Khamis, 21 Mac 2013

NAMPAK SANGAT MEMERINTAH DALAM KEADAAN BERCELARU

Wujudkah kerjasama air di Malaysia?

Piarapakaran S., 20 Mac 2013
Hari Air Sedunia disambut setiap 22 Mac. Ia adalah untuk menandakan kepentingan air dalam hidup kita dan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Dekad Air oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2005 - 2015). Pada tahun ini, tema sambutan adalah 'Kerjasama Air' dan mewakili kepentingan kerjasama dalam menggunakan sumber air untuk tamadun manusia. Tahun ini juga telah dinamakan sebagai Tahun Kerjasama Air Antarabangsa oleh UN Water.

Walaupun masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kerjasama antara negara-negara dan sempadan, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin memberikan beberapa Anjakan Paradigma berkenaan dengan Kerjasama Air dalam perspektif Malaysia.

Adakah Manusia dan Alam Sekitar bekerjasama untuk Penggunaan Air?

Walaupun penggunaan air per kapita semakin meningkat setiap tahun, pengurusan sumber air mencecah rekod terburuk. Kita cenderung untuk menjadi pengecut dalam pengurusan sumber air. Kitamenggunakan sumber air dan apabila ia sudah tercemar, kita meninggalkannya dan cari sumber yang baru. Ini adalah modus operandi biasa pihak berkuasa di Malaysia. Tingkah laku sebegini membunuh kehidupan di sungai, tasik, air bawah tanah dan sumber air yang lain. Pemusnahan sumber-sumber air adalah berleluasa di negeri-negeri seperti Pahang, Kelantan dan Sarawak tetapi ia tidak mengecualikan negeri-negeri lain. Manusia dan alam sekitar mesti hidup dalam keseimbangan untuk memastikan terdapat kesinambungan dan kelestarian. Apabila kita mengambil banyak daripada alam sekitar, kita secara tidak langsung merancang bencana kepada diri kita sendiri. Kemarau, kepupusan hutan, banjir, tanah runtuh dan banyak lagi bencana ini adalah sebahagian daripada ciptaan kita sendiri dan jangan sesekali salahkan pemanasan global. Kita mesti menyemat pengajaran yang penting dalam minda bahawa dalam alam semula jadi segala-galanya adalah terhad dan kita perlu belajar di mana had kita!

Adakah Kerajaan Negeri bekerjasama dalam pengurusan air mentah?

Air tidak mempunyai identiti atau memilih mana-mana kumpulan tertentu. Ia mengalir dengan bebas. Berapakah kerajaan negeri di Malaysia sebenarnya bekerjasama untuk memastikan sumber air dilindungi? Jika kawalan pencemaran dalam satu sempadan diabaikan, negeri jiran perlu mengeluarkan lebih kos untuk tujuan merawat air. Adakah manusia di sebelah lain sempadan kurang penting? Mengapa tidak kita tidak berkongsi tanggungjawab untuk hidup sebelah menyebelah secara lestari?

Adakah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Bekerjasama untuk memastikan Jaminan Air di Malaysia?

Kita perlu bersyukur kerana air bukan ahli mana-mana parti politik. Ia adalah neutral dalam politik serta dalam ciri-ciri kimia. Walau bagaimanapun, apabila anda mencairkan bahan kimia lain dalam air, anda mula untuk menukar ciri-ciri air. Ini adalah situasi yang sama apabila penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor dan beberapa negeri lain masih dipolitikkan. Di samping itu, masalah bekalan air yang berterusan dan bersih di Sabah dan Sarawak adalah satu isu yang serius. Penstrukturan semula perkhidmatan air di Sabah dan Sarawak dilihat sebagai Kerajaan Persekutuan menghapuskan kuasa kerajaan negeri. Mujurlah, semua negeri semenanjung yang telah distruktur semula masih mempunyai kuasa mereka dan dalam jangka masa yang panjang akan memberi manfaat kepada orang ramai dan perniagaan. Mengapa faedah seperti ini sedang dinafikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, mereka adalah rakyat Malaysia seperti saya juga? Meminum air daripada sistem penuaian air hujan mempunyai kesan negatif jika aspek kebersihan tidak di jaga.

Bolehkan kita masih bekerjasama atau ia sudah terlalu lewat?

Air adalah isu keselamatan negara. Kerjasama bermula daripada kerajaan tempatan, sektor perniagaan, orang awam, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Terdapat perbezaan dalam pelaksanaan seperti pencegahan pencemaran, perlindungan kawasan tadahan air, memastikan bekalan air terawat yang berterusan, air untuk pengairan serta industri, dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kita masih boleh bekerjasama. Ketepikan perbezaan politik dan agenda peribadi. Kerjasama yang padu hanya akan memberikan output yang lebih baik dan akan membawa Malaysia ke arena antarabangsa. Jika sembilan negara yang berlainan dengan fahaman politik yang berbeza boleh bekerjasama untuk menghidupkan semula Sungai Rhine di Eropah, saya yakin bahawa 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan di Malaysia boleh memberikan contoh yang lebih baik. Keutamaan adalah untuk mewartakan semua kawasan tadahan air adalah tanah rizab kekal menjelang tahun 2015. Ini adalah tarikh akhir yang ditetapkan oleh AWER kepada semua kerajaan negeri. Mungkin sesuatu yang boleh difikirkan oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri masa depan. Kegagalan untuk berbuat demikian, AWER akan mengusulkan untuk satu referendum awam bagi menghapuskan kuasa kepada sumber air daripada kerajaan negeri dan menempatkannya di bawah kuasa Parlimen.

Apa akibat daripada kegagalan untuk bekerjasama?


Ia hanya memberikan penderitaan, krisis makanan, pergolakan sosial dan kita boleh mengucapkan selamat tinggal kepada status negara maju bagi Malaysia. Jaminan air adalah prasyarat bagi pembangunan dan kita masih jauh daripada mencapainya. Rakyat Malaysia akan mula memilih pemimpin masa depan negara ini, pastikan mereka mempunyai 'isi' yang diperlukan untuk melindungi keperluan air negara.

Apabila anda dahaga, alam sekitar akan dahaga juga. Fikirkan tentang ini setiap kali anda membuka pili anda.

Piarapakaran S, Presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

PRU13: PAS letak 22 calon wanita

Anis Nazri, 20 Mac 2013

KUALA LUMPUR: PAS meletakkan 22 calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Dari 22 kerusi tersebut, lapan darinya adalah kerusi parlimen, manakala 14 kerusi dewan undangan negeri (Dun).

Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud, berkata 22 kerusi untuk calon wanita itu telah dimuktamadkan parti.

"Setakat ini, 22 kerusi telah dimuktamadkan untuk calon di kalangan muslimat. Mungkin ada pertambahan lagi," tegas beliau pada satu sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Tambah beliau, kerusi-kerusi tersebut meliputi beberapa negeri seperti di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak.

Beliau juga berkata, asalnya mereka (muslimat PAS) meminta setiap negeri satu kerusi parlimen, dan satu kerusi Dun.

"Bagaimanapun, kami mendapat kerjasama yang baik apabila ada negeri yang menawarkan lebih dari satu kerusi untuk calon wanita," tegas beliau.

Ketika ditanya tentang kuota 30 peratus yang dituntut, Dr. Mariah berkata ia belum mencapai peratus tersebut kerana ia turut merangkumi calon wanita daripada DAP dan PKR.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan mana-mana calon wanita yang menang pada pilihan raya umum ke-12 lalu, turut dicalonkan semula.

"Insya Allah, semua calon wanita yang menang pada PRU lepas, dicalonkan semula memandangkan laporan prestasi yang baik daripada kami," tegas ahli Parlimen Kota Raja itu.

Selain itu, kata beliau terdapat muka baru yang akan menjadi calon wanita, termasuk aktivis NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli.

Turut serta pada sidang media itu Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi.

Earth Hour: Bandingkan kos elektrik rumah PM

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong penuh kempen Earth Hour yang akan diadakan pada Sabtu, 23 Mac ini bermula jam 8.30 malam hingga 9.30 malam di seluruh negara.

“Bayangkan dalam masa sejam bergelap itu, berapa juta ringgit wang pengguna dapat dijimatkan.

“Bandingkan pula dengan kos elektrik di rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bernilai RM1,188 sejam,” kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil daalm satu kenyataan.

Kenyataan beliau sebagaimana di bawah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong penuh kempen Earth Hour yang akan diadakan pada Sabtu, 23 Mac 2013 bermula jam 8.30 malam hingga 9.30 malam di seluruh negara.

Kempen selama sejam itu akan digerakkan ke seluruh dunia dengan penyertaan sebanyak lebih 135 buah negara. Kempen ini bermula sejak tahun 2007 oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) dan ia berterusan setiap tahun sejak itu.

Kempen ini bertujuan untuk menanam kesedaran masyarakat peri pentingnya penjimatan eletrik sebagai suatu cara menyelamatkan bumi ini. Menjimatkan eletrik bererti menjimatkan tenaga dan sekaligus akan menyelamatkan bumi ini.

Masyarakat dunia khususnya di bandar kurang peka terhadap penggunaan eletrik sehingga mereka menggunakannya 24 jam sehari tanpa henti yang dianggap sebagai suatu pembaziran tenaga.

Dengan kos hidup yang tinggi, ditambah dengan pembaziran penggunaan eletrik yang tidak berpatutan, kempen ini memupuk sikap supaya masyarakat pada waktu-waktu tertentu perlu menghargai tenaga dengan mengurangkan penggunaannya seminimum mungkin.

Adakalanya manusia menggunakan tenaga eletrik secara berlebihan sehinggakan pada ruang dan tempat yang tidak diperlukan penggunaannya juga masih digunakan dengan pelbagai alasan. Setidak-tidaknya selama sejam bergelap mengingatkan masyarakat supaya bersyukur dengan nikmat alam yang dikurniakan Allah SWT.

Bayangkan dalam masa sejam bergelap itu, berapa juta ringgit wang pengguna dapat dijimatkan. Bandingkan pula dengan kos elektrik di rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bernilai RM1,188 sejam (dibahagikan dengan RM10,267,868.15 untuk setahun menurut sumber Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Ini bererti sebanyak RM1188.00 dalam masa sejam dapat dijimatkan dari perbelanjaan eletrik rumah kedua-dua pemimpin tertinggi negara dan masuk ke kantung kerajaan.

Hakikatnya, dunia ini terlalu tercemar akibat pemanasan global yang boleh menyumbang kepada bencana alam akibat ketidaktentuan pada iklim.

Para saintis berpendapat suhu dunia menjadi semakin panas kerana pelepasan gas karbon dioksida yang berlebihan yang menyebabkan ia memerangkap haba.

Biasanya haba meresap dalam udara dan boleh dilepaskan ke atmosfera, tetapi dengan adanya satu lapisan karbon dioksida berlebihan, ia memerangkap haba. Sekaligus ia memberi kesan buruk kepada keadaan bumi seperti kecairan di Kutub Utara dan pergerakan ombak yang berubah yang akan memberi kesan kepada hidupan dunia.

Adalah diharapkan supaya masyarakat di seluruh negara terutama di bandar-bandar menyahut kempen ini dengan membantu bersama-sama menghidupkannya.

Video GlobalWitnes di Sarawak: SPRM kena siasat segera

Harakahdaily, 20 Mac 2013


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta bertindak segera terhadap pendedahan yang dibuat oleh Global Witnes melalui satu klip video yang kini menjadi video paling panas di Malaysia.

Anggota Lembaga dan Penal SPRM, Salahudin Ayub membuat desakan ini ekoran pendedahan yang dibuat oleh klip video berkenaan.

"Saya meminta SPRM membuat tindakan segera. Lagi lambat tindakan diambil lagi rosak nama baik kita (SPRM)," kata Salahudin (gambar) kepada Harakahdaily.

Sehingga berita ini ditulis, sudah lebih 135,221 orang menonton klip video Bahasa Inggeris tetapi mempunyai terjemahan yang baik dalam Bahasa Malaysia ini. Sudah 2,337 penonton video ini menyatakan 'like' kepada video ini.

Video klip ini mendedahkan bagaimana keluarga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Taib Mahmud mengumpul kekayaan untuk mereka dengan menipu dan melanggar undang-undang negara.

Klip bertajuk 'Di sebalik bayang-bayang sebuah negeri di Malaysia - sebuah filem oleh Global Witnes' mengisahkan cerita seorang aktivisnya yang menyamar untuk melabur di Sarawak.

Ia berupa kisah korupsi yang berlaku dalam sebuah keluarga elit yang memerintah Sarawak yang mengeksloitasi segala hasil dan rakyat negerinya untuk kepentingan mereka.

"Dengan menyamar sebagai pelabur, Global Witnes telah ke Sarawak untuk menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana perniagaan ini dijalankan dan ke manakah wang itu disalurkan," kata Global Witnes di awal video ini.

Ekoran itu, mereka telah bertemu dengan pegawai kerajaan yang bertugas bagi membolehkan pelaburan dibuat.

Namun, pegawai ini telah memperkenalkan mereka dengan keluarga Taib Mahmud untuk menjalan perniagaan ini termasuklah sepupu Taib, Fatimah Abdul Rahman.

Dari situlah Global Witnes mendedahkan segala-galanya tentang apa yang berlaku di Sarawak.


Klik untuk tonton video ini sepenuhnya.

GTP: 7 kegagalan NKRA

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), 20 Mac 2013
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasai tekanannya apabila kadar sokongan terhadap beliau menunjukkan penurunan. Keadaan tidak menyebelahinya apabila beberapa kajian turut meramalkan Najib akan gagal dalam penawanan semula kerusi dua pertiga majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang ini. Keadaan ini bakal mengakibatkan Najib menjejaki langkah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terpaksa mengangkat bendera putih dan berundur selepas PRU ke-12 yang lalu.

Dalam usaha saat-saat terakhir menarik sokongan rakyat, Najib menangguhkan penetapan tarikh pembubaran Parlimen walaupun telah sudah tamat penggal 5 tahun Parlimen. Menurut Najib, beliau memerlukan masa tambahan untuk melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP), malah menyeru rakyat untuk memberikan peluang kepada beliau untuk meneruskan pentadbirannya.

Najib membentangkan Laporan Pengumuman laporan hasil kerja ETP dan GTP yang  dilaksanakan selama tiga tahun semalam yakni pada 19 March 2013. Dalam pembentangan tersebut, Najib mengumumkan bahwa kesemua tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah GTP menghasilkan pencapaian dan kejayaan yang kagum. Contoh kejayaan menurut GTP beliau termasuklah; penurunan kadar Jenayah, peningkatan dalam purata pendapatan isi rumah, kadar inflasi terendah di rantau dan lain-lain. Najib juga mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan disalurkan setiap tahun. Namun, didapati juga bahawa beberapa isu penting tidak mendapat perhatian, terutamanya kadar hutang dan defisit negara.

Selaku Menteri Kewangan, Najib tidak kelihatan berprihatin langsung terhadap hutang negara yang kini telahpun mencecah RM502,359juta, di mana mencakupi sebanyak 53.3 peratus daripada jumlah Pendapatan Negara Kasar (PNK). Sedangkan beliau beria-ria dengan pencapaian program-program transformasi yang diperkenalkan dan giat digerakkan olehnya, Najib tidak mengkaji dengan teliti keadaan kewangan negara yang kian membimbangkan, ataupun sengaja ditepikan demi mempertahankan air mukanya sebagai pemimpin tertinggi dalam negara, lebih-lebih lagi, demi mempertahankan tampuk pimpinannya.

Selain itu, Najib turut berniat menyembunyikan perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah selepas beliau mengambil alih Putrajaya dan melaksanakan program transformasi yang kononnya seumpama “kenderaan yang membawa negara kita menuju ke destinasi negara yang berpendapatan tinggi”. Pencapaian yang diraikan sememangnya dihiasi dengan peruntukan dan perbelanjaan yang tinggi-tinggi belaka. Contohnya, jumlah perbelanjaan kerajaan Najib bagi tahun 2013 mencapai sejumlah RM251.6 bilion, dan ini sekali lagi mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi! Walaupun negara terpaksa berhadapan dengan deficit yang meruncing akibat ketidaktelusan dan ketirisan yang serius dalam pentadbiran, Najib tidak menunjukkan dedikasi dan usaha untuk menjimatkan kos dan menolak perbelanjaan yang ghairah. Kekayaan negara dan kebajikan rakyat terpaksa digadai, sekadar-kadarnya demi memenuhi keangkuhan seseorang pemimpin.

Taktik Menarik Sokongan

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), sebuah badan pemikir dan penyelidikan berpendapat pengumuman kejayaan GTP dibuat berasaskan perasaan positif palsu yang diberikan untuk membuktikan Najib berjaya menakluki gunung kejayaan sosio-ekonomi di bawah pentadbiran beliau.
Dalam pembentangan Najib, beliau telah beberapa kali menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang menepati janji sambil mengkritik Pakatan Rakyat (PAKATAN) sebagai pihak yang tiada kemampuan untuk menunaikan janji-janjinya. Najib turut mengancam negara akan menjadi teruk jika berlakunya pertukaran kerajaan. Adakah kita mahukan seorang pemimpin yang menggugut keselamatan jika kita tidak mengekalkan kuasa beliau?

Menurut beberapa kajian antarabangsa dan badan bukan kerajaan, di mana berada kejayaan yang didokong, pastinya terdapat kegagalan yang disembunyikan dan dalam isu ini, terdapat beberapa kegagalan 7 NKRA di bawah GTP. Terutamanya masalah penurunan kadar jenayah yang berbeza dengan persepsi rakyat terhadap jenayah yang tidak didapati dalam laporan yang baru-baru ini. Adakah inisiatif mengurangkan Perasaan Takut terhadap aktiviti Jenayah (Crime - Reduce Fear of Crime) yang telah diperuntukkan sebanyak RM170 juta pada tahun 2012 telah membawa kesan positif kepada rakyat Malaysia? Ia terbuka untuk perdebatan.

Walaupun kerajaan menegaskan kadar jenayah di negara ini telah menurun, akan tetapi, Kumpulan pemerhati jenayah, Mywatch mendedahkan PDRM hanya menggunakan kategori jenayah indeks bagi mengira kadar jenayah tetapi tidak mengambil kira jenayah bukan indeks dalam NKRA walaupun pentadbiran Najib telah menjelaskan perbezaan antara persepsi rakyat terhadap jenayah dengan angka Pemandu merupakan suatu perkara yang amat penting kepada rakyat.

Oleh hal yang demikian, ia didapati bahawa pengumuman GTP hanya fokus kepada pencapaian dan kejayaan yang mislead merupakan satu taktik Najib bagi menarik balik sokongan rakyat demi mengekalkan kuasa pentadbiran negara beliau.

Berdebat dengan Anwar, Jangan Berlakon Seorang Diri

KPRU mendapati sebagai seorang Perdana Menteri, Najib merupakan seorang pemimpin negara yang menggemari berada di atas pentas, walaupun sehingga masa kini masih tidak membalas jemputan daripada Ketua Pembangkang,  Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat mengenai dasar ekonomi negara ini di hadapan seluruh rakyat. KPRU menggesa Najib memberi peluang kepada rakyat untuk menilai tawaran manifesto PAKATAN dan membuat perbandingan dengan dasar GTP melalui perdebatan antara beliau dan Dato' Seri Anwar dan perebatan terebut disiarkan secara langsung melalui RTM tanpa penapisan.

KPRU menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi, adalah wajar untuk memberikan peluang kepada calon pemimpin negara untuk menyampaikan dasar-dasar kepada rakyat. Manakala, rakyat harus diberikan peluang untuk membuat pilihan yang paling tepat semasa PRU tanpa ugutan oleh mana-mana pihak. Oleh itu, KPRU menuntut perdebatan antara Najib dan Anwar diadakan sebelum PRU-13, dan bukannya terukan persembahan solo beliau dengan berada di pentas berlakon dengan dirinya.

Berdirinya di atas pentas dengan begitu besar hati, Najib kelihatan begitu teruja dengan tepukan apabila menyindir manisfesto yang dilancarkan oleh PAKATAN bertema PAKATAN Harapan Rakyat. Namun, beliau masih tidak kelihatan bersedia untuk menyahut undangan Anwar Ibrahim yang telah berkali-kali mengajak Perdana Menteri untuk berbahas. Sekiranya Najib begitu berkeyakinan dengan keberkesanan dan kejayaan program transformasi serta dasar-dasar lain yang dilaksanakan kerajaan BN, mengapakah beliau tidak sanggup berbahas dengan Anwar Ibrahim untuk sekali gus menyerlah kemampuannya yang tidak dapat dipersoalkan?

Perbandingan Kejayaanan dan Kegagalan 7 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) GTP

1. Mengurangkan jenayah

a.Hasil menurut laporan BN

i. Pada tahun 2012, jenayah Indeks: -7.6%, jenayah jalanan:  –41.3% .
ii. Keseluruhan GTP 1.0,  jenayah Indeks: -26.8%, jenayah jalanan –40.8%.
iii. Meningkatkan jumlah tangkapan yang dibicarakan (34.7% pada tahun 2012).       

b. Kegagalan
i. Walaupun Laporan GTP 2011 menyatakan kadar indeks jenayah telah menurun, malah  persepsi rakyat terhadap jenayah adalah lebih tinggi daripada jumlah aktiviti jenayah secara keseluruhan.
ii. Kumpulan pemerhati jenayah, MyWatch mendedahkan PDRM hanya menggunakan kategori jenayah indeks bagi mengira turun naik kadar jenayah tetapi tidak mengambil kira jenayah bukan indeks dalam pengiraan NKRA.
iii. Jenayah seperti culik, pemerasan, ugutan jenayah dan mencederakan (Sek. 323 K.K) bagi tempoh Jan-Jun 2012 adalah sebanyak 6,631 kes manakala jumlah bagi tempoh masa saa 2011 adalah sebanyak 6,752.
iv. Jenayah bukan indeks  iaitu kecurian kenderaan seluruh Malaysia daripada Julai-September 2011 sebanyak 17,645 dan dalam tempoh sama pada 2012 meningkat 3.5 peratus kepada 18,269.
v. Pada April hingga Julai 2012, beberapa kes rompakan terjadi di kawasan tempat letak kereta pusat membeli belah, termasuk Mid Valley, One U, dan Publika.
vi. Baru-baru ini (Mac 2013), seorang guru Amerika   menahan sebuah teksi berhampiran pusat beli-belah untuk pulang ke rumah di Damansara Perdana, diculik,  ditahan oleh pemandu teksi dan  dirogol oleh sejenayah.  Kes ini menarik perhatian kedutaan AS .

2. Memerangi rasuah
a.Hasil menurut laporan BN
i. Malaysia satu-satunya negara yang menjadikan pembasmian rasuah di antara pelan transformasinya.
ii. CPI bertambah baik daripada tangga ke-60 tahun 2011 kepada tangga ke-54 tahun 2012.

b. Kegagalan
i. Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia telah menurun kepada 4.3 daripada 10 dan tangga ke-60 daripada 183 negara dalam tempoh pentadbiran Najib.
ii. Badan pemantau – Global Finandial Integrity (GFI) yang berpangkalan di Washington  mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia – dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38  bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.
iii. Ia hampir  RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari Malaysia pada tahun 2010 – meletakkan negara ini di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.

3. Meluaskan akses kepada pendidikan bermutu dan termampu
a.Hasil menurut laporan BN
i. Peningkatan enrolmen kepada 80% bagi kanak-kanak usia prasekolah.
ii. Saringan kohort ketiga di bawah program Saringan Literasi dan Numerasi NKRA menunjukkan kadar kecekapan sebanyak 82% dan 90% bagi setiap kategori masing-masing.
iii. Kira-kira sejumlah 61,000 guru Bahasa Inggeris telah diuji di bawah Ujian Penempatan Cambridge (CPT) bagi mengukur kecekapan mereka dalam bahasa Inggeris.
iv. Mengeluarkan 164 buah sekolah berprestasi rendah kepada jaluran yang lebih baik.    

b. Kegagalan
i. “Trends in International Math and Science Study” (TIMSS) 2011 menunjukkan Malaysia telah turun beberapa dalam tangga kedudukan dan markah purata bagi Matematik dan Sains.
ii. Skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2011 merosot kepada 440 mata berbanding dengan 474 mata pada tahun 2007.  Dibelakang negara-negara seperti Korea, Singapura, Chinese Taipei, Hong Kong dan Jepun, yang menduduki lima tangga teratas seluruh dunia.
iii. Skor Sains 2011 merosot kepada 426 mata pada 2011 berbanding 471 pada tahun 2007.

4. Meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah
a.Hasil menurut laporan BN
i. Seramai 106,967 orang berjaya didaftarkan & terlibat di bawah program Azam Kerja, Azam Niaga, Azam Khidmat & Azam Tani .
ii. E-Kasih telah berjaya mengeluarkan 100,000 rakyat daripada belenggu kemiskinan.
iii. Lebih 100,000 unit kediaman mampu milik.
iv. Sepanjang tiga tahun ini, 4,300 usahawan wanita telah dilatih, melebihi sasaran awal berjumlah 4,000 yang telah ditetapkan pada permulaan GTP 1.0.       

b. Kegagalan
i. Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, sebanyak 2,680 orang usahawan wanita dilahir bagi tempoh Januari 2010 sehingga 31 Ogos 2011.   Angka ini tidak mencapai 0.01 peratus jumlah wanita yang tiada bekerja di negara ini.
ii. Berdasarkan kenyataan Najib pada Jun 2010, jumlah isi rumah sebagai miskin tegas yang berdaftar di bawah sistem e-kasih telah berkurang daripada 50,931 kepada 33,417. Namun, berdasarkan laporan  Oriental Daily bertarikh Disember 2012, masih terdapat 53,034 isu rumah yang miskin tegar. Ini bermaksud jumlah isi rumah miskin tegar bertambah 58.7 peratus daripada 33,417 pada tahun 2010 kepada 53,034 pada tahun 2012.

5.Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman
a.Hasil menurut laporan BN
i. 3,300km jalan telah dibina di luar bandar.
ii. Lebih 1.4 juta isi rumah di kawasan luar bandar telah mendapat bekalan air bersih.
iii. Lebih 470 ribu isi rumah di kawasan luar bandar kini telah mendapat akses elektrik.
iv. Sebanyak 53,000 unit rumah penduduk miskin luar bandar telah dibina dan dibaik pulih.    

b. Kegagalan
i. Berdasarkan Laporan Audit 2011, projek membina dan menaik taraf jalan luar bandar di negeri Sarawak bermasalah malahan terdapat juga projek yang disifatkan sebagai “projek sakit”. Sebanyak 101 projek bernilai RM437.57 juta yang disiapkan tidak memuaskan, manakala 38 projek (37.6%) bernilai RM178.94 juta mengalami kelewatan antara 15 hingga 242 hari daripada jadual asal.
ii. Sebanyak 13 projek sakit (17.6%) bernilai RM229.27 juta daripada 74 projek kerana kelewatan menepati 20% daripada jadual  yang ditetapkan.
iii. Laporan Ketua Audit Negara 2010 membangkitkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan RM770,000 untuk membekalkan tenaga elektrik kepada sebuah rumah di bawah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di sebuah kampung di Indera Mahkota, Pahang.
iv. Laporan Ketua Audit Negara 2010 juga mendedahkan bahawa TNB meluluskan projek bernilai RM65,193 bagi membekalkan elektrik kepada lima buah rumah terbengkalai di sebuah kampung di Bera, Pahang.
v. Sehubungan itu, laporan berkenaan menilaikan prestasi projek BELB sebagai tidak memuaskan dengan hanya 43.2 peratus atau 16 daripada 37 projek yang disiapkan pada tahun lalu.

6. Menambah baik pengangkutan awam bandar
a.Hasil menurut laporan BN
i. Melancarkan operasi perkhidmatan set keretapi enam gerabak bagi perkhidmatan keretapi  komuter ktm.
ii. Pengenalan bas dalam bandar Go kl.
iii. Menaik taraf monorel
iv. Pembinaan Park & Ride Gombak.

b. Kegagalan
i. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011, Kementerian Pengangkutan terpaksa menanggung kos tambahan berjumlah RM3.6 bilion kerana kelewatan pembinaan projek landasan berkembar elektrik antara Ipoh ke Padang Besar sepanjang 329 kilometer (km).
ii. Prestasi kewangan RapidKL kurang memuaskan di mana syarikat mengalami kerugian berjumlah RM293.82 juta pada 2008 dan 2010, walaupun mencatat keuntungan pada 2009.
iii. Bilangan bas sedia guna berjumlah kurang daripada 50 peratus keseluruhan bas sebenar.

7. Menangani kos sara hidup rakyat
a.Hasil menurut laporan BN
i. Penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Kain 1Malaysia telah memastikan yang rakyat mempunyai akses kepada barangan dan kesihatan yang lebih mampu.
ii. Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) negara meningkat kepada RM5,000 tahun lalu daripada hanya RM4,025 pada 2009,  peningkatan 1,200%.
iii. Kadar kemiskinan negara menurun daripada 3.8% pada 2009 kepada hanya 1.7% tahun 2012.
iv. Jumlah PNK per kapita negara telah meningkat kepada USD9,970 iaitu peningkatan sebanyak 4,000% dalam tempoh 5 dekad.
v. RM524 juta diperuntukkan untuk bantuan persekolahan
vi. Sebanyak RM97.5 juta diperuntukkan untuk Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).
vii. BR1M telah memanfaatkan lebih 6 juta rakyat Malaysia atau sejumlah lebih RM2.34 juta daripada manfaat ini.
viii. 1,087 pekedai runcit terbabit dalam program TUKAR.
ix. BR1M menjadi inisiatif tahunan.       

b. Kegagalan
i. Dasar Gaji Minimun masih belum dapat dilaksanakan secara keseluruhan.
ii. Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) mendapati sos cili yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mendapati tahap raksa dan plumbum melebihi paras yang dibenarkan dalam Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Tiada ulasan: