Johor selama lebih setengah abad.

Orang Melayu di Johor Bahru, terutama di kampung Melayu yang tegar Umno, seperti Skudai, Majidee, Tampoi, Kempas, Air Molek dan lain-lain sudah berani bercakap mengenai PAS, DAP dan PKR, malah ada yang lebih berani mencacakkan bendera PAS di halaman rumah mereka.

Sama meriahnya sambutan orang Johor terhadap perarakan calon PKR, Gen (B), Tan Sri Md Hashim Hussein yang ditentang oleh Shahrir Abd Samad dari BN. Ribuah penyokong Pakatan, termasuk anak muda Melayu dan Cina ikut dalam perarakan itu, menambahkan lagi suasana bendera DAP, PAS dan PKR mendominasi bandaraya Johor Bharu.

“Ini pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara ini,” kata Salim Abd Samad, sorang penduduk Majidee, kawasan pekat Umno, Salim yang menyokong PAS setahu lalu itu menambah, “Kalau tidak, bendera dacing saja yang memenuhi Johor Bahru. Sekarang sudah ada perubahan, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi baru.”

Sementara itu, selesai penamaan calon di Dewan Jubli Intan, Salahudin bersama penyokong pergi pula ke Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengan untuk menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding di Dun Nusa Jaya, pusat pentadbiraan kerajaan Johor. Lawannya Dr Zaini Abu Bakar.

Di sana Salahudin bertemu Lim Kit Siang (Calon DAP di Parlimen Gelang Patah) di tempat penamaan calon. Lawannya, calon BN, Abd Ghani Othman. Ribuan lagi penyokong Pakatan berhimpun di sana. Sekali lagi kelihatan bendera dan sepanduk PAS, DAP dan PKR mendominasi kawasan penamaan calon itu, sementara bendera dan spandok BN kelihatan ‘malu-malu’ muncul di sana sini.

Yang menarik ialah, hadirin kaum Cina yang bersemangat. Ramai yang memakai topi berbentuk maskot DAP burung kenyalang bernama t-shirt ‘Ubah’. Ternyata, lima tahun selepas Pilihan Raya 2008, perubahan jelas sudah dirasakan di Johor.

Menurut penganalisis, pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sepanjang beberapa tahun lalu sudah boleh diterima oleh golongan muda dengan melihat kepada reaksi ribuan yang berhimpun di tempat letak kereta terbuka Sutera Mall. Mereka mendengar Kit Siang, pengerusi DAP negeri Dr Boo Chang Hau dan naib presiden PAS yang juga calon Dun Nusajaya, Salahuddin Ayub ketika keduanya berucap di ceramah umum di situ dua hari sebelum hari penamaan calon.

Seorang relawan wanita muda di salah satu meja di bawah khemah putih di sana, Jenni Sin berkata, ramai kaum Cina Johor bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari di Tambak Johor bukan kerana terpikat kepada republik itu, tetapi kerana boleh mendapat gaji yang lebih baik.

Pengundi Cina di Johor melihat Pakatan Rakyat mampu menyediakan kehidupan yang selesa bagi rakyat pelbagai bangsa di Johor.

Menurut penganalisis, Ibrahim Sufian dari Merdeka Center langkah DAP di Johor telah membangkitkan masyarakat Cina.

“Kit Siang bertanding di Gelang Patah dan mengetuai kempen DAP di Johor telah menyeronokkan komuniti Cina dan menunjukkan mereka serius untuk berkembang dan mendekati mereka,” kata Ibrahim.

“Kehadiran Kit Siang dalam meningkatkan sokongan Cina untuk Pakatan dan telah membantu merapatkan jurang untuk parti-parti pembangkang bagi mencapai matlamat mereka,” tambah beliau.

Ibrahim menambah Melayu di Johor tiada masalah bergaul dengan masyarakat Cina, akan tetapi sentimen perkauman telah dieksploitasi oleh mereka yang berkuasa untuk menimbulkan ketakutan.

Di kawasan Palimen Tanjung Piai, Johor, kawasan paling selatan Benua Asia, di mana terletak kampung saya dan juga kampung Salahudin Ayub, keadaan juga sangat menarik, di mana calon Parlimen dari DAP ialah seorang Melayu, Mahdzir Ibarhim, manakala calon BN, Wee Jeck Seng dari MCA.

Pengundi Melayu di situ 52.11 peratus, Cina 46. 50 peratus, India 1.7 peratus dan lain-lain 0.32 peratus. Dua Dun di kawasan parlimen tersebut – Pekan Nenas dan Kukup, di mana adik Salahuddin Ayub, Ghazaly Ayub calon PAS di Dun Kukup menentang calon BN, Suhaimi Saleh. Sementara di Pekan Nenas, calon DAP, Yeo Tung Siong menentang calon BN, Wong You Fong.

Inilah sebanyak sedikit gambaran awal, suasana PRU di beberapa kawasan di Johor, yang dulunya adalah kawasan tegar Umno/BN. Siapa tahu hati orang Johor boleh berubah dengan kehendak Allah.

Fahami hasrat anak muda – Nasir Zakaria

Harakahdaily, 22 Apr 2013


Nasir (tengah) pada satu program motosikal lasak di kawasan Padang Terap.

PADANG TERAP: Calon PAS bagi Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria berpandangan anak muda menjadi penentu besar dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.

Begitupun, beliau tetap menganggap golongan dewasa mempunyai peranan yang penting untuk memberikan kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Justeru, penglibatan petugas dewasa termasuk warga emas pada PRU13 ini perlulah disesuaikan dengan keadaan dan keupayaan mereka.

“Pada saya, semua petugas ada peranan masing-masing tetapi anak-anak muda terutama yang pertama kali mengundi perlu menjadi fokus pada PRU13 ini,” ujarnya ketika ditemui di Markas MTD Kuala Nerang, di sini semalam.

Bagi beliau, kebangkitan anak muda yang berlaku di seluruh negara turut dirasai di kawasan Parlimen Padang Terap.

Katanya, walaupun Padang Terap adalah kawasan luar bandar, namun gelombang kebangkitan anak-anak muda kepada Pakatan Rakyat boleh dilihat melalui penglibatan mereka di dalam program yang dianjurkan oleh PAS.

Selaku bekas ahli parlimen di sini, Nasir banyak terlibat dengan aktiviti dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan belia termasuk sukan, ekonomi, keagamaan dan lain-lain.

“Pendekatan yang saya ambil adalah melalui aktiviti kepemudaan untuk memenuhi kehendak mereka, Padang Terap tidak boleh dianggap berada dalam kawasan yang terpinggir dari arus pembangunan,” katanya.

Secara umumnya, kata beliau anak-anak muda Padang Terap mahu melihat pemimpin mesti turun padang dan menyertai aktiviti mereka.

“Atas sebab itu, saya bukan sahaja anjur program tetapi banyak menyertai aktiviti mereka, kadang kala mengetuai konvoi bermotosikal.

Menyedari hakikat perlunya masyarakat diberikan bimbingan agama termasuk golongan muda, beliau yang berkelulusan pengajian Islam dari Universiti Malaya tidak terpisah dengan aktiviti kerohanian.

Dalam masa yang sama, beliau sentiasa turun padang melawat masyarakat yang ditimpa musibah, mengadakan kenduri, gotong royong dan sebagainya.

Dr M serang Kedah untuk selamatkan Mukhriz

Harakahdaily, 22 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Calon PAS bagi Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Kedah tiada pembangunan dan rakyat tidak mendapat nikmat di bawah Pakatan Rakyat hanya menempelak diri sendiri.

Menurutnya, kenyataan Mahathir itu sekaligus menyatakan bahawa hampir 50 tahun sebelum ini BN memerintah Kedah, parti itu telah gagal membangunkan negeri berbanding hanya lima tahun Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

"Tun M tak nampak dan tak ada maklumat berkaitan Kedah. Bagi Tun M bila bela rakyat Skim Kifalah, Bina Kuin, laksanakn tander balak, bantuan imam bilal, semua ni tidak dianggap pbangunan.

"Zaman BN dahulu pembangunan untuk kroni, kayakan pemimpin sahaja," katanya kepada Harakahdaily.

Firdaus juga tidak menolak kemungkinan serangan Mahathir kepada Pakatan Rakyat Kedah disebabkan mahu membela anaknya Datuk Mukhriz yang kini bertanding sebagai calon bagi Dun Air Hitam.

Ini kerana, anaknya itu disebeut-sebut sebagai calon menteri besar jika BN berjaya mengambil alih pentadbiran negeri itu.

"Jangan sebab anak dia masuk bertanding di Air Hitam dia kata Kedah tiada pembangunan. Tun M jangan sombong.

"Selama 50 tahun BN perintah Kedah, rakyat masih susah, miskin, dan berlaku penyelewengan sehingga RM403 juta. Tun M, kena tanya tanya Ahmad Bashah," katanya.

Mahathir kelmarin meminta para pengundi Kedah supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama seperti pada pilihan raya umum (PRU) 2008 kerana tempoh lima tahun yang diberikan sudah mencukupi.

Saya masuk bukan untuk calon atau jawatan - Md Taib

Harakahdaily, 22 Apr 2013

(Tan Sri Mohamad menyerahkan borang permohonan menyertai PAS kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang)

KUALA LUMPUR: "Saya masuk PAS bukan hendak jadi calon atau merebut jawatan dalam PAS," kata Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib ketika mengumumkan penyertaannya kepada PAS hari ini.

Atas dasar itulah, katanya, majlis penyerahan borang memohon menjadi ahli PAS hari ini dibuat selepas penamaan calon PRU 13.

Muhamad hari ini menyerahkan permohonan menjadi ahli PAS kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan diperhatikan oleh Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din, Timbalan Presiden, Haji Mohamad Sabu dan naib-naib Presiden PAS.

Lagi menyusul

Tiada ulasan: