Rabu, 20 Mac 2013

SOKONGAN SERTA PENGARUH TERUS MERUDUM...HASIL KERJA KITA SENDIRI YANG TERLALU BANYAK SONGLAP

Pakatan Rakyat tubuh Majlis Penasihat Keselamatan

Muhammad Faizal, 19 Mac 2013


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan akan menubuhkan Majlis Penasihat Keselamatan bagi membincangkan soal-soal keselamatan yang berlaku di dalam negara ini.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS hari ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas itu memberitahu penubuhan majlis penasihat merupakan satu langkah penting dalam menangani isu keselamatan negara.

"Pakatan telah memutuskan untuk menubuhkan Majlis Penasihat Keselamatan kerana isu keselamatan ini amat penting.

"Jeneral-jeneral kanan dan juga pegawai-pegawai kanan polis yang menyokong Pakatan Rakyat akan bersama dengan Majlis Penasihat Keselamatan dalam memberi nasihat kepada pimpinan pakatan rakyat terutama konflik yang timbul di Lahad Datu," kata beliau.

Menurut Anwar lagi, perkembangan terakhir di Lahad Datu menimbulkan persoalan kenapa ada kelemahan kawalan keselamatan di pengairan negara.

"Kenyataan telah kita dikeluarkan, kita mengulangi tentang langkah kawalan keselamatan yang diambil oleh pasukan keselamatan.

"Namum pemimpin Umno menggunakan isu ini untuk politik demostik yang membuat tuduhan kepada Pakatan Rakyat tanpa menjawab setiap persoalan yang ditimbul," sambung beliau lagi.

Anwar yang menegaskan sehingga sekarang Umno gagal menjelaskan tentang rundingan yang dilakukan oleh pimpinan Umno dengan Sultan Sulu sebelum ini.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula menyatakan sepatutnya apa yang berlaku di dalam negara ini sama ada soal keselamatan ataupun ekonomi adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah bukannya menyalahkan pihak pembangkang.

"Kita tegaskan apa yang berlaku di negara ini sama ada soal keselamatan mahupun ekonomi adalah tanggungjawab pemerintah dan bukannya mengambil jalan mudah menyalahkan pembangkang.

"Segala kebocoran yang berlaku adalah kerana kealpaan mereka dalam mengendalikan urusan negara, kita bukan sahaja menghadapi masalah inflasi yang semakin meningkat tetapi juga soal keselamatan negara yang semakin serius," jelas beliau.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan juga Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali serta Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli.

Sementara itu bagi PKR pula hadir sama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar manakala Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke mewakili DAP.

Bukan gemilang tetapi Ladang yang malang

Zulkifli Sulong, 19 Mac 2013


(Kampung Ladang Tok Pelam yang bakal lenyap)

KUALA TERENGGANU: Sebut saja apa kraftangan tradisi yang tidak dihasilkan di Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.

Dari pertukangan keris, emas, tembaga, perak hinggalah songket boleh diperolehi di kampung tradisi yang terletak di bandaraya Kuala Terengganu ini.

Namun, kini tragedi besar sedang melanda kampung tradisi ini. Ia sedang dihancurkan oleh kerajaan negeri Terengganu kononnya demi pembangunan.

Terletak di pinggir pusat Bandaraya Warisan Pesisir air @ Kuala Terengganu.

Kampung yang dibina di tanah wakaf dan juga tanah persendirian menjadi rebutan di kalangan pelbagai pihak kerana kedudukannya yang strategik.

Sejak 80-an, kampung berkenaan dirancang untuk dibersihkan tetapi rancangan tersebut selalu gagal dan sehingga kini, rancangan untuk merobohkan kampung telah berjalan.

Itu sahajalah kampung Melayu yang kekal di bandaraya ini (bandaraya ke?). Terengganu telah menyaksikan beberapa kepupusan kampung tradisi seperti Kampung Keling dan Kampung Putera di kawasan Bazar Warisan yang tersergam indah tetapi tidak ada orang yang mahu ke sana.

Kampung terbabit dirobohkan kerana pembinaan tempat letak kenderaan. Bazar Warisan dibina menggantikan tempat letak kenderaan berkenaan.

Kampung Paya Bunga juga tiada kini kerana memberi laluan kepada pembinaan asas Bandaraya Warisan Pesisir Air ini.

Kehilangan mereka tidaklah dititikberatkan kerana sememangnya mereka berada di tapak asas bandaraya ini.

Namun, apabila cadangan perobohan Kampung Ladang Tok Pelam diutarakan, ini menimbulkan rasa tidak puas hati. Johor Bahru ada Majidee dan Kuala Lumpur ada Kampung Baru. Bolehkah Kuala Terengganu mengekalkan Kampung Ladang Tok Pelam?

Rumah tradisi mereka dirobohkan dan mereka dipindah ke rumah flat yang dinamakan Ladang Gemilang.

Namun, flat 18 tingkat ini nama saja gemilang. Tiada tempat buangan sampah, tiada surau dan tangganya yang amat sempit. Lif pula selalu saja rosak.

Pernah berlaku, apabila seorang penghuninya meninggal, mayatnya terpaksa didokong hingga ke bawah akibat lifnya rosak.

Ketika dijanjikan, penduduk di sini dijanjikan mereka akan menduduki flat ini dengan sewa beli sebanyak RM165 sebulan.

Namun selepas diduduki, mereka dikenakan sewa RM300 dan terbaru dinaikkan lagi ke RM350 sebulan. Soal sewa beli sudah hilang kerana yang tinggal sewa selepasa tiga tahun berlalu.

Terbaru mereka dijanjikan selepas September nanti ia akan diserahkan kepada penduduk dan menjadikan sewa mereka RM300 sebulan itu sebagai deposit. Namun ia hanya berlaku selepas pru-13.

Orang yang sedang memperjuangkan nasib mereka kini adalah arkitek terkenal,  Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Di mana-mana beliau berucap, Raja Bahrin akan menceritakan penderitaan dan kemusnahan warisan budaya di bandaraya Kuala Terengganu ini.

"Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan, kita menggalakkan rakyat untuk berdikari dan membantu mereka untuk maju. Namun, sikap kerajaan yang ada tidak begitu, mereka mahu rakyat sentiasa bergantung kepada mereka," kata Raja Bahrin (gambar kanan) dalam satu pertemuan dengan penduduk Bukit Besar, 2 kilometer dari kampung Ladang Tok Pelam ini.

Bagi Raja Bahrin, cerita-cerita sedih yang berlaku kepada penduduk asal kampung ini amat menyayat hati.

"Bayangkan tuan-puan. Dulu mereka mengukir keris, tembaga dan perak. Sekarang di atas flat yang serba kekurangan ini, di mana mereka nak menempa barang-barang ini semua.

"Kat mana mereka nak letak peralatan membuat batek mereka. Kat mana mereka nak tempa dan bakar keris mereka. Semuanya tidak akan ada lagi.

"Akhirnya mereka terpaksa kerja di Mydin dan pasaraya yang lain. Dari hidup berdikari kini terpaksa makan gaji. Inilah yang dikehendaki kerajaan," cerita Raja Bahrin.

Raja Bahrin menegaskan beliau bukan anti pembangunan tetapi meminta kerajaan membuat pembangunan yang terancang.

"Di bandaraya kita ini banyak tanah kosong yang belum dibangunkan. Kenapa kita nak musnah kampung tradisi orang kita.

"Bagi saya ini bukan Ladang Gemilang tetapi Ladang yang malang," kata beliau kesal.

Raja Bahrin juga antara pihak yang sangat vokal menentang perobohan Pasar Payang Kuala Terengganu yang dicadangkan kerajaan BN.

Pasar itu hendak dirobohkan bagi membolehkan sebuah hotel lima bintang dan kondo mewah di bina di atas tapak itu.

Kononnya dibawahnya akan dibina pasar yang berhawa dingin.

"Kalau sudah pasar berhawa dingin, siapa yang akan berniaga di situ...pasaraya besarlah bukan lagi peniaga ikan, buah atau kuih muih Melayu lagi," katanya.

Suasana politik di Sabah memihak kepada Pakatan

Salmiyah Harun, 19 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Perkembangan politik terkini di Sabah terhadap pembangkang cukup dinamik dan keadaan ini memberi potensi besar kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih negeri itu begitu meyakinkan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
Katanya, sokongan dan kerjasama antara parti-parti yang bertanding di Sabah dengan PAS cukup memberangsangkan dan suasana ini akan memudahkan kemenangan selesa kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti.

Dalam rangka lawatan ke Sabah dua hari lepas, Salahuddin turut bertemu dengan Presiden Pakatan Perubahan Sabah, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin di pejabatnya di Likas.

"Apa yang lebih penting sebuah parti yang bertanding mesti fokus kepada kemenangan di Sabah. Lajim juga bergembira dan berpuas hati dengan dengan kerjasama yang diberikan PAS khususnya sokogan yang begitu baik oleh PAS," katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS di sini petang tadi.

Dalam pada itu, katanya, Lajim Ukin turut bersetuju bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mesti membentangkan kertas putih dalam parlimen untuk menyelesaikan kemelut di Lahad Datu yang tidak ada penyudahannya.

Beliau turut dimaklumkan bahawa kerajaan telah mengabaikan aspek keselamatan di Sabah khususnya di Lahad Datu sekian lama.

Malah katanya, pihak keselamatan Sabah pernah mencadangkan dan membuat permohonan bagi mengiktiraf keselamatan di daerah Lahad Datu malangnya Kuala Lumpur tidak pernah menghiraukan.

"Pihak keselamatan Lahad Datu tidak pernah memiliki peralatan logistik dan kenderaan pacuan empat roda sentiasa rosak dan bot peronda dalam keadaan teruk," katanya.

Tuan Ibrahim ketuai konvoi anak muda bermotosikal

Harakahdaily, 19 Mac 2013


(Tuan Ibrahim mengetuai konvoi bermotosikal bersama anak muda di Jengka)

JENGKA: Tanggal 17 Mac yang lalu, Karnival Anak Muda Bersama Artis anjuran Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kuala Krau dengan kerjasama Alternatif Riding Club (ARC) Pahang, telah berlangsung dengan jayanya.

Konvoi disertai oleh kira-kira 250 buah motosikal dan 30 buah kereta turut disertai oleh Datuk Tuan Ibrahim Bin Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman Al Haffiz, Ketua Pemuda PAS Pahang dan Tuan Haji Nazri Bin Hussin, Timbalan  Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau serta kepimpinannya.

Karnival bermula dengan Konvoi Anak Muda untuk Perubahan dari Pekan Kerdau melalui Pekan Jenderak.
Kemudian, konvoi berhenti  solat Zohor di Masjid Lama Bandar Jengka sebelum memulakan aktiviti sukan bermotor di Dataran Nadi Kota, Bandar Jengka.

Sambutan dan penyertaan daripada masyarakat setempat serta penduduk di sekitar Kawasan Kuala Krau untuk karnival dan konvoi ini adalah di luar jangkaan.

Di sebelah petang, aktiviti diteruskan dengan Sembang Santai Anak Muda bersama Artis yang menampilkan Farah Asyikin Zulkifli (One in the Million) dan Nurul Suhadah Shuib (Ameerah Malaysia).

Kehadiran orang ramai yang terdiri daripada beliawanis dan kaum wanita adalah melebihi 300 orang. Keadaan hujan panas sedikitpun tidak mengganggu perjalanan program tersebut.

Kemudiannya, Munajat Anak Muda diadakan di Masjid Lama Jengka sebelum Pogram Bicara Selebriti berlansung pada malam harinya.

Program yang membawa penampilan Iwan yang bergandingan Farah Asyikin di samping Tuan Ibrahim bersama panelis lain telah menyebabkan orang ramai membanjiri Dataran Nadi Kota Jengka.

Iwan bersama Farah turut mempersembahkan beberapa buah lagu secara live kepada para hadirin.

Dalam ucapannya Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa perubahan bermula dari diri sendiri.

"Jangan harap perkara akan berubah sekiranya sendiri tidak berubah dulu. Nak berubah ke arah yang lebih baik, sendiri harus berubahlah dulu," katanya.

Kehadiran anak muda menggalakkan ini menandakan satu arus perubahan bakal berlalu di pilihanraya umum ke 13 akan datang.


Sumber berita: Helmy Harun

Miliki IC merah pun teroka tanah kerajaan

Aslani M, 19 Mac 2013
KUALA KRAI: Beberapa peneroka yang mendakwa kononnya kerajaan negeri merampas tanah mereka didapati bukan penduduk tempatan, malah ada juga hanya memiliki kad pengenalan merah.

Sebahagian besar lagi tidak pernah memiliki tanah di Kampung Senduk dan Serasa dekat Dabong.

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim (gambar) berkata, penduduk yang benar-benar pernah mengusahakan tanah di kawasan itu hanya 36 orang dan bukan 200 seperti didedah akhbar harian baru-baru ini.

Katanya, penduduk yang telah membayar deposit tanah tersebut dikeluarkan daripada kawasan pembangunan ladang yang dibangunkan sebuah agensi kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta.

“Kita pun hairan bagaimana ada penduduk mendakwa tanah mereka dirampas kerajaan negeri. Apa yang berlaku selepas syarikat masuk ada pula pihak datang menanam pokok buah-buahan.

“Sebelum ini memang tidak ada tanaman milik peneroka di kawasan yang sedang dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit.

“Hanya setelah syarikat masuk membuat kerja-kerja tanah ada peneroka mulai menanam pokok untuk membolehkan mereka menuntut pampasan,” katanya di sini.

Sebuah akhbar baru-baru ini mendakwa 200 penduduk berhimpun bagi membantah tanah yang didakwa diusahakan mereka sejak 30 tahun lalu, dirampas kerajaan negeri.

Sebahagian yang hadir pada perhimpunan itu memakai baju NGO tajaan Umno, Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi (Tukar).

Arifabillah berkata, perundingan dengan 36 penduduk yang benar-benar terbabit sudah diadakan sejak 2010 dan terbaru pada awal tahun ini.

Menurutnya perjumpaan itu diadakan di Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai beberapa kali bagi memastikan hak peneroka yang benar-benar mengusahakan tanah terbela.

Oleh itu beliau menegaskan dakwaan kerajaan negeri merampas tanah rakyat di Kampung Senduk dan Serasa adalah tidak berasas kerana kesemua tanah yang sudah ada deposit dikeluarkan daripada kawasan pembangunan ladang.

“Saya juga berharap agensi penguatkuasa kerajaan pusat termasuk Imigresen menyiasat ada warga asing yang meneroka tanah kerajaan di kawasan hulu,” katanya.

STPM 2012: Pemuda PAS ucap tahniah

Harakahdaily, 19 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang diumumkan semalam.

Pencapaian calon meningkat secara keseluruhan dengan peningkatan Purata Nilai Gred keseluruhan (PNGK) daripada 2.22 kepada 2.24. Kira-kira 47,884 atau 92.67 peratus calon STPM 2012 telah memperoleh keputusan penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran, bebranding 46,705 atau 92.19 peratus calon tahun lalu.

Jumlah calon mendapat PNGK 4.00 juga meningkat seramai 142 daripada 300 menjadi 442 kali ini, manakala 18 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam lima mata pelajaran diambil, berbanding 12 calon pada 2011.

“DPPM merasa bangga dengan pencapaian pelajar yang menunjukkan peningkatan prestasi cemerlang secara keseluruhannya,” kata Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, DPPM percaya kesemua ini berpunca dari sikap pelajar yang berusaha bersungguh-sungguh dan membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan STPM.

Katanya, berkat dorongan guru dan doa ibu bapa juga menjadi pemangkin kejayaan pelajar tersebut.

Beliau menambah, kejayaan mereka menjadi bukti bahawa tidak ada yang mustahil untuk dicapai dalam kehidupan dan kejayaan boleh diraih oleh mereka sabar, tawakkal dan istiqomah.

Justeru, kata beliau DPPM mendoakan semua calon yang berjaya agar dapat menempatkan diri dalam institusi pendidikan tinggi terbaik di negara ini dan di luar negara.

“Jadikan keputusan ini sebagai pendorong untuk mencapai cita-cita mereka di kemudian hari,” ujarnya.

Mereka, kata beliau adalah harapan umat dan dari mereka lahirnya kepimpinan negara di masa hadapan.

Operasi cerdaskan minda pengundi PRU13

Ahmad Lutfi Othman, 19 Mac 2013
Kemenangan Pakatan Rakyat mahupun BN dalam PRU13 dilihat banyak ditentukan oleh pengundi Melayu. Walaupun trend mengundi masyarakat Tionghua tidak sukar diramal dan Umno-BN bakal berputih mata dengan sikap mereka, namun kompleksiti orang Melayu untuk membuat pilihan rancak dibincangkan.
Sejak awal, selepas tsunami politik lima tahun lalu, pemimpin Umno seperti sudah berkerat rotan, dalam usaha meraih kembali sokongan pengundi Cina yang telah menyelamatkan BN dalam Pilihan Raya Umum 1999, menyaksikan protes terbuka orang Melayu kepada Dr Mahathir Mohamad dan BN.

(Gambar: Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man, mengedarkan naskhah "Bangkit" di sebuah restoran nasi beriani, di Bukit Katil, 18 Februari lalu.)

Justeru, masyarakat Melayu pasca PRU 2008 menjadi sasaran utama momokan propaganda jahat dan sentimen kebencian Umno. Media yang dimiliki suku-sakat kerabat Umno-BN dan dikawal ketat penguasa tidak segan silu menabur fitnah, mendorong politik jahat, mengulangsiar tohmahan dan menyemarakkan lagi api perkauman.

Bukan saja DAP, salah satu komponen Pakatan,  dilabel sebagai "penindas Islam" (seperti ucapan Perdana Menteri di Kuala Terengganu baru-baru ini), malah PAS ditohmah sebagai parti yang rela menggadaikan prinsip perjuangan  demi meraih sokongan ke Putrajaya. Tiba-tiba saja Umno mendakwa sebagai wira Islam sekali gus cuba merendahkan kredibiliti seteru utamanya, PAS.


Jelas sekali, sementara politik baru -- yang lebih beroreintasikan isu dan kepentingan umum dan kurang berasaskan kaum dan kelas -- semakin mendapat tempat, namun elit pemerintah Umno-BN yang terancam dengan kesedaran massa, terus mahu berpaut dengan sentimen perkauman dan keagamaan yang sempit.


Hanya atas slogan "Hidup Melayu", pemimpin Umno cuba menutup sosok sebenar mereka. Sedangkan pengalaman hampir enam dekad memerintah menyerlahkan siri pengkhianatan Umno terhadap amanah bangsa. Demi mempertahankan saki-baki kekuasaan, segalanya dikerah bagi menjamin pengundi Melayu tidak beralih arah.

Sisipan "Bangkit" (dalam akhbar Harakah) kali ini berusaha menawarkan informasi lebih menyeluruh, untuk menyanggah serangan berterusan media Umno yang bertujuan menjauhkan orang Melayu dengan Pakatan.

Diharap naskhah lapan halaman "Bangkit" ini  dapat mencerdaskan lagi pemikiran dan mematangkan pertimbangan pengundi agar dapat membuat pilihan tepat, berdasarkan informasi mencukupi dan bukannya dibakar emosi melulu.

Berbicara soal kepentingan media dalam PRU13, saya tertarik dengan ungkapan Presiden Wadah, Dr Siddiq Fadzil: "Media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang tampak  bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon.

"Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan parti yang bertanding."

Sebenarnya kami tidak berhasrat untuk terjun ke lubuk polemik berkaitan siapa wira dan siapa pula pengkhianatan di kalangan orang Melayu, satu perdebaran yang sebenarnya tidak perlu pun.

Sesuatu dasar, polisi atau rancangan kerajaan  tidak wajar dinilai dari perspektif kaum tertentu. Apa pun, sanggahan tepat mesti dibuat langsung ke atas mesin propaganda dan pembohongan Umno yang berterusan menggunakan dana awam itu.

Malaysia terlalu kaya dan makmur untuk dikongsi secara adil oleh lebih 28 juta warganya. Namun,  ketamakan dua tiga kerat elit politik dan kroni mereka sudah cukup untuk membankrapkan (dan memusnahkan) negara tercinta.

Di bawah pendekatan politik kuno Umno-BN, rakyat negara ini terpecah-pecah, saling sangsi dan curiga di antara satu sama lain. Sesiapa yang pernah mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) akan faham bagaimana indoktrinasi berbahaya itu terus diwarisi zaman berzaman.

Harakah dan sisipan Bangkit tentu memerlukan kekuatan luar biasa melakukan "pencerahan" di waktu kritikal ini, di samping memurnikan tanggapan pembaca yang dikelirukan oleh pencitraan palsu, seperti dinukil Ustaz Siddiq itu.

Semasa kami berusaha mempertingkatkan mutu laporan dan kualiti persembahan, tentu sekali aktivis PAS dan Pakatan sedia bersikap proaktif memastikan pengedarannya lebih meluas, terutama di lokasi yang belum terdedah dengan media baru.

Sebenarnya naskhah "Bangkit" ini boleh dicetak secara berasingan dan pihak yang berminat boleh membuat tempahan terus kepada pihak pencetak, dengan bayaran berpatutan. Masih ramai pengundi yang belum dibekalkan maklumat bermanfaat bagi mencerdaskan minda.

Saya mengimpikan agar setiap rumah pengundi, terutama pemilih Melayu, menerima kunjungan "Bangkit".  Dari respons awal pembaca, mereka mengharapkan 'Bangkit" bukan hanya menjadi sisipan Harakah tetapi jauh yang lebih penting, diedarkan secara percuma kepada khayalak lebih meluas, dengan paparan isu-isu menarik, menyentuh persoalan kritikal.

Justeru, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui juga sedang menjalankan kempen mengutip dana bagi membiayai projek penerbitan khusus untuk PRU13. Sumbangan boleh disalurkan terus dalam akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399.

------

Tulisan ini dipetik dari kolum SIMPUL MATI dalam sisipan Bangkit, akhbar Harakah.

Tiada ulasan: