Sabtu, 30 Mac 2013

DENGAN NI KITA TAHU SAPE GILA KUASA DAN TAKUT HILANG KUASA

Dalam Pakatan Rakyat, rakyat berfikir...

Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz, 29 Mac 2013
Dia tanya, "Ustaz, lepas PRU13 nanti, jika kita diberi kemenangan bersama dalam PR, apa yang kita harus lakukan?"

Saya jawab, pecahkan liur, "Kita memerintahlah."

Dia kata, "Tapi, rasanya payah untuk kita jadi PM. DAP dah setuju untuk Anwar jadi PM."

Saya jawab, "Kita pergi kepada yang mudah dulu. Kita jadi TPM. Bila yang payah tu jadi mudah, kita jadi PM."

Dia sinis, "Bilalah DAP nak setuju PAS jadi PM?!"

Saya jawab, "Bila PAS berjaya yakinkan DAP. Kita dah pun berjaya yakinkan mereka untuk bersama. Mereka pun dah yakinkan kita."

Dia tambah, "Nampaknya PAS akan bertarung terus dengan PKR berebut PM."

Saya jawab, "Tidak. Rakyat akan marah jika begitu. PM PR bukan seumur hidup macam PM BN. Rakyat akan pilih PM terbaik dari parti terbaik. Jika PM pertama dari PKR, mungkin PM kedua dari PAS."

Dia sinis, "Nampak saja mudah ustaz, tapi payah."

Saya jawab, "Kita fikir yang mudah-mudah dulu. Kalau fikir yang payah, nanti umno BN tak tumbang nanti. Nak?

Dia jawab, ketawa, "Haha, ngeri!"

Dia tanya lagi, "Macam mana kita nak laksana Islam jika kita tak jadi PM?"

Saya jawab, "Yang jadi PM tulah yang laksana Islam. Kita jadi pembantu. Pembantu nombor satu."

Dia mula pesimis, "Bila pulak Anwar janji nak laksana Islam? Dia pun nampak pelik kenyataan-kenyataan dia pasal Islam."

Saya jawab, "Tapi dia tak pernah kata tolak Islamkan? Bahkan dia puji. Cuma, dia hanya syarah Islam cara dia fahamlah. Itu dah baik. Jauh meninggalkan umno-BN di belakang."

Dia desak, "Macam mana jika dia tipu. Ustaz tahu, orang politik bila dah ada kuasa, mulalah tipu sana tipu sini."

Saya jawab, "Orang Islam, macam orang lain juga, biasa je kena tipu. Cuma, tak boleh kena tipu dari lubang yang sama berulang kali. Yang pasti, umno dah berulang kali tipu."

Dia tanya, "Ustaz tak takut PAS kena tipu?"

Saya jawab, "Takut."

Dia tambah lagi, "Lepas tu?"

Saya jawab, "Takut melahirkan hati-hati. Hati-hati adalah sifat setiap mukmin dan setiap gerakan Islam. Jadi, PAS berhati-hati. Semua parti politik yang berhati-hati adalah betul."

Dia tukar gear, "Ustaz, bagaimana hudud. PAS nak teruskan?"

Saya jawab, "Itu agenda Islam. Hudud adalah bahagian kecil daripada bahagian-bahagian Islam yang luas. Meninggalkan sebahagian dan ambil sebahagian adalah umno."

Dia tekan minyak, "Macam mana nak buat? Kita dalam PR. PR tiada agenda hudud."

Saya jawab, "Yalah. Hudud itu agenda PAS. Memanglah bukan agenda PR. DAP dan PKR pun ada agenda mereka yang bukan agenda PR."

Dia hembus nafas mengeluh, "Nampaknya, lambat lagi la hudud nak jalan."

Saya kata, "Lambat tu masa umno memerintah. Masa kita memerintah, masa semakin dekat."

Dia berminat, "Boleh ustaz terangkan panjang-panjang sikit, bagaimana?"

Saya terangkan, "Bila menang dan memerintah nanti, halangan lama buatan umno akan terungkai. Kebebasan mengambil tempat. Rakyat akan mendengar dari semua dengan adil. Suara dakwah semakin meluas. Ilmu dan hujah Islam akan berkumandang.

"Qudwah akan memimpin menggantikan janji dan kata. Keindahan Islam semakin dilihat. Amar makruf nahi munkar akan bergerak dalam masyarakat Islam.

"Keadilan menjadi desakan ke atas pemerintah. Kezaliman akan diburu sehingga ke lubang cacing. Kepimpinan khianat akan diganti dengan mudah. Rakyat mencintai kebenaran melebihi cinta mereka kepada pemerintah.

"Baik, saya mahu tanya, masa itu, apa halangan untuk rakyat yang telah melihat keindahan Islam dan qudwahnya untuk tidak mengundi Islam yang syumul, termasuk hudud? Bukankah umat Islam dijamin sebagai umat yang menjadi saksi untuk Islam dan Allah? Melayu bangkit kerana Islam. Melayu rebah, tanya sama Umno, kenapa?"

Dia diam seketika, kemudian senyum, "he he.. saya fikirkan.."

Saya kata, "Dalam PR, rakyat berfikir. Dalam BN, rakyat jadi fakir."

http://www.tarbawi.my

Pakatan Rakyat tidak mahu media pemfitnah

Harakahdaily, 29 Mac 2013
KUALA LUMPUR: “Bilakah pemimpin Pakatan Rakyat yang mendakwa tidak perlu langsung kepada undang-undang untuk kawal media?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Menurutnya, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya yang menuduh Pakatan Rakyat (PR) berjanji untuk menghapuskan semua undang-undang berkaitan media massa satu kenyataan yang karut.

“Pengampu media Umno cuba mengalih isu. Nanti mereka boleh tuduh pula PR tidak perlu mahkamah dan polis serta SPRM, kononnya atas alasan kebebasan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, apa yang ditentang ialah terlalu mengawal maklumat, walaupun untuk kepentingan awam.

Misalnya, kata beliau penyelewengan di dalam pemberian kontrak sehingga merugikan rakyat seperti amalan kerajaan BN pada hari ini yang sudah tidak menjadi rahsia umum, yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Tambahnya, tidak munasabah PR hendak menghapuskan undang-undang media kerana jika tidak ada undang-undang, maka  penyebar fitnah akan melampau.

Beliau menjelaskan lagi, PR bukan sahaja hendak betulkan media, malahan hendak betulkan seluruh sistem yang sudah rosak angkara BN selama 55 tahun.

Secara sinis, katanya pengampu media yang menjadi penyebar fitnah juga akan disekolahkan semula supaya memahami etika kewartawanan.

Baginya, yang paling kelakar ialah mereka mendakwa pelbagai fitnah dan tohmahan mudah dilemparkan jika tidak ada undang-undang yang mengikat penyebaran maklumat.

Beliau berkata, etika kewartawanan tidak lagi bermakna dan pemilikan media massa oleh pihak asing yang berniat jahat terhadap negara juga mungkin berleluasa.

“Kenyataan ini seolah-olah meludah ke muka media pro Umno yang melakukan fitnah tanpa mengira hukum agama dan undang-undang, lebih-lebih lagi di musim pilihanraya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mereka bertindak demikian kerana mereka sedar mereka akan dibela dan disediakan dana saman fitnah oleh bos-bos Umno.

“Dakwaannya lagi media di negara ini tertib kerana ada undang-undang. Satu kenyataan yang lucu daripada pengampu Umno seolah-olah macam dia berbicara dengan rakyat Malaysia yang buta mata.

“Apakah laporan di dalam Utusan Malaysia itu tertib dan berakhlak?” tanya beliau.

Contohnya, kata beliau isu video kononnya gambar Anwar Ibrahim yang disiarkan oleh media Umno.

“Layakkah akhbar ini yang sampai di sekolah-sekolah dibaca oleh pelajar yang mentah?” tanya Idris lagi.

Memahami perjuangan gerakan Islam

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 29 Mac 2013
Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya. Oleh sebab perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dan persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada dalam Islam dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.

Mahu tidak mahu, setiap Muslim terpaksa menghadapi realiti perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang. Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah lagi, umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.

Perjuangan dan Jihad


Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdar) yang berasal dari perkataan "Jahada" bererti bersungguh-sungguh dan tekun mengerjakan sesuatu. "Jahada" pula bererti memerah tenaga. Jahada al-'aduww, bererti memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.

Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak berisiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang berbunyi; Daripada Abu Sa'id al-Khudri katanya, Rasulullah telah bersabda; "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim."

Oleh sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silan lebih merujuk kepada aspek peperangan. Contohnya, ulama Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam. Manakala ulama Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.

Imam Hassan al-Banna pula menyatakan bahawa, "Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap Muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran."

Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelosok dunia. Lalu, dalam usaha berdakwah itu, mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman dari musuh dakwah. Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja. Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihan raya, penulisan dan sebagainya.

Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian daripada ujian Allah Taala. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.

Akidah Asas Perjuangan


Islam meletakkan akidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan akidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen. Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada akidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid. Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar-besaran dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang diserahkan hanya kepada Allah.

Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia. Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah. Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah selaras dengan pengertian kalimah Islam sendiri.

Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan, "Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya pada alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya daripada hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada."

Dalam perkara ini, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36:

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya."

Peranan utama para Rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hamba-Nya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan antara satu sama lain iaitu :

1. Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah Yang Maha Esa.
2. Menyeru supaya menjauhi taghut.

Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaati-Nya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.

Matlamat Perjuangan Islam

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariat-Nya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy'ari bahawa sesungguhnya seorang lelaki Badwi datang menemui Baginda Nabi SAW dan bertanya, "Wahai RasulAllah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejaguhannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?"

Rasulullah SAW menjawab, "Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah." - Riwayat Muslim

Allah Taala menuntut agar agama-Nya ini diletakkan mengatasi segala ajaran yang lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang matlamat pengutusan Rasulullah SAW kepada manusia. Firman Allah Taala:

"Dialah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya dimenangkan-Nya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin." (surah al-Saff : ayat 9)


Imam Abu A'la Al-Maududi menyatakan, "Sebagaimana halnya dengan din (agama) lainnya, din Allah ini juga menuntut bahawa seluruh wewenang mesti diserahkan kepadaNya semata-mata. Sedangkan semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana dalau din ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis."

Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia. Ini dijelaskan dalam konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai, melampau, membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah. Demikian juga difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata; Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."

Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil dengan secara rela.

Firman Allah di dalam Surah at-Taubah, ayat 40:

"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."


Tuntutan menzahirkan agama ini dijelaskan sehinggalah dalam soal peperangan. Tujuan peperangan dalam Islam sendiri adalah untuk memastikan bahawa Islam menjadi penentu dalam percaturan politik dan hidup manusia. Firman Allah:

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Anfal : ayat 39)

Perjuangan Tidak Bernoktah


Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua faktor di atas, lalu timbul pula reaksi di kalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan di antara Islam dengan musuh-musuhnya. Contoh yang paling ketara daripada sirah Rasulullah SAW ialah apabila Baginda berdakwah dengan orang ramai tentang Islam supaya mengucap syahadah, dua orang lelaki Badwi dari kalangan yang hadir berkata, "Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah). Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang 'Ajam (bukan Arab)."

Peristiwa ini menggambarkan bahawa penentangan terhadap Islam adalah perkara yang sentiasa berlaku sebagaimana ia telah berlaku ke atas Para Nabi yang terdahulu. Namun faktor utama penentangan itu bukanlah kerana faktor batang tubuh individu atau golongan yang menyeru, tetapi kerana seruan Islam itu sendiri. Sebagaimana Rasulullah SAW sendiri ditentang bukan kerana peribadi Baginda yang sudah terkenal sebagai al-Amin dan pernah diberi kepercayaan menjadi hakim menyelesaikan masalah perletakan Hajar al-Aswad dalam peristiwa banjir besar di Makkah sebelum kenabian Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda (bermaksud), "Jihad itu berterusan sejak aku dibangkitkan sehingga umatku yang terakhir membunuh Dajjal."

Konsep Kemenangan Islam Yang Hakiki


Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar (haq) atau batil, pejuang itu Muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain. Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah Taala menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al-fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.

Kemenangan dengan istilah "al-falah" melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan "al-fawz" pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan "al-nasr" pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya. "Al fath" pula kejayaan yang diperolehi setelah melalui pelbagai jenis ujian seperti kekalahan, kelemahan, kesedihan dan kesengsaraan.

A. Kemenangan di Dunia


Di dalam al-Quran, golongan yang memperolehi kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang. Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1:

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata."


Ulama sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran dari al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya. Kemenangan di dunia dapat dilihat dari beberapa aspek sebagaimana dinyatakan di dalam Surah al-Nur ayat 55:

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)."

Tiga bentuk kemenangan al-nasr yang dijanjikan itu adalah:

1. Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendokong-pendokong ke atas negara atau wilayah dan memegang tampuk pimpinan.
2. Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya kewibawaan untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.
3. Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.

B. Kemenangan Di Akhirat


Kemenangan di akhirat (al-fawz) adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam. Allah Taala menawarkan kemenangan di dalam firman-Nya dalam Surah al-Saff ayat 10-12:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"

"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar."


Berdasarkan ayat di atas, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara :

1. Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat.
2. Mendapat keampunan dari Allah Taala di atas segala dosa yang telah dilakukan.
3. Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai yang mengalir.
4. Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di yurga yang bernama 'Adn.


C. Kemenangan Adalah Janji Allah


Di dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap Muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk Islam. Hal ini kerana terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadis yang memberitakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak. Ayat 55 Surah al-Nur di atas tadi dimulakan dengan lafaz - wa'ada - bermaksud "telah menjanjikan", di mana kemenangan di dunia (al-nasr) telah dijanjikan oleh Allah sebagai satu kemestian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya.

Janji ini bukan sahaja dikhususkan buat umat Muhammad SAW, bahkan ia telah dinyatakan oleh Allah Taala sejak zaman Nabi Daud AS lagi. Firman Allah Taala dalam ayat ke-105 Surah al-Anbiya':

"Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh."

Janji Allah Taala ini disebut pula dalam hadis Rasulullah SAW (maksudnya); Dari Tamim al-Dari katanya; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkan-Nya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran."

Tamim al-Dari menyatakan bahawa aku telah mengalami perkara itu dalam keluargaku, yang Islam mendapat kebaikan, kemuliaan dan kehebatan, manakala yang kafir mendapat kehinaan, merasa kerdil dan membayar jizyah.

Hadis ini menerangkan bahawa agama Islam akan berkembang seluas-luasnya ke setiap penjuru dunia. Janji Allah dan Rasul-Nya ini telah berlaku untuk peringkat pertamanya dengan berlakunya peristiwa pembukaan negara Islam dan berkembangnya wilayah taklukan Islam sejak zaman Rasulullah SA. hingga kurun ke-14 Hijrah.

D. Kemenangan Adalah Pertolongan Allah

Persoalan pokok dan perkara penting yang membezakan konsep Islam terhadap kemenangan dengan konsep-konsep agama, ideologi dan fahaman lain adalah unsur pertolongan Allah, Islam amat menitik-beratkan hubung-kait manusia Islam dengan Tuhannya dalam perjuangan bahkan dalam setiap aspek kehidupan. Para pendukung perjuangan Islam sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya bergantung kepada Allah dan menyakini bahawa kemenangan hanya datang dari Allah apabila dikehendakiNya. Allah Taala berfirman dalam ayat 160 Surah al-Imran:

"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri."


Al-Nasr dalam ayat ini memberi pengertian pertolongan dan kemenangan di dalam perjuangan. Allah Taala mengaitkan persoalan kemenangan dalam ayat ini dengan pernyataan bahawa Allah Yang Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dia-lah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman sekalipun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan. Manakala pernyataan bahawa Allah Maha Bijaksana menegaskan bahawa Dia-lah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu tidak diberikan dalam semua keadaan.

Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia (Allah) boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain. Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan.

http://www.tarbawi.my
 

Dun terbubar sendiri, PR sudah congak taktik BN 

Harakahdaily, 29 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan BN membiarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor terbubar sendiri semalam sememangnya sudah dijangka, biarpun ianya sedikit pelik dalam sejarah politik Umno BN.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pakatan Rakyat dari awal sudah bersedia berdepan dengan taktik BN ini yang turut memungkinkan Perdana Menteri juga akan membiarkan parlimen terbubar secara automatik.

Sebab itu katanya, Selangor membuat ketetapan untuk membubarkan Dun pada tarikh 22 April iaitu tarikh terakhir Dun Selangor penggal ini.

Tarikh itu menurutnya dipilih dengan membuat beberapa pertimbangan, khususnya berdepan taktik Umno BN itu sendiri.

“Kita telah melihat 'permainan' Kerajaan Negeri Sembilan iaitu dengan membiarkan Dun terbubar sendiri dan bukannya dibubarkan. Keputusan ini telah menimbulkan beberapa persoalan.

"Keputusan Selangor menetapkan tarikh 22 April untuk pembubaran Dun adalah tempoh yang tepat dan menghampiri pembubaran automatik Parlimen 28 April," katanya seperti dilapor media semalam.

Bagaimanapun katanya, sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen lebih awal dari tarikh terbubar automatik, Selangor tiada masalah untuk menyertainya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pilihan raya umum ke-13 ini akan berlangsung serentak antara parlimen dan Dun melihat kepada perkembangan semasa.

Pakatan Rakyat juga ujarnya sudah bersedia untuk ke arah itu.

“Oleh sebab itu, PR berpendapat kita akan lakukan serentak setelah memahami taktik dan strategi yang dilakukan oleh kerajaan pusat," katanya.
Terbubar automatik

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membayangkan kemungkinan Najib akan membiarkan parlimen terbubar secara automatik.

Menurutnya, tindakan itu kemungkinan diambil Najib ekoran perdana menteri itu mungkin berasa 'belum cukup masa' kerana hanya mengambil alih tampuk pemerintahan dari Tun Abdullah Badawi pada 2009 iaitu setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

“Jika beliau mahu menggunakan lima tahun (penggal penuh) itu sudah tentu tidak boleh. Jadi beliau memerlukan masa lebih panjang untuk melaksanakan dasar-dasar yang dirancang dalam tempoh itu,” katanya dipetik Sinar Harian Online.

Wan Junaidi juga berkata, disebabkan mengambil alih tugas setahun selepas pilihan raya 2008, Najib telah kehilangan masa satu tahun untuk membuktikan kemampuannya.

Tiada krisis besar di Kedah - Phahrolrazi

Harakah, 29 Mac 2013
KUALA KEDAH: Media Umno-BN sengaja menokok tambah isu kononnya PAS Kedah menghadapi krisis yang besar, sedangkan tiada apa-apa yang berlaku selain hanya sedikit sebanyak 'perbezaan pendapat' di peringkat dalaman.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi (gambar) berkata, media sengaja menambah rencah hingga menggambarkan kononnya PAS Kedah sudah bergolak dan dalam keadaan yang parah.

"Saya lihat itu hal dalaman kita sahaja, tidak libatkan akar umbi, saya tengok ahli-ahli PAS ini, mereka tidak hiraukan isuberkenaan, ini isu perbezaan pendapat sahaja, peringkat bawah sedia hadapi pilihan raya dan tidak sabar menghadapi pilihan raya," kata Phahrolrazi dalam satu wawancara eksklusif bersama Harakah di Markas PAS Kuala Kedah, dekat Kubang Rotan 26 Mac lalu.


Baca laporan khas Harakah cetak Ahad ini.

Negara Persekutuan tetapi ditadbir ala Malayan Union

Aspan Alias, 29 Mac 2013
Apabila Negeri Sembilan terpaksa membiarkan Dewan Legislatifnya terbubar dengan sendiri itu, maka saya hendak menyebut semula isu Persekutuan sekali lagi. Membiarkan Dewan Undangan Negeri terbubar dengan sendiri itu merupakan petanda jelas yang negara kita seolah-olah sedang ditadbir seperti Malayan Union yang ingin dibentuk oleh British dahulu.
Ramai yang keliru tentang isu ini termasuk mereka yang memimpin. Oleh itu kita melihat cara negara kita ditadbir urus tidak seperti sebuah negara Persekutuan. Kita seolah-olah ditadbir oleh kerajaan yang cuba dibentuk oleh British dahulu, iaitu kerajaan Malayan Union dalam mana negara kita hendak ditadbir seperti sebuah negara ‘unitary’.

British hampir berjaya membentuk dan melaksanakan Malayan Union terhadap Semenanjung ini. Brtitish telah merangka Semenanjung ini sebagai sebuah negara ‘unitary’ tanpa mempunyai sempadan di antara kesemua negeri dalam Semenanjung ini. Kuala Lumpur merupakan pusat pentadbiran Malayan Union itu. Tidak ada lagi Selangor, tidak ada lagi Negeri Sembilan dan semua negeri-negeri yang kita ada sekarang ini. Raja-Raja Melayu dirancang untuk menjadi penasihat-penasihat kepada Malayan Union itu dalam bentuk ‘ceremonial’ sahaja.

Tetapi semuanya itu dapat ditolak sehinggakan kita berjaya membentuk sebuah negara Persekutuan pada bulan Februari 1948 dan kerajaan Persekutuan itulah yang meneruskan perjuangan kemerdekaan sehingga kemerdekaan itu tercapai pada bulan Ogos 1957. Raja-Raja Melayu telah mendapat semula negeri-negeri jajahan baginda semua dengan mempunyai Legisltifnya sendiri dan Ketua Eksekutif sendiri, walaupun Ketua Eksekutif itu dilantik oleh British.

Justeru dalam pemahaman kita yang mudah, negeri-negeri ini adalah negeri-negeri berdaulat di bawah naungan Raja-Raja Melayu dan dalam perjanjian Persekutuan pada Februari 1948 itu. Negeri-negeri ini bersetuju untuk bergabung dalam sebuah negara Persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Kedaulatan negeri-negeri inilah sumber kedaulatan negara persekutuan yang baru terbentuk itu.

Oleh itu perhubungan Putrajaya dengan kerajaan negeri-negeri di dalam persekutuan itu mestilah perhubungan dengan negeri-negeri yang berdaulat dan merdeka. Persekutuan mesti melayani negeri-negeri dalam persekutuan itu dengan hormat seperti negara kita menghormati kerajaan negara lain yang berdaulat itu. Tetapi ini tidak berlaku di negara kita di mana Persekutuan telah menentukan segala-galanya dan negeri-negeri di dalam persekutuan ini terpaksa tunduk kepada kehendak Putrajaya seratus peratus.

Ramai merasakan terbubarnya Dewan Undangan Negeri Sembilan dengan sendiri itu adalah disebabkan keadaan dan masalah yang ada di peringkat persekutuan. Itu masalah persekutuan. Tetapi jika Negeri Sembilan ditadbir politiknya oleh Negeri Sembilan sendiri, Mohamad Hasan sepatutnya membubarkan Dewan Undangan Negeri Sembilan itu dahulu sebelum DUN itu terbubar dengan sendirinya. Biarlah Negri Sembilan mengadakan pilihanrayanya dahulu kerana seperti yang kita dengar selalu, Menteri Besar NS selalu berkata, “kito dah ready bilo-bilo maso untuk pilihanrayo”.

Sebagai sebuah negeri yang berdaulat dalam persekutuan ini Negeri Sembilan sepatutnya memanggil pilihanraya DUN dahulu. Jika kita terpaksa menunggu pimpinan persekutuan untuk menyelesaikan masalahnya di Putrajaya sebelum kita memanggil pilihanraya untuk DUN Negeri inilah masalahnya yang timbul. Terbubarnya DUN Negeri Sembilan secara sendiri itu telah memberikan persepsi jelas yang UMNO dan BN itu sesungguhnya sedang menghadapi masalah.

Jika benar Negeri Sembilan bertindak sebagai sebuah negeri yang berdaulat membiarkan Dewan Undangan Negeri terbubar itu adalah satu kejadian yang tidak sepatutnya berlaku. Menteri Besarnya yang telah diberi kuasa untuk menentukan pembubaran itu tidak melakukannya kerana masalah pimpinan Persekutuan yang belum bersedia itu. Putrajaya tidak menghormati nilai sebuah negara persekutuan seolah-olah kita masih terikat dengan budaya mentadbir ala Malayan Union dahulu. Tiada kebebasan barang sedikit untuk negeri-negeri dalam persekutuan itu.

Bukannya salah untuk memahami dan membantu masalah yang dihadapi oleh pimpinan persekutuan itu, tetapi tidak lah sampai membiarkan Dewan Undangan Negeri yang berdaulat dan mulia itu terbubar begitu sahaja kerana kehendak Persekutuan itu. Nampaknya Johor pun sudah menunjukkan tanda-tanda DUN akan terbubar dengan sendiri itu.

Nampaknya satu demi satu DUN-DUN negeri-negeri yang menganggotai persekutuan kita ini akan terbubar secara ‘automatic’ semata-mata kerana kelalaian dan kelemahan pimpinan Persekutuan. Mereka lebih mementingkan politik kepartian walaupun parti yang memerintah itu sudah hampir kepada penamat usianya.

Mungkin keadaan ini terjadi kerana untuk memberikan kesedaran kepada semua, yang perubahan kepada negara sudah menjadi fardhu kifayah yang sangat penting kita lakukan. Parti pemerintah negara ini sudah terlalu uzur dan berusia untuk terus mentadbir kita.

Tengok sahajalah, Dewan Undangan Negeri pun terbubar dengan sendirinya. Apa lagi alasan yang ada yang bagi kita mempertahankan kerajaan yang sudah uzur ini? - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Kak Mizan: Kehilangan besar kepada PAS

Salmah Mat Husain, 29 Mac 2013

(Allahyarham Amizan bersama isteri Presiden PAS, To' Puan Seri Hajjah Zainab)

KOTA BHARU: Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan mengucapkan takziah kepada keluarga Pengarah Dewan Muslimat PAS Pusat, Allahyarham Amizan Baharuddin diatas kematian pejuang muslimat cekal ke akhir hayat itu.

Timbalannya, Wan Ubaidah Omar, ketika menghubungi Harakahdaily berkata Muslimat PAS Negeri turut bersedih di atas pemergian allahyarham.

Menurutnya, Allahyarham  sentiasa istiqamah dalam perjuangan walaupun pada masa yang sama bertarung dengan masaalah penyakit ‘barah ovari’.

“Allahyarham merupakan seorang tokoh muslimat yang sentiasa cekal, ceria, sentiasa tenang walaupun menghidap penyakit yang begitu ditakuti seluruh manusia.

“Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan insane yang soleh bersesuaian dengan perjuangan Allahyarham sepanjang hidupnya,”ujarnya.

Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Amizan Baharuddin meninggal dunia jam 6.30 pagi tadi akibat kanser ovari.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar Kedah selepas hampir dua tahun menjalani pembedahan dan rawatan.

Pemergian Amizan berlaku selepas kematian Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Sheikh Muhamad Abdullah sebelum sempat mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Ubaidah seterusnya memberitahu, muslimat di seluruh negara menyifatkan pemergian arwah begitu sukar dicari ganti, apa lagi kematiannya di saat masih memegang jawatan penting selaku Pengarah Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Pusat.

Pada masa yang sama beliau berharap seluruh anggota keluarga Allahyarham bertenang dan bersabar di saat pemergian insan yang disayangi.

Ketika menghubungi Harakahdaily, Ubaidah bersama bekas Anggota Dewan Negara, Mumtaz Md Nawi dalam perjalanan ke Taiping untuk memberi penghormatan terakhir kepada insan istimewa itu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar Kedah kira-kira jam 6.30 pagi tadi selepas hampir dua tahun menjalani pembedahan dan rawatan.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Simpang, Taiping dan akan dikebumikan sebelum Zuhur.

Di Ipoh, jentera pilihan raya PAS negeri turut merasakan kehilangan Amizan kerana Allahyarham adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak.

Pengarahnya, Haji Asmuni Awi antara yang terasa benar dengan perginya Amizan.

"Kali terakhir saya menemui beliau minggu lalu," kata Asmuni kepada Harakahdaily.

Bekas jeneral bimbang kewujudan ESSCOM di Sabah

Aslani M, 29 Mac 2013
TANAH MERAH: Kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dibimbangi ada kaitan dengan elemen lain, dan bukan semata-mata menangani isu keselamatan.

Bekas pegawai kanan tentera, Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid meluah kebimbangan itu pada Himpunan Wira bersama rakyat Jeli di Batu 11, malam tadi.

Bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada TLDM itu berkata, pentadbiran ESSCOM tersebut membabitkan sebanyak 10 kawasan parlimen di Sabah.

“Dibimbangi mungkin ada tujuan lain selain aspek keselamatan berikutan pencerobohan di Lahad Datu,” katanya di hadapan ribuan yang hadir, ramai bekas tentera. Lokasi ceramah tidak jauh daripada Kem 301.

Hadir sama bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, bekas Panglima Markas Logistik Udara, Brig Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Al Khatab dan bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Brig Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamad, Adun Air Lanas, Abdullah Ya’kob dan Penyelia Dun Bukit Bunga, Sufly Abdul Razak.


Pada ceramah itu juga seramai 48 bekas tentera menyerah borang menyertai Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Sekretariat Malaysia (Kerabat) Cawangan Kelantan.

Kerabat Kelantan diketuai Mejar (B) Yusof Mat Ali juga hadir bersama anggota jawatankuasanya.

Pada 7 Mac lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembentukan ESSCOM merangkumi kawasan pantai timur Sabah termasuk Kudat, Tawai, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

Kerajaan juga mengumumkan akan melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif bagi menyelaras segala operasi keselamatan melibatkan tentera, polis, imigresen, Maritim Malaysia dan pelbagai lagi.

Abdul Ghafir pula mendakwa anggota risikan tentera tidak digunakan secara profesional, sebaliknya diperalat melaksanakan kerja-kerja politik.

Menurutnya, kerajaan yang diterajui Umno menggunakan khidmat risikan tentera bagi mengekalkan kuasa politik mereka sehingga ramai anggota risik dihantar ke Kelantan dan Terengganu.

“Sedangkan tugas sebenar anggota unit risikan memastikan keselamatan negara. Risikan tentera sepatutnya lebih awal tahu pencerbohan yang akan berlaku.

“Cuba bayangkan kerajaan mengambil tempoh sehingga 23 hari bagi menangani isu pencerobohan di Lahad Datu sehingga akhirnya menyebabkan ramai nyawa menjadi korban,” katanya.

Tolak BN elak kerajaan sementara berulang

Harakahdaily, 29 Mac 2013


KUALA LUMPUR: Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membubarkan parlimen sehingga Dun Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya amat memalukan serta menghina rakyat di negeri itu.

“Rakyat negeri tersebut pasti merasa kecewa apabila tidak diberikan hak untuk memilih kerajaan baharu apabila tamat tempohnya, sebaliknya dibiarkan berlalu berhari-hari diperintah oleh kerajaan sementara,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Justeru, ujarnya bagi membalas jasa PM yang telah mencatatkan sejarah baharu Negeri Sembilan, rakyat di negeri itu perlu menolak BN dan kepimpinan Najib.

Beliau berkata, ia sebagai pengajaran paling berharga agar PM menghormati keputusan rakyat memilih kerajaan yang sah.

Ia juga, katanya sebagai mesej penting supaya mana-mana PM tidak mengulangi tindakan seperti itu di masa-masa yang akan datang.

Baginya, rakyat serta pengundi di Negeri Sembilan perlu ‘berterima kasih’ kepada kerajaan Persekutuan (kerajaan BN) kerana membiarkan kerajaan negeri tersebut terbubar dengan sendirinya dan dipimpin oleh kerajaan sementera.

Beliau menjelaskan, kerajaan sementara adalah kerajaan yang memimpin sesebuah negeri atau negara tanpa kerajaan tersebut boleh meluluskan perkara besar terutama berkaitan perkara dasar mengenai negeri tersebut sehingga mandat baharu diperolehi melalui pilihan raya.

Tambah beliau, kerajaan sementara Negeri Sembilan hanya boleh mengurus tadbir rutin jadual perjalanan negeri tersebut dan meneruskan dasar-dasar yang telah diluluskan sebelum ianya terbubar secara automatik pada 27 Mac lalu.

Dalam erti kata yang lain, jelasnya kerajaan Negeri Sembilan berjalan tanpa mandat dari rakyat kerana mandat rakyat sudah cukup tempoh 5 tahun dan mandat baru perlu diperbaharui dalam Pilihan raya Umum ke-13.

Beliau menambah, belum pernah terjadi kerajaan pusat membiarkan kerajaan negeri terbubar dengan sendiri tanpa pilihan raya umum diadakan.

Ini, kata beliau merupakan kejadian yang pertama di negara ini, di mana ia sedang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, kini sejarah telah tertulis negara bertahan melepasi tempoh masanya manakala Negeri Sembilan menjadi negeri pertama terbubar sceara automatik.

“Negeri Sembilan menjadi bahan ‘eksperimen’ untuk menguji apakah bentuk kerajaan sementera yang dimaksudkan oleh banyak pihak.

“Eksperimen ini dapat dilihat pada hasilnya apabila Menteri Besar Negeri Sembilan tiba-tiba hilang kuasa eksekutif serta tidak mampu meluluskan sesuatu keputusan besar, sebaliknya hanya meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh legasi kerajaannya dahulu,” ujarnya.

Riduan menambah, jika parlimen masih juga belum dibubarkan pada awal April, banyak negeri lain akan menyusul untuk ‘diuji kaji’ dengan Pahang menjadi negeri kedua terbubar secara automatik pada 8 April.

Kedah yakin sumbang kerusi ke Putrajaya

Harakah, 29 Mac 2013
ALOR SETAR: Keyakinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Diraja Azizan Razak sangat tinggi dalam menyumbangkan kerusi-kerusi Parlimen untuk membolehkan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

"Keyakinan saya amat tinggi sebab tidak timbul isu dalam negeri yang membolehkan rakyat menolak PAS.

"Kita telus dalam pentadbiran, ekonomi semakin stabil, tiada gejala rasuah dan perancangan pembangunan sedang berjalan," kata beliau kepada wartawan Harakah.

Ikuti laporan penuh dalam Harakah cetak Ahad ini.

Tiada ulasan: