Ahad, 31 Mac 2013

TAK KAN BARU TAHU...PATUT DULU2 DAH TAHU

Mohd Hafiedz pernah bantu PKWR Titiwangsa

Harakahdaily, 30 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Mohd Hafiedz Harun yang telah meninggal dunia petang semalam dalam tragedi lemas.


Allahyarham lemas semasa ingin menyelamatkan anaknya yang turut lemas di Pantai Pandak Chendering, Terengganu.

“Bagi DPPWP, pemergian Allahyarham adalah suatu yang amat dirasai. Beliau merupakan bekas pegawai kepada Allahyarham YB Dr. Lo'Lo' suatu ketika dahulu dan menjawat jawatan Setiausaha Kerja Dun Batu Burok,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad dalam satu kenyataan.

Katanya, semasa berkhidmat dengan allahyarham Dr. Lo'Lo', allahyarham Mohd Hafiedz banyak membantu menguruskan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Titiwangsa.
Menurutnya, walaupun tempoh perkhidmatan beliau singkat bersama Allahyarham YB, namun jasa dan pengorbanan beliau dalam menguruskan PKWR tetap segar dalam ingatan setiap petugas PAS terutamanya bagi PAS Kawasan Titiwangsa.

“Sesungguhnya, kasih ayah tiada taranya. Pengorbanan Allahyarham dalam menyelamatkan anaknya yang lemas sehingga turut sama terkorban telah meruntun hati bapa-bapa di Malaysia.
“Semoga pengorbanan arwah ini menjadi contoh kepada semua ibu bapa di Malaysia yang sayangkan anak-anaknya,” ujarnya.

Pemantau Kelantan kesal SPR tidak pantau kerajaan sementara

Harakahdaily, 30 Mac 2013
KOTA BHARU: Pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  yang enggan mematuhi keputusan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen (PSC) agar kerajaan sementara dipantau.

Ketuanya, Mohammad Faizal Che Yusof (gambar)  dalam kenyataannya berkata, sikap SPR itu dikesali.

"Kami amat rasa terkilan dengan sikap badan pengendali pilihan raya di Malaysia iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana dilaporkan melalui HarakahDaily dengan tajuk “SPR ketepi syor PSC pantau kerajaan sementara”.

Katanya, sebagai kumpulan yang prihatin kepada memperkasakan demokrasi berparlimen di Malaysia umumnya dan Kelantan khususnya, sedaya mungkin mereka berusaha untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap hak mereka dalam membentuk sebuah kerajaan yang berintergriti dalam PRU 13 kelak.

Katanya, apa yang ditunjukkan oleh SPR tersebut hanyalah mengesahkan apa yang disebut oleh Mantan Pengerusinya Tan Sri Abd Rashid Abdul Rahman dalam suatu forum 19 Januari lalu betapa sistem pilihan raya dan pengendaliannya di Malaysia mempunyai banyak kepincangan dan hanya mampu diperbaiki dengan mengubah seluruh undang-undang pilihan raya yang ada.

Dalam forum PRU 13, Kuasa dan penglibatan rakyat yang diadakan di Kota Bharu tersebut, beliau dan panel-panel lain bersetuju hanya perubahan kepada undang-undang yang ada sahajalah sistem pilihan raya di Malaysia dapat diperbaiki ke arah yang lebih telus dan berwibawa.

"Dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh SPR sebagaimana dilaporkan tersebut, ia hanya menambahkan tekad kami untuk terus memantau dan mengambil tindakan perlu bagi memastikan PRU 13 akan mampu menghasilkan kehendak rakyat yang mejoriti," katanya.

Justeru, katanya, pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan akan terus mendedahkan dan bertindak atas setiap salah laku yang condong mencabul dan menghalang penyuburan demokrasi menjelang PRU 13.

Sehubungan itu, katanya, seluruh masyarakat adalah dialu-alukan untuk memberi sebrang maklumat kepada pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan sama ada berkaitan penyalahgunaan tempat awam secara berleluasa, sebaran bahan-bahan hasutan keagamaan atau perkauman, dan sebarang tindakan yang menghalang aktiviti demokrasi sihat melalui blog dan page mereka di Facebook.

"Sebagai mewakili seluruh rakyat, kami menuntut sebuah pilihan raya yang bebas dan adil," katanya.

Jika DAP boleh haram, kenapa tidak Umno

Harakahdaily, 30 Mac 2013

(Sidang yang diadakan baru-baru ini)

KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mungkin menimbangkan untuk membatal pendaftaran DAP digesa mengkaji juga dakwaan wujudnya ribuan cawangan Umno yang tidak berdaftar di seluruh negara.

Cawangan itu dikatakan tidak didaftar selepas penubuhan Umno Baru oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1988.

Demikian kata Tarmizi Mohd Jam, Koordinator Bloggers Revolusi13 dalam satu majlis baru-baru ini.

Menurut Tarmizi, selepas pengharaman Umno ekoran pertembungan antara Tun Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah, semua pendaftaran peringkat pusat, bahagian dan cawangan Umno lama secara automatik terbatal.

Bagaimanapun terdapat kecenderungan ROS untuk menyembunyi dan melindungi perkara ini daripada pengetahuan awam.

Sebaik Umno Baru ditubuh, proses penajaan dan penubuhan harus dibuat semula, tetapi banyak peringkat cawangan dan bahagian tidak mendaftar semula organisasi mereka tanpa disedari, ujar beliau.

Selain itu, banyak cawangan tidak menghantar dokumen tahunan mengikut peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Mengulas isu ini, Chegu Bard atau Badrul Hisham Shahrin berkata, dalam sistem perwakilan, mana-mana cawangan Umno yang tidak sah menghantar perwakilan ke bahagian, maka bahagian itu secara automatik akan bersifat haram, dan bahagian yang menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung akan turut menyebabkan ia juga haram.

Hal itu, katanya, terdedah pada 2008 dalam Umno Bahagian Tanah Merah, Kelantan selepas ahli yang mahu bertanding jawatan didapati tidak membayar yuran dan berasal daripada cawangan haram.

Ia telah dibawa ke mahkamah. Melalui proses mahkamah, dibuktikan ada 126 cawangan Umno di Tanah Merah tidak berdaftar dan dibatalkan pendaftarannya selaras dengan Seksyen 12(6) Akta Pertubuhan 1966. Ini diakui Setiausaha Agung Umno dan ROS.

Chegu Bard berkata, carian di Pejabat ROS menunjukkan lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di Kelantan, dipercayai berstatus haram.

Malah kini, carian awam berkenaan status cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara sudah tidak boleh dibuat di Pejabat ROS negeri, sebaliknya diminta mendapatkan maklumat berkenaan di Ibu Pejabat ROS di Putrajaya.

"Ini menimbulkan tandatanya. Sepatutnya carian mendapatkan salinan dokumen ikut Seksyen 10(1) Akta Pertubuhan 1966 boleh dibuat di negeri kecuali ada kes jenayah, atau apa-apa kes baru dirujuk ke Putrajaya," kata beliau.

Mereka bercadang untuk mengadakan Sidang Media dan Ikrar Khas Bloggers / Facebookers Haramkan Umno Ahad ini lanjutan kepada sidang khas berkenaan.

Ia akan diadakan jam 10 pagi di Dewan Himpunan Cina Selangor/Kuala Lumpur (KLCAH).

Kali ini semua media cetak dan media baharu dijemput untuk diberi taklimat dan melaporkan tentang isu "Umno Haram" disamping diperkukuhkan dengan ikrar para bloggers dan facebookers untuk menggerakkan kempen dan mendedahkan kepincangan Umno dalam mendaftarkan cawangan dan bahagian parti itu di seluruh negara sehingga menyalahi undang-undang ROS, kata Tarmizi dalam satu kenyataannya.

Jelajah Negara Berkebajikan masuki Negeri Sembilan

Muhammad Faizal, 30 Mac 2013
SEREMBAN: Jelajah Negara Berkebajikan meneruskan siri jelajahnya di Negeri Sembilan selama dua hari bermula hari ini setelah menamatkan siri jelajah di Perak.

Siri jelajah yang bermula di Labu dengan mengadakan program kuliah Dhuha oleh Ustaz Hasbullah Osman, Exco Pemuda PAS Serdang, Selangor di Taman Gadong Jaya.

Jelajah hari pertama meliputi kawasan Kuala Klawang, Dataran Seremban, Taman Ampangan, Dataran Tok Dagang di Paroi

Sementara itu pada hari kedua pula jelajah akan memulakan programnya di hadapan Masjid Jamek An Nur Rembau, Pekan Kota, Giant Tampin.

Seterusnya di Pekan Air Mawang Johol, Pejabat PAS Tampin dan Dataran Jom Ubah, Serting.

Sebelum itu konvoi jelajah di Perak telah mendapat halangan dari pihak berkuasa dengan pelbagai sekatan dan pemeriksaan kononnya atas arahan pihak atasan.

Konvoi jelajah tersebut juga turut diiringi pihak berkuasa sehingga ke lokasi program terakhir sebelum bergerak ke Negeri Sembilan.

Manakala di Negeri Sembilan, keadaan masih terkawal tanpa ada sebarang gangguan.

Tidak siar mohon maaaf: Ahmad Said hina mahkamah

Harakahdaily, 30 Mac 2013
SHAH ALAM: Peguam Negara, SPRM dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan disifatkan sebagai menghina mahkamah apabila tidak menyiarkan permohonan maaf kepada Menteri Besar Selangor,Tan Sri Khalid Ibrahim dalam dua akhbar harian.

"Saya amat kesal kerana bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Kerajaan Malaysia sanggup menghina mahkamah apabila gagal, enggan dan ingkar perintah mahkamah yang dimeterai secara persetujuan pada 19 Mac lalu," kata Khalid dalam kenyataannya hari ini.

Antara terma persetujuan yang direkodkan di hadapan hakim Yang Arif Datuk Lau Bee Lian ialah Ahmad Said melafazkan permohonan maaf di mahkamah terbuka dan menyiarkan permohonan maaf tersebut di muka depan dua akhbar harian berbahasa Inggeris, New Straits Times dan The Star dalam tempoh empat (4) hari dari tarikh tersebut.

Walaubagaimanapun, Ahmad Said, SPRM  dan  Kerajaan Malaysia bersikap liar dan tidak bertanggungjawab apabila dengan sengaja tidak menunaikan perintah tersebut dalam tempoh empat hari seperti yang diarahkan mahkamah.

"Mereka sehingga hari ini masih gagal melaksanakannya walaupun peguam saya telah menuntut defendan berbuat demikian," kata Khalid dalam kenyataan medianya hari ini.

Pada 19 Mac lalu mahkamah merekodkan permohonan maaf dari Ahmad Said.


“Saya, Datuk Seri Panglima Ahmad Said bin Hamdan (gambar), dengan ikhlas memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim, atas kenyataan saya pada 21 Februari 2009, yang disiarkan di media,” katanya membaca kenyataan maaf yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Kenyataan yang dilakukan saya ketika itu sebagai ketua SPRM, dan ini adalah respon kepada soalan apabila ditanya oleh media mengenai siasatan SPRM ke atas Abdul Khalid,” katanya lagi.

“Saya membuat kenyataan tersebut tanpa niat jahat untuk memburukkan reputasi, imej dan intergriti plaintif.”

Dua defendan dalam kes tersebut, iaitu kerajaan persekutuan dan Ahmad Said, bersetuju permohonan maaf akan disiarkan di akhbar the New Straits Times di muka hadapan dan The Star dalam masa empat hari.

Khalid juga memperolehi kembali kos RM10,000 dari defendan.

Bagi Khalid, Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia secara terang-terangan telah menghina mahkamah kerana dengan sengaja tidak mematuhi dan menghormati perintah mahkamah.

"Sikap melampau kedua-dua defendan ini bertujuan menghina saya secara berterusan selaku mangsa kepada kata-kata berunsur fitnah," katanya.

Tindakan defendan ini, katanya, selari dengan sikap kerajaan Umno-BN yang telah memperkotak-katikkan badan kehakiman Malaysia.

Mengingkari perintah mahkamah dilakukan tanpa sedikit pun rasa kesal kerana beranggapan kedudukan mereka mengatasi undang-undang di negara ini, getusnya.

"Sehubungan itu, saya telah mengarahkan peguam, Sankara Nair untuk memulakan satu prosiding penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia serta apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai dan setimpal dengan penghinaan yang dilakukan pihak defendan," kata Khalid.

MIC, PPP wajar keluar BN kerana Perkasa adalah Umno

Harakahdaily, 30 Mac 2013
KUALA LUMPUR: MIC dan PPP wajar meninggalkan Barisan Nasional (BN) ekoran kenyataan menghina terhadap tuhan orang-orang Hindu oleh Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin (gambar) kerana Perkasa adalah Umno.

"Perkasa adalah Umno. MIC, PPP mesti keluar dari BN ekoran kenyataan menghasut yang dibuat oleh YB Zulkifli Nordin terhadap tuhan orang-orang Hindu," kata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, anggota Parlimen Bukit Gantang.

Nizar berkata demikian melalui twitternya hari ini.

Sebelum ini, pelbagai badan bukan kerajaan mengecam kenyataan Zulkifli Nordin yang disifatkan menghina agama Hindu.

Zulkifli berkata, kenapa orang Hindu tidak meletakkan patung tuhan-tuhan mereka di depan rumah mereka supaya banjir tidak melanda rumah mereka.

Zulkifli sebelum ini dipecat oleh PKR dikatakan akan bertanding atas tiket Umno di Kulim Bandar Baru dalam pilihan raya kali ini sebagaimana Datuk Ibrahim Ali yang akan bertanding di Pasir Mas atas tiket BN.

Pelbagai pihak meminta tindakan diambil oleh pplis terhadap Zulkifli kerana ia satu kenyataan yang menghasut.
Persatuan Presiden Hindu Sangam, RS Mohan Shah yakin tidak akan ada tindakan seumpama itu akan diambil kerana sebelum ini Zulkifli telah membuat kenyataan yang hampir sama.

Namun, selepas laporan polis dibuat olehnya pada tahun 2011, tidak ada apa-apa tindakan dikenakan ke atas beliau.

Menurutnya, Hindu Sangam telah membuat laporan pada tahun 2011 ekoran satu video yang menunjukkan kenyataan Zulkifli yang menghasut, namun tidak ada sebarang tindakan.

"Semua ini kerana Zulkifli adalah Naib Presiden Perkasa dan seorang anggota Parlimen," kata Mohan.

Kenyataan Zulkifli juga dibantah oleh Pengerusi National Indian Rights Action Team (Niat) Thasleem Mohd Ibrahim yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.

"Sebagai Muslima saya malu dengan kenyataan Zulkifli kerana Islam mengajar kita agar jangan menghina agama atau tuhan agama lain," kata Thasleem.

SPR ketepi syor PSC pantau kerajaan sementara

Harakah, 30 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan Jawatan Kuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) supaya SPR turut sama memantau perjalanan Kerajaan Sementara masih tidak dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar).

Jelasnya, apabila SPR mengeluarkan kenyataan badan itu hanya boleh menguatkuasakan sepenuhnya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memastikan pilihan raya adil dan bersih, sekali gus SPR menafikan cadangan PSC.

“Seharusnya SPR bertanggungjawab. Sebab itu kita rasakan SPR ini diberikan tugas khusus sahaja," kata Dr Hatta kepada Harakah.

Beliau mengulas pembubaran secara automatik kerajaan negeri Sembilan dan tidak sebarang pemantauan dari SPR dibuat sebagaimana yang dicadangkan PSC.

Laporan penuh dalam Harakah cetak esok.

Tiada ulasan: